Wednesday, June 6, 2012

BERSIH 10.0 PUN AMBE READY!!



“Selamat berjuang  ustaz.” Ucapan ringkas dari salah seorang jemaah suaru AlHidayah, Alor Kuda itu sudah cukup untuk menguatkan hatiku bahawa pemergianku sekejap lagi tidak berseorangan, malah ditemani rimbunan doa dari orang ramai.

Jam menunjukkan sudah pukul 8.55 malam.  Aku terus melangkah keluar dari surau itu, bimbang rombongan bas yang menanti jam 9 malam akan meninggalkanku. Tiba-tiba aku disapa seorang lelaki lingkungan akhir 50an. Tidak semena-mena dihulurkan padaku segenggam wang buat bekalan jihadku. Lelaki yang masih tidak kukenali itu lantas bertanyakan tentang jadualku untuk ke Kuala Lumpur malam itu sambil tangannya ‘bersilat’ untuk terus memasukkan wang tersebut ke dalam poket jubahku setelah aku enggan menyambut hulurannya.

“Mungkin dia juga inginkan pahala jihad.” Getus hatiku.

Dalam kuliah maghrib yang aku sampaikan sebentar tadi, sempat aku menyentuh berkenaan himpunan bersih ini dari aspek agama. Bagiku, tiada alasan bagi seorang islam untuk tidak menghadiri himpunan ini. Sabda Rasulullah SAW:

أفضل الجهاد كلمة الحق عند سلطان جائر
(Sebaik-baik jihad adalah berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim)

Ya, motif himpunan bersih diadakan adalah untuk menyatakan kebenaran supaya SPR lebih telus dalam sistem pilihanraya ini dan tidak berat sebelah. Suruhanjaya yang mendapat mandate secara terus dari Yang Di Pertuan Agung itu mewakili pemimpin mereka untuk menjalankan proses pilhanraya.

Kezaliman pemimpin Malaysia hari yang telah menjemput berbagai bala bencana serta kehinaan daripada Allah SWT ini tidak lagi boleh ditahan. Tanpa menegakkan proses demokrasi yang telus ini, mungkin mereka akan terus bertindak seperti Firaun dan Namrud terhadap rakyat mereka demi mempertahankan kerajannya.
Sabda Rasulullah lagi

لا تجتمعوا أمتي على الضلالة
(Tidak akan berhimpun umat aku didalam kesesatan)

Selain dari mewajibkan setiap ahli PAS untuk turun ke dataran merdeka 28 April nanti, Tuang Guru Nik Aziz sendiri akan hadir. Antara ulama` lain yang akan berhimpun termasuklah Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Tuan Guru Haji Salleh serta ramai lagi cendikiawan agama, para graduan aliran agama dan pelajar agama akan hadir tanpa mengira kontra fikrah. Majoriti golongan agama bersetuju dengan himpunan ini walaupun ada sebahagian yang tidak menghadirkan diri.

Lagi sabdanya:

من جهز غازيا فقد غزى
(Sesiapa yang membantu melengkapkan orang yang berperang, mereka juga dikira berperang)
"من خلف غازيا فقد غزى"
(Sesiapa yang memikul tugas seseorang yang pergi berperang(disaat mereka meninggalkan harta dan anak isteri), mereka juga dikira berperang)

Hadis ini aku lurutkan ketika sesi pengajian kitab Fiqh Sirah Nabawiyyah karangan Dr Said Ramadhan al-Buthi, seorang ulama bertaraf antarabangsa dari Syria. Sengaja aku pilih hadis ini untuk mereka yang tidak berkesempatan ke himpunan bersih, bahawa mereka masih boleh memperoleh ganjaran sama seperti mereka yang bakal menelan asap dan bermandi air water-cannon di dataran merdeka kelak.
Akhirnya, aku menutup dengan sepotong lagi hadis yang berbunyi:

الدعاء سلاح المؤمن
(Doa adalah senjata orang mu`min)

Disebabkan himpunan ini adalah himpunan aman, hanya duduk dan bantah, maka tidak wajar untuk dibawa bersama pisau belati, parang panjang ataupun kayu besbol untuk dijadikan senjata. Namun ia tidak menolak kemungkinan bahaya yang akan menimpa jika dinilai dari sudut ketelusan kerajaan yang ada sekarang dengan akta-akta rekaan mereka itu. Yang terbaik adalah menyediakan senjata paling ampuh yang hanya akan memudaratkan mereka dengan izin Allah SWT.

Kata A.Samad Said juga dalam facebooknya:

Di pihak belah sana,
Polis ada, askar ada,
Juga pancutan air bisa,
Selain bom gas bahaya,
Malah helikopter juga.
Di pihak sini pula
Yang sedia ada hanyalah
Jersi kuning serta doa.

…………………………….

Setelah memperkenalkan diri, rupanya lelaki yang berhati murni itu adalah bekas pemain bolasepak Terengganu dan juga Kebangsaan, Hanafiah Mohsin. Beliau lebih senior dari lagenda Abdullah Ali yang kini dengan rasminya sudah mengisytiharkan diri sebagai ahli PAS. Katanya jika tidak kecederaan lutut yang dihadapinya tahun 70an dahulu, sudah tentu beliau akan mewakili Malaysia ke sukan Olimpik di Mexico.

Selesai sesi taaruf, aku terus meluncur laju meninggalkan halaman surau yang semakin kusam dengan kunjungan. Isteriku serta dua adikku sudah awal-awal lagi berada di dalam kereta untuk beredar ke tempat rombongan berkumpul. Namun mereka tidak akan ikut sama.

Aku menyertai rombongan bas yang didermakan khas oleh tauke bas ekspres Adik-beradik untuk peserta bersih. Kami yang terdiri dari berbagai lapisan umur naik dari Kg Losong Atap Zink. Wanita juga turut serta dalam rombongan ini. Ukiran semangat terbentuk begitu jelas pada raut wajah setiap ahli rombongan. Semuanya ada 4 bas, dan bas ku yang terakhir bertolak. Mataku sempat mencuri pandang gelagat seorang ibu yang mencium dahi anak lelakinya yang bakal ikut menyertai kami. Titisan jernih yang mengalir dipipi beliau jelas menandakan kecekalan jiwanya melawan gelora syahdu hatinya. Ibu mana yang inginkan anak mereka diapa-apakan. Namun dek kerana tuntutan agama, si ibu sanggup melepaskan anaknya itu, persis ibu palestin yang bangga membesarkan anaknya hanya untuk melihat mereka keluar berperang dengan Israel durjana.

Kami meneruskan perjalanan membelah bumi Malaysia dari pantai timur ke barat daya dalam pekat langit malam. Semuanya berjalan mengikut apa yang diatur. Kira-kira setengah jam selepas bas bertolak, aku sudah berada di alam mimpi hinggalah sedar tak sedar, berada di hentian Karak yang hanya berbaki setengah jam perjalanan sebelum smapia ke destinasi.

Kami berhenti di situ kira-kira jam 6.15 untuk menunaikan solat Subuh. Aku antara yang paling akhir keluar. Kelihatan rombongan berduyun-duyun menuju masjid. Alangkah indahnya suasana itu. Disaat selimut empuk begitu manja memanggil, surau itu memuntah limpahan manusia sehingga solat berjemaah terpaksa di lakukan beberapa kali.

Teringat kisah yang aku baca berkenaan seorang tentera Israel yang lalu di sebuah masjid. Sejurus menjenguk ke dalam masjid, tentera tersebut tersenyum puas dengan katanya: “Islam akan menang jika bilangan orang yang solat subuh di masjid bersamaan dengan bilangan sembahyang Jumaat, nampaknya bilangan mereka amat sedikit. Mustahil kami akan akan kalah.”

…………………….

Kami tiba di Bandaraya Kuala Lumpur lebih kurang jam 7.15 pagi. Bandaraya itu menjemput kami dengan dengan hamparan kesunyian, mungkin kerana hari itu adalah hari cuti. Kami diturunkan di hentian PWTC. Setelah sedikit taklimat dari pemandu bas, rombongan berpecah membawa haluan masing-masing kerana masa himpunan yang dijadual bermula jam 2 petang.

Setelah menelefon Ust Khalil Abdul Hadi tentang jadual program, Aku bersama dua orang lagi rakan mengatur langkah ke Sogo melalui hentian LRT Bandaraya. Kami memilih untuk bersarapan dahulu di kafe mamak CT Selera, tidak jauh dari kompleks Sogo. Rasa teruja bila melangkah masuk ke kedai itu kerana rata-ratanya berpakaian kuning, bertubung labuh dan berserban, dan lebih mengujakan riuh rendah suasana kafe itu dimonopoli oleh dialek pantai timur, samada Kelantan atau Terengganu. Rupa-rupanya mereka terlebih dulu sampai ke sini, mungkin sejak semalam.

Roti telur bersama The O panas yang dipesan telah terhidang, tanpa menunggu lagi aku terus melahap juadah tersebut sementara dua rakanku lagi menikmati nasi lemak KL. Ternyata lidah mereka masih ‘ketimuran’ untuk menerima nasi lemak itu kerana asyik merungut tentang kepedasan sambalnya. Ya lah, Bukan sahaja Kelantan, Terengganu sendiri pun terkenal dengan makanan manisnya.

Selesai mengerjakan juadah itu, kami membuat keputusan untuk menuju ke Sogo, namun terhalang apabila terdapat sekawan polis sedang berkumpul berdekatan bangunan Sogo. Kelihatan juga ramai kelibat manusia bukan warga KL yang menuju ke arah kami, mungkin kerana dihambat polis. Aku tidak mahu mengalah. Sementara sahabat-sahabat yang lain sedang sibuk berbual dengan kenalan yang terserempak dengan mereka, perlahan-lahan aku mendekati bangunan Sogo itu sehinggalah berjaya menembusi benteng polis yang waktu itu masih di tahap raptai.

Sejurus aku lepasi kawanan polis itu, mereka terus berbaris membentuk benteng manusia melintangi Jalan Raja Laut. Dengan mendabik dada dan memasang kekuda, raut bengis pasukan keselamatan itu jelas terpampang menyebabkan orang ramai mula meluat dengan mereka. Jam baru menunjukkan hampir 9 pagi. Peserta bersih yang tidak sempat melepasi polis untuk ke bangunan Sogo mula mengerumuni benteng manusia itu sebagai tanda protes terhadap apa yang dilakukan. Namun itu semua tidak meninggalkan apa-apa bekas di hati polis yang telah di dog train sempurna.

Akhirnya ada kalangan mereka yang memilih untuk melalui jalan lain walaupun sedikit jauh untuk ke Sogo, yang menghubungkan mereka dengan Dataran Tahrir. Ada yang melalui Jalan Tunku Abdurrahman di belakang Sogo, ada yang memilih untuk menggunakan LRT, tidak kurang juga ada yang masih mengadap polis-polis itu dengan harapan benteng itu akan terburai dek kebanjiran manusia yang semakin lama semakin memenuhi lokasi itu.

Kini aku keseorangan kerana terpisah dengan rakanku yang lain. Perasaan cemas mula singgah pabila mataku melirik ke langit Kuala Lumpur, bimbang aku tersesat dalam kesibukan kota durjana itu. Megah bangunan yang terpacak memaut kaki langit sehingga menghalang cahaya mentari untuk menyentuh bumi. Kuala Lumpur menambah seriau hatiku. Aku tidak biasa keseorangan dengan kota besar ini. Hanya kerana fikirkan kami (peserta BERSIH) adalah datang membawa misi yang sama, aku sedikit lega.

Jam 10 Pagi, Sogo dibuka, aku yang masih kehilangan punca ini terus meluru masuk ke Sogo, sementara 
menanti jam 2 dengan harapan dapat bergerak je Dataran yang tidakku ketahui mana arahnya. Hampir sejam di Sogo, akhirnya ku terima mesej dari rakanku menyatakan orang ramai telah berkumpul dihadapan menara DBKL. Tanpa berlengah lagi aku terus menuju ke sana. Peserta bersih yang masih ramai di dalam Sogo langsung tidak kupedulikan.

BERSAMBUNG KE BAHAGIAN II...
*IKUTI KISAH SELANJUTNYA DAN BANYAK LAGI PERKONGSIAN DARI RAMAI LAGI LAPISAN RAKYAT DAN PESRTA BERSIH DENGAN MENDAPATKAN BUKU TRAVELOG BERSIH 3,0; MELIRIK LANGIT KOTA HARI INI...HUBUNGI 0148413672...CEPAT SEBELUM TERLAMBAT!!!