Sunday, February 12, 2012

Jangan lawan arus, jangan ikut arus, tapi pandulah arus (Perutisan sempena Hari Kekasih).


Jangan terkejut! Post ini bukanlah menyokong perayaan hari valentine yang bakal disambut 14 Februari ini seluruh dunia. Ianya sekadar mengambil semangat anak-anak muda yang sedang dalam mood perayaan tersebut kebanyakannya. Dengan pendekatan terbuka yang telah berjaya menambat ramai golongan muda untuk menyintai cara hidup islam ini, ramai pendakwah yang berlumba-lumba menggunakan method ini. Alhamdulillah, penulis kira ini satu revolusi baru dalam dunia dakwah moden.

Jika dulu zanji (yang tiada diamalakan zaman nabi) menjadi pendekatan ulama` untuk menarik golongan muda menghayati perayaan Maulidur Rasul, kini penghayatan tersebut sudah tidak berkesan lagi. Orang muda sudah tidak meminati zanji marhaban ini. Perlu ada satu cara bagaimana untuk orang muda terus menghayati bulan Maulidur Rasul ini. Mungkin dengan muzik, lakonan, jenaka, auta fakta boleh menarik minat mereka.

Namun begitu, keterbukaan ini memerlukan persiapan ilmu yang cukup mantap. Sedarlah bahawa ini sebenarnya membawa pendakwah ke tepian perigi. Silap haribulan mungkin boleh jatuh terjerumus. Bak sabda Rasulullah:

"إن الحلال بيِّن، وإن الحرام بيِّن، وبينهما أمورٌ مشتبهاتٌ لا يعلمهن كثيرٌ من الناس، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه، ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه" – البخاري ومسلم

Perkara halal dan haram itu jelas. Dan diantara keduanya terdapat perkara syubuhat yang tidak diketahui hukumnya oleh manusia kebanyakan. Dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara kesamaran itu seolah-olah terjerumus ke lembah haram. Seperti pengembala yang membawa binatang ternakan makan di tepi kawasan larangan, kemungkinana besar ternakan tersebut telah makan tanaman dari kawasan larangan tersebut.

Begitulah daie. Sesungguhnya hari ini golongan muda terlalu terikat hati mereka dengan keseronokan dunia yang kebanyakannya tiada dibenarkan dalam islam. Namun di sana masih terdapat ruang keseronokan yang halal bagi manusia, cuma perkara tersebut tidak begitu jelas hukumnya. Menjadi tugas para daie untuk menghilangkan kesamaran tersebut dengan menentukan hukumnya menurut ilmu yang sahih dan nas yang tepat.

Contohnya hiburan muzik. Dulu muzik adalah antara syubhah yang patut dijauhi kerana banyak nas yang seolah mengharamkan walaupun ada juga nas yang membenarkan. Namun apabila hari ini muzik menjadi daya tarikan golongan muda mudi, ianya perlu digunakan sebagai senjata dan alat para duat. Muzik itu perlu dihalusi hukumnya. Perlu dicari dimana larangan dan kebenaran yang dimaksudkan syarak. Maka menghilangkan syubhah daripada muzik menjadi kewajipan para agamawan hari ini demi pembelaan islam.

Begitulah juga soal kasih sayang. Jika dahulu kasih sayang dan cinta hanya difokuskan untuk tuhan dan rasulnya, dengan menganggap cinta makhluk adalah cinta fana, hari ini cinta makhluk juga perlu diperhalusi. Mood muda mudi kini didorong dengan fitrah ingin berkasih sayang dan barat telah berjaya menyantuninya dengan Valentine`s Day. Maka berlakulah penyelewengan fitrah, kasih yang dibina adalah kepada yang tidak halal, cinta mereka songsang, dan hati mereka semakin jauh dengan Pemilik Segala Hati.

Lebih parah lagi apabila agamawan turut melabelkan fitrah tersebut sebagai haram. Maka memberontaklah perasaan manusia dan terus menolak cara hidup islam kerana tidak bertepatan dengan keinginan mereka. Ada yang sewenang-wenangnya melabelkan couple haram, bersosial itu adalah keruntuhan akhlak tanpa mengkaji apa maksud sebenar perkataan tersebut.

Couple adalah bermaksud pasangan. Dalam bahasa arab ianya disebut Zauj (زوج). Quran tidak pernah menafikan couple dalam ertikata ini bahkan menyokong dan menjadikannya syarat untuk hidup bahagia di dunia. Begtu banyak ayat yang menunjukkan pengharusan couple ini namun cukuplah penulis bawa 2 ayat ini sebagai renungan:
ومن كل شيء وخلقنا زوجين لعلكم تذكرون (الذاريات:49)

“Dan daripada setiap sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan moga-moga kamu beringat”
Firman Allah lagi:

مِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (الروم:21)
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

bersosial pula adalah hidup bermasyarakat dan bergaul. Ianya bukan mengikut fahaman segelintir agamawan yang mengatakan sosial itu adalah pergaulan bebas tanpa mahram. Sosial itu dituntut, tapi pergaulan bebas itu yang ditegah. Ianya dipanggil masalah sosial. Jangan disalah ertikan istilah ini sehingga boleh menyebabkan islam dilabel kolot dan tidak universal.

Pengharusan sosial dipetik dari firman Allah SWT:

يآأيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا (الحجرات:13)

“Wahai manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu daripada lelaki dan wanita dan menjadikan kamu berbagai bangsa dan kaum untuk kamu saling mengenali.”

Namun couple dan bersosial. mestilah mengikut landasan syara`. Couple mestilah berlainan jantina dan diikat dengan pernikahan. Jangan fikir kahwin itu susah. Yang wajib hanya keredaan kedua pihak melalui lafaz ijab kabul dan restu bapa pihak wanita. Mas kahwin cukup sekadar barang yang mempunyai nilai, contohnya cincin RM5. Yang lain hanyalah sunat dan bidaah sahaja.

Jika takut tidak mampu menanggung nafkah, amalkan Nikah Khitbah (Kahwin Gantung). Pasangan masih dalam tanggungan ibubapa masing-masing mengikut persetujuan bersama seperti keadaan sebelum kahwin. Cuma yang membezakan adalah pasangan kekasih terbabit halal untuk bersentuhan dan bebas berkepit ke mana-mana. Mudahkan?

Percayalah! Kahwin muda memang best. Anda akan rasa tenteram, tenang dan sangat berbahagia. Kita bebas untuk dating ke mana saja, bercenderama di bawah siraman cahaya rembulan malam di taman bunga, berduaan memadu asmara di hotel-hotel peranginan, candle light dinner di restoren mewah dan bermacam-macam lagi keseronokan couple tanpa perlu rasa khuatir dicekup atau diperhatikan orang. Dunia bagaikan milik anda berdua sahaja. Bagi yang nikah khitbah, habis berdating, hantar balik isteri ke rumah keluarga mereka. Tiada siapa yang akan menunggu didepan pintu dengan parang panjang atau senapang patah.

Penulis sedar ianya tidak seindah teori. Untuk meyakinkan ibubapa tidaklah semudah yang disangka. Ianya menuntut pergorbanan tinggi dan usaha tanpa henti. Biasalah, dunia. Untuk merasai kemanisan madu pun, perlu merasa perit sengat lebahnya dahulu. Allahlah tempat dipanjatkan doa agar dilembutkan hati ibubapa membenarkan perkahwinan kita.

Bersempena mood golongan muda yang dahagakan kasih sayang di ambang 14 februari ini, murnikan kasih sayang tersebut mengikut landasan islam demi kebahagiaan dunia serta akhirat. Ianya adalah jauh lebih bahagia daripada cinta yang terbabas dari landasan fitrah.

Carilah hari lain untuk meraikan kasih sayang. Tiada guna mengubah nama perayaan. Sepatutnya tarikh tersebut disambut dengan seribu kesedihan mengingatkan nasib kerajaan Andalus yang jatuh ke tangan Kristian dimana watak utamanya dimainkan oleh paderi kesayangan Ratu Issabella, Pedro St. Valentino. Atau setidak-tidaknya tidak dikenang lagi terikh sedih itu.

Barat namakan hari kekasih untuk menutup mata dunia berhubung peristiwa kejam tersebut. Cerita bahawa Valentine dibunuh kerana menetang kerajaan hanyalah rekaan semata-mata. Nama Valentine bukan bermaksud kekasih pun. Dengan menukar maksud Valentine, kekejaman terlindung dengan syiar percintaan. Justeru itu, menukar nama tidak akan menafikan apa-apa selagiv 14 Februari masih dihati.

Sekali lagi penulis ingatkan, dalam meniti di tepian perigi, jangan sampai terjatuh ke dalam. dalam menyantuni arus kemahuan muda-mudi, jangan sampai tergadai prinsip islam.

Jangan lawan arus, kelak kita akan disisih. Jangan pula mengikut arus, nescaya kita akan dihanyut. Tapi pandulah arus, agar terarah ke jalan lurus.

*sejarah Valentine: http://maruwiah.com/category/artikel/april-foolvalentine-day/

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....