Thursday, January 24, 2013

ADAB MENUNTUT ILMU (أداب المتعلم)

SYLLABUS USRAH IDADIE 2
SIRI I

Firman Allah SWT:
يَرفَعِ اللهُ الّذِينَ أمَنُوا منكم والذين أوتوا العلم درجات[المجادلة:11]
Allah mengangkat mereka-mereka yang beriman dan mereka menuntut ilmu dengan beberapa darjat.

وما كان المؤمنون لينفروا كافة فلولا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين ولينذروا قومهم إذا رجعوا إليهم لعلهم يحذرون  [التوبة:122]
Bukanlah bagi orang islam untuk keluar semuanya pergi berperang. Perlu ada satu kelompok dari setiap kumpulan mereka yang tidak berperang sebaliknya bertafaqquh dalam ilmu agama dan memperingati kaum mereka setelah pulang (dari menuntut ilmu) supaya mereka berwaspada.



Sabda Rasulullah SAW:
طَلَبُ العِلمِ فريضَةٌ عَلى كلِّ مسلمٍ [رواه ابن ماجه]
Menuntut ilmu adalah fardu ain bagi setiap orang islam.

Lagi sabdanya:
ليس مِنَّا إلّا عالِمٌ أو مُتَعَلِّمٌ [رواه الديلمي]
Bukanlah daripada (umat)ku selain orang yang berilmu atau penuntut ilmu.


Lagi sabdanya:
مَن سَلَكَ طَرِيقًا يَلتَمِسُ فِيهِ عِلمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيقًا إلى الجَنَّةِ [رواه مسلم]
Barangsiapa yang memilih jalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan permudahkan baginya jalan ke syurga.

Lagi sabdanya:
لَأَن تَغدُو فَتَعَلَّمَ بَابًا مِنَ العِلمِ خَيرٌ مِن أَن تُصلِّي مِائَةَ رَكعَةٍ [رواه ابن عبد البر]
Kamu keluar untuk menuntut satu bab ilmu adalah lebih baik dari solat 100 rakaat.

ADAB-ADAB:

SEBELUM MENUNTUT ILMU.

1. Ikhlas menuntut ilmu kerana Allah, untuk menjadi hambanya yang taat serta berniat untuk menyebarkannya.

2. Membuang sifat-sifat mazmumah dari dalam diri sebelum menuntut ilmu dengan bertubat. Kerana ilmu jika masuk ke dalam diri yang jahat nescaya akan menjadi bertambah jahat dan akan memudaratan tuannya serta menjadi bala kepada manusia. Berkata penyair
لَو كَانَ لِلعِلمِ مِنْ دُونِ التُّقَى شَرَفٌ لَكَانَ أَشرَفُ خَلقِ اللهِ إبلِيسٌ
Sekiranya ilmu tanpa taqwa itu satu kemuliaan, nescaya makhluk yang paling mulia adalah iblis.

3. Datang awal ke tempat pengajian.

4. Datang dengan pakaian yang bersih.

5. Menyempurnakan persiapan yang wajib sebelum menuntut ilmu iaitu
- Penunjuk jalan iaitu guru
- Bekal iaitu taqwa
- Senjata iaitu wudhu`
- pelita iatu zikir
- manhaj iaitu syariat Allah.
- Kesungguhan yang tinggi.
- Ukhuwwah kerana Allah
- Tinggalkan ikutan nafsu.

SEMASA MENUNTUT ILMU

1. Bangun ketika didatangi guru, mendahului ucapan salam serta mencium tangannya ketika bersalaman.

2. Menghormati guru dan menganggapnya seperti ibubapa walaupun umurnya lebih muda dari kita.

3. Memerah kesungguhan untuk menuntut ilmu. Kata penyair
تَرجُوا النُجَاةَ وَلَم تَسْلُكْ مَسَالِكَهَا إِنَّ السَفِينَةَ لَا تَجرِي على اليَابِسِ
Kamu mengharap kejayaan sedangkan kamu tidak mengikut jalannya.
Sesungguhnya kapal itu tidak berlayar di atas daratan kering.
4. Meninggalkan perdebatan setelah jelas kebenaran sesuatu tajuk

5. Bertenang dan tidak gopoh dalam pelajaran.

6. Belajar dengan guru yang bertaqwa dan beramal dengan ilmunya,

7. Mencatit setiap ilmu yang dipelajari. Kata imam Syafie rahimullah:
العِلمَ صَيدٌ والكِتَابَةُ قَيدُه قَيِّدْ صُيُودَكَ بِالحِبَالِ الوَاثِقَه
Ilmu itu buruan dan menulis itu tali Ikatlah buruanmu dengan tali yang kuat.

8. Tidak malu dalam menuntut ilmu dan sentiasa bertanya tentang segala kemusykilan di kepala.

9. Jangan keluar dari majlis pengajian/kelas melainkan setelah mendapat keizinan guru.

10. Jangan meninggikan suara melebihi suaranya serta tidak bercakap ketika guru sedang menyampaiakan ilmu.



SELEPAS MENUNTUT ILMU.

1. Sentiasa suka menghadiri majlis ilmu

2. Tidak memilih seorang guru sahaja untuk belajar sebaliknya mempelajari sesuatu subjek ilmu dengan beberapa orang.

3. Sabar dalam menuntut ilmu dan mengulang kaji. Rebutlah masa kosong sebelum ia pergi bak kata saidina Umar:
تَفَقَّهُوا قَبلَ أَن تُسَوَّدُوا
(Fahamilah sebelum kamu menjadi pemimpin)

4. Menyebar ilmu yang dipelajari

5. Sentiasa berbincang tentang apa yang dipelajari sesama rakan.

6. Menjaga kitab dan bahan bacaan. Tidak membuangnya sesuka hati.

7. Mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan dan sentiasa berdoa mohon Allah SWT memudahkan pelajaran untuk kita fahami.

Walaupun nabi Muhammad SAW adalah seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) beliau diiktiraf olehmasyarakat sepanjang zaman sebagai tokoh paling bijaksana oleh muslim dan non-muslim kerana Allah SWT menolongnya memahami ilmu atas jasa dan kesungguhannya terhadap islam.

Rujukan:
ADAB ISLAMIAH; Dr Khair Fatimah – Maktabah Darul Khair

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....