Sunday, January 6, 2013

AMANAT: TAFSIR KE TAKWIL?




Ikutkan hati memang saya tak ingin ambil port dalam isu Amanat Hj Hadi ini. Bagi saya ia hanya isu empat tahun sekali yang memang sengaja ditimbulkan untuk menghadapi pilihanraya. Kehangatan ini akan kembali tenang secara automatik selepas PRU13 seperti PRU-PRU yang sudah. Kalau kita cuba selesaikan isu ini sekalipun ia tetap takkan selesai selagi semboyan PRU belum dibunyikan kerana yang sengaja timbulkan perkara lapuk ini memang mahu perkara ini tidak selesai, supaya isu yang telah berjaya mencuri perhatian semua rakyat saban kali piliharaya ini sekali lagi berjaya menutup isu-isu negatif ke atas mereka seperti pendedahan Deepak berkaitan kes Atlantuya, isu runtuh demi runtuh, isu-isu SPRM, tuntutan royalti petroleum, Lynas, kerugian felda, isu ketelusan SPR dan berbagai lagi isu yang tak mampu dilayan mereka. Mereka sememangnya ingin supaya persepsi PAS mengkafir ahli setiap UMNO kekal supaya boleh menjadi modal untuk terus memperdaya golongan yang kurang faham agama.

Saya amat mengagumi cara Tuan Guru dalam menjawab isu ini. 30 tahun menghadapinya membuatkan beliau tidak mudah untuk terus menari mengikut paluan gendang lawan yang memang mahukannya membela diri. Sebaliknya beliau memanfaatkan isu ini untuk mencetuskan suatu isu baru untuk dinilai masyarakat iaitu ketidaktelusan media dalam menyampaikan berita. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan amanat beliau, tetapi kebijaksanaan Tuan Guru telah menyebabkan media pro-BN terperangkap dan yang mengikuti isu amanat ini sememangnya akan melihat tempangnya media.  Memang patut sosok sepertinya digelar Tuan Guru, Mahaguru atau The Guru.


Namun apabila perbincangan ini melibatkan ramai pihak termasuk institusi mufti dan agamawan, dan publisiti yang diterima semakin meluas, rasanya ada baik saya datangkan suatu perbahasan yang bersifat agak ilmiah agar masyarakat dapat melihat kehalusan ilmu islam hasil titik peluh pejuang-pejuang agamaNya menyelesai kekusustan sekian lama di sebalik sesuatu isu.

AURA AMANAT

Amanat ini samada penuturnya memang memaksudkan sebagai sebuah amanat atau hanya sebahagian dari isi ceramah, ianya adalah suatu teks ucapan berbentuk rangkap kenyataan dalam bahasa melayu yang mempunyai beberapa istilah arab. Ianya diucapkan kepada umum melihat sebagai pesanan dan peringatan tentang bahaya yang sedang melanda akidah masyarakat kala itu.

Sungguh tidak disangka aura kalam manusia ini telah menjadi isu nasional. Setiap patah perkataannya disebar, dicanang, ditafsir malah ditakwil hampir oleh seluruh penduduk Malaysia. Ia sudah dikira mencapai tahap mutawattir atau tidak pun mustafidh atau masyhur mengikut istilah ilmu hadis. Hebat pidatonya membawa seribu satu maksud berjaya mengheret tumpuan ramai. Andai merdeka center mengkaji popularity Tuan Guru hari ini sudah tentu popularity Najib Tun Razak jatuh merudum. Majlis fatwa, ulama` atau ular dalam semak, pengkaji ilmu, ahli falsafah, politikus mahupun penyangak semuanya mempopularkan namanya. Samada bersetuju atau tidak dengan amanatnya, semua harus bersetuju bahawa orang sepertinya hanya ada satu dalam 28 juta rakyat Malaysia. Sehinggakan isu kalimah Allah pun tidak mampu menyaingi paopulariti isu Amanat seorang manusia biasa ini.

Walaupun ucapan itu berlaku pada 1981,sampai hari ini tutur itu diulang tafsir dan terjemah bermacam versi. Tidak keterlaluan jika saya bandingkan tutur beliau itu dengan hadis-hadis nabi dari sudut syarahan yang diperoleh. Cuma bezanya adalah Tuan Guru masih hidup ketika kalamnya ditafsir dan ditakwil sedangkan Nabi ditanya terus kemusykilan kalamnya tanpa perlu susah-susah tafsir. Satu lagi kalam nabi itu walaupun macam-macam pengertian yang dibuat, hanya tafsiran orang berkelayakan diterima tetapi kalam Tuan Guru dinilai semua orang tanpa sandaran ilmu.

Jangan fikir saya taksubkan beliau pula. Saya tahu beliau hanya manusia yang tak lari dari kesilapan. Tuan Guru juga pernah berdosa dan buat silap. Saya cuba untuk tidak bias kepadanya kerana beliau pemimpin saya. Tetapi adakah saya perlu sorokkan kebenaran atau bercakap bohong hanya kerana ingin dilihat adil? Yang benar tetap benar walau pahit atau manis.

Oleh kerana itulah saya ingin bawa perbincangan mengikut timbangan ilmu Tafsir al-Quran. Bagi yang menuduh saya menyamakan kalam manusia dengan kalam tuhan, katakan kepada mereka bahawa ilmu Tafsir itu hanyalah ciptaan ulama` silam. Ia diasaskan untuk memahami teks al-Quran kerana kefahaman telah banyak terganggu dengan ideologi dan falsafah anutan lain, tidak seperti zaman awal Sahabat. Mana ada ilmu tafsir zaman kenabian sebab orang boleh faham al-Quran begitu sahaja.

Itulah yang saya fikir berlaku kala ini. Mungkin dengan suasana dulu orang boleh faham dengan mudah apa maksud yang ingin disampaikan Tuan Guru, tapi oleh kerana banyaknya polemik yang sengaja ditimbulkan menyebabkan kefahaman yang ada dulu mulai terhakis.

Itu hebatnya ulama` kita. Begitu halus dalam mengkaji ilmu sehingga menetapkan setiap ijtihad/idea/rumus/falsafah yang diperkenalkan itu mesti melalui disiplin yang betul. Antara disiplin memahami al-Quran adalah menepati usul tafsir.

Sekali lagi diingat, saya hanya meminjam manhaj tafsir untuk diaplikasikan kepada Amanat Haji Hadi dan bukan meletakkan amanatnya setaraf nas al-Quran.

TAFSIR DAN TAKWIL

Tafsir sepertimana diistilahkan oleh Imam az- Zamakhsyari bermaksud: Menjelaskan kehendak lafaz yang terkunci, dan membebaskan makna yang tersurat.

Ia berbeza dengan makna tafsir mengikut pendapat jumhur ulama terkemudian sepertimana yang digambarkan oleh imam as-Suyuti sebagai: Tafsir adalah perkara yang berkait dengan apa yang diriwayatkan, dan ta`wil berkait dengan apa yang boleh difahami.

Secara ringkas, tafsir itu adalah memahami makna tersurat dan ta`wil pula adalah memahami maksud tersirat.

Dalam disiplin ilmu tafsir al-Quran, sebarang teks tidak boleh dita`wil kecuali jika makna dari tafsir itu bersalahan dengan dasar agama islam. Sebagai contoh ayat al-Quran yang berbunyi:

يد الله فوق أيديهم. [الفتح]
Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka.

Secara tafsirnya, yadd sememangnya bermaksud tangan dalam  penggunaan bahasa arab tanpa ada maksud lain. Jika difahami secara tafsir, ia akan menimbulkan kekeliruan adakah Allah punya tangan sepertimana juga manusia biasa? Oleh itu ulama terkemudian menggunakan kaedah takwil iaitu mencari maksud lain yang berdekatan dengan fungi tangan, lalu keluarlah ijtihad bahawa Yadullah yang dimaksudkan adalah kuasa Allah.

Jika perkataan itu sudah boleh difahami menerusi bahasa asal, maka takwilan adalah dilarang.

Kalam Allah atau kalam manusia, dari sudut hukum takwilan ia sama sahaja. Sanggupkah anda apabila menyatakan “saya sakit perut” kepada doktor, beliau menghalau kita ke balai polis dengan alasan ucapan kita tadi bermaksud rumah kita di rompak? Logik ke orang yang ajak anda 'makan' itu sebenarnya bermaksud 'tidur'?

Antara disiplin tafsir lagi adalah memulakan penafsiran al-Quran dengan al-Quran sendiri sebelum melihat hadis nabi, kata-kata sahabat atau pendapat tabiin. Kadangkala suatu ayat yang rumit ada dijelaskan dalam ayat yang lain dan apa yang ringkas telah dihuraikan ditempat lain dalam al-Quran.

Contoh dalam surah al-Ma`un, tuhan menyebut:
فويل للمصلين [الماعون:4]
Celakalah bagi orang yang bersembahyang.

Orang yang cepat menghukum pasti memahami bahawa melakukan sembahyang adalah dilaknat Allah. Akan tetapi ayat seterusnya menerangkan golongan bersembahyang yang manakah  dilaknat itu.
الذين هم عن صلاتهم ساهونلا [الماعون:5]
Iaitulah dalam sembahyangnya, mereka lalai.

Berpegang kepada prinsip ini, seharusnya amanat itu perlu dibaca keseluruhan dan bukan hanya mengutip beberapa patah dalam amanat itu, bahkan perlu mengkaji keseluruhan isi ceramah, digabungkan dengan siri-siri ceramahnya yang lain. Barulah adil.

Menyebut tentang tafsir al-Quran dengan al-Quran, patutkah amanat itu dirujuk tafsirannya kepada orang lain sedangkan sumber amanat itu masih boleh ditanya? Sepatutnya tafsir Amanat Haji Hadi dengan Haji Hadi sendiri.

Asbabun nuzul juga boleh mempengaruhi maksud teks. Ia bererti sebab turunnya ayat al-Quran kerana kebanyakan ayat turun kerana satu-satu isu yang berlaku di zaman Rasulullah atau menjawab soalan yang diaju kepada nabi. Dalam ilmu hadis, sebab penutururan hadis dari Rasulullah SAW dipanggil asbabul wurud.

Amanat itu juga bersebab dan sebabnya harus dikaji sebaiknya.

SAY NO TO TARIK BALIK

Tidak wajar jika satu ayat yang umum itu ditarik balik hanya kerana ia bersifat umum dan tidak terperinci sehingga boleh menimbulkan perpecahan. Sepatutnya dijelaskan sendiri oleh tuan punya ayat.

Tertarik dengan hujah Ustaz Nik Abduh, jika seseorang berkata, “Barangsiapa yang tidak menjalankan undang-undang dengan apa yang diturunkan Allah, merekalah orang-orang kafir.”, adakah orang ini telah mengkafirkan umat islam sehingga perlu ditarik balik? Jika anda berkata perlu ditarik balik, maka anda seolah meminta ayat al-Quran ini juga ditarik balik:

ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الكافرون [المائدة:44]

Atas alasan memecah belah dan tidak sesuai dengan zaman, bagi saya pernyataan seperti yang disarankan Dr Maza dan ISMA ini menggambarkan ketidak fahaman mereka tentang siasah syariyyah.

Untuk merealisasikan tuntutan islam, adakalanya perkara-perkara bersifat furuiy perlu difleksibelkan perlaksanaannya supaya lebih lunak dengan masyarakat dan lebih tepat dengan amalan wasotiyyah dan kelunakan cara Rasulullah SAW. Timbangannya adalah maslahah dan mafsadah. Inilah Siasah Syariyya

Bukan semua orang faham Siasah Syariyyah ini. Dalam gerakan islam sendiripun, berapa  kerat sahaja yang faham ilmu ini apatah lagi yang tidak join gerakan. Saya pun bukan faham sangat Siasah Syariyyah ini cuma dalam isu yang melibatkan perhatian semua pihak ini perlu dinilai sebaik mungkin dari aspek Siasah Syariyyah.

Disaat islam sedang mendaki puncak kekuasaan, untuk menterjemahkan kewajipan berhukum dengan undang-undang Allah itu dalam bentuk amalan, melalui kuasa yang diberikan rakyat yang juga tergalas di bahu mereka kewajipan yang sama, disaat itulah juga penentang memainkan berbagai isu untuk melambatkan pendakian ini. Bayangkan mafsadah jika amanat ditarik. Media akan memainkan peranan menghambur Tuan Guru dengan berbagai gelaran negatif yang mengdiskreditkan imej gerakan islam seterusnya mempalit imej buruk terhadap islam sendiri. Tuduhan penarikan amanat untuk meraih undi juga bakal muncul dan yang untung adalah penentang. Hanya kerana satu isu lapuk ini, masa depan meraih kemenangan islam juga mulai pudar.

Sepatutnya azam PAS untuk menghapus kezaliman dan salah guna kuasa yang terang benderang terbukti lakunya serta hasrat memartabatkan islam sebagai hukum tertinggi disokong seluruh pendokong islam. Segala kemusykilan perlu dirujuk terus secara personal dengan pimpinan atasan dan bukan mencari publisiti dihadapan orang awam mengkiritik tindakan mereka kerana ia hanya merugi dan makin mengusutkan minda masyarakat.

Ya, mungkin ada sesuatu yang silap dalam teks amanatnya tetapi adakah kesilapan itu lebih besar dari sokongan masyarakat yang menjadi peluru utama yang menjamin kemenagan islam era demokrasi ini?

Maslahah yang diingin mungkin adalah perpaduan ummah namun itu takkan berlaku walau amanat itu tidak pernah wujud. Soal dua imam, haram sembelihan dan kafir mengkafir bukan disebabkan amanat tetapi kegopohan ahli serta kecetakan kefahaman orang islam waktu itu. Hari ini gejala itu boleh dianggap tiada lagi dikalangan ahli PAS kerana pengkafir-pengkafir tegal hari ini semuanya telah keluar PAS (Jangan baca masuk UMNO sahaja) atau setidaknya mereka telah faham dengan penjelasan demi penjelasan daripada pimpinan. Hanya orang-orang UMNO sahaja yang merasa diri mereka masih kafir selagi bergelar ahli pertubuhan itu. Keluar sahaja UMNO, tenanglah jiwa itu.

Perpaduan yang dicanang perlukan mekanisme dan mekanisme itu hanyalah atas dasar islam yang berkuasa. Takkan mampu perpaduan tercetus dikalangan mereka yang tidak mempunyai kepercayaan yang sama walaupun warna kulit saling tak tumpah.

MENILAI AMANAT SECARA LITERAL

InsyaAllah saya akan sempurnakan tafsiran amanat ini mengikut disiplin yang telah saya kemukakan semampu mungkin dalam entri yang akan datang insyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....