Wednesday, February 8, 2012

ILHAM HUMAIRA; Ikatan Sebuah Istikharah (full version)

BAB 1: الا وإن فى الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله - الحديث

“Jangan ganggu Ning lagi! Ning tengah bahagia sekarang.” Remuk hati Ilham tatkala membaca tulisan buah hatinya,Nurainin pada paparan skrin komputer. Sapaan Ilham dalam Yahoo Messenger dibalas dengan ucapan yang begitu sadis. Sudah lama Ilham menjangkaan ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan mereka. Setelah hampir tiga bulan tidak berhubung, rupa-rupanya dalam diam Ning sedang intim dengan insan ketiga.

Ilham tidak mampu menanggung rasa sedih setelah membaca perutusan terakhir Ning. Langkahnya longlai keluar dari kafe siber ElBaghdadi di kawasan Sinaah, Timur Damsyik. Kepalanya terawang-awang menyusun memori lama untuk diimbas kembali. Saat awal perkenalan yang penuh romantis kini hanya tinggal kenangan. Seorang wanita yang dahulu satu-satunya pilihan Ilham dikalangan lautan kenalannya untuk dijadikan permaisuri hidup sepanjang hayat kini bertukar menjadi duri menusuk jantungnya sekelip mata.

Dia tercari-cari apakah penyebab semua itu. Kali terakhir mereka berhubung adalah pada Ramadhan kedua mereka di Syria. Memang Ning makan hati dengan kata-kata Ilham kala itu. “Kanda sanggup ke terima Ning seadanya?” Soalan manja penuh harapan itu dijawab dengan tulus jujur namun penuh kesangsian dipandangan Ning. “InsyaAllah Kanda akan cuba, semuanya ketentuan Allah. Cuma kalau Ning dapat kuruskan kembali badan itu macam dulu lagi Kanda suka.”

Tatkala itu berderailah airmata sang kekasih membaca jawapan tersebut. “Ning dah lama agak memang Kanda tak suka dengan keadaan Ning sekarang. Biarlah,Ning pasrah. Mulai hari ini biarlah tuhan saja yang tentukan nasib hubungan kita. Ada rezeki kahwinlah kita, kalau takde tak kahwinlah Ning sampai mati.”

Ilham tercengang. Padanya jawapan itu tidak salah. Sebagai seorang lelaki yang bakal menjadi suami kepada Ning, dia berhak meminta yang terbaik dari isterinya. Dan jawapan itu tidak menggambarkan paksaan, cuma harapan. Walaubagaimanapun Ilham tetap rasa bersalah. Ternyata dia masih tidak mengenali sifat sensitif dan lembut seorang wanita. Setelah mesej meminta maaf dari Ilham tidak dibalas, akhirnya dia cuba menelefonnya berkali-kali namun tidak diangkat dan akhirnya telefon bimbit Ning ditutup.

Kepala Ilham tambah serabut. Hubungan yang dijalin dengan niat untuk membebaskan dirinya dari sifat gilakan wanita yang amat menganggu penumpuannya dalam pembelajaran kini sudah terbalik 360 darjah. Pelajarannya sudah entah kemana. Rasa bersalah itu terus menikam hati Ilham tanpa belas kasihan.
Akhirnya Ilham membuat keputusan untuk tidak menghubungi langsung Ning buat seketika waktu. Mungkin hubungan ini perlukan sedikit masa untuk kembali pulih. Lagipun Ilham sudah agak muak dengan sikap Ning yang selalu merajuk dan sentiasa inginkan perhatian.

Bagi Ilham, peringkat Ijazah ini memerlukan penumpuan serius kepada pelajaran. Soal kehendak perasaan dan fitrah lelaki yang memerlukan wanita patut ditolak ketepi buat waktu ini. Dia tidak mahu mensia-siakan sekelumit waktu yang dikurnia Allah sementara berada di bumi Syam ini dengan soal hidup duniawi yang keterlaluan. Baginya biarlah itu menjadi sampingan. Biarlah mereka jarang berhubung, jarang bermanja-manjaan, jarang berkongsi cerita asalkan mereka punya ikatan janji untuk hidup bersama. Biarlah tuhan yang menjaga hubungan mereka sementara mereka sedang berhempas pulas menjaga agama Allah. Firman Allah "إن تنصروا الله ينصركم" menjadi pegangan Ilham dalam soal ini.


Bab 2: العلم نور ونور الله لا يهدى للعاصى – الشافعي

2 bulan yang berlalu dirasakan begitu lambat berdetik. Hari-hari Ilham walaupun mampu meneruskan kehidupan seharian tetap tidak tenang seperti sediakala. Hatinya terus mengenang Ning. Hiba yang berkelumang pada dirinya semakin hari semakin membuak-buak. Kerap juga Ilham cuba menghubungi Ning lantaran tidak mampu menanggung rasa yang amat menyeksa diri itu namun tetap tidak mendapat respon.

Walaupun ramai teman-teman yang menasihati agar diakhiri hubungan tersebut demi menjaga kesucian ilmu, namun ia  bukanlah semudah ungkapan. Hubungan yang dianggap cinta pertamanya itu telah Ilham serahkan seluruh jasad untuk mempertahankannya. Belum pernah selama ini Ilham luahkan perasaannya cintanya kepada sesiapapun walaupun hubungan seumpama itu bahkan lebih dahsyat daripada itu telah banyak dijalinkan bersama perempuan-perempuan lain. Baginya, itu adalah cinta monyet semata-mata, berbeza dengan cinta sejati yang dia curahkan pada Ning. Sudah sampainya masanya dia berfikir untuk serius dalam hubungan, dan Ning lah pilihannya.

Silih hari Ilham keluar masuk kafe siber semata-mata untuk online takut-takut Ning online sama. Penantian penuh kesabaran itu akhirnya membuahkan hasil. Sekuntum senyuman mekar di bibir Ilham tatkala melihat id Ning berstatus available dengan ikon kuning smiley pada senarai kenalan Ilham. Seolah-olah program jejak kasih, Ilham terus membuzz Ning beberapa kali dan menegur dengan salam. Pada awalnya tiada respon, namun setelah Ilham menyatakan rasa rindu yang teramat sangat ditambah dengan pohonan maaf atas segala kesilapan lalu, akhirnya Ning respon.

Tatkala itu jugalah degupan jantung Ilham menjadi laju dan pandangannya berpinar bak puting beliung. Ning meminta untuk Ilham tidak lagi menaruh harapan padanya kerana dia sudah punya pengganti dan sedang berbahagia di alam percintaan sekarang. Dalam kekecewaan Ilham bertanyakan kenapa berlaku semua itu. Di mana janji-janji mereka yang dulu, di mana kata bahawa dia tidak akan cari yang lain jika tak mampu mengahwini Ilham. Setiap jawapan yang diterima tidak menunjukkan langsung Ning berpura-pura, ternyata dia memang sedang melayari bahtera kebahagiaan.

“Kanda gembira mendengar Ning bahagia. Memang itu yang kanda harapkan. Kini Kanda sedar Kanda tak mampu beri kebahagiaan yang Ning cita-citakan itu. Tapi Kanda tak kisah siapapun yang buat Ning bahagia. Kanda amat lega mendengar khabaran ini. Jangan bimbang lagi pasal kanda, kanda ingin tumpukan soal pelajaran dahulu, dan kanda akan terus menunggu Ning hingga akhir hayat ini, kanda tak paksa Ning terima kanda, tapi kanda tak mampu cari pengganti. Teruskan khabaran bahagia Ning pada kanda supaya kanda sentiasa tenang. Harap Ning maafkan kesilapan kanda yang dulu dan terimalah kanda kembali walaupun sebagai sahabat biasa. Jagalah hubungan baru Ning dengan sebaiknya. Kanda akan terus mendoakan kebahagiaanmu.” Pandai sungguh Ilham berbohong. Mesej offline ini  dihantar sebaik Ning meninggalkan laman chat tersebut.

Tiba-tiba Ilham jadi hilang arah. Dia terus berjalan meninggalkan kafe siber yang penuh memori tragis itu. Dunia dirasakan seolah-olah memulaukan dia. Hiruk pikuk kesibukan kota Damsyik langsung tidak melunturkan kesedihan yang ada. Langkahnya sumbang, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan namun dia tetap berjalan tanpa arah tujuan. Hatinya kini sudah tiada. Akalnya tidak mampu lagi berfikir. Yang dia tahu hanyalah menyerah diri pada takdir, andai ajalnya sampai saat itu, mungkin itulah yang terbaik bagi dirinya untuk meloloskan diri dari semua kesengsaraan.

Ungkapan gembira yang dinyatakan pada Ning dek melihat Ning bahagia hanyalah untuk menutup tirai hubungan mereka. Ilham tidak mahu Ning merisauinya walaupun terpaksa berbohong. Ilham yang memang terkenal dengan senyumannya kini tak mampu lagi berbuat demikian. Wajahnya sugul, peredaran darahnya tak menentu. Bahang panas mentari Julai di Damsyik tidak sedikitpun terasa. Derianya solah-olah tidak berfungsi lagi.


Bab 3:  فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله- الحديث

Akhirnya Ilham mengambil keputusan untuk singgah di rumah Pak Natsir. Rumah bujang yang sering dikunjungi tetamu itu menyambut kehadiran Ilham seperti kebiasaan. Tiada tuan rumah yang datang di mukapintu dan tiada juadah disediakan kerana orang yang bertamu biasanya datang bukan dengan niat ziarah, tapi sekadar melepak dan bersembang semata-mata. Ada yang menjadikannya tempat persinggahan rehat jika ke Pasar Sarijeh, pasar lama yang penuh dengan aneka barang dapur dan khazanah Syam.

Mungkin kerana itulah Ilham memilih rumah tersebut sebagai tmpat melabuhkan lara jiwanya. Dia tidak mahu diganggu. Ragam ahli baytnya yang seramai 7 orang sudah tentu akan menambah keserabutannya jika dia pulang ke rumah sendiri. Ilham perlukan ketenangan. Dia terus merebahkan diri di atas sofa bilik Pak Natsir dengan lengannya menutup muka melakonkan watak orang tidur. Fikirannya terus mengenang nasib yang menimpa dirinya.

Dia tidak sedikitpun menyalahkan Ning atas semua ini. Mungkin inilah balasan Allah terhadap dosa-dosa lama Ilham. Kaffarah ini amat berat untuk ditanggung namun setelah cuba dikenang kembali kesilapan-kesilapan silam yang telah Ilham lakukan, balasan ini dirasakan setimpal. Sudah berapa ramai hati yang telah hancur disakiti Ilham. Dan telah berapa ramai diri yang telah terseksa dek penangan nafsu jahat dia. Banyak mana juga airmata yang telah gugur kerana perangai Ilham.

Memang Ilham dahulu seorang yang suka mempermainkan perasaan orang. Yang penting baginya adalah memuaskan tuntutan jiwa mudanya. Dia bangga jika ada yang tergila-gilakannya. Pasangannya sering bertukar-tukar dan bertambah-tambah. Pantang ada yang dahi licin melintas, pasti akan cuba diayatnya. Handphone yang pertama kali dibeli tahun 2004 dimanfaatkan untuk memenuhi nafsu serakahnya. Lebih dari itu, hidupnya amt jauh dengan tuhan. Berhibur, berfoya-foya, merayap ke sana ke mari, melanggar undang-undang dah menjadi tabiat kesukaanya. Nasihat ibubapa serta ustaz dibakulsampahkan saja dengan sia-sia.

Kini Ilham sedar, semua perbuatan buruk ada balasannya. Walaupun sejak menjejakkan kaki ke bumi anbiya` Ilham telah tekad untuk meninggalkan semua kisah hitam dirinya, namun hutang tetap perlu dibayar. Doa-doa orang yang dizalimi tiada hijabnya. Rintihan orang-orang yang telah Ilham zalimi pasti Allah mendengarnya. Menyakiti hati insan lain akan dibalas dengan kesakitan hati juga. Menafikan hak orang lain juga akan mendapat balasan penafian hak mereka kelak, itulah yang dijanjikan oleh Allah SWT samada didunia, alam kubur mahupun di neraka nauzubillah. العقاب على جنس المعاصي.

Semoga dengan balasan dunia ini diterima dengan penuh taubat dan keinsafan, dan semoga akhirat kelak Ilham akan terlepas dari seksaan neraka sebagaimana orang yang dijatuhkan hukuman hudud, dosa mereka akan terhapus. Inilah rahmatnya Allah yang Maha Penyayang.


Bab 4: [البقرة:216]عسى أن تكرهوا شيئا وهو خير لكم

“Syukran Muallim.” Ilham menyambut duit baki pulangan pemandu teksi sebanyak 25LS dengan penuh tertib. Langkahnya diatur menuju Kedutaan Besar Malaysia Syria. Hari ini ada perjumpaan Exco Persatuan Pelajar Malaysia Syria bersama Duta berhubung isu keselamatan Syria. Memang bumi ini subur dengan berbagai konflik dan masalah. Kali ini isu pelajar yang diserbu oleh ejen risikan pihak berkuasa Syria. Kebobrokan rejim diktator Basyar Asad yang sanggup melakukan apa saja demi survival politiknya mengundang bahaya kepada pelajar asing di Syria. Polisi ketat yang dikenakan terhadap semua warga asing ke Syria memang menjadi amalan sosialis arab kebanyakan. Ditambah pula dengan kedudukan Syria yang berjiran dengan Negara haram Israel. Tidak hairanlah pihak keselamatan Syria menjadi pihak teratas dalam herarki organisasi pentadbir Syria. 

Manusia manapun jika berjiran dengan perompak besar akan meletakkan keutamaan pada perihal keselamatan. Semua tindakan dan keputusan keselamatan tidak boleh dibantah oleh mana-mana Kementerian sekalipun. Ia bertindak bagaikan Majlis Syura cuma bezanya pihak keselamatan boleh berpandangan dan bertindak sekaligus dan Majlis Syura hanya bertindak sebagai badan legislatif yang menentukan dasar serta prinsip semasa dengan tidak mencampuri urusan eksekutif.

Sedang khusyuk mendengar Taklimat dari Dato` Duta, tiba-tiba poket seluar Ilham bergetar. Telefon bimbitnya menerima sekeping mesej dari Humaira, juga seorang exco yang tadinya berada bersama dalam bilik mesyuarat namun keluar tergesa-gesa kira-kira setengah jam selepas taklimat bermula. “Salam ustaz, Ustazah Ning kena tangkap di Imegresen, sekarang di Marjeh”.

“Betul ke apa yang aku baca ni?”Muka Ilham tiba-tiba berubah ton warna. Dadanya berombak deras. Tangannya ketar membelek beberapa kali mesej dari Humaira itu, takut-takut tersilap baca.
Punggung Ilham terasa panas. Bilik berhawa dingin dengan kerusi fabrik lembut itu semakin tidak selesa untuk didiami. Terus dia meminta izin untuk keluar menelefon Humaira untuk mendapatkan kepastian. Ternyata itulah yang terjadi. Ning ditangkap ketika sedang melakukan urusan memohon visa keluar ke Jordan bersama Abang Fakhrul,buahatinya. Apa kesalahan yang mengheret dia ke tahanan masih belum dapat dikenalpasti.

Ilham tiba-tiba panik, tidak tahu apa harus dilakukan. Mujurlah Humaira agak tenang dengan berita tersebut. Dia meminta Ilham menunggu sehingga habis perjumpaan itu untuk memberitahu exco-exco tertinggi akan hal tersebut. Kalut Ilham sedikit reda dengan ketenangan Humaira. Hairan! Sepatutnya lelaki yang bertindak menenangkan wanita yang biasanya cepat panik.

Usai perjumpaan, Ilham meluru ke arah Presiden dan Setiausaha Agung untuk menceritakan berita tergempar ini. SU Agung terus menelefon Abang Fakhrul bagi mendapatkan berita terkini. Ilham memberikan semua nombor telefon keluarga Ning pada PPMS untuk makluman awal kepada mereka.

Abang Fakhrul lagi panik. Dia juga nyaris-nyaris ditangkap kerana bertindak terburu-buru menyelamatkan Ning. Tindakan bodohnya melarikan fail rekod Ning di tengah-tengah pejabat Imegresen dilihat oleh seorang pegawai Imegresen. Mujurlah ada seorang lelaki yang mengenali beberapa ‘orang dalam’ di imegresen, akhirnya Abang Fakhrul dibebaskan.

Persolannya, kenapa Ilham begitu terkejut? Bukankah dia sudah melupakan Ning? Bukankah hubungan mereka sudah berkubur hampir suku tahun? Dan persoalan kedua, kenapa Humaira memberitahu Ilham? Kenapa tidak terus memaklumkannya kepada exco tertinggi PPMS?

Persoalan-persoalan ini bermain di benak Ilham. “Kenapa aku yang merisauinya? Bukan ke dah ada orang yang memikirkan tentangnya? Adakah aku masih sayangkannya? Apalah yang sedang dilakukan Ning sekarang. Harap-harap dia tak terseksa.”

Ilham mengambil keputusan untuk menelefon Ning. Alhamdulillah panggilannya dijawab. Ning teresak-esak menangis mengadu kepada Ilham. Hibanya perasaan Ilham saat itu. Ingin saja dia berlari mendapatkan Ning yang sedang diseksa batin dan zahirnya. Apalah yang mampu dilakukan oleh seorang gadis melayu tika berhadapan dengan polis-polis arab yang berkali ganda besar daripadanya. Ilham terus berlakon tenang demi untuk menenangkan Ning. Doa tidak putus-putus dipanjatkan kehadrat Pencipta Mesej-mesej penyuntik semangat agar Ning terus tabah menghadapi ujian hidup ini tanpa jemu dihantar kepada Ning.


Bab 5: [العنكبوت:2أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Deringan telefon yang membingit menyedarkan Ilham. Beliau yang tidak rehat dari pagi tadi tanpa sedar terlena di kelas. Panggilan yang datangnya dari Humaira memberitahu Ning akan dihantar pulang esok hari kembali menyegarkan matanya. Lega bercampur sayu kini mendiami sanubari beliau. Sayu mengenang gadis yang pernah bertakhta dihatinya bakal pulang esok hari.

Ning akan dihantar pada jam 3 petang setelah urusan tiketnya diselesaikan oleh Abang Fakhrul sementara dia masih dalam tahanan.

Begitulah nasib rakyat Malaysia jika ditahan, selagi tidak mempunyai tiket pulang, mereka tidak akan dilepaskan. Mereka akan terus ditahan didalam penjara bawah tanah Bab Musolla bersama rakyat asing lain yang turut ditahan kerana pelbagai kes. Ngeri Ilham membayangkan keadaan Penjara tersebut yang dikhabarkan amat kotor, panas dan gelap. Tidur ditemani lopak air, tikus, serangga serta bau busuk yang tidak terperi. Berkongsi pula bilik dengan kaum-kaum lain yang berbagai ragam dan karenah, kebanyakannya daripada Benua Afrika. Macamana ada yang boleh bertahan sehingga berbulan-bulan lamanya meringkuk di sana.

Tanpa disedari Ilham mengadu perasaan hatinya pada Humaira. Humaira hanya mampu mengucap nasihat sabar dan kuatkan semangat. Kira-kira lima minit setelah panggilan dihentikan singgah pula sekeping mesej dari Humaira mempersembah kata-kata yang mengundang ketenangan dan harapan baru kepada Ilham. Tak sangka gadis kecil molek dengan gaya muslimah berhijab itu mampu melemahkan badai yang berhalilintar di lubuk hati Ilham.

“Terima kasih ustazah.” Hanya itu mampu Ilham balas.

Tidak dinafikan lagi Humaira adalah seorang gadis hebat semenjak di bangku persekolahan lagi. Walaupun berlatar belakang pendidikan sekular, Humaira mudah untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan pengajian agama. Di awal tahun ketiga persekelohan beliau sudah menjawat jawatan Exco Persatuan Pelajar Darul Quran sebaris dengan kakak-kakak yang dua kali lebih senior daripadanya.

Memang Darul Quran menekankan aspek pembinaan kepimpinan dalam pentarbiyahannya. Nama Darul Quran bukan bermaksud sebuah institusi yang mencetak para-para Huffaz semata-mata,  tapi lebih kepada melahirkan generasi yang celik al-Quran, tahu makna yang dituntut,berakhlak dengan akhlak Quran dan beramal dengan ajaran alQuran secara menyeluruh. Antara yang dipersembahkan alQuran adalah manhaj kepimpinan nabawi (dan itulah yang menjadi aplikasi penting di Darul Quran). PPDQ sebagai sebuah organisasi yang dijawat oleh beberapa pelajar terpilih melalui sistem pilihanraya dijadikan platform untuk mengasah bakat kepimpinan yang ada di samping program-program lain yang dianjur.

Humaira memang sinonim dengan tugas tarbiyah yang menjadi salah satu elemen dalam perjuangan islam selain dakwah dan siasah. Tarbiyah adalah pendidikan dan pembentukan modal insan. Ia menekankan soal penyucian jiwa, pemikiran(fikrah) dan penampilan. Sesiapa yang mendakwa islam wajib menerima tarbiyah. Tanpa tarbiyah manusia pasti hanyut. Untuk melahirkan manusia bertaqwa dan menjalankan semua perintah Allah bukan semudah membaca teori semata-mata. Ia mesti melalui proses pentarbiyahan yang panjang. Tarbiyah seorang muslim itu adalah sepanjang hayatnya.

Tidak hairanlah Humaira mempunyai pekerti dan syahsiah yang tinggi. Tugas mentarbiyah memerlukan dia menjadi contoh terbaik sebagai ikutan. Humaira disegani ramai kenalannya. Sikapnya yang tidak mudah bertolak ansur soal hukum serta penampilan sebagai seorang muslimah yang amat dititikberatkan menjadi sebab mengapa orang mudah terpesona dengan dakwahnya dan terkesan dengan tarbiyahnya.

Beliau amat berbeza dengan Ilham yang terlalu nakal itu. 7 tahun zaman persekolahan di Darul Quran dipenuhi dengan lagak penuh ngeri dan buruk. Bilik disiplin pun jemu melihat muka Ilham yang sering ulang-alik saban tahun. Berbagai hukuman sudah dirasai daripada rotan, botak kepala, hinggalah gantung sekolah namun semua itu bagaikan tidak mengajar apa-apa pada Ilham.

Jiwa muda menguasai dirinya. Berapa ramai Ustaz-ustazah yang mengeluh dengan perangainya hinggakan Ilham pernah di cop sebagai perosak semua rakan sebayanya. Tarbiyah langsung tidak dikenalinya. Baginya semua itu karut belaka.

Entah mengapa Ilham boleh tenang dengan nasihat wanita kecil molek itu. Rasa kehilangan yang menyelubungi diri Ilham sejak sekian lama dibius dengan hanya sepotong ayat dari Humaira. Timbul juga perasaan untuk mencari pengganti kepada Ning dengan seorang yang seperti Humaira, namun itu tak mungkin akan menjadi realiti. Mereka hidup dari 2 planet yang berbeza.

 الطيبات للطيبين والطيبون للطيبات,الخبيثات للخبيثين والخبيثون للخبيثات . Inilah firman Allah yang menjadi pegangan Ilham. Beliau hanya layak untuk wanita jalanan. Gadis-gadis bertudung labuh tidak diciptakan Allah untuk dirinya. Beliau juga tidak mahu menodai kesucian hati gadis-gadis yang memegang status ustazah ini dengan tangan kotornya walaupun beliau juga dari Darul Quran. Rasanya alQuran pun malu jika mendapat tahu orang seperti Ilham ada kaitan dengannya.

Tetapi manusia tetap manusia. Tidak terlepas dari ujian Allah sebagai seorang hamba. Humaira juga menerima tarbiyah dari Allah SWT dalam bentuk ujian hidup. Rakaman liku hidupnya memang panjang untuk dipertayang kembali, cuma ada satu episod yang menarik untuk ditatap,iaitu kisah cinta sesama hamba dalam hidupnya.

Sudah lumrah orang yang kuat berpegang pada agama, soal berpasangan memang cukup anti sebelum sampai masanya. Humaira memang sentiasa menjaga hatinya dari terjerumus ke lembah maksiat. Dia sengaja menyibukkan diri dengan kerja-kerja tarbiyah supaya dia sentiasa dalam lingkungan jagaan islam. Jika tidak syaitan tidak akan membuang masa untuk mengisi kekosongan watu yang Humaira ada dengan perkara-perkara mungkar.

Alhamdulillahlah semua yang itu terjaga sepanjang zaman remaja Humaira di pentas persekolahan. Namun air tidakkan selalu tenang. Ada sahaja ribut yang mendatang menyentak hidupan bumi supaya senantiasa beringat. Langit juga takkan selalu cerah. Pasti ada awan hitam mendepa sirna, semua itu membuktikan kekuasaan Allah bagi hambanya yang berfikir.

Episod suramnya bermula kira-kira selepas empat bulan menebar lembaran hidup di bumi barakah ini. Seperti Ilham, niat suci untuk melakukan kebaikan pasti akan diuji. Itulah prasyarat yang ditetapkan Rabbul Izzati untuk hambanya yang mencita maqam orang beriman. Tanpa ujian, orang itu belum benar-benar beriman.

Buat pertama kali dalam hidunya dia dilamar seorang jejaka. Taufiq, rakan sekolah Humaira yang sama-sama menamatkan pengajian di Darul Quran pada tahun 2007 telah meminta untuk dipintal ikatan janji bersama. Bagi seorang yang belum pernah menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya, sudah tentu perkara tersebut mengganggu konsentrasi pembelajaran.


Bab 6: [آل عمران:54ومكروا ومكر الله والله خير الماكرين

Syria memang terkenal dengan tahap pengajian dan level penilaian yang tinggi. Kesungguhan tanpa belah bahagi berserta pengorbanan jitu amat dituntut demi menjamin kejayaan di bumi ini, lebih-lebih lagi di Fatah Islami. Pengamalan sistem Azhar lama yang hanya memperkenalkan satu ujian penilaian sepanjang setahun pengajian amat menguji setiap pelajar di sana. Bayangkan kitab setebal 400 mukasurat perlu dihadam untuk menjawab satu kertas soalan. Ada diantaranya kitab-kitab lama yang begitu ‘tradisional’ gaya bahasanya.

Bayangkan pula jika setahun ada hampir 20 matapelajaran. Ini bermakna tempoh peperiksaan memerlukan pelajar menghadam sebanyak 8000 mukasurat. Wau! Novel kesukaan pun belum tentu dapat kita baca jika setebal itu, inikan pula buku bernuansa akademik yang perlu ditelaah sebaiknya dan bukan hanya sekadar membaca seperti gaya membelek akhbar. Sedangkan pelajar arab sendiripun belum tentu dapat melepasi ujian-ujian penilaiannya, inikan pula kudrat melayu yang tidak seberapa.

Dalam kesibukan berhempas pulas mengenal loghat arab untuk memahami syarahan lecturer (tanpa kursus intensif bahasa arab), Tiba-tiba ruang akal yang disediakan untuk mengisi ilmu telah terisi dengan permintaan Taufiq. Kalut dibuatnya. Nak ditelan mati mak, diluah mati bapak. Dia tahu berpasangan itu adalah tuntutan agama, dan menuntut ilmu juga tuntutan agama. Dua-dua sama penting.

Humaira masih belum mengerti maksud hubungan yang ingin dijalin. Padanya, setiap lamaran yang diterima adalah khitbah yang bermaksud perjanjian untuk berkahwin. Dalam masyarakat melayu ianya disebut bertunang walaupun kebanyakan orang meletakkan syarat tunang adalah mengadakan majlis penyarungan cincin. Dan jika dia menerima, Humaira harus mempersiapkan diri mulai saat itu dengan bekalan yang secukupnya untuk menjadi isteri orang.

Taufiq adalah seorang lelaki yang berkalliber, pidatonya memukau audiens, lunak suaranya mengalun wahyu menggamit suasana, kepimpinannya mewarna gagasan PPDQ, juga antara pelajar cemerlang di Darul Quran. Dia rapat dengan keluarga Humaira. Sering juga beliau menghubungi keluarga Humaira dan bertanya khabar semasa berada di Yaman.

Sebagai seorang pelajar agama, proses memetik bunga dilakukan secara penuh beradab. Taufiq meminta untuk menghantar ibubapanya berjumpa dengan keluarga Humaira.

Tatkala membaca mesej tersebut, Humaira tergamam. Gelap seketika dunia. Perasaan Humaira bertukar menjadi takut. Walaupun Taufiq menggunakan bahasa berlapik namun ia tidak mampu membuatkan Humaira tidak terkejut. 30 minit Taufiq terbiar keseorangan menanti respon. Dia tidak tahu apa harus dilakukan. Selama tujuh tahun dididik menyelesaikan masalah dalam PPDQ, belum pernah pengalaman mengajarnya berhadapan dengan situasi seperti ini.

Buat pertama kalinya dia harus meletakkan dua perkara besar diatas neraca pertimbangan. Satunya Pembelajaran yang belum stabil, satu lagi jodoh ikatan. Membayangkan soal pelajaran, dia semakin takut. Sudahlah dari awal kedatangan Humaira bersama rakan sekapal, mereka disambut dengan pelbagai kritikan dan nasihat pedas senior-senior yang tidak bersetuju dengan pilihan mereka.

Senior-senior menyarankan agar mereka melalui terlebih dahulu ke kelas bahasa arab selama setahun sebelum mendaftrkan diri ke peringkat ijazah. Rakan-rakan termasuk Humaira pula hanya mengikut arahan guru-guru di Darul Quran yang meminta untuk terus mendaftarkan diri seawal kaki melangkah persempadanan syam.

Ya, keadaan gamat itu masih belum reda. Mereka seolah-olah dipandang serong oleh senior sehingga ada yang mencetuskan perbalahan dan perang mulut. Di saat inilah mereka-mereka yang tidak sependapat dengan senior harus membina kesatuan demi menguatkan antara satu sama lain. Bukan untuk memusuhi, cuma ingin membuktikan kaki yang masih bertatih di tanah Syam ini mampu mendaki kejayaan setinggi puncak Qasiyun kelak.

Setelah beberapa kali menepuk dada, Humaira akhirnya membalas bicara Taufiq. Berat bagi dirinya untuk menghampakan harapan orang, kerana sejak dari kecil dia dididik oleh seorang ibu yang amat pantang untuk menghampakan hasrat seseorang.

Humaira bukan seorang yang memilih,bukan jua jual mahal dan sombong, tetapi semangat cintakan ilmu yang berkobar-kobar sehingga meniup roh beliau untuk berhijrah ke bumi Syam ini tidak mampu diusik oleh perkara lain, termasuklah soal jodoh.

Mungkin kerana terkejut, Humaira terus memberikan jawapan untuk keputusan besar itu. Dia tidak punya pengalaman menghadapi perkara sebegini. Setidak-tidaknya ia perlu difikirkan beberapa hari sebelum membuat sebarang keputusan, namun itulah Humaira. Dunia ini masih terlalu baru untuk gadis sesuci dirinya.

Dengan penuh sopan, Humaira memberitahu bahawa dia belum bersedia. Terlalu banyak yang perlu dikejar buat masa ini. Ribuan maaf dipanjat kepada Taufiq kerana terpaksa mengecewakan beliau.

Alhamdulillah, selesai satu masalah walaupun dia terpaksa mengecewakan seseorang. Mungkin itulah aulawiyyat yang harus dipilih kala itu. Ia tidak bermaksud menolak terus Taufiq, cuma diminta supaya biarlah Humaira berada dalam keadaan yang lebih bersedia. Bagi Taufiq, harapan itu masih ada.

Taufiq akur. Dia kenal benar siapa Humaira. Ketegasan gadis kecil itu memang menjadi bualan pelajar lelaki sezamannya. Tiada guna Taufiq merayu lagi andai itu muktamad daripada Humaira. Manusia hanya mampu mencuba setelah difikirkan suatu perkara itu terbaik bagi dirinya. Percaturan sebenar hanya terletak pada ketentuan pemilik segala jiwa ini.

Humaira sendiri tidak memiliki hati perasaannya. Pemilik sebenar hati Humaira adalah Allah taala semata-mata. Dia juga pemilik hati Taufiq. Andai dia tidak membenarkan dua hati ini bertaut, tiada kuasa yang mampu membantahnya. Inilah yang difahami oleh Taufiq menjadikannya tenang menerima jawapan Humaira.


Bab 7: النكاح سنتي فمن رغب عن سنتي فليس مني - الحديث

Episod kedua Humaira bermula seiring musim bunga 2008. Dengan mekarnya bunga-bunga di hadiqah sekitar dataran Syam, begitulah juga mekarnya debaran mahasiswa Syria menyambut kehadiran musim peperiksaan yang bakal menjelang. Kala itu semua menumpukan soal akademik. Program-program persatuan mulai dikurangkan, kehadiran ke kelas semakin membanjir, Cyber café semakin sunyi daripada suara pelajar beraneka bangsa, dan amal ibadah secara automatik menjadi banyak.

Tika aura peperiksaan semakin membahang, Izzat pula muncul dalam sedutan titian perjalanan hidupnya. Jejaka itu juga sekapal dengannya semasa tiba di Syria. Beliau seorang yang amat menyintai ilmu semenjak di bangku persekolahan lagi.

Mungkin dia tidak sehebat Taufiq dalam aspek kepimpinan, tetapi sebagai perekod ilmu, beliau bukan calang-calang orangnya. Ramai yang suka menghabiskan masa bersembang dengan Izzat, kerana setiap tuturnya penuh mutiara ilmu.

Sejak awal mengenal Humaira lagi, panahan peribadi gadis tersebut telah menembusi jantung Izzat. Beliau yang secara tidak langsung diangkat menjadi ketua untuk menguruskan kebajikan kawan-kawan satu batch banyak bersemuka dan berbincang dengan Humaira yang juga dilantik secara tidak langsung menjadi wakil akhawat untuk batchnya.

Dari situlah perasaan aneh mula menggeletek lubuk hati Izzat. Belum pernah dia jumpai perbahasan tentang maksud perasaan ini dalam telaahan buku-buku ilmiah yang dibacanya. Justeru itu beliau banyak menceritakan akan hal ini kepada rakan-rakan untuk mengetahui hakikat rasa itu.

Hasil dari perkongsian, ramai yang mendakwa itulah perasaan sayang anugerah ilahi, diberikan kepada hambanya yang bersedia memikul amanah hidup. Sifat cintakan ilmu yang ada pada dirinya membuatkan dia semakin bersungguh-sungguh mempelajari satu lagi cabang ilmu yang baru dikenalinya,iaitu ilmu cinta sesama manusia.

Ilmu tersebut dipelajari dari pengalaman orang-orang lama, tulisan-tulisan di blog dan sebagainya. Apa yang menyeronokkan, semakin dia mempelajari ilmu ini, semakin kuat dia mengecap perasaan sayang itu. Seolah-olah ianya hidup dan membesar bak pokok yang disiram dan dibaja sempurna.

Menjadi adat pelajar yang baru sampai  ke Syria, urusan menyesuaikan diri memang amat merumitkan. Banyak tenaga yang harus digembleng untuk memastikan semua mendapat keselesaaan di negara orang ini. Humaira banyak berjumpa dengan Izzat untuk meminta pertolongan yang pelbagai termasuklah membelikan perabot rumah, alatan dapur, mencari rumah untuk disewa, menyelesaikan masalah dengan jiram, tuan rumah hinggalah menjadi peneman ke tempat-tempat jauh dan tika lewat malam. Izzat juga banyak meminta Humaira menyediakan kelengkapan tertentu sekiranya mereka ingin melakukan sesuatu urusan dengan kerajaan Syria atau untuk mengadakan sebarang majlis taklimat. Ini membuatkan rakan yang melihat mereka berdua bagaikan agak intim dan serasi bersama walaupun dalam perbatasan syarak yang dijaga rapi.

Setiap kali mereka bersemuka, Izzat menjadi tidak tentu arah. Seringkali tindakannya tersasar dari perbincangan. Perasaan itu amat mengacau konsentrasi dirinnya. Walaupun Humaira berniqab, Izzat tidak mampu melawan fitrah yang terpendam dalam sanubari hatinya.

Itulah alam percintaan golongan pelajar agama. Walaupun mereka dididik agar menjaga batas pergaulan, didedah dengan bahaya couple, berhadapan dengan larangan-larangan syara` tentang tipudaya nafsu, namun mereka bukan malaikat. Bisikan halus yang mengajak kepada menyukai golongan lain jantina menyempurnakan lagi fitrah manusia yang terdapat dalam diri mereka. Sudah sampai masanya mereka berdepan dengan satu lagi cabaran Ilahi, iaitu cabaran meletakkan fitrah tersebut mengikut acuan syara`.

Cabaran tidak bertujuan untuk mencampakkan mereka ke lembah binasa, sebaliknya ingin meninggikan lagi darjat seorang hamba disisi tuhannya. Itulah tanda-tanda kecintaan Allah SWT terhadap hambanya. Dan berbahagialah hamba-hambanya yang diuji.

Jangan sekali-kali melawan  fitrah, nescaya akan binasalah hidup. Sebaliknya pandulah ia menuju kehendak syara`. Lelaki yang menjauhi diri dari wanita kerana ingin menjaga diri bukanlah lelaki sejati. Wanita yang mendakwa tidak akan membina hidup bersama lelaki kerana bimbang dinoda kesetiaannya terhadap Yang Maha Esa juga telah menempah kemurkaan Rasulullah SWT

((النكاح سنتي فمن رغب عن سنتي فليس مني)). Sabda tersebut bermaksud nikah itu adalah sunnahku,sesiapa yang menolak sunnahku maka dia bukanlah dari kalangan (umat)ku.

Sejak Adam dan Hawa lagi islam telah menunjukkan contoh fitrah manusia. Balasan buang daerah dari syurga ke bumi kerana telah mengingkari larangan Allah SWT bukanlah suatu yang berat bagi dirinya, tidak seberat hukuman dipisahkan dengan Hawa hingga menyebabkan 40 tahun baginda merayau mencari cari dimanakah Hawa diturunkan.

Hari ini barangsiapa yang disapa keinginan untuk memiliki pasangan hidup, maka sujud syukurlah. Anda telah dijemput untuk menyempurnakan separuh iman anda. Rasulullah bersabda lagi bahawa Sesiapa yang telah bernikah maka telah sempurnalah separuh dari imannya dan menangislah syaitan-syaitan seraya ijab kabul dilafazkan.

Hari berganti hari, tusukan perasaan semakin merobek jantung Izzat. Dirinya sudah tidak mampu lagi menanggung perasaan tersebut. Rakan-rakannya pula bagaikan tidak membantu meredakan perasaan itu, sebaliknya sentiasa memberi sokongan padu supaya diteruskan kelangsungan perasaan aneh itu, iaitu dengan melamar Humaira.

Akhirnya Izzat akur dengan tuntutan hidup. Dia tidak mampu lagi menipu diri sendiri. Dia bercadang untuk  menyatakan hasrat hatinya pada Humaira, yang telah mencuri hatinya sejak sekian lama.


Bab 8:  [التوبة:40] لا تحزن إن الله معنا

Suatu petang yang dingin, hembusan angin segar menyambut kedatangan Humaira ke Banjaran Ruknuddin, yang jauhnya kira-kira 20 kilometer dari rumah kediaman beliau. Memandangkan hari tersebut adalah hari cuti umum Syria, petang itu beliau berjanji dengan rakan-rakan untuk turun ke sebuah taman bunga yang dipanggil ‘Hadiqah Sayyidah’. Taman ini hanya dikhususkan untuk kaum wanita.

Siapa sangka niat Humaira untuk melepaskan tekanan pembelajaran di taman ini bakal merakam peristiwa baru dalam hidupnya. Buat kali kedua beliau akan dilamar oleh seorang lagi jejaka. Kali ini dengan gaya yang cukup gentleman dan berbeza dari Taufiq suatu ketika dahulu.

Peristiwa ini berlaku secara spontan tanpa dirancang oleh kedua-dua belah pihak. Izzat yang baru pulang dari pengajian talaqqi di Jamek Dhirar ibn Azwar berjalan pulang ke rumahnya menyelusuri lorong kecil di sebelah Hadiqah Sayyidah. Dia tidak tahu langsung Humaira berada di taman tersebut.

Sedang asyik berjalan dengan fikiran yang sedang berkecamuk mengatur tutur bicara yang paling sesuai untuk menyunting hati gadis bernama Humaira, tiba-tiba beliau tersentak. Lamunannya terhenti tiba-tiba. Alangkah terkejutnya dia apabila gadis yang sedang berada dalam khayalannya saat itu terpacak kaku dihadapannya.

Rupa-rupanya ketika sedang berjalan di lorong tersebut, tanpa disedari dia telah menghalang laluan dari arah bertentangan, kebetulan pula Humaira melalui jalan yang sama menuju ke arah satu lagi. Sebab itulah Humaira terpaksa berhenti betul-betul dihadapan Izzat.

Mereka bertentangan mata. Kala itu seperti ada suatu suara membisik kepada Izzat, inilah masanya. Takdir Allah SWT bersama lamunanmu Izzat. Humaira juga merasa pelik melihat keadaan Izzat yang sedikit aneh daripada biasa.

“Assalamualaikum. Boleh ana bercakap dengan ustazah sekejap?” Tanya Izzat penuh sopan.

“Waalaikumsalam. Err, boleh kot.” Humaira teragak-agak menjawabnya sambil memerhatikan Syafiza, rakan karibnya yang berjalan bersamanya. Dia bimbang takut-takut Syafiza punya hal lain yang perlu disegerakan. Setelah Syafiza membenarkan persetujuan Humaira, Izzat mula mengatur bicara.

“Ana ada hajat besar ni. Harap ustazah dapat penuhi permintaan ana ini.” Ujar Izzat. Humaira mula berasa pelik. Selama dia mengenali dan berurusan dengan Izzat, belum pernah dia membuka bicara dengan mukaddimah sebegitu. Biasanya dia akan straight tu the point. Salam pun kadang-kadang lupa dihulur.  “Mungkin besar benar hajatnya” Getus hati Humaira.

“Ada apa ye ustaz? Insyaallah ana akan tolong semampu yang boleh.” Jawab Humaira tenang.

“Begini, ana ingin berterus terang sahaja, ana sukakan ustazah, ana ingin mengkhitbah ustazah”
Gangg!! Serta merta darah Humaira mengalir laju. Mukanya merah padam. Dia seakan tidak mempercayai khabaran dari telinganya.

Tiba-tiba pandangannya kabur. Tubuhnya longlai. Hanya kata-kata ringkas Izzat yang masih terngiang-ngiang di fikiran. Bagaimana mampu dia menghadapi semua ini. Hanya diam seribu bahasa yang boleh dilakukan baik Humaira ataupun Syafiza ketika itu.

“Sudikah ustazah menerima lamaran ini?” Izzat meninggalkan tandatanya pada Humaira. Dia tidak tahu bagaimana keadaan Izzat ketika melafazkannya. Pandangannya masih lagi kelabu.

Humaira akhirnya memberanikan diri untuk membuka mulut. Kali ini beliau lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. “Ustaz dah fikir masak-masak ke? Maaf Ustaz, Ini perkara besar. Ana tak mampu menjawabnya segera. Ana perlukan sedikit masa.”

“Baiklah, maghrib nanti ana akan hubungi ustazah.” Ujar Izzat menoktah bicara. Humaira hanya mengangguk. Ucapan salam dihulur sebelum keduanya beredar.

“Gila apa si Izzat tu. Dah lah cakap straight to the point terus, maghrib nanti nak jawapan terus. Ingat ni nak tawar beli ayam ke.” Lepas Syafiza geram. Humaira tidak membalasnya. Fikirannya masih lagi tidak mampu menerima hakikat. Dia akui kata-kata Syafiza itu. 3 jam masa yang diperuntukkan buatnya untuk memikirkan keputusan yang menentukan perjalanan hidupnya akan datang memang tidak munasabah. Sedangkan hatinya tidak pernah terdetik pun untuk menilai Izzat selama dia mengenalinya.

Mekar bunga tulip dan ros di Hadiqah Abu Nor tidak berjaya menarik perhatian Humaira. Beliau hanya duduk di bangku meliarkan pandangan lemah ke sekitar taman. Fikirannya pesat dengan peristiwa tadi. Walaupun dikelilingi kawan-kawan yang bergelak ketawa berkongsi kisah alam peperiksaan yang sedang mereka lalui, hatinya masih tidak lega. Dalam senja yang semakin menyingsing, hanya Syafiza yang perasan keadaan Humaira itu.

Dalam perjalanan pulang, sekali lagi Syafiza menegur Humaira supaya meminta Izzat memanjangkan tempoh untuk memikirkannya. Jika tidak, tolak sahaja lamaran tersebut. “Keputusan ini bukan boleh dibuat main-main.” Tegas Syafiza.

Humaira sampai di rumahnya tepat jam 6.30,  disertai gema azan maghrib. Itu menandakan waktu untuk menjawab soalan Izzat telah tiba. Namun Humaira masih tidak memikirkan apa-apa. Dirinya masih dalam keadaan terkejut.

“Apa nak jadi ,jadilah. Baik aku sembahyang dulu.” Fikir Humaira. Dia terus mempersiapkan diri untuk menghadap ilahi. Dalam sembahyangnya beliau berdoa agar dipermudahkan kesulitan yang dihadapi. Beliau percaya dengan bantuanNya, tidak mustahil dia dapat menyelesaikan masalah besar itu walaupun masa telah suntuk. Tiada yang mustahil bagi Allah. Sedangkan imam Nawawi sempat mengarang beratus buah kitab tebal hanya dalam masa 20 tahun, inikan pula untuk menyelesaikan perkara ini. Allah boleh memberhentikan masa untuk menyempatkan Humaira memikir jalan penyelesaian. Hebatnya kekuasaanMu!

Belumpun sempat Humaira mengaminkan doanya, telefonnya berdering. Perasaan takut datang kembali. Teragak-agak beliau untuk mendapatkan telefonnya yang berada di atas katil. Takut untuk melihat nama Izzat terpampang pada skrin telefonnya. Setelah kali ketiga berdering, Humaira akhirnya mencapai telefonnya. Ya, memang dialah yang telefon.

“Assalamualaikum ustazah, macamana dengan soalan ana tadi?” Terus sahaja Humaira ditanya soalan sebegitu. Jelas tergambar sikap agak gelojoh Izzat. Itu bukan salahnya. Dia juga tersepit. Andai dibiar, perasaan itu terus menghantuinya. Mungkin itu telah lama difikir Izzat sebelum lamaran ini dibuat.

“Maaf ustaz, ana belum sempat fikirkannya. Boleh lanjutkan lagi masanya tak?” Terpacul jawapan tersebut dari telefon Izzat. Beliau yang ketika itu berada di bumbung rumahnya sendirian termangu dengan jawapan tersebut. Berat rasanya mendengar permintaan Humaira. Bukan senang untuk menunggu. Setiap saat membuatkan dia hanya terfikirkan keputusan daripada Humaira.

“Ana rasa susah ustazah. Kalau ustazah jawab sekarang takpe ke? Ana bersedia dengan sebarang jawapan ustazah.” Balas Izzat penuh debaran. Humaira semakin tertekan dengan jawapan tersebut. Sekali lagi dia memohon untuk berfikir panjang. Namun Izzat tetap dengan jawapan yang sama.

“Ustaz kena faham, ini bukan benda kecil. Kita kena fikir masak-masak.” Jelas Humaira sedikit geram.

“Ustazah, Kalau susah sangat cakap je yang ustazah tak nak terima. Ana hanya mahukan jawapan. Ana tak boleh tunggu lama-lama. Jiwa ana semakin tak tenteram.” Izzat terus mendesak. Hebat juga ego seorang lelaki. Habis hilang semua sifat romantik dalam lamarannya.
Akhirnya Humaira tidak tahan lagi. Beliau menyatakan yang dia belum bersedia. Jawapan sama yang diterima Taufiq tak lama dulu.

.....................................................................

Suhu Damsyik saat itu adalah 10 darjah celcius. Walaupun suhunya tidaklah begitu rendah jika dibandingkan dengan kebanyakan Negara eropah, tetapi angin kencang yang bertiup menusuk ke setiap liang kulit, membuatkan badan seseorang boleh diserang penyakit berbisa kerana ia menyerang hingga ke tulang. 

Walaubagaimanapun, Izzat yang hanya membaluti tubuhnya dengan sehelai Kurta dan sepasang seluar jeans bagai tidak terasa apa-apa tatkala mendengar jawapan Humaira itu.

“Kenapa Ustazah tak boleh terima ana?” Tanya Izzat gusar. Mukanya merah padam. Jawapan yang diberikan Humaira sebentar tadi merubah suhu badannya serta-merta. Langit merah Damsyik yang menjadi saksi bisu perbualan mereka itu bagaikan mentertawakan Izzat.

“Sebab ustaz tak bagi ana cukup masa.” Balas Humaira selamba. Sebenarnya dia juga sedang lemah namun dikuatkan juga diri berhadapan dengan Izzat. Ingin saja dialirkan airmata buat perisai diri.

Memang itulah sifat wanita. Tangisan bukan bererti takut, bukan selalu bermaksud sedih, tapi sebagai gambaran kewanitaan sejati. Biarkanlah wanita menangis jika mereka ingin. Kerana mereka akan puas, tenang dan lega setelah menangis.

“Takpelah kalau macam tu.” Terus ditamatkan bicara. Sekali lagi Izzat memberhentikan perbualan secara tiba-tiba. Ditariknya nafas sedalam mungkin sambil mata tertutup, lalu terus menghela panjang. Mungkin itu pula perisai bagi seorang lelaki. Dan memang itu terapi terbaik untuk menenangkan diri. Ianya dapat menormalkan kembali peredaran darah serta degupan jantung.

Lama juga Izzat melakukan gelagat sedemekian. Dihirup sepuasnya bayu senja damsyik yang masih berbaki. Duduknya betul-betul di tebing bangunan 2 tingkat itu. Sesekali ada arab yang melaung menyatakan sesuatu kepada beliau dari bawah. Lagak lakunya memang cukup membimbangkan orang yang lalu lalang sekitarnya. Namun Izzat langsung tidak mengendahkan apa yang dingomelkan mereka. Dia sedang berada di dunia lain ketika ini.

Dengan kondisi dirinya yang teruk dilanda keremukan, macam-macam andaian boleh berlaku sebentar lagi. Namun itu bukanlah tanda beliau tidak reda akan ketentuan ilahi. Seperti Taufiq, beliau pasrah. Mungkin itu yang terbaik buat dirinya.

Saat Izzat menamatkan perbualan telefon, berderailah kilauan air jernih membasahi pipi. Humaira tidak dapat bertahan lagi. Dia betul-betul lemah. Dia amat memerlukan seseorang masa ini. Mendakap beliau, mengusap bahu serta mengurai rambutnya. Dia perlukan seseorang untuk dikongsi sedih pilu yang bertandang masa ini. Namun dia tetap bersyukur dia mampu hadapi perkara ini buat kali kedua. Tanpa disedari sejadah biru pemberian ibunya lenjun bermandi airmatanya.


Bab 9:  [التوبة:71] المؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر

Jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi. Lobi airport telah dipenuhi dengan pelajar Malaysia. Semua orang masih menanti-nanti penuh debaran. Namun kelibat Ning belum muncul tiba. Sejak dari jam 9 pagi lagi sudah ada yang datang ke airport semata-mata untuk memberikan ‘penghormatan terakhir’ pada Ning. Ning akan berangkat pulang hari ini.

Ilham tiba lewat sedikit. Jam 10.20 pagi dia sampai ke airport ditemani  3 rakan serumahnya. Mujurlah ada yang memafahami kesedihan yang jelas terpancar di raut wajah Ilham sejak mendapat berita penangkapan Ning. Rakan di bayt Nawawilah yang sentiasa memberikan kata-kata penenang buat Ilham menghadapi ujian ini.Mereka setia mengiring jasad Ilham hinggalah ke tapak airport yang jauhnya kirakira 50 kilometer dari Bandar Damsyik.

Sesampainya di airport, beliau dapati orang telah memenuh ruang legar. Ada yang sudah berangkat pulang. Ilham mulai bimbang, jangan-jangan Ning sudah berlepas. Perlahan-lahan dia merapati kerumunan pelajar Malaysia, masing-masing dilihat sugul. Hanya terdapat dua tiga kelompok yang sedang berbual, manakala yang lain hanya membisu lemah.

Ilham sebenarnya mencari-cari dimanakah Ning berada. Matanya sejak datang tadi terus menumpukan ke arah gerombolan akhawat, menilik seorang demi seorang yang ada di situ. Sebenarnya perbuatan memerhati ke arah akhawat tanpa sebab tertentu amat melanggar adab sebagai seorang mahasiswa agama. Jangankan memerhati, menjeling pun sudah mengundang kritikan rakan lain. Namun waktu itu Ilham tidak hiraukan lagi kata orang. Dia berdiri betul-betul dekat dengan kelompok akhawat, mengintai-intai kelibat Ning.

Setelah puas membelek, Ning tiada. Perasaan hampa mula menyelinap ke jiwa Ilham. Nampaknya dia memang betul-betul lewat. Ning telahpun check-in. Rakan-rakannya hanya bisu membiarkan Ilham melayan perasaannya. Apalah sangat daya lelaki yang memang tidak searif wanita dalam hal hati perasaan ini.

Dalam melayani jiwa hambarnya, tiba-tiba bulu romanya meremang. Sepasang mata coklat hazel sedang bertentang mata dengannya. Biasanya dia akan tundukkan pandangan bila berhadapan dengan situasi sebegini, baik syabab mahupun akhawat. Namun kali ini dia terpaku. Degupan jantungnya mulai deras. Rasa hampa sebentar tadi hilang begitu saja.

Tanpa disedari tuan empunya mata cantik itu bangun dari duduknya. Dengan bertemankan seorang lagi gadis sama tinggi dengannya, mereka berjalan kedepan tepat ke arah Ilham. bagaikan singa mahu menerkam mangsanya, Ilham kecut perut. Begitulah perasaannya tatkala gadis tersebut merapatinya. Entah kenapa perasaan sebegitu muncul dalam dirinya. Dia memang kepelikan.

“Ustaz jangan bimbang, Ning belum check-in  lagi. Dia masih di pejabat imegresen dalam sana.” Humaira cuba menenangkan Ilham. Gadis inilah yang membuat perutnya kecut sebentar tadi. Gadis ini jugalah yang menghilangkan kembali hampanya, lalu mengembalikan sinar harapan bahawa Ning masih sempat untuk diziarahi.

Ilham sedikit lega. Namun kehairanan yang berkubu dibenaknya masih mendekam.
“Kenapa aku takut sangat dengan dia hari ini? Macamana pula dia boleh tahu apa aku rasa? Dia boleh baca perasaan orang ke?” bisik hati kecilnya.

“Oh begitu. Takpelah, terima kasih ustazah.” Ilham terus berundur kebelakang setelah mengucap terima kasih. Baru dia sedari kelompok syabab sudah jauh dibelakangnya.

Ilham duduk dibangku yang agak jauh dari pelajar Malaysia, tetapi masih dalam jangkauan penglihatannya. Fikirannya mula melayani perasaan aneh sebentar tadi. Diketepikan rindu pada Ning buat sementara waktu. Humaira benar-benar membuat hatinya rasa gundah gulana.

Setelah lama mengelamun barulah dia teringat bahawa gadis tersebut memang menjadi buruan ramai jejaka. Tidak hairanlah kalau dia pun terpesona. Cerita-cerita daripada sebilangan syabab memperkatakan sosok dakwah tersebut memang melata.

Dia mulai melupakan kisah tadi. Tiada gunanya memikirkan gadis yang menjadi pujaan ramai. Mungkin dia sudah dipinang orang. Lagipun bak kata orang, kubur isteri masih merah, dah berbini satu lagi. Ning baru sahaja meninggalkannya, takkan begitu cepat hatinya beralih arah.

Tiba-tiba bahunya dicuit. “Bro, jam dah pukul 12.15 ni. Agak-agak sempat tak kita balik sembahyang jumaat ni?” Soalan yang memberhentikan kelana jiwanya.

“Erm, tak tahulah, entah bila Ning boleh keluar.” Ilham bersungut. Dia sendiri tidak mendapat sebarang makluman bilakah Ning akan keluar berjumpa mereka di luar lobi airport. Lantas beliau bangun mendapatkan Kak Shida, kakak angkat Ning bagi mendapatkan kepastian.

“Ustazah Shahida cakap sepatutnya pukul 10.30, tapi entahlah.”  Ilham memberitahu rakan-rakannya sambil berjalan. Dilihat Abang Fakhrul mundar-mandir keseorangan. Baru dia sedari sebenarnya ada hati yang turut sama merasai apa yang dirasanya, malah mungkin lebih dahsyat darinya.

Setelah puas berbincang, akhirnya mereka besepakat untuk meninggalkan airport tersebut. Walaupun Ilham sedikit berat, namun dia sedar tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Lagipun kehadirannya di airport  tidak membantu apapun, dan perginya pun menjejaskan apa-apa. Biarlah akhawat sahaja yang menunggu. syabab harus menunaikan sembahyang jumaat.

Usai meminta Kak Shida menyampaikan salam beserta sekeping nota kecil pada Ning, Ilham bergerak pulang. Sempat lagi dia menjeling ke arah kelompok akhawat, hanya untuk melihat Humaira. Walaupun seribu satu rasa aneh muncul bila berhadapan dengannya, dia tetap suka melihatnya. Sikap nakalnya masih belum terhakis.

Perjalanan pulang yang memakan masa kira-kira setengah jam membuatkan fikirannya sekali lagi terawang memikirkan sesuatu. Kali ini akan kisah-kisah peribadi Humaira. Cakap-cakap orang yang didengar dari beberapa orang syabab cuba dikumpulkan kembali dalam peta mindanya untuk mendapatkan plot yang jelas. Seingatnya, Humaira pernah disunting beberapa orang, malah ada yang mengatakan bahawa beliau sudahpun bertunang.

Yang terbaru didengarinya adalah gosip beliau dengan seorang lagi pelajar, kali ini bernama Hisyam. Beliau adalah pelajar Abu Nor, sebaya Humaira dan putih sepertinya. Dengan mata yang agak sepet, bentuk muka dan ketinggian mereka pun hampir sama. Mereka sama-sama  bekerja di Biro Kebajikan PPMS. Inilah yang seringkali menjadi fitnah dan mehnah kepada organisasi yang menggabungkan tenaga kaum Adam dan Hawa. Ada sahaja yang terpedaya dengan bisikan syaitan yang sedaya upaya memesongkan umat islam, termasuklah semasa menjalankan tuntutan organisasi.

Fitnah sebenarnya bukan bermaksud cerita bohong yang tersebar mengikut istilah melayu, tetapi ianya bermaksud ujian dan cubaan Allah terhadap hambanya.

Walaupun begitu, menjadi kesilapan besar bagi golongan pendokong islam baik aktivis, ahli politik, daie, penuntut ilmu mahupun pencinta islam menolak jalan organisasi gabungan ini. Semua ciptaan ilahi punya kelemahan. Pengembelingan tenaga dari pelbagai latar itulah yang mencipta kesempurnaan amal. Utusan agung SAW sendiri tidak pernah melupakan wanita dalam operasi-operasi dakwah dan jihadnya.

Tiada hukum yang melarang gabungan sihat ini. Yang disebut hanyalah bahaya hubungan ini jika tidak berlandas syariat. Bahkan islam menggesa diwujudkan kesatuan antara mereka yang saling bantu membantu dalam perihal dakwah.

Firman Allah SWT ((المؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر)).

Jelas lelaki dan wanita itu berbezaa, namun jika tanpa keduanya seiring, mereka ibarat sate tanpa lidi, umpama layang - layang tanpa tali, ataupun seperti burung tanpa sayap.


Bab 10: [الصف:4] إن الله يحب الذين يقاتلون فى سبيله صفا كأنهم بنيان مرصوص

Selesai bersembahyang jumaat di Jami` Mansur, Ilham terus mengangkat punggung menuju ke rumah. Sambil mengenakan selipar di luar Jami`, tangannya menyeluk poket seluar. Dicapainya telefon bimbit yang tadinya bergetar semasa khutbah jumaat. Rupa-rupanya itu adalah isyarat mesej dari Humaira mengatakan Ning sudah selamat berlepas. Malangnya tiada seorangpun yang dibenarkan berjumpa dengannya. Dia dikawal ketat sepanjang berada dalam tahanan. Bagasinya hanya diserahkan kepada pihak imegresen. Hanya doa mereka yang mengiringi kepulangan Ning.

Secara tidak sedar fikiran Ilham menerjah kembali susur kisah Humaira yang menerima kunjungan  Hisyam dalam hidupnya. Setahu Ilham, Humaira menyerahkan soal jodoh kepada ibubapanya bulat-bulat. Hisyam pula khabarnya telah beberapa kali berhubung dengan keluarga Humaira. Barangkali mereka berdua sudah punya ikatan rasmi. Sekali pandang, mereka berdua memang secocok bersama.

Apapun, manusia hanya mampu menghukum apa yang zahir. Di sebalik keindahan fantasi Ilham, lain pula realitinya. Humaira hanya mengenali Hisyam selepas sesi taaruf semasa pembentukan Biro Kebajikan. Jejaka yang berlatar belakang sekolah aliran pondok itu tidak didedahkan dengan ilmu-ilmu berorganisasi menyebabkan dia sedikit kekok dalam menjalankan tugas yang diamanah. Dari situlah Humaira selalu menegur dan mengajar baik di dalam mesyuarat, pertemuan mahupun dalam program. Segala apa yang ditunjuk Humaira amat membantu Hisyam meningkatkan kualiti kerjanya. Tambahan pula Hisyam ditugaskan memegang jawatan Setiausaha. Memang dia rajin dan minat menulis, tetapi untuk menulis dalam skema dan format tertentu itu belum pernah dicuba.

Humaira amat mudah berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar. Dia tidak pernah lokek mencurah segala pengetahuannya dalam sesuatu perkara. Dia juga tidak semalu gadis-gadis lain. Baginya sifat malu berlebihan hanya membantutkan perkembangan diri dan merugikan kaum hawa.

Pernah ada satu ketika, semasa Hisyam sedang menghantar Humaira pulang dari mesyuarat ke rumahnya , Humaira secara spontan telah berbicara seperti seorang motivator. Kata-kata semangat dan nasihat diucap buat Hisyam agar terus mempertingkatkan kualiti kerjanya.

“Ustaz boleh sebenarnya. Mahu tak mahu je. Cuma perlu sedikit kerja keras dan fokus.” Ujar Humaira penuh semangat. Dalam tidak sedar, Hisyam mula tertarik dengan perwatakan Humaira. Tugas baru yang diamanahkan padanya dirasakan amat ringan dan seronok hasil dari tunjuk ajar gadis ikon tarbiyyah itu.

Sejak dulu lagi Humaira terkenal sebagai tempat meluah masalah dikalangan rakan-rakannya. Menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah perselisihan, salah faham atau perbalahan memang menjadi tugas tetap beliau sejak dari persekolahan. Pernah juga dia diminta untuk menyelesaikan ketegangan yang berlaku antara syabab dan akhawat.

Humaira tidak pernah memilih dalam berkawan. Walaupun semasa zaman sekolah gejala berpuak-puak melanda batchnya, dia tidak terpengaruh. Semuanya dianggap satu puak. Lebih hebat dari falsafah 1Malaysia mungkin.

Terpesona dengan kehebatan Humaira, Hisyam semakin asyik dengan tugasannya. Setiap tugasan yang diamanah sengaja dirujuk pada Humaira walaupun adakalanya tugasan tersebut telah jelas difahami.

Hari demi hari, perasaan suka semakin membunga di taman hatinya. Kemaruk yang melanda Hisyam membuatkan dirinya seolah dilanda kemarau panjang, kehausan mendamba kasih saying seorang insan. Walaupun begitu, Humaira masih tidak menyedari perubahan yang berlaku pada diri Hisyam itu. Baginya bantuan yang dihulur sejak dahulu atas dasar amanah dan tolong-menolong semata-mata. Tambahan pula bukan Hisyam seorang yang menerima nasihat darinya. Ramai lagi kenalan yang suka dengan cara gadis kecil molek itu berkomunikasi.

Perkara itu berlanjutan hinggalah pada suatu hari dalam perjalanan pulang  dari Mujamma` Fatah, Humaira yang sedang berjalan bersama Syafiza disapa dengan nada yang agak tinggi oleh seorang lelaki dari belakang. Ditolehnya ke belakang, rupa-rupanya Hisyam yang baru pulang dari solat Maghrib di Jami` Mahyuddin.

Teragak-agak juga mereka, takut-takut Hisyam menegur orang lain. Setelah lama mengamati, memang betullah Hisyam memanggil mereka. Jam di tangan menunjukkan sudah pukul 8.20 malam. Mereka mengagak ini mesti sebab berkeliaran di luar rumah tanpa mas`ul (pengiring lelaki). Cemas juga mereka apabila Hisyam meluru tepat ke arah mereka meredah lautan manusia yang sibuk berurusan di pasar jumuah.

“Ustazah, buat apa lagi malam-malam ni? Mana mas`ul?” Tanya Hisyam dengan wajah yang agak serius. Mereka hanya tunduk malu. Memang salah mereka. Mengikut etika yang ditetapkan PPMS, akhawat  dilarang keluar rumah selepas jam 8.00 malam tanpa mas`ul.

Mereka pula keluar dari Mujamma` jam 7.30, akan tetapi kesibukan kota Damsyik menyebabakan perjalanan pulang memakan masa lebih setengah jam. Sesampainya di kaki Banjaran Qasiyun, mereka perlu berjalan kaki menelusuri Pasar Jumuah untuk sampai ke rumah. Menjadi adat wanita, suka menjamu mata melihat barangan yang dijual jika berada di pasar.

Akhirnya setelah keduanya meminta maaf, Hisyam menawar diri untuk menghantar mereka pulang hingga depan pintu rumah. Mereka hanya mampu untuk bersetuju. Sepanjang perjalanan Hisyam asyik berleter dan marah-marah. Raut wajah berkerut jelas menunjukkan dia sedang marah. Melihat perlakuan aneh Hisyam itu.

Humaira naik hairan. Belum pernah ada syabab yang berleter sedemikian rupa hanya kerana kesalahan kecil itu. Farid, sepupunya sendiri pun tidak sebegitu. Lagak lakunya tak ubah seperti seorang abang yang meleteri adiknya. Rasa pelik dan sceptic  terhadap Hisyam mula timbul dalam diri Humaira. Hisyam yang dikenalinya dulu adalah seorang yang pendiam dan pemalu.

Walaupun begitu, rasa seronok sepanjang bekerja bersama Hisyam timbul. Beliau pandai bergurau. Letih Humaira menguruskan Lajnah Kebajikan terassa hilang tiap kali melayani karenah Hisyam. Gurauan beliau menyebabkan Humaira sering terlupa akan beban tanggungjawab yang sedang ditanggung. Biasalah, andai teruna dan dara berdua, pasti iblis ada bersama. Namun mereka tidak pernah berkongsi sebarang hal peribadi.

Setelah hampir empat bulan saling mengenali, Hisyam membuat keputusan untuk lebih mendekati Humaira, lebih dari sekadar rakan sekerja. Langkah pertama yang diambil adalah menghubungi keluarga Humaira di Malaysia. Acap juga Hisyam menelefon Ibu Humaira. Dia mendapatkan maklumat mengenai keluarga gadis itu dari sepupunya, Farid.

Hisyam juga seorang yang peramah. Dia senang rapat dengan semua orang. Sifat mesra alam itu membuatkan dia tidak kekok langsung bercakap dengan ibu Humaira, seolah-olah sudah lama kenal. Sengaja Hisyam menggelar Ibu Humaira dengan panggilan emak agar ibunya senang menghidu niat sucinya sebelum berterus terang.

Hari berganti hari, kocakan perasaannya semakin kencang. Kerana sudah tidak mampu melupakan Humaira lagi, akhirnya dia tekad untuk meluahkan apa yang sekian lama terbuku di hatinya. Setelah bait-bait bicara diatur rapi, beliau terus menghubungi Humaira pada suatu petang. Waktu itu Humaira sedang menolong rakannya mengemas rumah  kerana ingin berpindah ke rumah sewa baru.

Lamaran Hisyam disusun penuh tertib. Dari awal perbualan mereka di talian, Humaira sudah dapat mengagak Hisyam ada hajat besar yang ingin diberitahu. Dia tidak begitu terkejut tatkala lafaz cinta diungkap dari jejaka tersebut. Malahan dia seolah-olah mengambil ringan akan hal tersebut. Hisyam memang pandai mengambil hati sang wanita. Perbualan yang memakan masa hampir 20 minit itu dihiasi dengan gelak ketawa dan senyuman. Humaira langsung tidak menyedari bahawa dia sedang diperhatikan rakan-rakan yang turut sama menguruskan rumah yang bakal ditinggalkan itu.

Hisyam tidak seperti Izzat dalam melamar. Dia lebih berhati-hati dalam setiap tindakannya. Dia tidak pernah mendesak Humaira menerimanya sebaliknya membiarkan sahaja Humaira berfikir selama mana yang dia mahukan. Sepanjang tempoh yang diberikan, mereka masih berhubung seperti biasa.

Sebenarnya, sebelum menerima jemputan Hisyam untuk mendiami kamar hatinya, Humaira terlebih dahulu di lamar seorang lagi jejaka, Fadhil namanya. Lamarannya sedikit berhemah dari Izzat kerana memberi ruang masa untuk Humaira selama dua minggu sebelum memberi keputusan.

Walaubagaimanapun ianya tak seindah yang diharap. Sebelum sampai waktu yang dijanji, Fadhil telah menuntut keputusan dari Humaira menyebabkan dia menerima nasib sama seperti Izzat.

Layanan yang diberikan Hisyam pula sedikit sebanyak membantu lamarannya. Kali ini Humaira agak serius memikirkan tentang harapan Hisyam itu. Selain menghubungi ibunya bertanyakan pendapat, Dia juga ada berbincang dengan Syafiza serta beberapa rakan serumahnya. Seperti semasa lamaran Izzat dan Fadhil, Humaira juga melakukan istikharah memohon supaya Allah menujukkan pilihan terbaik untuk hidupnya.


Bab 11: [الأنفال:64]لو أنفقت ما فى الأرض جميعا ما ألف بين قلوبكم ولكن الله ألف بينهم

Ilham menghela nafas panjang. Jam sudah menunjukkan pukul tiga petang. Sepatutnya dia sudah berada di kelas waktu ini. Dia berjanji dengan Zaki untuk datang awal hari ini. Entah mengapa semangatnya tika ini luntur tak berseri. Kerut dahinya jelas menampakkan keadaannya memikirkan sesuatu. Hanya kakinya sesekali bergerak mengalih posisi duduk.

“Yallah,bidna nusakkir!” Teriakan siak masjid memecah lamunan panjang Ilham. Dia mulai bangun lalu melangkah ke arah pintu keluar. Selepas solat asar tadi, dia tidak bangkit dari tempat duduknya hinggalah tinggal dia dan siak sahaja dalam masjid.

Kepalanya masih tertumpu ke arah perbualan beliau dengan Farid beberapa hari lepas. Gosip mengenai sepupunya, Humaira diceritakan pada Ilham. Hisyam pula kini sedang mencuba nasib menawan hati Humaira. Setahu Ilham, hanya Izzat yang asyik menyebut-nyebut nama Humaira.

Menurut Farid, Hisyam sedang berkira-kira dengan keluarga Humaira untuk melangsungkan perkahwinan di sini. Pada mulanya Ilham tidak begitu mengambil endah akan hal tersebut. Tiada apa yang nak dihairankan. Dah ramai yang melangsungkan perkahwinan semasa belajar di sini. Tetapi sejak hari ini hatinya gundah gulana. Seolah cemburu. Walaubagaimanapun Ilham masih lagi tidak dapat mentafsirkan perasaannya itu. Adakah perasaan cemburu kerana tidak dapat berkahwin di Syria? Ataupun cemburu kerana pasangan Hisyam adalah Humaira?

“Sebenarnya Humaira tak berapa berkenan dengan Hisyam tu. Tapi mungkin sebab dah bosan melayan lelaki yang tak putus-putus muncul dalam hidupnya, dia suruh ibunya terima saja. Ikutkan aku pun kurang setuju. Keluarga Hisyam berbeza dari adat keluarga belah kampung kita.” Keluh Farid. Terus Ilham merasa bengang terhadap Hisyam kerana membuat Humaira berada dalam kesempitan.  Walaupun mereka berdua tiada sebarang pertalian keluarga, Ilham seolah memahami perasaan Farid yang kecewa dengan keputusan terdesak Humaira. Dia tidak sangka sampai begitu sekali Hisyam menaruh harapan.

Bagaikan mengetahui perbualan antara Farid dan Ilham, beberapa hari selepas itu Rashid yang merupakan ahli baytnya pula mengeluarkan pandangan. “Daripada Hisyam dengan Humaira, rasa elok lagi kalau kau yang kahwin dengan dia.” Muka Ilham berubah merah sejurus kata-kata Rashid itu menjengah ke telinganya. “Eh, kesitu pulak. Humaira tu kan dah tunang orang. Berdosa kalau aku kacau dia. Lagipun dia bukan taste aku la. 

Garang, tak romantik!” Tegas Ilham.

Siapa tak kenal Humaira. Berani tak bertempat. Ilham sendiri pernah terkena dek Humaira. Ketika usia mereka baru empat bulan di Syria, Ilham sudah ditegur supaya memotong rambut panjangnya yang belumpun menutup telinga. Perasaan meluat pada Humaira bertambah seminggu selepas itu, apabila dia menyuruh supaya memadam gambar akhawat yang berada dalam friendsternya. Gadis tersebut amat teliti dalam soal hukum dan pantang larang agama.

“Mana kau tahu dia dah bertunang? Dari dulu lagi kita dengar dia dah bertunang. Tapi ada je orang cuba taqdim dia sampai hari ni. Rasanya kau kena tanya dia sendiri. Mana tau kot-kot nanti lekat kat kau. Rezeki beb. Kau pun dah lama menyolo.” Sindir Rashid sambil mengangkat keningnya menduga respon Ilham.

“Hahaa. Banyak la kau. Kubur masih merah lagi der.” Ilham berkias. Empat bulan Ning meninggalkan Syria, namun namanya masih segar dalam ingatan Ilham. Tambahan pula Ilham pernah berjanji untuk setia menunggunya dan tidak mencari yang lain selagi Ning tidak berkahwin.

Begitulah llham. Seringkali diusik untuk mencari pasangan. Ada saja yang dikeneng kawan-kawannya. Humairalah antara nama yang menjadi pilihan ramai untuk mengusik Ilham. Itu disebabkan walaupun Ilham menafikannya, raut wajahnya yang akan berubah jika nama itu disebut tidak dapat menipu.

Dalam ralit mengelamun, dia tidak sedar kakinya telah mencecah pintu Mujamma` Fatah. Lamunan dihentikan dan dia mula fokus untuk memulakan pembelajaran hari ini. Tatkala menolak daun pintu kelas , rupanya Zaki lebih dulu sampai darinya. Sekuntum senyuman sinis dilempar pada Ilham membuatnya tersipu malu kerana telah melanggar janji. Mujur lecturer masih belum sampai.

“Awal sampai bang. Tak habis-habis lagi ke mengelamun. Gi jela taqdim budak tu. Susah aku tengok kau ni.” Perli Zaki. Sesinis senyumannya, sinis lagi buah katanya bagaikan mengetahui apa di hati Ilham. Masakan tidak, Zaki adalah tempat Ilham mencurah segala rasa di hati sejak datang ke Syria. Zaki jugalah antara yang memberi semangat untuk terus kekal di Mujamma` Fatah d saat senior lain mendorong untuk berpatah balik dari mula. Segala rahsia hati Ilham segar dihafal Zaki saban hari. Kelas mereka yang biasanya lengang membuatkan ruang tersebut digunakan untuk bercerita dan bersembang setiap kali ke kelas.

“Kau rasa patut ke aku gi taqdim? Bukan ke ramai yang dah berebut? Tak jadi masalah ke? Nanti apa pula kata Izzat? Mengamuk dia nanti kalau dapat tahu kawan baik dia ni nak rampas ‘kekasih hatinya’?” Tanya Ilham teragak-agak.

Dia sedar,hidupnya sunyi sekarang. Walaupun luarannya beliau tabah, namun untuk mengharungi jalan yang masih panjang ini dirasakan tidak mampu bersendirian. Bukan berniat untuk terus berkahwin, cuma berharap jika dirinya punya seorang gadis yang sudah menghuni hatinya, pintu akan tertutup untuk meliar mencari mangsa lain. Dia ingin buang sifat berfoya-foya lamanya. Cukuplah satu untuk mententeramkan jiwa muda laranya.

Ning yang dianggap cinta terakhir dulunya kini telah mengqisas Ilham akibat kejahatan lama. Ilham tidak langsung berdendam pada Ning, cuma masih belum mampu untuk meninggalkan perempuan dalam hidupnya. Dia sedar dia bukan wali, imannya tak seperti rakan-rakannya yang lain, dia tidak sesuci pelajar agama lain. Kotoran lama di hatinya yang menghitam bukan senang untuk ditanggalkan. Cuma dia berharap dengan seorang gadis yang dimiliki, dengan janji untuk sehidup semati di atas jalan yangsah suatu hari nanti, dapat menipu hati kecilnya untuk tidak lagi menoleh pada wanita lain kerana misinya untuk menawan lubuk ilmu tidak boleh dicemari dengan bisikan bisa wanita.

“Dia boleh jaga kau. Kau kata nak berubah. Nak aku usha dia dulu tak? Aku ada je kaki yang boleh tolong.” Tanya Zaki penuh bersahaja. Semakin menguntum bibir Ilham. Teringat dia pesanan Rashid beberapa hari lepas.

“Betul ke ni? Elok juga. Ikut kau lah.” Jawab Ilham jual mahal. “Tapi dengan satu syarat. Kau kena janji dengan aku kalau dia betul-betul solo, kau pergi taqdim terus ye. Janji?” Zaki semakin menduga Ilham. Matanya melirik tajam ke arah Ilham. Terbahak-bahak Ilham ketawa, menyembunyikan kegembiraan di hati. Hanya ucapan insyaAllah yang mewakili janjinya.

Begitulah mereka berdua. Saling tak tumpah macam adik beradik. Walaupun perangai mereka berdua berlainan, tapi mereka serasi bersama. Mereka naik sebagai exco bersama, kekal dalam kabinet 2 tahun bersama, sama-sama meraih kecemerlangan akademik di Malaysia dan Syria dan sama-sama suka hidup simple.


Bab 12: [البقرة:186] وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِي إِذَا دَعَانِي
                                             
Menjelang malam, saat Ilham pulang menuju ke rumah, fikirannya masih tertanya-tanya, adakah betul apa yang dia lakukan sekarang? Bolehkah dia beralih arah pada Humaira ? Inikah seru yang disebut-sebut orang? Ataupun hanya muslihat nafsu keranjang semata-mata?

Banyak persoalan di dadanya yang masih belum terjawab hari ini. Humaira yang dulunya dianggap musuh ketat kini membuai sayang di kelopak matanya. Humaira yang dulunya dilihat bagai singa betina kini menjadi merpati manja yang mengasyikkan khayalan.

Jika dinilai mengikut waras akal, mereka berdua ibarat langit dan bumi. Ibarat jauhari dan manikam. Habitat mereka berbeza, alam mereka juga berbeza. Sang malaikat kini menjadi igauan Jin mafia. Pungguk hina kini bercita-cita menggapai bintang suci di angkasa. Adakah semua fantasi terlampau ini mampu menjadi realiti?

Persoalan itu hanya mampu dijawab oleh Sang Pengasih. Dia tempat yang paling sesuai untuk diajukan semua teka-teki ini. Selama ini Ilham tidak pernah mengadu soal sebegini pada pemilik jiwanya. Tika Ilham dikecewakan oleh manusia dulu, Dialah tempat Ilham meluah segala kesengsaraan. Tika Ilham ketakutan menghadapi peperiksaan pertamanya di Syria, di saat ramai mata yang memerhati serong dan memandang rendah keupayaannya memilih peringkat ijazah, Dia jugalah yang menguatkan semangat Ilham. Tika kekusutan gerakerja PPMS menimbun tinggi, santunNyalah yang merungkai segala. Hari ini tika hati Ilham membunga bahagia, jalan lain didahulukan untuk mencari penyelesaian. Di saat hatinya mendamba kasih manusia, kasih Pencinta Agung yang tak bertepi diabaikan.

Ilham kesal dengan sikapnya, seolah kacang lupakan kulit. Tuhan tak pernah menutup ruang munajat hamba padaNya. Tetapi hamba hanya mengenal tuhan tika kesempitan, hanya di ketika tiada tempat lain untuk bergantung lagi. Nikmat menggunung yang dianugerah padanya tidak langsung diminta balas, bahkan dengan dosa-dosa jijik yang bertimbun dilakukan Ilham dahulu, tuhan masih mahu memberinya nyawa. Sedangkan 40 tahun dihabiskan di atas tikar ibadat pun belum tentu dapat membalas walaau satupun nikmatNya, inikan pula dirinya yang bergelimpangan dengan dosa saban ketika.

Dia semakin takut. Takut-takut rasa cintanya terhadap manusia tidak mendapat perkenanNya. Dirasakan itulah penyebab dia dikecewakan dahulu, kerana mendahului keputusan akal dari keputusan Ilahi. Dia tahu tuhan amat murka pada hambanya yang menyombong dan tidak mahu meminta. Sedangkan manusia pula murka bila orang asyik meminta-minta. Pemurahnya tuhan, ujian yang ditetapkan sebenarnya untuk melihat hamba itu kembali ke pangkuanNya, menyedarkan kembali bahawa mereka punya tuhan yang amat Penyayang, yang tidak akan pernah menutup pangkuanNya untuk setiap yang bersalah.

Tidak sedar air jernih membasahi kelopak mata Ilham. Sampai bila lagi dia ingin seperti ini. Dia sedar dirinya sedang menuju penghujung hayat. Mungkin esok, mungkin lusa, mungkin sekejap lagi. Dia perlu ikhlaskan setiap tindak tanduknya dalam baki usia ini untuk meloloskan diri dari seksaan hari muka. Dia takut neraka Allah, namun dia tahu dia tidak mampu menempah syurga dengan keadaannya sebegitu. Mulai saat ini biarlah hanya Allah yang menjadi tujuan segala lakunya.

Dengan membulatkan tekad di hati, Ilham mulai bangkit dari katilnya menuju ke bilik air. Paip dibuka sambil kepala ditunduk penuh zuhud. Tatkala kulitnya mencecah air yang mengalir keluar, dipasangnya niat bersuci kerana Allah lalu ditertibi rukun wudhu` satu persatu. Semoga setiap titisan air yang jatuh dari anggota badan Ilham mengheret semua dosa-dosanya keluar dari jasadnya lantas menyirami bumi tak bersalah ini.

Usai melaksanakan wudhu`,  terus dihamparnya sejadah hijau usang yang terlipst kemas di sudut almari. Ilham amat rindu untuk sujud sekali lagi di atas sejadah tersebut. Bukan kerana kelembutan fabriknya, tapi dek tidak sabar untuk berkomunikasi dengan Tuan punya dirinya, mengaju semua masalah yang dihadapi, seterusnya menyatakan rasa cinta menggunung saat itu.

Tanpa membuang masa lagi, Ilham memilih taubat sebagai niat pertama berdirinya dia diatas helaian empat segi tersebut. Dalam samar cahaya neon luar biliknya, dia mengangkat tangan bertakbir menandakan semua dunia dicampakkan ke belakang dan hanya Allah sahaja yang berada dihadapannya. Dengan penuh cermat dia menjalankan rukun solat satu persatu.

Tatkala dahi mencecah bumi untuk sujud pertama, dia sudah tidak memiliki jasadnya. Diserahkan sepenuhnya diri itu pada takdir ketentuanNya. Nikmatnya solat saat itu! Sembah sepenuh hati dirafa` ke hadrat Ilahi. Dia bangun kembali selepas membaca zikir yang dituntut, menantikan sujud seterusnya dalam penuh kerinduan. Matanya tidak sedikitpun berganjak dari tempat sujudnya dalam setiap rukun fi`liy yang dilakukan. Dia malu untuk mengangkat kepalanya walau seinci kerana mengenang perlakuan nistanya selama ini.

Tiba saat sujud terakhir, sekali lagi dia tunduk menghempas mukanya ke tikar sejadah usang itu. Dalam lemah sujudnya itu, rayuan rindu mula berputik di hati, mendamba ampun kekesalan atas segala kelalaian yang dilaku selama ini. Ucapan syukur dinukil dengan deraian airmata atas kasih sayangNya yang masih mahu memberikannya peluang taubat sehingga hari ini. Dia langsung tidak meminta sesuatu sepanjang solat taubatnya. Hanya ampun dan syukur yang meniti dalam panjatan munajatnya.

Usai solat taubat, dia bangkit lagi mengalih kedudukan, lalu meneruskan dengan solat hajat. Dalam doanya, dia menggugus seribu harapan agar tuhan menjadikan pilihan hatinya adalah pilihan terbaik untuknya. Rimbunan hajat agar dirinya tidak terhalang dari jalan juang jika ditakdir berkongsi hidup bersama insan lain suatu hari nanti, juga dipohon selebat azamnya.

Tiba giliran solat istikharah, dia berdiri sejenak. Dahinya tiba-tiba berkerut panjang. Ditelannya airliur beberapa kali. Lalu matanya mula menjengah ke rak kitab yang berdiri megah dihadapannya. Dalam susunan lebih 200 buah bahan bacaan pelbagai genre itu, matanya melilau melewati setiap tajuk buku-buku tersebut seolah-olah kehilangan sesuatu.

Setelah lama mengamati, dicapainya sebuah kitab kecil bertajuk ‘Assolat Ala Mazahibil Arbaah’ (الصلاة على مذاهب الأربعة). Dibelek cermat kitab tersebut sehinggalah matanya terpaku pada satu halaman.
Rupa-rupanya Ilham mencari kaedah solat istikarah. Ini merupakan kali kedua dalam hidupnya dia melakukan solat tersebut selepas yang pertama ditunaikan pada tahun 2007 dulu untuk memilih tempat menyambung pengajian. Itupun atas nasihat guru-guru dan rakan-rakan yang prihatin.

Istikharah merupakan jalan yang diajar islam ketika umatnya berada dalam dilemma memilih jalan di sepanjang persimpangan hidup. Pabila manusia sudah berbelah bahagi untuk membuat keputusan berdasarkan pilihan yang ada, maka tuhan mensyariatkan sembahyang dua rakaat seterusnya berdoa supaya dibukakan hati membuat pilihan tertentu. Tidak cukup dengan sekali, ia mestilah dilakukan sentiasa selagi isyaratnya belum kelihatan. Antara isyarat yang biasa adalah melalui mimpi. Ada juga yang dicondongkan keinginan hati kepada salah satu pilihan yang ada. Ada juga yang hanya ditunjuk selepas melakukan pilihan. Kadang-kadang pilihan terdahulu yang dibuat itu tepat, kadang- kadang menyimpang dari pilihan Allah.

Jika isyarat yang diterima memberikan sesuatu pilihan, manusia mestilah mengikut pilihan tersebut kerana samada manis ataupun pahit, itulah pilihan Allah SWT. Sudah tentulah itu adalah pilihan terbaik dan berkat kerana hanya Dia yang mengetahui hakikat hari-hari mendatang. Jika kita menolak keputusan tersebut dan memilih jalan selainnya, akan pincanglah kehidupan manusia di hari seterusnya.

Sebenarnya, dari awal istikharah yang Humaira lakukan, isyarat telah beberapa kali menjengah melalui mimpi tetapi dia masih tidak menyedari akan hal terbabit. Baginya itu hanyalah mimpi biasa mainan tidur. Mungkin akibat tidak membaca doa tidur atau lupa basuh kaki (mengikut ajaran orang melayu dahulu kala)., Humaira membiarkan sahaja mimpi tersebut walau telah berulang beberapa kali.

Humaira memulakan siri istikharahnya semenjak dilamar kali kedua, iaitu ketika Izzat muncul dalam hidupnya. Mimpi pertamanya hadir dengan kelibat tubuh seorang lelaki berkemeja petak dengan warna coklat muda. Humaira seakan mengenali kemeja tersebut. Namun dia tidak dapat mengecam siapakah gerangan tuan empunya kerana lelaki yang mengenakan kemeja bukannya sedikit. Lebih-lebih lagi golongan agamawan yang amat sinonim dengan kemeja dan baju-baju longgar lain seperti jubah dan baju melayu.

Kali kedua isyarat itu semakin jelas. Kali ini dalam bentuk suara. Babak mimpi tersebut dimulakan dengan Humaira berada di dalam sebuah kafe siber untuk menggunakan perkhidmatan panggilan antarabangsa yang banyak tersedia di Syria. Dalam bayangan tersebut muncul beberapa kelibat lelaki yang turut sama menggunakan talian tersebut. Tersusun satu persatu potret lelaki, diantaranya ada yang tidak dikenali. Ada juga beberapa lelaki yang pernah melamar beliau. Semasa Humaira duduk di kerusi menghadap komputer untuk memulakan panggilan, seolah wajah-wajah tersebut menunggu panggilan dari Humaira. Tatkala mengucap salam, hanya seorang yang menjawabnya. Wajahnya masih kesamaran, namun sudah boleh dibezakan mengikut bentuk wajah dan ton kulit.

Hanya ada beberapa lelaki yang memiliki rupa seperti itu dalam memorinya. Mungkinkah Ilham? Kebetulan saat itu memang mereka berdua banyak berhubungan. Mereka sedang mengatur rancangan untuk mengadakan jaulah batch sempena meraikan kehadiran ustaz-ustaz yang bertandang ke Syria mengiringi beberapa orang pelajar baru dari Darul Fikri, Kuantan.

“Ish…takkan dia kot. Mungkin sebab aku banyak habiskan masa berbincang dengan dia kot kebelakangan ini. Sebab tu muncul dalam mimpi” Fikir Humaira menenangkan hati. Dia tidak fikir itu adalah isyarat bagi istikharah yang dilakukannya. Lalu diteruskan lagi istikharah tanpa jemu mengharap jawapan terbaik darinya.

Seperti Ilham, Humaira juga tidak sukakannya. Pada pandangan Humaira Ilham agak ganas, selekeh dan kebudak-budakan. Dia tidak yakin adakah lelaki tersebut boleh menjaganya. Dia hanya menghubungi Ilham jika tiada syabab lain yang boleh membantu. Pernah suatu hari Humaira serta rakan-rakan meminta tolong Ilham menemani mereka ke pameran buku di Maktabah Asad, tempat yang menyimpan berbagai khazanah ilmu turun temurun yang terbesar di Syria. Dengan jeans londeh dan baju lusuh yang dikenakan Ilham, Humaira teragak-agak untuk berjalan diiringinya. Kebimbangan seperti berjalan sendirian tanpa mas`ul masih tidak hilang dengan adanya Ilham.

Pernah juga Humaira memikirkan secara serius hubungan mereka berdua jika disatukan. Natijahnya amat mengerikan. Tentu Humaira akan berubah menjadi seganasnya. Jika tidak pun, tentu perang besar akan meletus kerana masing-masing tidak mahu merubah imej lama.

Bagaimana singa mahu diajar memakan sayur dan bagaimana ikan ingin dibiar berenang di darat, begitulah susahnya dirasakan hidupnya nanti untuk mentarbiah orang seperti Ilham jika ditakdir bersama. Ilham bukannya tidak celik agama, bahkan best student dikalangan rakan-rakannya. “Sudah tentulah ilmunya lebih tinggi dariku.” Keluh Humaira.

Perkara tersebut difikir lantaran usikan rakan-rakannya termasuk Farid sendiri. Humaira hairan dari sudut manakah mereka menilai, kerana dari rupa fizikal pun sudah tidak menampakkan keserasian. Ilham berkulit gelap, tinggi dan berbadan sasa manakala Humaira agak cerah kulitnya serta memiliki tubuh kecil molek. Faktor latar keluarga juga berbeza. Bapa Ilham merupakan bekas wakil rakyat manakala keluarga Humaira hanya nelayan biasa. Perangai? Jauh sekali!

Kerana tidak ingin memikirkan lagi soal jodoh, lantaran jawapan dari istikharah yang masih tak kunjung tiba, dia berfikir mungkin jawapannya datang melalui kecondongan hati. Kala itu, dirinya merasa senang dengan seorang lelaki bernama Hisyam.

Dia sebenarnya menunggu juga Ilham mengetuk pintu keizinan darinya kerana berfikir mungkin mimpi itu benar. Tapi melihatkan reaksi Ilham yang seperti tidak mengendahkannya langsung, ditambah dengan perasaan sayangnya yang masih kuat terhadap Ning, tak mungkin si dia pilihan yang Allah tetapkan buat dirinya.


Bab 13:[الصف:3] كبر مقتا عند الله أن تقولوا ما لا تفعلون

Lambaian azan memecah kebuntuan pagi. Hening subuh memancar sirnanya di ufuk timur menandakan tiba masanya umat manusia perlu bersujud lagi menyembah syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dibangkitkan sekali lagi. Kicauan burung berselang seli dengan gema azan seolah menjawab alunan membesarkan Allah itu.

Dalam lindungan bangunan tinggi sekitar kota Damsyik, Ilham menggosok-gosok kelopak matanya. Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Ilham lewat lagi. Telefon bimbitnya yang ditindih secara tidak sedar semasa tidur membuatkan penggera yang disetnya dengan nada gorengan gitar kumpulan scorpion tidak kedengaran. Sepatutnya telefon bimbit tersebut bertugas mengejutkannya jam 3.30 pagi.

Ilham tidak terus bangkit dari kamar beradunya. Benaknya merewang mengenangkan mimpi yang menjengah malam tadi. Dadanya berombak kencang seolah-olah mimpi tersedut benar-benar dilalui di alam realiti sebentar tadi. Dilihatnya sekali lagi jam dan sekitar ruangan bilik, takut-takut tersilap dek kemamaian.

Bayangan yang hadir dalam mimpinya itu melakar ilusi sebuah keluarga bahagia terdiri dari ayah, ibu dan beberapa orang anaknya sedang bersama beliau. Mereka berceloteh mesra seolah-olah Ilham merupakan sebahagian dari keluarga tersebut. Yang pastinya watak ibu dan ayah tersebut bukan Ummi dan Papa.

Di samping itu terdapat seorang gadis yang dikira anak kepada sang ayah itu. Wajah itu amat dikenalinya. Wajah yang sedikit sebanyak berjaya mengubat dukanya satu masa dahulu. Wajah yang membuat dirinya terjerumus dalam lembah persoalan yang penuh tusukan tanda tanya. Wajah itulah yang sentiasa mengisi ruangan travel log dirinya semenjak berada di Syria dalam berbagai sketsa dan watak.

Tidak syak lagi itulah Humaira, gadis yang digilai sebilangan jejaka itu. Rasa bangga dan syok sendiri berkuntum di taman hatinya mengenangkan kehadiran gadis tersebut. Sebentuk senyuman terukir dalam kegelapan fajar itu. Hatinya begitu terpesona dengan kehadiran gadis kecil itu. Dengan fesyen muslimah yang dikenakannya, Humaira seolah bidadari suci turun menjemputnya ke syurga.

Selesai solat berimamkan Syeikh Nizar Kurdi, anak bongsu arwah qari syam terkenal, Syeikh Mahyuddin Kurdi, Ilham kembali duduk di hamparan tilamnya sambil tangan memegang naskhah ma`thurat wazifah sughra yang dicapainya dari atas meja. Memang menjadi kelaziman seorang yang menganggap dirinya pembela agama untuk sentiasa menghiasi diri dengan himpunan zikir-zikir dari Al-Quran dan hadith. Ianya sebagai pendinding dalaman dan luaran para duat menempuh ranjau berduri yang dijanjikan buat pencinta kebenaran.

Kepalanya didongak ke siling kamar. Ma`thurat susunan Imam Hassan al-Banna itu masih digenggam kemas tanpa berbelek. Mimpi tadi masih mencuri perhatiannya. Pertama kali dalam hidupnya dia terasa bahagia dengan sebuah mimpi. Mimpi itu lain dari yang lain. Seolah-olah mimpi itu hidup. Dia ingin sekali kekal dalam mimpi tersebut. Tiada langsung kekusutan dalam fikirannnya. Hanya ketenangan dan kebahagiaan menyelubungi dirinya.

Hari ini merupakan hari ketiga dia melakukan istikharah. Dia amat yakin mimpi itulah petanda istikharahnya. Tuhan telah memilih untuknya memulakan hidup berpasangan. Namun watak dalam mimpi itu masih menjadi kemusykilan. Betulkah itupun merupakan calon pasangannya yang ditetapkan Allah? Atau hanya gimik bagi menyampaikan maksud perlu berpasangan sahaja? Ilham menduga diri. Keraguan mula timbul saat dia mengukur Humaira ke badannya.

Dalam usrah yang selalu diikuti saban minggu, dia selalu menekankan kepada ‘adik beradiknya’ soal keyakinan dan kepercayaan kepada tuhan dalam setiap liang hidup. Hanya dengan keyakinan seseorang mampu bertahan walau segetir manapun dilanda badai cabaran. Keyakinan jualah mengundang karamah ajaib yang mampu mencabar hukum alam. Yakin Allah itu wujud, Maha Berkuasa dan Maha Penentu Segala. Hanya Dia yang memberi manfaat dan mencipta mudarat.

Takutkan Allah, makhluk akan takut kita. Teringat cerita Imam Ahmad bin Hanbal yang hanya mengirim sebelah seliparnya untuk dijadikan ubat bagi mengusir jin dari tubuh anak seorang raja Iraq pada zamannya. Juga kisah Saidina Umar yang ditakuti ramai musuh sehingga syaitan sendiri tidak berani melalui jalan yang telah dialui Saidina Umar. Semua itu berpunca dari keyakinan yang tiggi bahawa Hanya Allah yang wajib ditakuti dan padaNyalah kunci penentu segala ketentuan.

Kali ini dia diuji dengan kata-katanya. Adakah dia akan yakin dengan pilihan Allah atau masih ragu-ragu? Melafaz tidak sesenang mempraktik. Mengarah tidak semudah melaksana. Berada di atas tidak seperit menampung di bawah. كبر مقتا عند الله أن تقولوا ما لا تفعلون)))) Tuhan melaknat hambaNya yang bercakap tak serupa bikin.

Kebuntuan semakin mencecah ke pangkal otak. Jika benar itu takdir yang telah ditetapkan, bagaimana harus Ilham mulakan langkah? Dia tidak pernah meluah perasaan cinta walau pada seorang wanita pun. Walaupun hidup silamnya dikelilingi ramai gadis, itu hanya untuk suka-suka. Untuk menjadi permaisuri, hanya Ning yang pernah dicubanya. Itupun masih tidak meluah perasaan cintanya sehinggalah dipaksa oleh ramai pihak termasuk keluarga Ning sendiri. Dia hanya pandai menarik hati wanita sahaja, tanpa mengenal keinginan kaum hawa itu. Nilaian lafaz cintanya amat mahal dan bukan standard jalanan.

Bagaimana untuk melamar seorang gadis sunti yang teramat suci itu pula? Adakah dia perlu turut berupa seperti malaikat? Berjubah putih, dengan serban menutup kepala dan butang dikancing rapat? Atau bertutur menggunakan frasa dalam quran dan hadis semata-mata? Dia runsing. Tak mungkin Humaira akan menerimanya dalam keadaan dirinya sekarang.

“Takkan aku nak berubah kerana seorang gadis? Boleh ke aku istiqamah untuk melazimi perubahan tu lepas aku dapat dia nanti kalau niat berubah pun dah lari?” Fikir Ilham. Kepalanya ligat mencari jawapan terbaik menyelesaikan permasalahan terbabit. Sungguh dirinya terasa keseorangan saat itu. Sendiri merungkai teka-teki hidup yang semakin rumit.

فمن كانت هجرته للدنيا يصيبها أو امرأة ينمحها فهجرتج إلى ما هاجرإليه


Bab 14:  اللهم إذا كان هذا الأمر خير لي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري فاقدره لي ويسره لي وارضني به - الحديث

“Terima jelah Hisyam. Habis cerita.” Humaira cuba memberikan jawapan pada dirinya. Tidak dinafikan hatinya masih tertanya apakah jawapan bagi semua belenggu ini. Kerana tidak sanggup lagi menyusahkan diri memikirkannya, jalan pintas diambil dengan membuat keputusan sendiri. Ibunya pula hanya menasihatkan agar membuat keputusan berdasarkan gerak hatinya, bukan kerana kasihan terhadap sesiapa. Semua keputusan terletak ditangannya sendiri.

“Mungkin tiada jodoh aku dan Ilham.” Tambah Humaira. Namun dia masih tidak putus beristikharah dan berdoa saban malam. Sehinggalah pada suatu malam yang bersejarah, semasa sedang beristikharah, satu keajaiban muncul dalam hidupnya, membuat dirinya kembali komited dengan pilihan Allah SWT. Satu anugerah yang Allah kurniakan khusus buatnya, yang tidak terjadi pada kebanyakan orang. Peristiwa yang berjaya merubah keseluruhan perjalanan hidupnya, yang telah memandunya supaya menerima setiap ketentuanNya.

Malam itu Humaira pulang ke rumah dalam keletihan yang amat. Timbunan tugas yang diterima menyebabakan beliau berulang alik ke rumah PPMS hampir setiap hari. Mesyuarat, Liqa` penyelarasan, perjumpaan, program dan bermacam lagi rencah organisasi dikendalikannya pada tempoh tersebut. Almaklumlah, bulan 11 hingga bulan 3 adalah waktu perdana bagi PPMS. Semua petugas tak kira dari presiden hinggalah AJK biasa akan disibukkan dengan rancangan pembentukan, penyelarasan dan penentuan hala tuju tahunan.

Sampainya di rumah, Humaira terus merebahkan diri ke atas katil tanpa menukar sebarang pakaian hatta tudungnya sekalipun belum dicabut. Matanya terkatup rapat dan akalnya terus berhenti. Dalam sekelip mata dia sudah terlelap jauh dalam igauan malam. Masakan tidak, jam telah menunjukkan hampir pukul 1 pagi.

Itulah nikmat sang pejuang. Rasa mengantuk adalah pertolongan Allah kepada hambanya yang ikhlas membela agama islam. Seperti mana yang terekod dalam al-Quran, tuhan campakkan rasa mengantuk kepada para mujahidin Badr semasa pertembungan antara mereka dengan puak musyrikin Quraisy, menyebabkan hilang segala ketakutan, keresahan, dan kebimbangan. Mereka bertukar tenang walaupun bertempur dengan jumlah lawan yang 3 kali ganda dari mereka.

Hingga ke hari ini. Sirah itu berulang dan sentiasa berulang. Betapa ramai orang kaya yang memiliki bermacam kemewahan tidak dapat tidur dengan nenyak walaupun telah beradu dalam istana gergasi. Hati mereka sentiasa gundah gulana dan tidak senang duduk. Berbeza dengan pejuang islam, walau sesibuk dan segetir manapun tentangan yang diterima, apabila tiba waktu tidur mereka begitu lena dalam dengkuran walau hanya beralas lengan sendiri.

Kira-kira tiga jam selepas terlena, Humaira dikejutkan dengan bunyi penggera telefon bimbitnya. Nombor  3.30am terpampang pada jam tangan digitalnya. Rasa letih masih belum hilang, namun waktu untuk melakukan rutin ibadatnya telah tiba. Terasa amat malas untuk bangkit dalam dakapan tilam empuk itu. Bisikan halus pula memujuk supaya diteruskan pelayaran lenanya.

Memikirkan akan dirinya yang masih memerlukan petunjuk dan pimpinan dari tuhannya, digagahkan jua semangat yang hampir mendingin dari sanubarinya untuk bangun meninggalkan tilam berhantu itu. Dengan petua membaca doa bangun tidur yang diamalkan, Alhamdulillah, kelopak matanya membuka sedikit untuk membantu tangannya yang sedang meraba suis lampu bagi menerangi laluannya ke kamar mandi. Tinggal dua lagi petua yang perlu dilaksanakan untuk merungkai 3 ikatan syaitan pada katil tempat beliau tidur semalam.

Dengan terhuyung hayang dia berjalan menuju ke bilik air. Sejuk menusuk hingga ke kepala tatkala kakinya memijak lantai bilik air yang basah. Dia masih perlu memegang tombol paip tembaga yang amat dingin dan menyirami anggota badannya dengan air sejuk separa beku untuk menyempurnakan wudhu`. Itulah petua kedua, dan begitulah cabaran yang terpaksa dihadapinya. Terketar-ketar sendirian menahan sejuk dalam kelam dinihari. Walau nafsu sering memperlekeh tindakan yang menafikan keenakan tidur waktu itu, dia tetap berjuang melawan godaan tersebut hinggalah bilasan terakhir meleleh membasahi hujung jari kaki kirinya. Menggeletarlah sekujur tubuh halus dalam langkahan keluar dari bilik air itu. Sepantas kilat dia berlari mencapai tuala seterusnya berkelubung kemas dengan tuala tersebut. Giginya masih terkancing rapat menggagahkan diri yang sering dibuli nafsu.

Kelam sinar pagi yang hanya bersiram pantulan cahaya bulan tidak langsung memudarkan visinya untuk beristikharah dan bermunajat. Dengan mengenakan pakaian serba putih bak kain kafan, dihamparnya tikar sejadah yang akan menjadi saksi sujudnya di akhirat kelak. Buat ke sekian kalinya dia memasang niat istikharah selepas selesai bertahajud sebanyak dua rakaat.

Pada rakaat kedua istikharah, rasa mengantuk menyerang kembali. Dikuatkan juga alis matanya menahan godaan syaitan yang sedang membuai-buai di kelopak mata. Satu persatu ayat alQuran dibaca penuh tajwid dan tartil. Ruku`, I`tidal dan sujud disempurnakan dalam pertempuran melawan godaan syaitan itu. Semakinn kuat dia beribadat, semakin hebat godaan yang diterimanya.

Tatkala Humaira tunduk merapatkan dahinya ke bumi untuk sujud terakhir, Dia sudah tidak dapat bertahan lagi. Dalam tidak sedar dia tersembam lena. Perkara terakhir yang berada di fikirannya sebelum tertidur adalah doa istikharah, ((اللهم إذا كان هذا الأمر خير لي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري فاقدره لي ويسره لي وارضني به...الخ))

“Ya Allah, jika perkara ini baik bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku, maka takdirkanlah ianya buatku, dan permudahkanlah ianya untukku dan redhailah daku dengannya…”
Belum sempat Humaira menyebut secara jelas apakah perkara yang dihajati itu dalam rangkap doanya, dia sudah berada dalam mimpi. Mimpi dalam sujud istikharah. Petunjuk dalam kebuntuan. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, jawapan yang didamba tampil sebelum sempat diminta dalam keadaan yang amat dramatis.

Sujudnya bukan sebarang sujud. Sujudnya mengundang perhatian tuhan. Tidurnya bukan sebarang tidur. Tidurnya dalam ibadah sujud terakhir. Dengan duduknya tunduk penuh kehinaan, mengagungkan kebesaran tuhan Rabbul Jalil, tuhan mendengar segala rintih perihnya. Lalu keluarlah rohnya terbang mendapatkan pangkuan Rabbal Alamin, meninggalkan sekujur jasad yang masih setia di atas tikar sejadah.

Tuhan sentiasa menanti dan mencari hambanya yang bangun pada tengah malam sebegitu untuk dikabulkan setiap permintaan mereka saban malam. Berkelanalah roh tersebut di alam fana hingga merakam plot-plot mimpi bahagia, dan itulah kesaksian tuhan buat seorang hamba bernama Humaira Dafeeqa yang mendamba jawapan hidup.

Potret seorang manusia terlakar di atas kanvas mimpi tersebut. Dengan kemeja petak yang sama seperti di awal istikharahnya dahulu,  bayangan lelaki itu muncul kembali. Kali ini Humaira dapat melihat lelaki tersebut dengan jelas dan nyata. Tanpa sangsi lagi orangnya adalah Ilham.

Lima saat selepas imbasan lelaki tersebut muncul, Humaira terjaga dari tidurnya, lalu bingkas bangun memperbetulkan kedudukannya. Dadanya berombak kencang. Matanya terbeliak dalam pekat malam itu. Seakan tidak mempercayai mimpi yang baru dilaluinya itu, Humaira kumat kamit melafaz istighfar. Tidak lama kemudian bergenanglah kembali kolam matanya dengan air jernih, laju mengalir melewati kedua pipinya.
Humaira dihantui perasaan serba salah. Pilihan yang dibuat sebelum ini telah tersilap. Mimpi tersebut membenarkan mesej mimpi lain sebelum ini. Humaira merasa dirinya sudah menipu takdir Ilahi. Selepas meminta petunjuk tuhan untuk memilih buatnya insane terbaik, dia tidak menerima pilihan tersebut. Dia memang pentingkan diri sendiri. Takut untuk percaya pada jawapan istikharah andai tidak bertepatan dengan selera diri.

Air matanya semakin mengalir deras. Dia malu dengan tuhanNya. Mimpi tadi seolah menegurnya untuk kembali ke pangkuan jalan sebenar. Seolah-olah dia melakukan kesilapan terbesar. Dia juga ketakutan. Takut perbuatan sombongnya itu mengundang murka Allah.

Namun dia tetap bersyukur tuhan masih menyayanginya dan memberi peluang untuknya menebus kembali kesalahan yang telah dilakukan. Difokus kembali bayangan mimpi tadi. Wajah Ilham kini menghuni ruangan utama benaknya. Walaupun masih terkejut, dipujuk hatinya untuk menerima Ilham seadanya dan menolak lelaki lain. Dia akan cuba belajar menyelami hikmah ketentuan tuhannya itu kelak. Mungkin dalam liar identiti Ilham itu, terdapat persamaan yang membuat mereka ditakdir bersama.

Humaira sudah tidak fikirkan orang lain lagi. Tumpuannya hanya pada Ilham seorang. Sebarang lamaran dari lelaki lain selepas ini akan ditolaknya mentah-mentah. Namun persoalan yang harus dijawab pula sekarang, bagaimanakah bibit pertemuan yang akan mengorak kisah cinta abadi mereka akan berlaku? Adakah Humaira patut memulakannya? Atau hanya menunggu lamaran Ilham walau cuaca tidak menunjukkan sebarang petanda perkara tersebut akan berlaku?


Bab 15: [آل عمران:159] فإذا عزمت فتوكل على الله

Seperti biasa sesudah solat subuh dan mambaca ma`thurat, Ilham akan duduk di meja study menghafal al-Quran yang menjadi sukatan pelajarannya saban tahun. Hafalan tiga juzu` setengah yang dituntut oleh pentadbiran Mujamma` memerlukan beliau menghafal bermula seawal tamat imtihan tahunan.

Usai mengulang 3 ayat panjang dari surah Taubah beberapa kali, Ilham menutup lembaran mushafnya lantas menuju ke dapur untuk kudapan pagi. Dia seorang yang perlu sarapan awal tidak seperti papanya yang tak makan pagi sehingga jam 11. Pagi ini jadualnya terisi dengan tugasan Biro Penerangan. Biasanya waktu pagi diperuntukkan untuk mengulang kaji pelajaran atau membelek kitab-kitab ilmiah, namun hari ini adat tersebut bertukar. Ada perkara mustahak yang perlu disegerakan. Ilham tiada masalah untuk melanggar jadual belajarnya jika bertembung dengan kerja persatuan yang penting kerana mengamalkan prinsip ‘Jemaah no. 1, tapi pelajaran bukan no. 2’.

Ilham perlu mengupdate friend list akaun yahoo messenger ppms_info, satu emel yang dicipta sebagai perantaraan menyebar sebarang maklumat atau aktiviti PPMS dengan cepat dan mudah. Senarai ahli yang baru diterimanya malam tadi dari Jabatan Setiausaha adalah tersangat lewat dari tarikh sepatutnya meyebabkan dia harus bergegas menyelesaikannya pagi ini juga. Ilham perlu menambah kenalan dalam akaun ppms info dengan memasukkan nama-nama tersebut. Nama akhawat sudah siap diasingkan dan diberikan pada AJK mereka untuk tujuan yang sama bagi memudahkan lagi proses disamping menjaga maklumat peribadi mereka. Itulah disiplin yang diajar PPMS.

Selesai menikmati kopi latte yang dibancuhnya bersama sekeping roti croissant, beliau terus melangkah keluar meninggalkan kediamannya menuju ke kafe siber Space Net. Dengan khusyuk beliau memulakan amal jamaienya demi mengharap pahala semata-mata. Dalam waktu yang sama, beliau menyebarkan sebuah iklan kepada ahli juga melalui yahoo messenger tentang sebuah program yang akan dianjurkan dalam masa terdekat. Seperti biasa, beliau akan menerima respon iklan tersebut daripada ahli-ahli. Ada yang mengucap terima kasih, syukran dan seumpamanya tidak kurang juga yang mohon penjelasan tentang maklumat program. Semua itu dilayaninya penuh sabar dan tenang.

Realitnya berlagak seperti seorang operator khidmat pelanggan tidak bertahan lama. Dia dikejutkan dengan mesej seorang insan. Siapa lagi kalau bukan Humaira, orang yang senantiasa membawa kejutan dalam hidupnya. Ironi mesejnya tidak mengandungi sebarang perkataan aneh pun, hanya ucapan syukran seperti sahabat-sahabat ahli yang lain. Namun ia tetap mengundang debaran di hati Ilham.

Itulah pertama kali Ilham menerima mesej daripadanya melalui ym. Walaupun mesej tersebut bukan ditujukan khusus untuknya, dia tetap teruja. Ingin sekali dia berbicara dengannya saat itu seolah sang kekasih yang lama tidak berhubungan dengan pasangannya.

Akhirnya dia tewas dengan perasaan sendiri. Mesej tersebut dibalas dengan sepotong ayat: “Sama-sama. Belajar baik-baik ya pagi ni.”

Ilham tahu hari ini Humaira akan mengikuti kelas tambahan kendalian Zaki di PPMS. Humaira sedikit kehairanan dengan mesej yang diterimanya dari ppms_info itu. Seolah-olah ada mata yang memerhatikannya berjalan menuju rumah PPMS. Tentunya perasaan bimbang akan hadir kerana jam 7 pagi Damsyik masih lagi sunyi dari sebarang suara. Aktiviti masyarakat di sana kebanyakannya bermula pada kira-kira jam 10 pagi. Bimbang dirinya diekori dalam kesunyian melewati lorong pejalan kaki itu. Tiada siapa di situ yang boleh diminta tolong andai berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Setelah menyelidik, barulah dia mengetahui itu adalah Ilham. Lega hati Humaira, bebaslah dia dari kebimbangan tadi. Geram juga dia pada Ilham kerana mempermainkannya sebegitu. Dia ingatkan sepupunya Wana yang menggunakan emel ppms_info. Mujur dia tidak bercerita gosip dengan Ilham.

Tidak terhenti setakat itu, kira-kira 15 minit setelah mereka berhenti berinteraksi, Ilham sekali lagi menghantar mesej meminta izin untuk menambah emel Humaira kepada senarai kenalan emelnya. Humaira yang sedikit terkejut dengan reaksi pelik Ilham itu hanya bersetuju dengan syaratnya “jangan buat nakal-nakal sudahlah”.

Ilham tersenyum puas dengan penerimaan tersebut. Dalam tak diatur, dia sudah mengorak langkah pertama!
Selesai tugasannya, dia pulang kembali ke rumah. Tubuhnya yang agak lenguh membongkok mengadap komputer tadi terasa ingin sekali berqaulilulah seketika mengikut jejak Rasulullah. Perkara itu sudah menjadi amalannya sebelum ke majlis talaqqi seterusnya ke Mujamma`. Jika dia meningalkan qailulah, pasti dia akan keletihan pada petang harinya.

Petang itu dia ke kelas seperti biasa. Sekali lagi Zaki mendahuluinya dan kali ini lecturer telah pun memulakan pengajian. Ilham bergegas mencari kerusi kosong lalu duduk sambil mencapai buku dari beg sandangnya secepat mungkin, bimbang terlepas sebarang point penting dari syarahan lecturernya.

Selepas tamatnya matapelajaran pertama itu,  Zaki terus berlari mendapatkan Ilham untuk memberitahu satu berita gembira. Ilham menyangka zaki sudah mengetahui akan peristiwa mengadd emel Humaira awal pagi tadi.

“Tahniah bro, kau bakal jadi milik orang lagi.” Ucap Zaki spontan. “Mana kau tahu ni? Takkan Humaira bagitahu kot.” Ilham pula membalas kehairanan.

“Mana ada, spy aku lah bagitahu. Dia dah tanya sendiri Humaira. Setakat ni memang dia belum terima sesiapa.” Zaki membalas. Sangkaan Ilham meleset. Rupanya Zaki bukan ingin memberitahu fasal peristiwa pagi tadi sebaliknya berkenaan janji lama mereka.

“Tapi macam yang kau tahu lah kan. Sekarang ni Hisyam tengah usha-usha dia. Silap-silap hari bulan memang melepas lah kau. Sekarang ni kau kena kotakan janji hari tu.” Tambah Zaki. Janji bahawa Ilham akan mengtaqdim Humaira jika gadis itu masih solo.

Tidak dapat digambarkan bagaimana gembira hati Ilham tatkala menerima pengkhabaran tersebut. Secara automatic ada senyuman lebar terukir di bibirnya. Semakin jelaslah rahsia hatinya di hadapan Zaki. Mulut tak mampu lagi melindung perasaannya. Memang dia sukakan Humaira. Dia akui hidupnya tenang bila teringatkan gadis tersebut. Humaira hadir membawa sinar cahaya yang menerangi suram kelam hatinya. Ibarat muara jernih yang mengalir ke dalam jiwanya, membasuhi luka lama yang menista dirinya selama ini.

Sepanjang bekerja dengannya, Humaira akan selalu membuka ruang perbincangan dalam setiap isu. Tidak kiralah soal persatuan, kebajikan, masalah batch atau sebarang perancangan sekalipun, Ilham pasti akan rasa dihargai kerana berpeluang mengemukakan cadangan dan kebanyakannya diterima Humaira tanpa banyak karenah.

Dia masih ingat lagi saat Ning meninggalkannya hingga ke Malayisa. Humairalah yang menjadi penguat semangatnya untuk terus tabah menerima takdir Ilahi. Tanpa Humaira mungkin sukar untuknya menghadapi semua itu memandangkan Ning orang pertama yang menerima cinta tulus dan ikhlas dari lubuk hati Ilham. Walaupun beliau digelar playboy oleh rakan-rakannya, tiada wanita pernah menerima lafaz cinta semahal itu sebelum ini dari Ilham. Namun waktu itu dia masih belum perasan betapa berjasanya Humaira padanya, hinggalah saat ini.

Berlainan pula jika Ilham teringatkan Ning. Pasti dia akan resah tak menentu. Kepalanya asyik berputar memikirkan apakah yang harus dilakukan untuk menjaga hati gadis tersebut. Apa yang Ning lakukan sekarang? Adakah dia sedang marah? Rindu? Menunggu panggilan Ilham? Atau ingin bersendirian? Silap gaya hubungan mereka akan mendingin sedingin hembusan monsun. Ning tidak banyak berkongsi perasaan. Dia mahu Ilham memahami hatinya sendiri.

Ilham hanya mampu mengucapkan kata Insyaallah mewakili hasratnya untuk mengtaqdim Humaira. Sebenarnya hati beliau masih ragu-ragu akan penerimaan gadis itu. Setakat yang dicongak. Tiada sebab mengapa dia perlu menjadi pilihan Humaira mengatasi lelaki lain.

“Aku mesti percayai istikharahku!” Ilham mengungkapkan kata semangat buat dirinya sendiri. Dia tidak mahu lagi tergolong dalam mereka bercakap tak serupa bikin. Dia sudah bergelar mahasiswa timur tengah, bakal ustaz, pembela agama dan pewaris anbiya`. Walaupun belum berperwatakan keustazaan, dia mesti membinanya bermula dari dalam. Kata Syeikh Mustafa Masyhur “Binalah negara islam di dalam dirimu, nescaya akan tertegaklah negara islam di bumi.”


Bab 16: فمن استطاع منكم الباءة فليتزوج - الحديث

Hiruk pikuk suasana pasar Jumuah sudah menjadi perkara yang lazim. Dengan deruan enjin lori pikap mini yang bersimpang siur di celahan gerai jualan, lautan manusia yang berkerumun di sana tambah membingit lagi keadaan.

Seawal jam 9 pagi, sudah ramai yang turun dari lereng-lereng bukit Ruknuddin menyerbu pasar tersebut untuk mendapatkan keperluan harian. Banyak juga gerai yang beroperasi 24 jam tanpa henti.

Masuk hari ini cukup setahun Hisyam hidup dalam suasana tersebut. Terataknya betul-betul di tengah pasar terbabit. Dihadapannya berdiri sebuah masjid lama, yang didirikan sempena seorang ulama` tempatan yang banyak menabur bakti pada generasi terdahulu, Iaitu Syeikh Mahyuddin Ibn Arabi. Corong pembesar suara tepat menghala ke tingkap atas rumah Hisyam. Ruang pemisah yang hanya beberapa meter menyebabkan beliau sering lekat di masjid tiap kali seruan azan berkumandang.

Hari ini juga Hisyam membilang waktu menanti jawapan emas dari Humaira. Tiada tarikh akhir yang ditetapkan mereka, menyebabkan Hisyam harus menunggu hari demi hari. Walaupun begitu tempoh penantian itu dilaluinya penuh sabar. Sehingga ke hari ini, dia masih setia menanti. Walau resah di hati bukan kepalang lagi rasanya, digagahi jua seketul daging yang menjadi raja jasadnya itu.

“Elok juga kalau aku call mak dia esok.” Satu suara halus tiba-tiba menjengah hematnya. Idea tersebut datang ketika sedang mengelamun membayangkan kehidupan bahagia bersama Humaira kelak. Tanpa membuang masa dia terus mencapai telefon bimbit yang letaknya di atas meja study. Dicari nama Ustazah Humaira Dafeeqa lalu ditekannya butang hijau yang menyambungkannya taliannya kepada peranti gadis tersebut.

“Assalamualaikum Ustazah, sihat?” Hisyam membuka bicara. Dengan nada tersekat-sekat, Humaira membalas salamnya dan memberitahu khabar dirinya.

Dia tahu Hisyam sedang menanti jawapan darinya. Dia tahu betapa seksanya penantian itu. Namun dia tidak tergamak melafazkan penolakannya. Hisyam amat baik baginya. Alangkah berdosanya dirasakan andai dia yang menyebabkan hati lelaki tersebut hancur luluh.

Setelah menyelitkan beberapa soalan sebagai mukaddimah, Hisyam mula menyatakan hasrat untuk menghubungi ibunya esok hari untuk menerangkan keadaan sebenar.

Humaira kelu. Dirasakan nasi sudah menjadi bubur. Di tahannya air jernih dari terjun keluar melalui kolam matanya. Namun hatinya terlebih dahulu mengesak tangis. Dia sedang berdiri di persimpangan dilemma, antara mengecewakan Hisyam atau mengecewakan diri sendiri. Semuanya membawa impak besar buat hidupnya.

“Boleh ke ni ustazah? Ke ustazah dah ada jawapan sendiri?” Hisyam memecahkan  kebisuan Humaira. Sekali lagi hasratnya diulang.

Setelah nafas ditarik sedalam-dalamnya, Humaira beranikan diri untuk bersuara jua.

“Ikut ustazlah. Ana serah segala keputusan pada ibu ana. Mana yang terbaik bagi dirinya, itulah yang terbaik buat ana.” Humaira bersuara perlahan. Jawapan itu cukup melegakan Hisyam. Dia sudah biasa bercakap dengan ibu Humaira. Sedikit sebanyak budi pekerti ibunya telah dihafal Hisyam. Oleh itu memujuk wanita tersebut bukan lagi menjadi permasalahan besar baginya.

Setelah hajat diungkap, Hisyam terus mengakhiri dialognya. Tiada apa yang hendak dibualkan lagi. Masa yang dinanti semakin dekat menghampiri. Cuma berbekalkan secebis kesabaran lagi, Hisyam bakal berdialog panjang dengan Humaira suatu hari nanti. Hanya mereka  berdua.

Humaira pula semakin menderita. Airmata yang mencurah penuh penyesalan sewaktu isitkharah bersejarah lewat malam yang lepas dibazirkan begitu sahaja. Janjinya untuk hanya menerima lelaki pilihan Allah dimungkiri lagi.

Humaira tetap Humaira. Seindah namanya, serapuh itulah kudratnya. Mana-mana kaum hawa pun lemah bila berdepan dengan layanan lembut lelaki. Jiwa mereka mudah tertipu dengan lemah gemalai penuh santun Sang Adam.

“Ya Allah. Aku telah mendustaiMu sekali lagi. Masihkah kau ingin ampuni dosaku ini? Inginkah kau terima lagi taubatku ini. Aku tahu aku tak layak untuk bercita-cita memijak syurgaMu, namun diriku terlalu takut akan murkaMu. Siapalah aku tanpa belas petunjukMu. Pimpinlah aku sentiasa. Jangan lagi kau tinggalkan aku sendirian memikul bebanan seberat ini. Kakiku terlalu rapuh untuk bertahan menangkis badai ujianMu ini. Kuatkanlah ia agar tidak lagi tergelincir dalam lembah murkaMu. Sesungguhnya Kaulah yang Maha Mendengar setiap rintihan hamba.”

Humaira melutut dinihari. Tangannya ditadah rapat semasa mengucap bait-bait doa di atas. Dia betul menyesali akan perbuatan gelojohnya itu.

Sementara itu di lembah Damsyik, Langit biru telah satu lagi perbualan penting dua sahabat lama . Ianya antara Saiful dan Ilham. Saiful merupakan salah seorang rakan sekapal yang datang bersama-sama Ilham tahun 2007 yang lalu. Dia yang kebetulan terserempak dengan Ilham  dalam servis (pengangkutan awam seperti van) menuju rumah PPMS sempat bertanya khabar dan bercerita keadaan diri masing-masing.

Mereka tinggal berjauhan. Ilham di kawasan lembah sementara Saiful di lereng bukit Ruknuddin, serumah dengan Izzat. Dipendekkan cerita, Saiful telah berkongsi satu gosip yang didengarnya dari atas sana. Dia menceritakan bahawa Humaira kini sedang bahagia bersama Hisyam. Mereka akan mengikat hubungan sah tidak lama lagi. Berita bahawa Hisyam akan menghubungi keluarga Humaira esok juga sampai kepada Ilham membuatnya rasa tidak senang duduk.

Saiful kehairanan melihat Ilham yang tadinya rancak bersembang berselang bingitan hilai tawa secara tiba-tiba senyap sedu bagai murai bisu tatkala gosip itu berkumandang ke telinganya. Riak wajahnya juga jelas menggambarkan ada sesuatu sedang bermain di fikirannya. Dialihnya ke tajuk lain untuk meredakan keadaan namun wajah Ilham tetap pengat sebegitu.

Sebenarnya Ilham merasa tercabar. Dia yang dulunya tidak endah langsung tentang lamaran Hisyam lama kelamaan ingin menjadi pesaing utama lelaki itu. Penerimaan Humaira untuk diadd tempoh hari sudah cukup baginya untuk dijadikan modal bahawa beliau juga ada harapan untuk menawan hati perawan suci itu.

Ilham mula mengatur langkah seterusnya. Dia tidak boleh menunggu lagi. Kali ini apa nak jadi-jadilah. Dia tidak boleh berpuas hati sebelum mencuba. Dia mesti menyahut cabaran yang diwujudkannya sendiri. Malam ini bakal menjadi saksi kejantanannya. Satu lagi lekukan sejarah bakal terpahat dalam lembaran musafirnya.


Bab 17:فهو شهيد – الحديث  من عشق فعف فكتم فمات

Saat berlabuhnya tirai malam, dengan hening senja menyinsing pergi meninggalkan kegelapan maya, berjalanlah seorang jejaka keseorangan keluar dari Jami` Abdullah ibn Rawahah, mengarah ke sebuah kedai telekomunikasi. Dibelinya sekeping kad tambah nilai buat bekalan untuk menghadapi malam yang bakal merakam saat-saat penuh debaran ini samada dramatis ataupun tragis.

Segala janji telah dikosongkan pada malam ini. Telefon bimbit pun awal-awal lagi ditukar bersama seorang rakan, dek telefon miliknya tidak mampu menyokong perisian yamee messenger. Persiapan fizikal, mental dan rohani telah pun disempurnakan sebaik mungkin. Tertib kata bicara telah disusun penuh puitis. Malam ini bakal tercetus sebuah fenomena agung didalam galaksi bimasakti ini. Langit dan bumi bakal bersatu. Utara dan selatan bakal bertemu. Sang kancil dan buaya bakal memeterai perdamaian.

Tepat jam 9.15malam, Ilham sudah pun berada di rumahnya. Mundar-mandir dirinya meneka kesudahan malam. Menyahut seruan hasrat hati Ilham, takdir menetapkan Ilham ditinggal bersendirian di rumah. Semua rakannya pada malam itu keluar membawa hal masing-masing. Entah bila mereka akan pulang. Yang terakhir melangkah pergi adalah Hafiz, kira-kira lima minit lepas.

Tinggallah Ilham keseorangan ditemani pekat malam yang masih segar. Dengan berbekal telefon bimbit yang telah dihidupkan perisian  yahoo messenger, beliau duduk terbaring di atas katil double storeynya sambil mata memandang tepat ke arah  paparan telefon bimbit, mencari-cari id Humaira. Dia berhajat untuk meluahkan isi hatinya melalui laman chatting sahaja, mungkin kerana malu atau tidak berani berhadapan dengan bidadari syurga itu. Masakan tidak, sudahlah ini pertama kali dia melamar orang, calonnya pula adalah ustazah bertudung labuh.

Malangnya gadis tersebut tidak online. resah Ilham semakin tidak menentu. Dia tidak berani untuk menghubungi Humaira. Untuk bermesej pula, mungkin tidak sampai maksud. Dia tidak boleh terus meluah tanpa sebarang mukaddimah atau penerangan yang jelas. Tambahan pula Humaira bukan jenis yang suka mesej. Chatting pun sekejap sahaja. Dia lebih suka menelefon jika ada sebarang urusan. Disebabkan itu jugalah kawan-kawan selalu memarahinya. Satu per tiga dari perbelanjaan bulanannya dihabiskan untuk kredit telefon.

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menghubungi Humaira, tetapi hanya untuk memintanya online jika berkelapangan. Nasib menyebelahi Ilham kerana Humaira sudi menuruti permintaannya.

Tatkala melihat icon id Humaira bertukar kuning dengan status available, Ilham terus menyapanya.Dengan tidak melepaskan peluang yang terbuka, soalan pertama yang menjengah paparan skrin Humaira adalah perihal hubungannya dan Hisyam. Walaupun itu hanya selingan, beliau ingin mendengar sendiri dari tuan empunya badan tentang apa yang berlaku. Manalah tahu kalau-kalau Humaira baru menerimanya, tidaklah dia menanggung malu jika meluah tanpa usul periksa nanti.

Malangnya respon Humaira agak negatif. Dirasakan soalan tersebut agak peribadi untuk dijawab. Beliau hanya memberitahu segala keputusan ditangan ibunya, selain mempersoalkan sikap Ilham yang cuba mencampuri hal peribadinya.

Ilham yang sedikit gugup tatkala tindakannya dipersoalkan terus mati akal. Segala perancangan yang diatur sudah kacau bilau. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan sekarang. Fokusnya hilang. Gelora jantungnya kembali membuncah ligat.

“Maafkan ana ustazah. Ana sebenarnya ada perkara penting untuk diberitahu. Soal hidup dan mati. Sebelum itu ana nak minta ustazah jangan potong apa yang ana akan cakap ni, sampailah ana habis terang.” Ilham akhirnya terus menuju kepada maksud utamanya kerana segala point lain telah berselerak di awangan minda.

“Main-main la ustaz ni. Ada apa sebenarnya.” Kali ini Humaira pula yang berdebar. Dia langsung tidak dapat meneka apa yang bakal Ilham katakan.

“Semua orang suka anggap ana main-main. Dari dulu lagi. Takde orang nak percaya apa ana cakap. ” Ilham mengeluh. Mungkin dek kerana wajah dulu beliau yang masih segar di fikiran kenalan yang lain, orang masih belum nampak perubahannya.

Humaira pula yang simpati dengan nasib Ilham itu lantas bersuara memohon maaf. Dirinya tidak langsung berniat nak menyindir Ilham.

“Maaflah ustaz. Ana tak berniat pun. Ok sekarang ustaz cakaplah apa dia. InsyaAllah kalau dapat tolong ana tolong.” Katanya. Akalnya mula terfokus pada skrin telefon bimbit. Jantungnya mulai berdebar menyelang-seli debaran hati Ilham.

“Ustazah, errrrr…macamana nak cakap ekk…jap-jap..erm..Bismillahirrahmanirrahim..apa ye nak bagitahu…sebenarnye kan…aisssshh.” Begitulah reaksi Ilham memulakan luahannya. Humaira bertambah geram kerana membuat hatinya semakin resah. Mungkin ada perkara besar yang bakal mengejutkannya. Humaira masih lagi tidak dapat membaca apakah yang bakal dilafazkan Ilham. Kerana menghormati janjinya untuk tidak mencelah, dia terus bersabar.

Kira-kira lima belas minit memukaddimah bicara dengan tergagap, Ilham akhirnya berkata. “Macam ni. Ana rasa ana sukakan ustazahlah.”

Tatkala itu terbanglah diri Humaira diawangan maya. Terasa kainya tidak lagi menjejak bumi. Hiruk pikuk dunia yang berkecamuk dengan urusan manusia ditinggalkan dalam lamunan tinggi itu. Kata-kata itu benar-benar membuat derianya berhenti berfungsi. Deruan enjin kenderaan tidak lagi kedengaran, apatah lagi suara-suara manusia di Pasar Jumuah. Sekelip mata juga Banjaran Ruknuddin bertukar sunyi. Tiupan angin, hangat malam dan lenguh pinggangnya akibat lama membongkok di atas meja study langsung tidak terasa. Malam yang bersiram purnama rembulan itu tiba-tiba gelap gelita, sempit dan kosong. Hanya Humaira yang tinggal berteman telefon bimbitnya.

Lafaz yang tersimpan sekian lama akhirnya berjaya terpacul dari diri seorang jejaka yang tidak dijangka. Ilham yang dianggapnya kasar dan ganas kini berbicara soal hati. Lafaz yang dinanti selama ini terungkap dengan penuh dramatis. Bersaksikan samar cahaya bulan, sejambak bunga kata dipersembah buat sang puteri lindungan.

Betulkah apa yang dibaca Humaira? Benarkah apa yang skrin telefon bimbitnya itu paparkan? Humaira membelek-belek beberapa kali mesej ringkas penuh makna itu. Reaksi wajahnya tidak menggambarkan apa-apa. Senyum tidak, sedih tidak, berkerut marah pun tidak. Seperti potret monalisa smile, amat sukar menafsir perasaan Humaira melalui raut wajahnya. Yang pasti gelora di jiwanya semakin menderas dan hangat suhu tubuhnya meningkat mendadak.

Lama Ilham membiar mesej itu tergantung tanpa sambungan. Humaira yang diigaui pertanyaan itu tetap sabar menunggu mesej seterusnya. Lagipun dia tidak tahu bagaimana ingin menjawab. Ilham juga tidak tahu bagaimana ingin menyambung katanya itu.

“Ana dah cuba tolak perasaan ini. Tapi tak boleh. Semakin lama perasaan ini bertambah dan bertambah. Ana sebenarnya tak nak hirau lagi soal jodoh buat masa ini. Ana nak fokus pelajaran dulu. Tapi tuhan Amat Berkuasa. Ana tak mampu ikut kehendak hati ana. Mungkin inlah rancangan tuhan untuk ana, mungkin juga untuk kita berdua.”

“Ana cuma nak ustazah jadi orang yang berjanji untuk mengahwini ana pada masa hadapan. Ana tidak perlukan percintaan buat masa sekarang. Ana tak minta ustazah untuk bermesej, bergayut dan melayani perasaan ana tiap ketika. Ana cuma harap kekosongan hati ini terisi dengan nama ustazah seorang. Barulah hati ana tenang untuk teruskan hidup. ”

“Ana pun tak tahu kenapa ustazah yang jadi pilihan ana. Ana tahu memang ana tak layak langsung dengan ustazah. Dunia kita memang berbeza. Ustazah pun lebih tua dari ana. Sepatutnya ana menyayangi ustazah tidak lebih sebagai seorang kakak. Terima kasih atas segala teguran, nasihat dan cara ustazah yang telah buat ana rasa berharga”

“Tapi ana yakin, perasaan sayang ini lebih dari sekadar seorang adik kepada seorang kakak. Ustazah pun punya ramai peminat. Siapalah ana untuk memotong jalan mereka yang terlebih dulu menjemput ustazah ke kamar hatinya. Tapi ana tetap ingin mencuba. Ana tak kisah apa pun jawapan ustazah. Ana sudah bersedia menerima. Apa yang penting ana akan berpuas hati kerana sudah menurut kata hati sendiri dan natijahnya biarlah ustazah sendiri yang tentukan.”

“Jangan bimbang. Ana tak minta ustazah jawab malam ni. Ustazah fikirlah masak-masak. Terlebih baik lagi kalau ustazah istikharah. Ikutlah sampai bila pun, yang penting ustazah berikan jawapan walau apa pun bentuk jawapannya.”

“Oleh itu ustazah, sekali lagi ana ulangi, sudikah ustazah menerima ana untuk menjaga ustazah hingga ke akhir hayat?”


Bab 18: إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقة فزوجوه - الحديث

hiruk-pikuk manusia di kota Damsyik semakin berkurangan menjelang hari malam. Kehidupan selepas tenggelamnya mentari di kaki kota warisan ini amat membosankan. Tiada sebarang aktiviti yang dapat dilakukan selain mandi wap dan makan nasi mandy.

Dalam pekat malam itu. Dua insan sedang meninggalkan jasad mereka dari kota tersebut, terbang jauh menggapai rembulan di angkasa raya. Hanya jiwa mereka yang sedang berkomunikasi diwakili oleh dua buah telefon bimbit sebagai perantaraan.

Kedua-dua pasang mata mereka masih terpaku pada paparan skrin telefon bimbit masing-masing. Hanya jari jemari berselang seli bergerak mengikut alunan hati. Jika sebelah pihak memetik kekunci, sebelah pihak lagi berdiam dan begitulah sebaliknya.

Sang Adam sedang berbicara soal hati bersama Si Hawa. Segala rasa kalbu yang terpendam selama ini diluah kesemuanya tanpa meninggalkan sedikit pun. Semuanya diserahkan kepada Hawa, untuk menilai sendiri keikhlasan Adam.

Humaira terpaku bisu tatkala membaca perutusan cinta itu. Apa yang didambanya sebelum ini sudah termakbul. Tanpa sebarang isyarat, tanpa tanda-tanda ingin memikat hatinya sebelum ini, Ilham menyempurnakan kejutan itu dengan penuh dramatis. Segala apa yang tidak pernah tergambar kini keluar dari diri lelaki pilihan istikharahnya. Sayu, terharu,  takut, bangga dan gembira menyelubungi perasaannya. Apapun dia tidak putus-putus mengucap syukur. Tika itu juga dia tunduk sujud sebagai tanda penghargaan buat Ilahi. Akhirnya mimpi itu menjadi realiti.

“Ok, ustazah dah boleh balas sekarang.” Ilham menoktah luahannya. Kini tiba pula giliran Humaira mengambil alih tugas berbicara. Ikutkan hati ingin saja dia mempersetujui terus lamaran tersebut. Difikirkan balik, ada perkara yang masih belum selesai iaitu Hisyam. Dia sudahpun memberi isyarat lampu hijau kepadanya dan esok adalah penentu segala. Persetujuan ibunya bakal memusnah segala kebahagiaan malam ini.

Humaira tidak tahu apa yang harus ditulisnya. Kali ini Ilham pula tertunggu-tunggu. Lima minit berlalu dalam kebisuan barulah Humaira membalasnya. Hanya sebentuk wajah smiley kuning berpipi merah mewakili perasaannya. Bagi Ilham smiley itu amat memberi makna. Bertepatan dengan namanya, Humaira bermaksud kemerah-merahan. Nabi menggelarkan Aisyah dengan nama tersebut dek pipi comelnya yang kemerah-merahan. Senyuman malu smiley itu menggambarkan rupa perawan suci yang hanya diam tersipu-sipu ketika rombongan jejaka idaman datang meminang. Diam gadis melayu tanda setuju. Senyuman yang tak mampu dibayar gunungan emas itu bak mahar cinta dari sang Hawa.

Namun misi masih belum selesai. Bagaimana ingin menerang situasi sebenar kepada Ilham? Tentunya dia tidak mahu Ilham pergi begitu sahaja. Hasrat yang telah terbina sekian lama mana mungkin boleh hancur sekelip mata. Pasti ada jalan penyelesaiannya. Jika jodoh itu adalah pilihan istikharah, Sesudah manapun pasti akan bertemu jua akhirnya.

Bagaimana pula dengan Hisyam? Lelaki itu juga perlu diberikan hak. Jika diikutkan dia terlebih dulu melamar Humaira. Berdosa hukumnya jika Ilham meminang atas pinangan orang. Walaupun Humaira masih belum memberikan jawapan kepada Hisyam akan tetapi Hisyam sudah menganggap keizinan menelefon ibunya merupakan persetujuan tersirat dari Humaira. Almaklumlah gadis melayu.

“Ustaz dah istikharah?” Humaira menyambung bicara dengan sepotong soalan. Dengan pantas Ilham membalas soalan itu. Satu persatu kisah istikharahnya diceritakan pada Humaira dengan perasaan yang sedang berdebar. Mulutnya kumat kamit beristighfar dan berselawat memohon kekuatan dari Allah. Takut bukan kepalang dirinya membaca tiap bait kata dari Humaira.

“Tapi ustazah jangan terpengaruh dengan istikharah ana. Mungkin ianya hanya mainan tidur sahaja sebab ana selalu teringatkan ustazah. Lebih baik ustazah istikharah sendiri. ” Jelas Ilham. Dia tidak mahu melindung apapun daripada Humaira. Biarlah hubungan yang bakal terbina ini atas dasar keyakinan yang jelas dan mantap. Jika jodoh tidak menyebelahinya, biarlah dia ditolak dengan istikharah Humaira asalkan dia tidak tertipu dengan hubungan yang bukan direstui Ilahi.

Humaira tersenyum dengan saranan Ilham itu. Jika dibandingkan cerita istikharah mereka, Mimpi Humaira lebih menarik. Tapi bukannya Ilham tahu pun.

“Macam tak percaya apa yang ustaz cakap ni. Ana tak tahu nak cakap apa. Tapi ana tak boleh buat keputusan. Ana cadangkan ustaz telefon mak ana terus. Ana ikut mak ana je. InsyaAllah khair.” Humaira memutus kata.

Ilham kaget seketika. Rupanya perjuangannya masih belum berakhir. Saat genting menyatakan perasaan yang membuncah di hati sekali lagi perlu dilalui. Kali ini berhadapan dengan ibunya pula.
Ilham sebenarnya cukup mengenali ibu Humaira. Wanita awal 40-an itu juga mengenalinya dengan baik. Masakan tidak, ibunya adalah pemilik café semasa di Darul Quran. Tambahan pula dia seorang yang peramah, suka menyakat dan sering disakat pelajar.

Ilham pernah bergurau dengan ibunya satu masa dulu untuk meminang Humaira. Dia sering memanggil wanita itu dengan panggilan mak menandakan kononnya mak mertua. Ilhamkan playboy. Pantang dengar ada gadis lentik, pasti akan ditrynya. Walaupun dia langsung tidak mengenali Humaira, apatah lagi menyimpan perasaan padanya. Namun nama beliau yang sering menjadi bualan rakan-rakan yang juga sering mengusik ibu Humaira untuk diterima sebagai menantu membuatkan Ilham ingin turut bersaing mendapatkan gadis tersebut.

“Kalau betul-betul inginkan Humaira, jadi ustaz dahulu.” Syarat ibunya kepada Ilham ketika berkunjung ke café wanita itu sendirian pada suatu hari. Ilham tahu wanita peramah itu hanya bergurau dengannya. Sebelum inipun dia pernah dijanjikan sebegitu jika beroleh pangkat mumtaz dalam keputusan peperiksaan syahadah thanawiyyahnya. Namun apabila Ilham benar-benar berjaya memperoleh kelulusan tersebut, lain pula ceritanya.

Untuk bercakap secara serius dengan ibunya pula, Ilham tidak pernah terikir akan melakukan perkara tersbut selama ini. Dalam hidupnya, cuma sekali beliau pernah meminta anak orang iaitu daripada keluarga Nurainin. Itupun setelah dipaksa ramai pihak termasuk Ning sendiri. Waktu itu Abang Fakhrul juga dalam proses menyunting anak dara itu dari orang tuanya.

Namun pengalaman tersebut amat ngeri baginya. Keikhlasan yang cuba diungkap kepada keluarga Ning telah disalah ertikan sebagai gurauan semata-mata. Ibu Ning mengatakan bahawa Ilham tidak serius menyintai Ning dan hanya main-main. Seolah-olah Ilham menjadi pak sanggup kerana menolong Ning untuk menolak lamaran Abang Fakhrul. Memang gaya perbualan Ilham dipenuhi lawak jenaka dan gurauan, namun tidak ramai yang mengerti bahawa Ilham benar-benar maksudkannya.

“InsyaAllah. Tapi ana harap keputusan ini betul-betul dari ustazah. Ibu hanya Nampak dari luaran” Respon Ilham tidak lama selepas itu. Dia masih tidak yakin dirinya mampu untuk berbicara hati ke hati bersama orang tua demi meminang anaknya buat kali kedua. Namun dia tetap bersetuju dengan saranan Humaira itu kerana beliau tidak memberikan pilihan lain.

Kali ini beliau perlu berlagak matang dan mampu menjaga anak orang di mata keluarga Humaira. Dia perlu menyedarkan dirinya bahawa ini bukan perkara main-main. Sudah sampai masanya dia berubah demi masa depannya.

Humaira amat berharap Ilham dapat menawan hati ibubapanya. Sebagai permulaan, Humaira mencadangkan agar Ilham hanya bercakap dengan ibunya seorang. Walaupun hatinya masih dalam proses menerima kehadiran lelaki dalam hidup, beliau amat berharap lelaki tersebut adalah yang terbaik dan diredhai Allah. Dia tidak mahu menghadapi masalah dalam hubungannya kelak. Sudah ramai dari rakan-rakannya yang terjejas pelajaran, kehidupan dan sebagainya hanya disebabkan masalah dengan pasangan masing-masing. Biarlah lelaki yang terbaik itu bukan pilihan hatinya, asalkan ianya diberkati Allah.

“Ingat ya ustazah, istikharah malam ni.” Kali ini masuk kali ketiga Ilham menyuruh Humaira beristikharah. Percaya benar beliau dengan ritual tersebut.

“Ana sebenarnya dah lama istikharah.” Balas Humaira disertai dengan sekeping lagi tandi smiley kemerahan pipi. Ilham tidak mengerti maksud telah beristikharah itu. Baginya jika telah beristikharah lama, tentunya jawapannya sudah diperoleh. Kenapa pula Humaira masih inginkan ibunya untuk membuat keputusan? Bukankah itu menolak pilihan Istikharah?

Persoalan tersebut hanya dibiarkan berlegar di mindanya. Tidak ingin lagi dia mengusulkan perkara tersebut kerana sudah benyak kejutan positif yang diterima pada hari ini. Biarlah kata-kata Humaira itu tadi tinggal tanda tanya sahaja. Pada awalnya dia menjangkakan bahawa wanita itu akan bertanya banyak perkara sebelum memberi keputusan. Paling tidak pun syarat yang akan diletakkan gadis tersebut tentunya ketat dan sukar untuk dipenuhi.

Begitu mudah melamar gadis berbasic agama ini. Bicaranya dengan bukan muhrim hanyalah perkara yang penting sahaja. Tiada langsung karenah membosankan seperti wanita-wanita lain. Tentunya wanita di luar sana menjanjikan berbagai kecerewetan dan prasyarat yang harus ditunaikan. Ilham memikirkan semua ini berdasarkan pengalamannya. Sebelum menjadi kekasih pun, telah banyak syarat yang mereka letakkan. Jika tidak dipenuhi, maka merajuklah mereka dan berkemungkinan mereka akan lari dengan lelaki lain meninggalkan kita sekonyong-konyong.

“Oklah ustazah, hari dah lewat ni. Tak manis kita macam ni. Nanti boleh timbul fitnah.” Ilham meminta diri untuk berundur. Baru dia sedar perbualan mereka itu memakan masa hampir 3 jam. Jarum jam sudah melewati angka 1 pagi.

“MasyaAllah. Ana langsung tak sedar. Baiklah. Ana minta maaf banyak-banyak jika ada menginggung ustaz. Buat yang terbaik untuk esok ye. Allah Maak.” Ujar Humaira sebagai penutup katanya. Mereka sempat berutus salam sebelum kedua-duanya beredar dari laman tersebut.

Semasa Humaira offline, Ilham masih lagi menghidupkan perisian tersebut. Dibacanya kembali semua perbualan mereka tiga jam yang lepas. Detik-detik penuh dramatis itu diimbasnya satu persatu dengan jiwa membunga yang masih tidak mempercayai apa yang berlaku dalam hidupnya malam ini. 


Bab 19: تنكح المرأة لأربع:لجمالها ونسبها ومالها ودينها - الحديث

Keesokan paginya Humaira terus menuju ke cc untuk bercakap dengan ibunya di Malaysia. Jam 8 pagi di Syria adalah bersamaan 1 pagi di Malaysia jika di musim panas. Humaira menjelaskan apa yang telah berlaku semalam dan siapa yang bakal menghubunginya hari ini. Humaira juga memberitahu apakah keputusan Istikharahnya.

“Mak sebagai ibu lebih mengetahui mana yang terbaik untuk anaknya.” Jelas Humaira yang tidak mahunya terpengaruh dengan gerak hatinya. Bak sabda penghulu segala rasul, redha Allah itu terletak pada pada redha kedua ibubapa dan murka Allah terletak pada murka keduanya.

“Mak sebenarnya tak berapa suka juga dengan si Hisyam tu. Awal-awal dia telefon mak lagi mak dah tak berkenan. Dia terus panggil ‘mak’, macam tak berapa hormat kita yang masih belum putuskan apa-apa ni.” Jelas ibunya.

“Tengoklah macam mana nanti. Mak try bincang dengan ayah dulu.” Tambah ibunya lagi. Saat itu hati Humaira sudah kegirangan. Tak percaya hati mereka punya kecenderungan yang sama.

Ilham tidak menelefon terus ibunya hari itu sebaliknya menunda kepada esok hari. Dia masih belum bersedia sepenuhnya. Mujurlah Hisyam juga tidak jadi menghubungi mereka.

Keesokan harinya,seawall jam 8 pagi Ilham sudah berda di cc untuk menghubungi ibu Humaira. Sebelum subuh lagi beliau telah bangkit dari peraduan kerana asyik memikirkan respon ibunya. Setelah nekad dibulatkan, beliau dail juga nombor telefon ibunya.

Alangkah terkejutnya ilham apabila ibu Humaira masih mengingatinya. Dengan jumlah pelajar yang hampir mencah 100 orang, wanita tersebut masih mengecamnya.  Tambahan pula, ibunya berkata mana mungkin beliau lupa akan anak-anaknya. Terasa diri seperti sudah menjadi sebahagian dari keluarga tersebut.

Kejutan demi kejutan memeranjatkan Ilham. Sekali lagi ibunya melafazkan kata yang membersihkan kembali memori lamanya yang sudah bersawang.

“Kan Mak Cik dah janji nak bagi. Takkan saya nak mungkir janji pula. Ingat ye, jadi ustaz betul-betul.” Itulah ucapan penuh kejutan itu. Baru Ilham ingat bahawa gurauan ibunya yang mengsyaratkan supaya menjadi seorang ustaz jika inginkan Humaira benar-benar dimaksudkannya.

“Tapi kamu buat biasa-biasa je. Jangan tunjuk sangat kamu ada apa-apa dengan dia.Kita kan masih belajar. Ketentuan tuhan kita tak tahu lagi macam mana.” Tegas ibunya mengingatkan Ilham. Itulah peranan seorang ibu. Dimana pun mereka berada dan tidak kira kepada siapa mereka bertutur, nasihat dan teguran tidak pernah lekang dari bibir.

Kini. Segala impian telahpun tercapai. Bumi dan langit akhirnya berjaya disatukan. Saat-saat bahagia mulai mekar taman hati dua insan yang mendamba kasih manusia menerusi kasih Ilahi.

“Yea-yea, berjaya!” mesej pertama daripada Ilham sewaktu melangkah keluar dari cc sampai ke telefon bimbit Humaira. Humaira juga tersenyum puas. Tidak putus-putus rasa syukur dipanjatkan buat Ilahi atas segala ketentuan yang menggamit bahagia ini. Mujurlah beliau sedang berada dalam program di rumah PPMS ketika itu. Jika tidak, sudah tentulah bumi bakal bermandi airmatnya yang sujud syukur atas kurniaan tak terperi ini. Perjuangan beliau mempertahankan keyakinan kepada Allah SWT telah membuahkan hasil lumayan.

Hisyam pula terpaksa menerima hakikat tuhan. Secocok manapun mereka, seintim manapun mereka, jika Allah tidak izinkan tiada kuasa yang mampu mencabarnya. Ibu Humaira dengan baik menolak lamaran Hisyam atas alasan gadis tersebut sudah pun berpunya. Ilham telah mendahului Hisyam beberapa minit sahaja. Hebatnya takdirMu!


Bab 20: [النور:26] الطيبات للطيبين والطيبون للطيبات

“ Panggil ana ‘abang’ dah la ye?” Ujar Ilham kepada Humaira. Gadis itu hanya mengangguk tanda setuju. Perasaan malu masih menebal dalam dirinya, lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan seorang lelaki yang menjadi mainan igauannya.

Hari ini genaplah 3 tahun perhubungan mereka. Tanggal 3hb 12 ini jugalah termeterai janji ikatan setia sehidup semati dua pasangan itu. Setelah sekian lama membadai arus demi mempertahankan hubungan yang dijanjikan Allah ini, hari ini mereka telah sah bergelar suami isteri. Bahagia yang diimpi akhirnya menjadi realiti. Kedua pasang mata itu kini bebas merenung satu sama lain. Tangan mereka akhirnya sah untuk berpimpinan menuju ke syurga.

“Habis abang nak panggil ustazah apa pula ni?” Tanya Ilham lagi. Humaira yang masih lengkap bertelekung itu sejak tadi asyik menundukkan kepala. Malu bukan kepalang gadis itu tatkala ditinggal bersendirian bersama Ilham dalam sebuah bilik untuk solat Asar berjemaah. Nasiblah, beliau juga yang gatal panggil Ilham ke bilik.

Sebagai lelaki, Ilham cuba mendapatkan pandangan mata Humaira. Dalam curi-curi Ilham merenung muka Humaira, tampak jelas wajah putih kemerah-merah yang berselindung di sebalik renda telekung itu. Indahnya terasa saat itu. Itulah dia Humaira yang diidamkan selama ini. Rupanya seindah namanya.

Walaupun jantung masih melayani debaran tak berkesudahan, namun degupan itu mengundang nikmat. Sejuknya hati tatkala senyuman nipis dari kekasih hatinya itu dilempar buatnya. Semakin kencanglah badai yang bergelora dihatinya.

“Abang suka panggil apa?” Meremang bula roma Ilham mendengar pertanyaan Humaira itu. Itulah pertama kali panggilan ‘Abang ’ keluar dari celahan bibir gadis itu. Terasa dirinya sudah dimiliki. Baginya perkataan itu sudah cukup membuktikan perasaan sayang Humaira padanya.

“Kalau boleh biarlah panggilan itu biasa saja, asalkan boleh kekal dengan gelaran itu sampai mati. Abang tak nak kita panggil manja-manja permulaan ini, tapi dah beranak tiga nanti hilang begitu saja.” Ilham mengingatkan Humaira. Tiada guna bersikap romantik habis jika ianya hanya diawal pernikahan. Dia teringat pasangan pengantin yang membahasakan diri dengan ‘Sayang, Darling, Intan Payung’ tetapi setelah lama berkahwin, panggilan itu bertukar kepada ‘Awak ’ atau ‘Ibunya’ sahaja.

“Kalau macam tu Abang panggil Humaira cukuplah” Humaira bersuara manja. Ilham menyetujuinya.

Setiap kata yang diucap oleh Humaira kini benar-benar bermakna buatnya. Dialah ratu yang sedang bertakhta di persinggahan hatinya. Alangkah beruntungnya beliau memperolehi seorang isteri yang baik, lembut, penyayang dan beragama. Dulu dia tidak pernah bercita-cita mendapat manusia se’mahal’ ini, lebih-lebih lagi di zaman keruntuhan moral ini.

Keesokan paginya selepas solat Subuh mereka berpimpin tangan menuju ke pantai yang hanya beberapa meter dari rumah Humaira. Bangganya Ilham saat itu. Tiada lagi rasa takut atau gelisah jika diperhatikan orang. Beliau kini bebas berbuat apa saja terhadap Humaira. Ikutkan hati ingin saja dia mendukung gadis miliknya itu melintas jalan.

Dalam segar cahaya fajar yang masih menyinsing, mereka sama-sama mengalunkan ma`thurat di bawah teduhan sebatang pohon rhu. Mantera keramat itu dilantun mereka seiring dengan hati penuh syukur. Bait-bait zikir dan doa pendinding sebagai seorang daie tidak pernah hilang dari amalan mereka biarpun sudah berumah tangga. Kerana doa itulah, hubungan mereka mampu bertahan hingga kini.

Perjuangan mereka sebenarnya baru sahaja bermula. Kini dua hati bakal menempuh ujian lumrah sebagai pewaris anbiya`. Berbekalkan bentengan iman yang ditebali dengan tautan kasih sayang, denai itu pasti menjadi kenangan indah untuk diharungi. Hamba yang berkasih sayang atas dasar iman bakal menikmati kemanisan iman itu. Itulah berita gembira yang dikhabarkan Rasulullah.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Seperti Khadijah yang dianggap Nabi sebagai benteng rohaninya, begitulah juga peranan Humaira buat Ilham. Walau berbagai fitnah yang bakal mengiringi perjalanan Ilham menuju misi perjuangannya, Humaira akan tetap setia menemani. Hatta jika ditakdirkan Ilham dipulau oleh seluruh manusia sekalipun, andai tiada seorangpun yang mempercayai Ilham suatu hari nanti, Humaira akan tetap disisinya tanpa sekelumitpun perasaan sangsi.

Di akhir bacaan ma`thurat, Humaira mengaminkan doa rabithah yang dibacakan Ilham. Doa susunan Imam Hasan alBanna itu benar-benar menyentuh perasaan, lebih-lebih lagi jika dibacakan sambil mata merenung wajah jernih sang suami. Dalam renungan mata mereka, satu persatu makna doa itu diteliti.

“Ya Allah, sesungguhnya engkau mengetahui, hati-hati ini telah berhimpun kerana kasih padaMu, bertemu kerana patuh padaMu, bersatu mendokong tugas dakwahMu, dan berjanji setia untuk mendaulatkan syariatMu.”

“Maka eratkanlah akan ikatannya, kekalkanlah cintanya, tunjukilah jalan-jalannya, dan limpahilah ia dengan cahayaMu yang takkan pernah padam.”

“Lapangkanlah dadanya dengan sinar iman. Indahkanlah ia dengan tawakkal padaMu. Hidupkan ia dengan MakrifatMu, dan matikan ia dalam syahid di jalanMu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pembela.” Sambil membacakan rangkap doa itu, Ilham juga menghayati sedalam-dalamnya maksud yang tersurat.

Selesai mengaminkan doa itu, Humaira terus bersalaman dengan Ilham. Tangan gagah suaminya itu dikucupi semahu-mahunya. Lama. Dia ingin suaminya tahu akan betapa cintanya hanya pada lelaki itu. Pepasir pantai, deruan ombak dan kicauan camar pagi yang turut sama berzikir menjadi saksi persembahan cinta Humaira buat satu-satunya lelaki dalam hidupnya.

“Abang sayang Humaira.”Lafaz Ilham. Hangat seluruh tubuh Humaira mendengar kata-kata suaminya itu. Tambah hangat lagi apabila pipinya dikucup lembut Ilham sambil tangannya merangkul erat pinggang si isteri. Kini jiwa Ilham sudah tenang. Tiada lagi pintu untuk iblis membisikkan godaan nafsu padanya. Menangislah pula syaitan tatkala melihat jiwa seorang lagi manusia kini selamat berselindung dalam lafaz ‘qabiltu’.

Mereka tidak terus bangun meninggalkan pantai tersebut sebaliknya terus duduk menyambung agenda dengan bercerita. Humaira menyatakan satu persatu persatu bagaimana beliau sebelum berkahwin. Terungkaplah segala misteri yang menjadi tanda tanya selama ini. Terbongkarlah sudah setiap rahsia yang terpendam dan terluahlah segala rasa yang berbuku di sanubari.

Antara yang dikongsikan oleh Humaira adalah cerita istikharahnya. Hingga ke malam Ilham melafaz lamaran itu, Humaira masih beristikharah. Dan tuhan sekali lagi memakbulkan permintaannya. Wajah yang sedang ditatapinya itulah yang muncul. Dengan mengenakan kopiah putih, Ilham melemparkan sekuntum senyuman manis. Bermula saat itu dia asyik merindui senyuman itu dan hari ini, senyuman itu miliknya.
Humaira juga pernah bercakap dengan kawan-kawannya soal jodoh. Katanya dia inginkan suami yang tidak terlalu tinggi, tidak terlalu wara` dan namanya bermula dengan huruf yang sama seperti nama Humaira. Yang paling penting dia tidak inginkan lelaki yang lebih muda darinya.

Selepas dilamar Ilham, Humaira sebenarnya masih tidak dapat menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya. Cukup sukar bagi gadis tersebut menerima hakikat dirinya sudah dimiliki orang. Dosa pahala menjadi penyebab utama Humaira berkelakuan sedemikian. Hanya empat bulan setelah itu barulah dirinya bersedia menyambut kehadiran insan bergelar Ilham dalam hidupnya.

Ilham juga punya kisah untuk dikongsikan. Dia pernah menyimpan hasrat untuk mengahwini gadis berbangsa arab dari Syria. Ahh, lelaki manapun akan tergoda dengan kecantikan wanita Syria. Tidak seperti wanita arab lain. Syria, Palestin dan Lubnan merupakan antara bangsa arab tercantik di dunia.

Beliau juga membongkar cerita bahawa sebenarnya Humaira pernah memarahinya di Darul Quran. Waktu itu Humaira sedang berurusan dengan seorang pelajar lelaki melalui tingkap nangkuh dewan besar Maahad. Ilham yang kebetulan melihat gelagat pelajar lelaki itu tiba-tiba mencelah dengan suara nakalnya. Apalagi, keluarlah nada tengkingan dari Humaira meminta supaya pelajar lelaki itu bersikap serius. Gugup juga Ilham. Mana pernah ada perempuan yang berani meninggikan suara padanya sebelum ini selain umminya.

Sepanjang hubungan mereka terjalin dulu, masih ada lelaki yang meminta Humaira untuk disunting. Baik dari Malaysia, Syria mahupun negara lain, ada saja lamaran diterima kerana tidak ramai yang mengetahui mereka berdua sudah bertunang. Mujurlah perkara itu diatasi dengan bijak. Ilham sendiri yang meminta supaya tidak diceritakan padanya semua perkara itu selagi belum bernikah, bimbang hatinya akan terganggu dengan berita tersebut.

Ilham juga pernah menerima kembali kehadiran Ning dalam hidupnya. Gadis tersebut muncul setelah berputus dengan Abang Fakhrul akibat salah faham. Ning menjalinkan hubungan dengan Abang Fakhrul hanya berniat untuk menyakiti hati Ilham. Namun begitu pintu hati Ilham tidak akan terbuka lagi untuk menerima gadis tersebut.

Tidak disangka rupanya mereka punya perangai dan minat yang hampir sama. Mereka selalu terlanggar sesuatu apabila berjalan. Kaki mereka selalu diangkat ke atas kerusi secara tidak sedar. Suara mereka yang agak nyaring jika bercakap membuatkan mereka selalu menjadi perhatian. Tuturan mereka juga agak laju. Mereka gemar berpidato. Aiskrim, twisties dan buah-buahan masam menjadi kesukaan pasangan itu.

Walaupun secara kasar fizikal mereka berbeza, namun masih banyak persamaan yang dikongsi. Wajah mereka bulat, mata sepet dan hidung keduanya kemek.

Humaira berjanji demi suaminya untuk menjadi setabah Khadijah, selembut Aisyah, secekal Sumayyah, sesuci Maryam dan sehebat Khaulah Al-azwar. Ilham juga berazam untuk setia bak Nabi Muhammad, sesabar Nabi Allah Ayub dan penyayang bak Luqman al-Hakim.

Barakallah lakuma Baraka Alaikuma Wa Jamaa Bainakuma fil Khair

Semoga tautan kasih antara mereka terus kekal hingga hembusan nafas terakhir. Semoga simpulan hati dua pejuang agama itu bakal melicinkan lagi perjalanan gerakan islam menuju kemenangan yang dicita-citakan. Dan semoga sahabat mereka yang lain juga turut sama mengikut jejak langkah memurnikan hati dengan melangkah ke gerbang perkahwinan.

Percayalah akan istikharahmu, dan tabahlah berpegang pada janjiNya.

Mabrook Ilham Darweesh dan Humaira Dafeeqa!


3 comments:

  1. mantap la wan..cerita perihal diri sendiri...
    pape pon tahniah...barakallah lakuma wa baraka alaikuma jamaa bainakuma fi khair...

    A.Hafiz

    ReplyDelete
    Replies
    1. TQ mar..wat la etek citenye anta...

      Delete
    2. citer ana biarla menjadi rahsia..
      cukuplah sekadar coretan cerita ke generasi anak cucu..
      hehehehe

      A.Hafiz

      Delete

Guane gamok? komen skit....