Monday, December 26, 2011

HAMA; MEMALI SYRIA

2ND PENANG BRIDGE

3 hari berkelana ke Utara Malaysia memang banyak menambah pengalaman di dada kecil ini. Sesampai diri di sana, tanpa disedari mood penulis tiba-tiba berubah. Semangat membela islam dirasakan segar kembali. Padahal tujuan kedatangan hanyalah menziarahi kakak ipar di Bukit Mertajam, Penang. Mungkin kerana disapa bayu dari pusara Syuhada Memali. Entah kenapa hati ni sentiasa mengenangkan tragedi penuh menyayat hati itu. Ingin sahaja penulis berkongsi perasaan ini bersama pembaca.

Menyaksikan tragedi Memali yang berlaku di daerah Baling, ceruk negeri Kedah akhir tahun 1985, dan jika membandingkannya dengan susur galur kebangkitan arab di beberapa buah Negara masa ini, amatlah banyak persamaan yang boleh dikaitkan. Samada di Mesir dengan kejatuhan rejim yang telah menzalimi pejuang Ikhwanul Muslimin berdekad lamanya, ataupun Libya yang menjadi gelaran kepada watak penting peristiwa Memali, ataupun Yaman yang merekod kepatuhan jelata pada kepimpinan Masyaikh, mahupun Syria. Namun, mungkin kerana jiwa penulis yang merasa dekat dengan salah sebuah negara arab sosialis, maka pilihannya untuk membuat perbandingan adalah peristiwa ratahan darah umat islam di sebuah daerah (baca: Muhafazoh) di tengah Syria iaitu Hama.

Hama adalah sebuah daerah yang menghubungkan antara Homs dan Halab, dua buah daerah yang mempunyai kapasiti penduduk terpadat dan termaju selepas Damsyik, ibunegaranya. Ianya terkenal dengan binaan roda air gergasi yang mengairi taman bunga Noria di sebelahnya. Di sana juga merupakan kilang utama yang memproduk sebilangan besar ulama`-ulama` Syam mahupun antarabangsa dari dulu hingga kini. Antara yang terkenal adalah Syeikh Said Hawa, Mustafa Sibaie dan Ali Tantawi. Hama begitu kaya dengan hasil material dan juga rohani.

RODA AIR HAMA, SYRIA 
TAMAN NORIA, HAMA, SYRIA (2008)

Walaubagaimanapun, Hama telah mencatat satu memori hitam dalam kotak sejarahnya. Indah kincir air dengan taman ala-ala eropah Naira disebelah tasik buatan itulah sebenarnya bersemadi jasad manusia yang terkorban kerana memperjuangkan kebenaran.

Titik hitam itu bermula semenjak 1970 lagi. Kebangkitan penduduk Hama yang belatarbelakang Sunni konservatif menentang kebobrokan kerajaan haram Assad menjadi perhatian dunia kala itu. Ramai ulama`-ulama` yang berpencak di masjid-masjid dan dataran orang ramai mengutuk dan mengkritik kerajaan yang giat berusaha memadamkan identiti islam di tanah Syria.

Penentangan demi penentengan yang dilakukan telah menerima reaksi negatif dari penguasa Syria. Seluruh kekuatan militari dihalakan ke Hama. Tangkapan, penyeksaan, buang daerah serta pembunuhan telah dibayar kepada mereka. Dan kemuncaknya berlaku pada Februari 1982, apabila Hama telah dikepung oleh tentera Syria selama 27 hari dan berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai yang begitu tragis sekali. Bedilan kereta perisai dan berbagai senjata api milik tentera Assad telah mengorbankan 40 000 nyawa rakyat biasa, dengan kediaman mereka musnah teruk sekelip mata. Sebagai ganti, rejim Assad telah membina taman khas di atas tapak kezaliman mereka itu.

Kezaliman tidak terhenti setakat itu. Mereka yang mendekam di penjara terus diseksa bagai binatang buas. Tangkapan yang dilakukan semenjak kemunculan Ikhwanul Muslimin tahun 1970 dijadikan karung tinju dan dinding skuasy. Ramai yang telah melarikan diri ke luar Syria. Ada yang mendapat suaka politik di beberapa buah Negara lain, terutamanya benua eropah.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kini Hama kembali lagi memimpin angin arab spring di Syria. Ogos 2011 menjadi tarikh pekat dengan merah darah rakyat biasa sekali lagi. Awal Ramadhan 1432 di sambut dengan pembantaian tak berperikemanusiaan rejim Bashar. Sekatan terhadap protes setengah juta penduduk Hama dilakukan dengan hujanan peluru kereta kebal, gas beracun, bom, penembak tepat dan infantri. Hingga hari ini, lebih 5000 orang direkod syahid dalam pertempuran tersebut, majoritinya dari Bandar Hama sendiri. Sehingga ke hari ini kemelut masih belum berakhir.

Jika kita imbas senario yang berlaku, bumi bertuah kita juga pernah terpalit dengan kejadian seumpama ini. Memali, atau lebih segnifikannya Kampung Charok Putih di daerah perkampungan Baling, Kedah menerima nasib yang sama daripada penguasa pengat Malaysia. Seruan jelas menentang amalan kufur tinggalan penjajah era 80an dilayan dengan tragedi berdarah yang menggugurkan 14 orang syuhada`.

DI PUSARA SYUHADA` MEMALI

Mereka dihukum akibat memperjuangkan kebenaran, akibat menyampaikan keindahan islam yang syumul, akibat membenci permainan zionis, akibat menentang dasar zalim amalan pemerintah. Kononnya mereka adalah pemberontak komunis paling dikehendaki. Ironinya komunis ini tidak mempunyai sebarang senjata api, sebarang kelengkapan berperang dan terdiri dari wanita, kanak-kanak dan orang tua yang lebih tulang dari isi. Tudung, serban, jubah nipis yang membalut aurat dituduh menyembunyikan agenda komunis.

Kerana lantang menentang ISA dan tidak mahu menyerah diri, Langit Memali 19 November 1985 menjadi saksi bisu merah daratan dengan cucuran darah segar Syuhada` yang dibedil dengan senjata Polis Diraja Malaysia. 14 pewaris Anbiya` gugur menyahut seruan Ilahi di hujung senjata anjing barat.

Memali, seperti daerah-daerah lain di Kedah terkenal dengan amalan agama yang kuat di kalangan penduduknya. Setiap perkara yang dibawa diteliti sehalusnya mengikut mikroskop islam. Ulama` menjadi pemimpin terlantik yang dipatuhi setiap tutur tintanya. Mereka tidak akan mudah terpedaya dengan keindahan dan tipudaya kebendaaan.

AsSyahid Ibrahim Mahmud a.k.a. Ibrahim Libya a.k.a. Ustaz Man adalah hero dalam peristiwa ini. Kerana beliaulah Kampung tak berdosa ini dikepung. Kerana beliaulah lutut pemerintah khususnya UMNO Kedah terketar-ketar membilang ajal. Disebabkan beliau jugalah nama Memali mekar di bibir pejung-pejuang mutakhir ini yang rindukan syahid sepertinya.

Beliau adalah ulama` amilin. Tugas beliau adalah menyampaikan kebenaran islam. Jasa beliau adalah mendirikan sebuah pusat didikan bernama Madrasah Islahiah Diniyah. Pengorbanan beliau adalah meninggalkan gaji puluhan ribu di kota metropolitan Kuala Lumpur demi anak bangsa Baling. Amal Jamaie beliau adalah dibawah perhubungan PAS Kedah. Dan harga yang beliau bayar adalah nyawa!

Itulah serba sedikit gambaran dua buah daerah dari dua buah negara dua kaum berbeza. Apa yang menyatukan dua cerita ini adalah nasib mereka. Pengamal agama dan pejuang islam dilenyapkan dengan serangan terancang oleh pemerintah dari bangsa sendiri. Tahanan penjara dalam peristiwa tersebut dikenakan seksaan yang sama, malah jika dikira lebih teruk dari yang syahid awal. Disana termasuklah ibu mengandung, anak kecil, remaja belasan, warga emas dan warga OKU.

Malangnya, perjuangan mereka tidak sedikit pun lenyap. Setiap roh yang dijemput ke Syurga diganti dengan 10 lagi jasad baru. Hari ini kita melihat Hama masih berkeras menolak rejim Assad. Hari ini juga kita melihat kebangkitan kepimpinan ulama` yang tidak pernah kalah hampir dua dekad di Baling. Semua itu adalah jasa keringat pejuang terdahulu. Perjuangan mereka semakin membuahkan hasil dengan kerajaan Syria yang semakin tertekan dan kerajaan Malaysia yang semakin terdesak.

Dua kisah ini hanyalah part of the story dalam  log jangka hayat bumi. Semenjak zaman purba lagi telah tercatat nasib golongan zalim yang dihancurkan pemerintahan mereka. Firaun, Namrud, Kaum Ad, Thamud, Hitler, Soviet Union, dan banyak lagi pemerintahan telah menerima balasan mereka. Pemerintahan zalim hari ini juga pasti menerima kehancuran yang telah mereka tempah.

Bermula dengan Tunisia, singgah ke Mesir, hinggap pula di Libya, menyapa Yaman dan kini menuju Syria. Cahaya Muhammad yang dulunya bermula dari Timur Tengah kini kembali lagi menyinari bumi. Nusantara ini juga sedang membooking giliran untuk melihat pewaris Muhammad membawa kembali sinaran tersebut. Tunggulah kau wahai si zalim!

Apa yang penulis pohon hanyalah berharap kepada yang membaca makalah ini untuk membuka mata seluasnya, melakukan perbandingan apa yang berlaku di Malaysia dengan apa yang sedang dan telah berlaku di tempat lain serata bumi ini. Benar sirahnya berbeza dari sudut watak, lokasi dan skrip. Namun, pembawakan, idea, maksud yang terkandung mengulang mesej yang sama. Jangan biarkan kita ditipu dengan media sempit pemerintah semata-mata, sebaliknya bukalah mata seluasnya menilai sendiri kedudukan tanah air kita bersama negara orang lain. Kita tidak akan tahu kita tinggi kecuali setelah melihat orang lain. Kita tidakkan tahu hitamnya kita kecuali setelah berada dikalangan orang putih. Mata sendiri tidak mampu melihat wajah kita melainkan jika kita menghadap cermin. Cari dan beleklah cermin itu sendiri.

Buat pelajar Syria khususnya yang mengetahui di sebalik tabir indah taman Naria di Hama, sepatutnya terlebih perlu mengetahui tragedi Memali dan memainkan peranan membela mereka mengikut kapasiti masing-masing. Jika bukan kita pelajar agama yang mempunyai ikatan tidak langsung dengan Syuhada` Memali yang juga pelajar agama, siapa lagi? Buat apa sibuk mengutuk Assad andai kerabat sendiri malu untuk dibela?

Jihad di negara orang itu Fardhu Kifayah, sedangkan Fardhu Ainnya adalah laman tumpah darah kita sendiri. Syahid bukan hanya dimata pedang, bukan hanya di muncung senapang, bukan hanya di rantai roda kereta perisai, tapi buat sekalian umat islam yang gugur kerana cuba meninggikan agamanya.

Thursday, December 22, 2011

ILHAM HUMAIRA; ikatan sebuah istikharah (bab VI)

Bab 6: ومكروا ومكر الله والله خير الماكرين

Syria memang terkenal dengan tahap pengajian dan level penilaian yang tinggi. Kesungguhan tanpa belah bahagi berserta pengorbanan jitu amat dituntut demi menjamin kejayaan di bumi ini, lebih-lebih lagi di Fatah Islami. Pengamalan sistem Azhar lama yang hanya memperkenalkan satu ujian penilaian sepanjang setahun pengajian amat menguji setiap pelajar di sana. Bayangkan kitab setebal 400 mukasurat perlu dihadam untuk menjawab satu kertas soalan. Ada diantaranya kitab-kitab lama yang begitu ‘tradisional’ gaya bahasanya. Bayangkan pula jika setahun ada hampir 20 matapelajaran. Ini bermakna tempoh peperiksaan memerlukan pelajar menghadam sebanyak 8000 mukasurat. Wau! Novel kesukaan pun belum tentu dapat kita baca jika setebal itu, inikan pula buku bernuansa akademik yang perlu ditelaah sebaiknya dan bukan hanya sekadar membaca seperti gaya membelek akhbar. Sedangkan pelajar arab sendiripun belum tentu dapat melepasi ujian-ujian penilaiannya, inikan pula kudrat melayu yang tidak seberapa.

Dalam kesibukan berhempas pulas mengenal loghat arab untuk memahami syarahan lecturer (tanpa kursus intensif bahasa arab), Tiba-tiba ruang akal yang disediakan untuk mengisi ilmu telah terisi dengan permintaan Taufiq. Kalut dibuatnya. Nak ditelan mati mak, diluah mati bapak. Dia tahu berpasangan itu adalah tuntutan agama, dan menuntut ilmu juga tuntutan agama. Dua-dua sama penting.

Humaira masih belum mengerti maksud hubungan yang ingin dijalin. Padanya, setiap lamaran yang diterima adalah khitbah yang bermaksud perjanjian untuk berkahwin. Dalam masyarakat melayu ianya disebut bertunang walaupun kebanyakan orang meletakkan syarat tunang adalah mengadakan majlis penyarungan cincin. Dan jika dia menerima, Humaira harus mempersiapkan diri mulai saat itu dengan bekalan yang secukupnya untuk menjadi isteri orang.

Taufiq adalah seorang lelaki yang berkalliber, pidatonya memukau audiens, lunak suaranya mengalun wahyu menggamit suasana, kepimpinannya mewarna gagasan PPDQ, juga antara pelajar cemerlang di Darul Quran. Dia rapat dengan keluarga Humaira. Sering juga beliau menghubungi keluarga Humaira dan bertanya khabar semasa berada di Yaman.

Sebagai seorang pelajar agama, proses memetik bunga dilakukan secara penuh beradab. Taufiq meminta untuk menghantar ibubapanya berjumpa dengan keluarga Humaira.

Tatkala membaca mesej tersebut, Humaira tergamam. Gelap seketika dunia. Perasaan Humaira bertukar menjadi takut. Walaupun Taufiq menggunakan bahasa berlapik namun ia tidak mampu membuatkan Humaira tidak terkejut. 30 minit Taufiq terbiar keseorangan menanti respon. Dia tidak tahu apa harus dilakukan. Selama tujuh tahun dididik menyelesaikan masalah dalam PPDQ, belum pernah pengalaman mengajarnya berhadapan dengan situasi seperti ini.

Buat pertama kalinya dia harus meletakkan dua perkara besar diatas neraca pertimbangan. Satunya Pembelajaran yang belum stabil, satu lagi jodoh ikatan. Membayangkan soal pelajaran, dia semakin takut. Sudahlah dari awal kedatangan Humaira bersama rakan sekapal, mereka disambut dengan pelbagai kritikan dan nasihat pedas senior-senior yang tidak bersetuju dengan pilihan mereka.

Senior-senior menyarankan agar mereka melalui terlebih dahulu ke kelas bahasa arab selama setahun sebelum mendaftrkan diri ke peringkat ijazah. Rakan-rakan termasuk Humaira pula hanya mengikut arahan guru-guru di Darul Quran yang meminta untuk terus mendaftarkan diri seawal kaki melangkah persempadanan syam.

Ya, keadaan gamat itu masih belum reda. Mereka seolah-olah dipandang serong oleh senior sehingga ada yang mencetuskan perbalahan dan perang mulut. Di saat inilah mereka-mereka yang tidak sependapat dengan senior harus membina kesatuan demi menguatkan antara satu sama lain. Bukan untuk memusuhi, cuma ingin membuktikan kaki yang masih bertatih di tanah Syam ini mampu mendaki kejayaan setinggi puncak Qasiyun kelak.

Setelah beberapa kali menepuk dada, Humaira akhirnya membalas bicara Taufiq. Berat bagi dirinya untuk menghampakan harapan orang, kerana sejak dari kecil dia dididik oleh seorang ibu yang amat pantang untuk menghampakan hasrat seseorang.

Humaira bukan seorang yang memilih,bukan jua jual mahal dan sombong, tetapi semangat cintakan ilmu yang berkobar-kobar sehingga meniup roh beliau untuk berhijrah ke bumi Syam ini tidak mampu diusik oleh perkara lain, termasuklah soal jodoh.

Mungkin kerana terkejut, Humaira terus memberikan jawapan untuk keputusan besar itu. Dia tidak punya pengalaman menghadapi perkara sebegini. Setidak-tidaknya ia perlu difikirkan beberapa hari sebelum membuat sebarang keputusan, namun itulah Humaira. Dunia ini masih terlalu baru untuk gadis sesuci dirinya.

Dengan penuh sopan, Humaira memberitahu bahawa dia belum bersedia. Terlalu banyak yang perlu dikejar buat masa ini. Ribuan maaf dipanjat kepada Taufiq kerana terpaksa mengecewakan beliau.

Alhamdulillah, selesai satu masalah walaupun dia terpaksa mengecewakan seseorang. Mungkin itulah aulawiyyat yang harus dipilih kala itu. Ia tidak bermaksud menolak terus Taufiq, cuma diminta supaya biarlah Humaira berada dalam keadaan yang lebih bersedia. Bagi Taufiq, harapan itu masih ada.

Taufiq akur. Dia kenal benar siapa Humaira. Ketegasan gadis kecil itu memang menjadi bualan pelajar lelaki sezamannya. Tiada guna Taufiq merayu lagi andai itu muktamad daripada Humaira. Manusia hanya mampu mencuba setelah difikirkan suatu perkara itu terbaik bagi dirinya. Percaturan sebenar hanya terletak pada ketentuan pemilik segala jiwa ini.

Humaira sendiri tidak memiliki hati perasaannya. Pemilik sebenar hati Humaira adalah Allah taala semata-mata. Dia juga pemilik hati Taufiq. Andai dia tidak membenarkan dua hati ini bertaut, tiada kuasa yang mampu membantahnya. Inilah yang difahami oleh Taufiq menjadikannya tenang menerima jawapan Humaira.

Friday, December 16, 2011

ILHAM HUMAIRA; ikatan sebuah istikharah (bab V)

Bab 5: أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Deringan telefon yang membingit menyedarkan Ilham. Beliau yang tidak rehat dari pagi tadi tanpa sedar terlena di kelas. Panggilan itu datangnya dari Humaira. Dia memberitahu Ning akan dihantar pulang esok hari. Mata Ilham kembali segar. Lega bercampur sayu kini mendiami sanubari beliau. Sayu mengenang gadis yang pernah bertakhta dihatinya bakal pulang esok hari.

Ning akan dihantar pada jam 3 petang setelah urusan tiketnya diselesaikan oleh Abang Fakhrul sementara dia masih dalam tahanan.

Begitulah nasib rakyat Malaysia jika ditahan, selagi tidak mempunyai tiket pulang, mereka tidak akan dilepaskan. Mereka akan terus ditahan didalam penjara bawah tanah Bab Musolla bersama rakyat asing lain yang turut ditahan kerana pelbagai kes. Ngeri Ilham membayangkan keadaan Penjara tersebut yang dikhabarkan amat kotor, panas dan gelap. Tidur ditemani lopak air, tikus, serangga serta bau busuk yang tidak terperi. Berkongsi pula bilik dengan kaum-kaum lain yang berbagai ragam dan karenah, kebanyakannya daripada Benua Afrika. Macamana ada yang boleh bertahan sehingga berbulan-bulan lamanya meringkuk di sana.

Tanpa disedari Ilham mengadu perasaan hatinya pada Humaira. Humaira hanya mampu mengucap nasihat sabar dan kuatkan semangat. Kira-kira lima minit setelah panggilan dihentikan singgah pula sekeping mesej dari Humaira mempersembah kata-kata yang mengundang ketenangan dan harapan baru kepada Ilham. Tak sangka gadis kecil molek dengan gaya muslimah berhijab itu mampu melemahkan badai yang berhalilintar di lubuk hati Ilham.

“Terima kasih ustazah.” Hanya itu mampu Ilham balas.

Tidak dinafikan lagi Humaira adalah seorang gadis hebat semenjak di bangku persekolahan lagi. Walaupun berlatar belakang pendidikan sekular, Humaira mudah untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan pengajian agama. Di awal tahun ketiga persekelohan beliau sudah menjawat jawatan Exco Persatuan Pelajar Darul Quran sebaris dengan kakak-kakak yang dua kali lebih senior daripadanya.

Memang Darul Quran menekankan aspek pembinaan kepimpinan dalam pentarbiyahannya. Nama Darul Quran bukan bermaksud sebuah institusi yang mencetak para-para Huffaz semata-mata,  tapi lebih kepada melahirkan generasi yang celik al-Quran, tahu makna yang dituntut,berakhlak dengan akhlak Quran dan beramal dengan ajaran alQuran secara menyeluruh. Antara yang dipersembahkan alQuran adalah manhaj kepimpinan nabawi (dan itulah yang menjadi aplikasi penting di Darul Quran). PPDQ sebagai sebuah organisasi yang dijawat oleh beberapa pelajar terpilih melalui sistem pilihanraya dijadikan platform untuk mengasah bakat kepimpinan yang ada di samping program-program lain yang dianjur.

Humaira memang sinonim dengan tugas tarbiyah yang menjadi salah satu elemen dalam perjuangan islam selain dakwah dan siasah. Tarbiyah adalah pendidikan dan pembentukan modal insan. Ia menekankan soal penyucian jiwa,pemikiran(fikrah) dan penampilan. Sesiapa yang mendakwa islam wajib menerima tarbiyah. Tanpa tarbiyah manusia pasti hanyut. Untuk melahirkan manusia bertaqwa dan menjalankan semua perintah Allah bukan semudah membaca teori semata-mata. Ia mesti melalui proses pentarbiyahan yang panjang. Tarbiyah seorang muslim itu adalah sepanjang hayatnya.

Tidak hairanlah Humaira mempunyai pekerti dan syahsiah yang tinggi. Tugas mentarbiyah memerlukan dia menjadi contoh terbaik sebagai ikutan. Humaira disegani ramai kenalannya. Sikapnya yang tidak mudah bertolak ansur soal hukum dan penampilan seorang muslimah yang amat dititikberatkan menjadi sebab mengapa orang mudah terpesona dengan dakwahnya dan terkesan dengan tarbiyahnya.

Beliau amat berbeza dengan Ilham yang terlalu nakal ini. 7 tahun zaman persekolahan di Darul Quran dipenuhi dengan lagak penuh ngeri dan buruk Ilham. Bilik disiplin pun jemu melihat muka Ilham yang sering ulang-alik saban tahun. Berbagai hukuman sudah dirasai daripada rotan, botak kepala, hinggalah gantung sekolah namun semua itu bagaikan tidak mengajar apa-apa pada Ilham.

Jiwa muda menguasai dirinya. Berapa ramai Ustaz-ustazah yang mengeluh dengan perangainya hinggakan Ilham pernah di cop sebagai perosak semua rakan sebayanya. Tarbiyah langsung tidak dikenalinya. Baginya semua itu karut belaka.

Entah mengapa Ilham boleh tenang dengan nasihat wanita kecil molek itu. Rasa kehilangan yang menyelubungi diri Ilham sejak sekian lama dibius dengan hanya sepotong ayat dari Humaira. Timbul juga perasaan untuk mencari pengganti kepada Ning dengan seorang yang seperti Humaira, namun itu tak mungkin akan menjadi realiti. Mereka hidup dari 2 planet yang berbeza.

 الطيبات للطيبين والطيبون للطيبات,الخبيثات للخبيثين والخبيثون للخبيثات . Inilah firman Allah yang menjadi pegangan Ilham. Beliau hanya layak untuk wanita jalanan. Gadis-gadis bertudung labuh tidak diciptakan Allah untuk dirinya. Beliau juga tidak mahu menodai kesucian hati gadis-gadis yang memegang status ustazah ini dengan tangan kotornya walaupun beliau juga dari Darul Quran. Rasanya alQuran pun malu jika mendapat tahu orang seperti Ilham ada kaitan dengannya.

Tetapi manusia tetap manusia. Tidak terlepas dari ujian Allah sebagai seorang hamba. Humaira juga menerima tarbiyah dari Allah SWT dalam bentuk ujianNya. Rakaman liku hidupnya memang panjang untuk depertayang kembali, cuma ada satu episod yang menarik untuk ditatap,iaitu kisah cinta sesama hamba dalam hidupnya.

Sudah lumrah orang yang kuat berpegang pada agama, soal berpasangan memang cukup anti sebelum sampai masanya. Humaira memang sentiasa menjaga hatinya dari terjerumus ke lembah maksiat. Dia sengaja menyibukkan diri dengan kerja-kerja tarbiyah supaya dia sentiasa dalam lingkungan jagaan islam. Jika tidak syaitan tidak akan membuang masa untuk mengisi kekosongan watu yang Humaira ada dengan perkara-perkara mungkar.

Alhamdulillahlah semua yang itu terjaga sepanjang zaman remaja Humaira di pentas persekolahan. Namun air tidakkan selalu tenang. Ada sahaja ribut yang mendatang menyentak hidupan bumi supaya senantiasa beringat. Langit juga takkan selalu cerah. Pasti ada awan hitam mendepa sirna, semua itu membuktikan kekuasaan Allah bagi hambanya yang berfikir.

Episod suramnya bermula kira-kira selepas empat bulan menebar lembaran hidup di bumi barakah ini. Seperti Ilham, niat suci untuk melakukan kebaikan pasti akan diuji. Itulah prasyarat yang ditetapkan Rabbul Izzati untuk hambanya yang mencita maqam orang beriman. Tanpa ujian, orang itu belum benar-benar beriman.
Buat pertama kali dalam hidunya dia dilamar seorang jejaka. Nass, rakan sekolah Humaira yang sama-sama menamatkan pengajian di Darul Quran pada tahun 2007 telah meminta untuk dipintal ikatan janji bersama. Bagi seorang yang belum pernah menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya, sudah tentu perkara tersebut mengganggu konsentrasi pembelajaran.

Thursday, December 15, 2011

ILHAM HUMAIRA; ikatan sebuah istikharah (bab IV)

Bab 4: عسى أن تكرهوا شيئا وهو خير لكم
“Syukran Muallim.” Ilham menyambut duit baki pulangan pemandu teksi sebanyak 25LS dengan penuh tertib. Langkahnya diatur menuju Kedutaan Besar Malaysia Syria. Hari ini ada perjumpaan Exco Persatuan Pelajar Malaysia Syria bersama Duta berhubung isu keselamatan Syria. 

Memang bumi ini subur dengan berbagai konflik dan masalah. Kali ini isu pelajar yang diserbu oleh ejen risikan pihak berkuasa Syria. Kebobrokan rejim diktator Basyar Asad yang sanggup melakukan apa saja demi survival politiknya mengundang bahaya kepada pelajar asing di Syria. Polisi ketat yang dikenakan terhadap semua warga asing ke Syria memang menjadi amalan sosialis arab kebanyakan. Ditambah pula dengan kedudukan Syria yang berjiran dengan Negara haram Israel, tidak hairanlah pihak keselamatan Syria menjadi pihak teratas dalam herarki organisasi pentadbir Syria. Manusia manapun jika berjiran dengan perompak besar akan meletakkan keutamaan pada perihal keselamatan. 

Semua tindakan dan keputusan keselamatan tidak boleh dibantah oleh mana-mana Kementerian sekalipun. Ia bertindak bagaikan Majlis Syura cuma bezanya pihak keselamatan boleh berpandangan dan bertindak sekaligus dan Majlis Syura hanya bertindak sebagai badan legislatif yang menentukan dasar serta prinsip semasa dengan tidak mencampuri urusan eksekutif.

Sedang khusyuk mendengar Taklimat dari Dato` Duta, tiba-tiba poket seluar Ilham bergetar. Telefon bimbitnya menerima sekeping mesej dari Humaira, juga seorang exco yang tadinya berada bersama dalam bilik mesyuarat namun keluar tergesa-gesa kira-kira setengah jam selepas taklimat bermula. “Salam ustaz, Ustazah Ning kena tangkap di Imegresen, sekarang di Marjeh”.


“Betul ke apa yang aku baca ni?”Muka Ilham tiba-tiba berubah ton warna. Dadanya berombak deras. Tangannya ketar membelek beberapa kali mesej dari Humaira itu, takut-takut tersilap baca.

Punggung Ilham terasa panas. Bilik berhawa dingin dengan kerusi fabrik lembut itu semakin tidak selesa untuk didiami. Terus dia meminta izin untuk keluar menelefon Humaira untuk mendapatkan kepastian. Ternyata itulah yang terjadi. Ning ditangkap ketika sedang melakukan urusan memohon visa keluar ke Jordan bersama Abang Fakhrul,buahatinya. Apa kesalahan yang mengheret dia ke tahanan masih belum dapat dikenalpasti.

Ilham tiba-tiba panik, tidak tahu apa harus dilakukan. Mujurlah Humaira agak tenang dengan berita tersebut. Dia meminta Ilham menunggu sehingga habis perjumpaan itu untuk memberitahu exco-exco tertinggi akan hal tersebut. Kalut Ilham sedikit reda dengan ketenangan Humaira. Hairan! Sepatutnya lelaki yang bertindak menenangkan wanita yang biasanya cepat panik.

Usai perjumpaan, Ilham meluru ke arah Presiden dan Setiausaha Agung untuk menceritakan berita tergempar ini. SU Agung terus menelefon Abang Fakhrul bagi mendapatkan berita terkini. Ilham memberikan semua nombor telefon keluarga Ning pada PPMS untuk makluman awal kepada mereka. Abang Fakhrul lagi panik. Dia juga nyaris-nyaris ditangkap kerana bertindak terburu-buru menyelamatkan Ning. Tindakan bodohnya melarikan fail rekod Ning di tengah-tengah pejabat Imegresen dilihat oleh seorang pegawai Imegresen. Mujurlah ada seorang lelaki yang mengenali beberapa ‘orang dalam’ di imegresen, akhirnya Abang Fakhrul dibebaskan.

Persolannya, kenapa Ilham begitu terkejut? Bukankah dia sudah melupakan Ning? Bukankah hubungan mereka sudah berkubur hampir suku tahun? Dan persoalan kedua, kenapa Humaira memberitahu Ilham? Kenapa tidak terus memaklumkannya kepada exco tertinggi PPMS?

Persoalan-persoalan ini bermain di benak Ilham. “Kenapa aku yang merisauinya? Bukan ke dah ada orang yang memikirkan tentangnya? Adakah aku masih sayangkannya? Apalah yang sedang dilakukan Ning sekarang. Harap-harap dia tak terseksa.”

Ilham mengambil keputusan untuk menelefon Ning. Alhamdulillah panggilannya dijawab. Ning teresak-esak menangis mengadu kepada Ilham. Hibanya perasaan Ilham saat itu. Ingin saja dia berlari mendapatkan Ning yang sedang diseksa batin dan zahirnya. Apalah yang mampu dilakukan oleh seorang gadis melayu tika berhadapan dengan polis-polis arab yang berkali ganda besar daripadanya. Ilham terus berlakon tenang demi untuk menenangkan Ning. Doa tidak putus-putus dipanjatkan kehadrat Pencipta Mesej-mesej penyuntik semangat agar Ning terus tabah menghadapi ujian hidup ini tanpa jemu dihantar kepada Ning.

ILHAM HUMAIRA; ikatan sebuah istikharah (bab III)

Bab 3: فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله
Akhirnya Ilham mengambil keputusan untuk singgah di rumah Pak Natsir. Rumah bujang yang sering dikunjungi tetamu itu menyambut kehadiran Ilham seperti kebiasaan. Tiada tuan rumah yang datang di mukapintu dan tiada juadah disediakan kerana orang yang bertamu biasanya datang bukan dengan niat ziarah, tapi sekadar melepak dan bersembang semata-mata. Ada yang menjadikannya tempat persinggahan rehat jika ke Pasar Sarijeh, pasar lama yang penuh dengan aneka barang dapur dan khazanah Syam.
Mungkin kerana itulah Ilham memilih rumah tersebut sebagai tmpat melabuhkan lara jiwanya. Dia tidak mahu diganggu. Ragam ahli baytnya yang seramai 7 orang sudah tentu akan menambah keserabutannya jika dia pulang ke rumah sendiri. Ilham perlukan ketenangan. Dia terus merebahkan diri di atas sofa bilik Pak Natsir dengan lengannya menutup muka melakonkan watak orang tidur. Fikirannya terus mengenang nasib yang menimpa dirinya.
Dia tidak sedikitpun menyalahkan Ning atas semua ini. Mungkin inilah balasan Allah terhadap dosa-dosa lama Ilham. Kaffarah ini amat berat untuk ditanggung namun setelah cuba dikenang kembali kesilapan-kesilapan silam yang telah Ilham lakukan, balasan ini dirasakan setimpal. Sudah berapa ramai hati yang telah hancur disakiti Ilham. Dan telah berapa ramai diri yang telah terseksa dek penangan nafsu jahat dia. Banyak mana juga airmata yang telah gugur kerana perangai Ilham.
Memang Ilham dahulu seorang yang suka mempermainkan perasaan orang. Yang penting baginya adalah memuaskan tuntutan jiwa mudanya. Dia bangga jika ada yang tergila-gilakannya. Pasangannya sering bertukar-tukar dan bertambah-tambah. Pantang ada yang dahi licin melintas, pasti akan cuba diayatnya. Handphone yang pertama kali dibeli tahun 2004 dimanfaatkan untuk memenuhi nafsu serakahnya. Lebih dari itu, hidupnya amt jauh dengan tuhan. Berhibur, berfoya-foya, merayap ke sana ke mari, melanggar undang-undang dah menjadi tabiat kesukaanya. Nasihat ibubapa serta ustaz dibakulsampahkan saja dengan sia-sia.
Kini Ilham sedar, semua perbuatan buruk ada balasannya. Walaupun sejak menjejakkan kaki ke Bumi Anbiya` Ilham telah tekad untuk meninggalkan semua kisah hitam dirinya, namun hutang tetap perlu dibayar. Doa-doa orang yang dizalimi tiada hijabnya. Rintihan orang-orang yang telah Ilham zalimi pasti Allah mendengarnya. Menyakiti hati insan lain akan dibalas dengan kesakitan hati juga. Menafikan hak orang lain juga akan mendapat balasan penafian hak mereka kelak, itulah yang dijanjikan oleh Allah SWT samada didunia, alam kubur mahupun di neraka nauzubillah. العقاب على جنس المعاصي. Semoga dengan balasan dunia ini diterima dengan penuh taubat dan keinsafan, dan semoga akhirat kelak Ilham akan terlepas dari seksaan neraka sebagaimana orang yang dijatuhkan hukuman hudud, dosa mereka akan terhapus. Inilah rahmatnya Allah yang Maha Penyayang.

Sunday, December 11, 2011

ILHAM HUMAIRA; ikatan sebuah istikharah (bab II)

Bab 2: اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن

2 bulan yang berlalu dirasakan begitu lambat berdetik. Hari-hari Ilham walaupun mampu meneruskan kehidupan seharian tetap tidak tenang sepert sediakala. Hatinya terus mengenang Ning. Hiba yang berkelumang pada dirinya semakin hari semakin membuak-buak. Kerap juga Ilham cuba menghubungi Ning lantaran tidak mampu menanggung rasa yang amat menyeksa diri itu namun tetap tidak mendapat respon.
Walaupun ramai teman-teman yang menasihati agar diakhiri hubungan tersebut demi menjaga kesucian ilmu, namun ia  bukanlah semudah ungkapan. Hubungan yang dianggap cinta pertamanya itu telah Ilham serahkan seluruh jasad untuk mempertahankannya. Belum pernah selama ini Ilham luahkan perasaannya cintanya kepada sesiapapun walaupun hubungan seumpama itu bahkan lebih dahsyat daripada itu telah banyak dijalinkan bersama perempuan-perempuan lain. Baginya, itu adalah cinta monyet semata-mata, berbeza dengan cinta sejati yang dia curahkan pada Ning. Sudah sampainya masanya dia berfikir untuk serius dalam hubungan, dan Ning lah pilihannya.
Silih hari Ilham keluar masuk kafe siber semata-mata untuk online takut-takut Ning online sama. Penantian penuh kesabaran itu akhirnya membuahkan hasil. Sekuntum senyuman mekar di bibir Ilham tatkala melihat ID Ning berstatus Available dengan ikon kuning smiley pada senarai kenalan Ilham. Seolah-olah program jejak kasih, Ilham terus membuzz Ning beberapa kali dan menegur dengan salam. Pada awalnya tiada respon, namun setelah Ilham menyatakan rasa rindu yang teramat sangat ditambah dengan pohonan maaf atas segala kesilapan lalu, akhirnya Ning respon.
Tatkala itu jugalah degupan jantung Ilham menjadi laju dan pandangannya berpinar bak puting beliung. Ning meminta untuk Ilham tidak lagi menaruh harapan padanya kerana dia sudah punya pengganti dan sedang berbahagia di alam percintaan sekarang. Dalam kekecewaan Ilham bertanyakan kenapa berlaku semua itu. Di mana janji-janji mereka yang dulu, di mana kata bahawa dia tidak akan cari yang lain jika tak mampu mengahwini Ilham. Setiap jawapan yang diterima tidak menunjukkan langsung Ning berpura-pura, ternyata dia memang sedang melayari bahtera kebahagiaan.
“Kanda gembira mendengar Ning bahagia. Memang itu yang kanda harapkan. Kini Kanda sedar Kanda tak mampu beri kebahagiaan yang Ning cita-citakan itu. Tapi Kanda tak kisah siapapun yang buat Ning bahagia. Kanda amat lega mendengar khabaran ini. Jangan bimbang lagi pasal Kanda, kanda ingin tumpukan soal pelajaran dahulu, dan kanda akan terus menunggu Ning hingga akhir hayat ini, kanda tak paksa Ning terima Kanda, tapi kanda tak mampu cari pengganti. Teruskan khabaran bahagia Ning pada Kanda supaya kanda sentiasa tenang. Harap Ning maafkan kesilapan kanda yang dulu dan terimalah kanda kembali walaupun sebagai sahabat biasa. Jagalah hubungan baru Ning dengan sebaiknya. Kanda akan terus mendoakan kebahagiaanmu.” Pandai sungguh Ilham berbohong. Mesej offline ini  dihantar sebaik Ning meninggalkan laman chat tersebut.
Tiba-tiba Ilham jadi hilang arah. Dia terus berjalan meninggalkan kafe siber yang penuh memori tragis itu. Dunia dirasakan seolah-olah memulaukan dia. Hiruk pikuk kesibukan kota damsyik langsung tidak melunturkan kesedihan yang ada. Langkahnya sumbang, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan namun dia tetap berjalan tanpa arah tujuan. Hatinya kini sudah tiada. Akalnya tidak mampu lagi berfikir. Yang dia tahu hanyalah menyerah diri pada takdir, andai ajalnya sampai saat itu, mungkin itulah yang terbaik bagi dirinya untuk meloloskan diri dari semua kesengsaraan.
Ungkapan gembira yang dinyatakan pada Ning dek melihat Ning bahagia hanyalah untuk menutup tirai hubungan mereka. Ilham tidak mahu Ning merisaukannya walaupun terpaksa berbohong. Ilham yang memang terkenal dengan senyumannya kini tak mampu lagi berbuat demikian. Wajahnya sugul, peredaran darahnya tak menentu. Bahang panas mentari Julai di Damsyik tidak sedikitpun terasa. Derianya solah-olah tidak berfungsi lagi.

Akhirnya Ilham mengambil keputusan untuk singgah di rumah Pak Natsir di pasar Sarijeh setelah penat berjalan kaki dari Sinaah...

Bersambung ke Bab 3

ILHAM HUMAIRA; ikatan sebuah istikharah (bab I)

BAB 1: ((إن تنصروا الله ينصركم)) 

“Jangan ganggu Ning lagi! Ning tengah bahagia sekarang.” Remuk hati Ilham tatkala membaca tulisan buah hatinya,Nurainin pada paparan skrin computer. Sapaan Ilham dalam Yahoo Messenger dibalas dengan ucapan yang begitu sadis. Sudah lama Ilham menjangkaan ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan mereka. Setelah hampir tiga bulan tidak berhubung, rupa-rupanya dalam diam Ning sedang intim dengan insan ketiga.
Ilham tidak mampu menanggung rasa sedih setelah membaca perutusan terakhir Ning. Langkahnya longlai keluar dari kafe siber ElBaghdadi di kawasan Sinaah, Timur Damsyik. Kepalanya terawang-awang menyusun memori lama untuk diimbas kembali. Saat awal perkenalan yang penuh romantis kini hanya tinggal kenangan. Seorang wanita yang dahulu satu-satunya pilihan Ilham dikalangan lautan kenalan dia untuk dijadikan permaisuri hidup sepanjang hayat kini bertukar menjadi duri menusuk jantungnya sekelip mata.
Dia tercari-cari apakah penyebab semua itu. Kali terakhir mereka berhubung adalah pada Ramadhan kedua mereka di Syria. Memang Ning makan hati dengan kata-kata Ilham kala itu. “Kanda sanggup ke terima Ning seadanya?” Soalan manja penuh harapan itu dijawab dengan tulus jujur namun penuh kesangsian dimata Ning. “InsyaAllah Kanda akan cuba, semuanya ketentuan Allah. Cuma kalau Ning dapat kuruskan kembali badan itu macam dulu lagi Kanda suka.” Tatkala itu berderailah airmata Ning membaca jawapan tersebut. “Ning dah lama agak memang Kanda tak suka dengan keadaan Ning sekarang. Biarlah,Ning pasrah. Mulai hari ini biarlah tuhan saja yang tentukan nasib hubungan kita. Ada rezeki kahwinlah kita, kalau takde tak kahwinlah Ning sampai mati.”
Ilham tercengang. Padanya jawapan itu tidak salah. Sebagai seorang lelaki yang bakal menjadi suami kepada Ning, dia berhak meminta yang terbaik dari isterinya. Dan jawapan itu tidak menggambarkan paksaan, tapi cuma harapan. Walaubagaimanapun Ilham tetap rasa bersalah. Ternyata dia masih tidak mengenali sifat sensitif dan lembut seorang wanita. Setelah mesej meminta maaf dari Ilham tidak dibalas, akhirnya dia cuba menelefonnya berkali-kali namun tidak diangkat dan akhirnya telefon bimbit Ning ditutup.
Kepala Ilham tambah serabut. Hubungan yang dijalin dengan niat untuk membebaskan dirinya dari sifat gilakan wanita yang amat menganggu penumpuannya dalam pembelajaran kini sudah terbalik 360 darjah. Pelajarannya sudah entah kemana. Rasa bersalah itu terus menikam hati Ilham tanpa belas kasihan.
Akhirnya Ilham membuat keputusan untuk tidak menghubungi langsung Ning buat seketika waktu. Mungkin hubungan ini perlukan sedikit masa untuk kembali pulih. Lagipun Ilham sudah agak muak dengan sikap Ning yang selalu merajuk dan sentiasa inginkan perhatian. Bagi Ilham, peringkat Ijazah ini memerlukan penumpuan serius kepada pelajaran. Soal kehendak perasaan dan fitrah lelaki yang memerlukan wanita patut ditolak ketepi buat waktu ini. Dia tidak mahu mensia-siakan sekelumit waktu yang dikurnia Allah sementara berada di bumi Syam ini dengan soal hidup duniawi yang keterlaluan. Baginya biarlah itu menjadi sampingan. Biarlah mereka jarang berhubung, jarang bermanja-manjaan, jarang berkongsi cerita asalkan mereka punya ikatan janji untuk hidup bersama. Biarlah tuhan yang menjaga hubungan mereka sementara mereka sedang berhempas pulas menjaga agama Allah. Firman Allah "إن تنصروا الله ينصركم menjadi pegangan Ilham dalam soal ini.

Friday, December 2, 2011

Demokrasi bukan untuk disembah!!




Saat Burma mula meloloskan diri dari cengkaman diktator, Malaysia pula tampil menggantikannya. inilah yang penulis dapat gambarkan apabila Rang Undang-undang perhimpunan aman diluluskan parlimen dalam keadaan yang cukup kontroversi.Dengan terbentuknya undang-undang yang menidakkan semua bentuk perhimpunan yang mengancam kedudukan kerajaan ini, semakin cukuplah syarat-syarat OKU dalam sistem demokrasi Malaysia. Dan semakin dekatlah ajal Malaysia menerima tempias 'arab spring' nanti.

Mungkin inilah sebabnya mengapa sebahagian pendokong islam menolak demokrasi sebagai wasilah dakwah. kotor, pelik, tak praktikal dan sebagainya. Tapi mengapa ada yang masih berdegil dengan method sebegini? Apa yang hebat sangat dengan demokrasi sehingga kalimah Allahuakbar, La Ilaha Illa Llah,hidup islam kadang-kadang diganti dengan hidup rakyat, reformasi ,ketuanan rakyat dan seumpamanya?

Demokrasi adalah berasal dari dua perkataan greek iaitu 'demo' yang bermaksud rakyat dan'crates'  iaitu kuasa. Secara istilahnya ia membawa makna satu sistem yang mengagungkan suara majoriti tanpa had atau dalam kata lain, rakyat berkuasa penuh menentukan hala tuju dan pembawakan sesebuah negara. Demokrasi dalam sebuah pakej lengkap mengandungi sistem pemerintahan berparlimen,berpilihanraya,bersuara,berhimpun,media bebas dan beberapa hak lagi yang diperkenalkan kepada rakyat. Perlaksanaan setiap item dalam pakej tersebut adalah bebas tetapi mestilah mengikut falsafah yang telah ditetapkan iaitu keadilan untuk setiap rakyat.

Lain pula dalam islam, hak rakyat atau majoriti mestilah tidak melanggari batasan syarak, atau dengan kata lain, rakyat bebas melakukan atau mewujudkan apa saja sistem asalkan tidak bercanggah dengan arahan Allah SWT. Jika tidak, permintaan rakyat tidak boleh dilaksanakan walaupun keseluruhan rakyat memilih untuk berbuat demikian.

Jika dikaji memang dalam islam membenarkan kita meniru apa sahaja perkara yang baik walaupun bukan diperkenalkan oleh islam, kerana sabda Raulullah "الحكمة ضالة المؤمن حيث وجدها فهو أحق بها", (kebijaksaan adalah barang tercicir milik orang islam, dimana saja yang dijumpai maka dialah yang berhak untuk mengambilnya). Saidina Umar meniru cara pentadbiran Rom dalam pengkelasan gaji dan sistem tadbir ketenteraan contohnya dari sudut cuti dan pembahagian rampasan perang. Sultan Al-Fateh juga mengupah pakar senjata Rom untuk membina meriam gergasi. Etika berpakain juga bergerak selari peredaran zaman tanpa melanggar batas aurat. Nabi sendiri mengiktiraf Dinar dan Dirham Jahiliyyah. Semua itu disadur kembali dengan ketulenan islam.

Secara kesimpulannya, falsafah demokrasi wujud dalam islam,namun terbatas dengan kehendak suruhan Allah. Ini yang dinamakan sebagai demokrasi terpimpin. slogan demokrasi adalah 'حكم الشعب فى الشعب للشعب ' (Pemerintahan rakyat,hak rakyat,untuk rakyat) dan slogan islam adalah 'ان الحكم إلا لله' (Tiada pemerintahan melainkan untuk Allah). Yang berbeza cumalah kuasa mutlak, dimana rakyat berkuasa mutlak dalam demokrasi dan Allah berkuasa mutlak dalam sistem islamik.

Demokrasi juga amat sinonim dengan sistem pemerintahan islam. Konsep syura menyerupai Parlimen, Bai`ah pemimpin era khulafa` ArRasyidin seolah-olah pilihanraya, zakat dan jizyah bak cukai masakini, malahan demonstrasi jalanan atau tunjuk perasaan  pernah direkod di zaman Rasulullah oleh seorang sahabat yang menuntut hak daripada jirannya.

Demokrasi muncul untuk menggantikan sistem-sistem pemerintahan yang tidak adil dan penuh kekurangan seperti sistem monarki, diktator dan sistem kasta. Islam juga sehaluan menentang pemerintahan-pemerintahan sedemikian. Dalam keadaan islam yang teruk dijarah kala awal perkenalan demokrasi, mujaddid islam melihat demokrasi adalah tangga paling selamat untuk meninggikan islam. Sesiapa saja boleh memerintah dalam demokrasi asalkan berjaya menawan hati majoriti. Tugas yang perlu dilakukan adalah mempromosikan produk islam agar mendapat kepercayaan daripada orang ramai, sungguh mudah teorinya!

Memang di awal ijtihad ini, ramai agamawan yang ragu-ragu dan menentang bidaah yang dibuat ini kerana demokrasi merupakan suatu perkataan asing dalam islam,seolah-olah ajaran sesat. Namun itu tidak mematahkan semangat para mujaddid dalam memperkenalkan pendekatan silmiyyah baru ini kepada dunia islam. Mereka terus menceburi bidang demokrasi walaupun pihak musuh tahu akan bahaya fahaman demokrasi ini jika dibiar begitu sahaja tanpa kawalan kotor. Mereka sedaya upaya memperbetulkan amalan demokrasi mengikut falsafahnya yang sebenar kerana musuh telah menutup kembali ruang demokrasi secara halus dan menyalahfahamkan amalan demokrasi dek bimbang akan kebangkitan islam, kerana islam adalah agama fitrah dan jika rakyat mengikut kehendak fitrah masing-masing, sudah tentulah islam yang akan dipilih.

Setelah dekad bersilih ganti, hari ini terbukti demokrasi merupakan senjata ampuh untuk menonjolkan islam. Walaupun liku yang dilalui amat getir dan sempit sehingga ada dipenjara,digantung,dipulau serta diseksa bagai binatang, namun sakit itu tidak terasa apabila islam sudah mula menjadi perhatian masyarakat dunia. Ditambah dengan kebobrokan sistem Kapitalis dan Sosialis, islam seolah-olah diberi mandat untuk membaiki kebobrokan tersebut.

Lihat sahajalah di Malaysia, bilamana ada sebuah parti yang dijadikan platform untuk berdakwah, bukan islam semakin mengenali Allah, Nabi Muhammad dan AlQuran. Ada diantara mereka yang belum islam mampu membaca alQuran, ada yang mampu berpuasa bulan Ramadhan, ada yang sudah tahu batas pergaulan antara jantina, malahan sudah berduyun-duyun telah diislamkan. Walaupun pendekatan pemimpin parti agak keras dalam mempertahankan hak islam contohnya hudud, namun ianya semakin diterima dan disokong setelah sesi pemahaman giat dijalankan. Kadang-kadang bukan islam lebih memahami tuntutan hudud daripada orang islam sendiri. Ditambah dengan permuafakatan strategi bersama parti bukan berteras islam, hudud yang dahulunya ditentang keras bertukar kepada membina kefahaman untuk menyokong hasil dari pesona indah gambaran sebenar hudud yang diolah.

Mengapa islam masih belum memerintah bukan disebabkan silap ijtihad untuk menceburi demokrasi, tapi demokrasi yang diceburi amat cacat hari ke hari. penipuan dalam pilihanraya, media berat sebelah, ekspoloitasi agensi kerajaan dan banyak lagi bentuk helah yang digunakan dalam topeng demokrasi menyebabkan parti islam selalu tertindas dan kehendak rakyat selalu dinafi. Sebab itulah pimpinan islam seantero dunia melaung-laungkan demokrasi tulen dan berjuang mempertahankannya,semata-mata untuk masa depan islam.

Sebaliknya bila demokrasi diamalkan sejujurnya, elNahda menang dengan penuh bergaya, Mesir semakin memihak kepada Ikhwanul muslimin dan raja Maghribi terpksa melantik ketua kerajaan daripada kalangan ahli parti islam dek keputusan pilihanraya. Panulis yakin Libya, Yaman, Syria bahkan Malaysia akan turut menerima tempias yang sama.

Inilah keramatnya demokrasi.

(deadly smile)
Fri 02/12/11 = 6/1/1433h
3.13pm



Sunday, November 27, 2011

HIJRAH; Antara sebelum dan selepas

Niat hati dah lama nak kembali menulis, namun kekangan yang pelbagai termasuk kekangan perasaan malas membantutkan hasrat. Harapnya artikel sulung fasa baru ini boleh menjadi booster untuk kembali ke bidang ini dan menyuburkan lapangan keramat ini..

Hijrah.. Tentunya ramai cendikiawan,agamawan mahupun para daie yang mengambil peluang sempena awal muharram ini untuk berbicara tentang hijrah Rasulullah SAW. Masjid-masjid digemai dengan kupasan-kupasan sirah hijrah, dewan-dewan masyarakat,balairaya mahupun pentas ceramah tidak akan melepaskan peluang untuk menghampar lembaran hijrah rasul buat tatapan ummat. Tidak dinafikan begitu banyak pengajaran yang ditinggalkan oleh baginda SAW dalam melakar peristiwa hijrah tersebut. Satu titik tolak kepada perubahan nasib islam dan tamadun masyarakat dunia yang baru bermula hasil dari sedutan episod tersebut.

Saya juga merasa terpanggil untuk menyemai ladangan umat ini dengan sedikit benih hijrah yang terbekal di benak mengikut perspektif yang tersendiri. Mungkin untuk mempersembahkan semua iktibar yang ada dalam peristiwa ini adalah amat panjang dan berjilid-jilid, dibimbangi awal tahun cina depan masih belum siap artikel ini ataupun pembaca akan menjadi bosan untuk menatapnya. Biarlah curahan ini diringkaskan sepadat mungkin agar semua dapat menadah intipatinya, barulah yang digendong tidak keciciran .

Umum mengetahui apakah tujuan penghijrahan nabi SAW selain dari menyelamat akidah islam dalam sanubari mu`minin di zaman itu. Mendirikan sebuah Daulah Islamiah yang terpamer padanya kesyumulan syariat Allah adalah satu aspirasi yang amat dituntut sehingga tuhan menetapkan untuk wajib mengorbankan tanahair,anak-pinak dan harta benda demi cita-cita Daulah Madinatul Rasul/Madinatul Munawwarah. Satu perkara yang menarik adalah penerimaan islam dalam masyarakat arab antara era makiyyah dan madaniyyah. Tempoh nabi berada di Mekah selama 13 tahun hanya berjaya mengislamkan manusia tidak sampai seratus orang, berbanding di Madinah yang berjaya mendapat pengislaman berpuluh ribu manusia sebagaimana yang terekod dalam hadis hujjatul wida`,dan ianya hanya mengambil masa cuma 10 tahun. Perbezaan jumlah tersebut amat ketara. Apakah rahsianya?

Tidak lain tidak bukan ianya adalah kerana peranan Daulah Islamiah. Awal-awal lagi hijrah disambut dengan tiga manifestasi penting;
1.Mempersaudarakan Aus dan Khazraj, 
2.Membina masjid,
3.Piagam madinah yang telah membenarkan kewujudkan daulah islamiyyah secara rasmi.
Gerakan dakwah yang didokong oleh kuasa politik negara madinah amat membantu menyuburkan kefahaman islam dengan jelas. Pengamalan cara hidup islamik yang menyeluruh di setiap pelusuk dan lapangan di Madinah merupakan penyebab pertambahan kesedaran islam. Masyarakat arab terpesona dengan keindahan islam kala itu. Tamadun yang dibawa sungguh membuat mereka taajub dan terkesima. Pencerahan tentang kesesatan ideologi karut marut ciptaan manusia secara lisan dan tindakan juga membantu masyarakat arab untuk sedar dan kembali kepada fitrah.

Percaya atau tidak, semua itu tidak akan berlaku jika nabi tidak berhijrah ke Madinah. Islam tidak akan mampu dipersembah sebaiknya. Ucapan lisan semata-mata tidak mampu memperkenalkan model islamik yang diharap. Ianya mesti ditonjolkan dengan perbuatan. Manusia perlu melihat keindahan dan keadilan sebenar islam, melalui sistem syura, sistem pentadbiran, ketenteraan, ekonomi, kebajikan, kemasyarakatan, pendidikan, pengadilan, hukumun (HUDUD, QISAS, TAAZIR) dan bukan hanya teori semata-mata. Bak kata pepatah arab; (لسان الحال أفصح من لسان الناطق).

Saya tidak menafikan usaha-usaha murni kumpulan dakwah fardi dalam menawan hati manusia kembali kepada agama fitrah ini. Cuma bagi yang menolak politik sebagai wasilah dakwah, bagi saya mereka akan sentiasa cuba menegakkan benang yang basah, dan ibarat menadah air menggunakan baldi yang berlubang(bak kata Dr Ramadhan Albouti dalam التعرف على الذات). Kita boleh membuat orang terpesona dengan pidato kita, kita boleh mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk ibadat,kita boleh memastikan mad`u mengikut acuan islam ketika bersama kita, namun itu hanyalah dalam lingkungan 10% dari putaran kehidupan mereka. Dakwah kita masih belum menyeluruh. Tatkala kita tiada,mereka terdedah dengan pelbagai serangan musuh. Rakyat Malaysia khususnya hari ini tidak dapat mengelak dari serangan pemikiran dan budaya melalui TV, Radio, Akhbar, Internet, pengaruh rakan, makanan, pakaian, pendidikan corak pentadbiran bahkan banyak lagi method dakwah serangan kuffar yang diterapkan kepada kita hari ini. Lebih malang lagi jika ada pemerintah beragama islam mempamerkan sahsiah dan cara hidup yang terbabas jauh dari landasan syara`, rakyat akan melihat,mengenali dan terus mencontohi rupa islam yang turut terbabas (sebagaimana isu bersalaman cikgu mala).

Bagaimana pula nasib mereka yang berada di pedalaman? Adakah seruan kita sampai kepada mereka? berapa peratuskah da`ie-da`ie yang kita ada dalam jumlah 28 juta rakyat Malaysia untuk diharap menyantuni satu persatu rakyat Malaysia?

Era makiyyah yang menggunakan pendekatan dakwah fardiyyah tidak mampu memelihara akidah umat islam sebaiknya. Rasulullah SAW juga tidak berharap kepada perlindungan negara Habsyah walaupun kebajikan mereka terjamin andai mereka berhijrah ke sana. Jauh sekali untuk menganjurkan perhimpunan umat demi menyelamat akidah. Satu-satunya cara yang dipilih adalah memiliki kuasa politik di bumi Madinah secara total.

Maka ayuhlah sahabat-sahabat berganding bahu mengembalkan politik islam kepada negara kita, demi ummah sejagat. bekerja dibawah payungan jemaah yang satu atau setidak-tidaknya tidak memusuhi mereka yan mengambil jalan politik sunnah Rasulullah demi perjuangan akidah. Kerana iktibar dari peristiwa hijrah disamping mendirikan Daulah Islamiyyah juga adalah persaudaraan; kerana persaudaraan (ukhuwwah) adalah syarat asas untuk merempuh keangkuhan kuffar. 
lupakan perbezaan, cari titik persamaan, masyarakatkanlah diri sendiri, ramaikanlah kawan,kurangkanlah musuh, binalah jaringan selebar mungkin.

Iktibar lain juga adalah pembinaan masjid. Ia adalah lambang pembinaan jatidiri dan kader dakwah kerana di waktu itu masjidlah yang menjadi markas sahabat-sahabat menjalin kefahaman islam dalam diri setiap mereka. disana mereka menerima tarbiyyah rabbani melalui utusanNya. Masjid begitu makmur dengan pelbagai peristiwa sepertimana yang direkod dalam hadis-hadis. Dalam konteks hari ini pula, tarbiyyah merupakan syarat utama untuk bergelar pejuang dan tanpa tarbiyyah,semua usaha akan sia-sia. Tidak hairanlah hari ini banyak projek-projek markas dan pusat-pusat tarbiyyah dibangunkan walaupun menelan kos jutaan ringgit memandangkan peranan masjid telah disalah ertikan oleh pemegang amanah yang tidak bertanggungjawab.

Dan isyarat terakhir adalah melalui piagam Madinah; satu 'bidaah' baru bagi pola politik dunia. Empayar-empayar besar waktu itu belum mengenali bahasa perlembagaan,diplomasi,cop mohor dan beberapa lagi bidaah yang lain. Islamlah yang memperkenalkan produk tersebut sehingga hari ini ia menjadi syarat utama pengiktirafan sesebuah negara (mengikut ketetapan PBB). Ianya mengajar pembela islam agar tidak teragak-agak untuk terus berevolusi dan membawa revolusi. Sedarlah islam itu perlu dipimpin oleh gerakan Islah dan Tajdid. Harus ada sentiasa mereka yang berijtihad melakar strategi baru menjerkah kebiadapan musuh. Bak Hadis Rasulullah SAW "akan ada disetiap 100 tahun mereka yang akan memperbaharui urusan agama mereka". Jangan takut untuk melanggar adat, jangan segan untuk merobek budaya songsang, jangan malu untuk menyatakan kebenaran, asalkan dasarnya adalah Quran dan Sunnah, kerana itulah yang ciri-ciri pembela islam.

Akhir kata, binalah diri menjadi seorang mujtahid yang mampu menompang zaman, seorang kawan yang mampu merapatkan kembali kesatuan umat islam, dan seorang murabbi yang sentiasa memikirkan untuk menyulam matarantai penerus baton perjuangan.

SALAM MAAL HIJRAH 1433