Thursday, May 15, 2014

KONDUSIF ANTARA KAHWIN DAN HUDUD

Saya tertarik dengan perumpaan seorang pimpinan PAS di Terengganu. Beliau menyamakan jenayah syariah dengan kahwin. Saya cuba luaskan lagi analogi itu dari dimensi yang berbeza.

Ramai antara kita yang pernah menempuh berbagai pengalaman semasa menuju ke gerbang perkahwinan. Ada yang terus berkahwin bila cukup sahaja syarat. Bila keinginan itu ada, dan kudrat zahir dan batin cukup, terus sahaja kahwin walaupun masih fresh graduate. Kerja tetap pun belum ada. Calon pun baru nak cari. Kursus kahwin pun baru daftar.

Ada yang lambat kahwin sebab merasakan keadaan masih tidak kondusif, seperti masih muda, nak tumpu belajar, nak ada kereta dulu atau rumah dulu, nak khidmat untuk keluarga dulu dan macam-macam. Semua perkiraan itu dibuat dengan andaian akal, walaupun tidak disyaratkan oleh syarak

Hasilnya, kita boleh lihat selepas mereka kahwin. Yang kata nak tunggu kondusif dulu, bila dah kahwin, rumahtangga porak peranda juga. Cerai berai masih berlaku walau majlis kahwin berhabis belasan ribu ringgit. Statistik kes perceraian berlaku di kalangan mereka yang berkahwin pada waktu yang mereka fikirkan 'kondusif' yang tidak disebut syarak.

Kebanyakan yang kahwin bila cukup sahaja syarat pula, walaupun kenduri kecil, walaupun hantaran sedikit, walaupun tanpa bulan madu, mampu kekal ke anak cucu.

Kenapa keadaan sebegini berlaku? Ianya sebab kebimbangan ciptaan akal melebihi keyakinan terhadap jaminan Allah.

Dalam perkahwinan, islam banyak mengajar supaya dipercepat dan permudahkan kahwin. Antaranya sabda-sabda Rasulullah SAW:

1. Apabila datang kepadamu (wahai wanita) seseorang yang kamu sukai agamanya, maka kahwinlah dengannya.

2. Apabila kalangan kamu ada kemampuan, maka kahwinlah.

3. Adakanlah jamuan, walau dengan hanya seekor kambing.

4. Berilah mas kahwin, walau dengan sebentuk cincin besi.

5. Perkahwinan yang paling berkat ialah yang paling mudah mas kahwinnya (untuk ditunaikan).

Sekilas pandang, sabda-sabda diatas menafikan suatu kondusiviti yang dibentuk oleh akal, iaitu persediaan rapi terutama dari sudut material dan penerimaan masyarakat. Andaian-andaian akal manghantui bakal pengantin seperti kesempitan hidup, kesusahan mengurus rumah, kesukaran menghadapi karenah mertua, nasib anak-anak yang bakal lahir, mulut-mulut kenalan yang memperlekeh perkahwinan sebab muda sangat, ringkas sangat dan sebagainya.

Namun orang yang ikhlas berkahwin kerana menurut saranan baginda, lalu mengenepikan mainan akal yang mungkin dikuasai syaitan, nescaya tuhan bukakan pintu rezeki dan kemudahan seluasnya. Lepas kahwin, dapat kerja. Lepas kahwin, dapat beli kereta, beli rumah. Lepas kahwin, naik gaji. Lepas dapat anak, dapat pula kerja sampingan. ini semua berkat meletakkan keyakinan pada jaminan Allah.

Justeru, masih lagikah kita membelenggu akal dengan ketakutan kondusiviti? Sedang tuhan menjanjikan berbagai keberkahan kepada yang melaksanakan suruhan dengan penuh yakin.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....