Wednesday, January 23, 2013

TUJUAN HIDUP (غرض الحياة)

SYLLABUS USRAH THANAWI 1
SIRI I                                                                    


Pernahkah kita terfikir kenapa kita wujud di dunia ini? Mengapa kita dipilih untuk diciptakan Allah? Apa yang Allah ingin daripada kita yang sebenar?

Sesungguhnya Allah SWT adalah zat yang Maha Suci lagi Maha Bijaksana. Allah tidak akan melakukan perkara yang sia-sia kerana itu bukanlah tindakan yang bijak, justeru itu pada penciptaan manusia ini ada tujuan tertentu di sisi Allah sepertimana termaktub didalam al-Quran iaitu untuk beribadat, menjadi khalifah, memakmurkan bumi dan diuji.

Orang yang tidak tahu tujuan hidup adalah seperti orang yang memandu kereta tetapi tidak destinasi dan arah yang ingin dituju. Tiada beza manusia dan haiwan jika tidak tahu tujuan hidup. Kata Hamka:
“Kalau hidup sekadar hidup, babi hutan juga hidup, kalau kerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”



1. BERIBADAT

Firman Allah SWT:
 وَمَا خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلَّا لِيَعبُدُون] الذاريات 56 [
Dan tidaklah Aku menciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadat (kepadaNya).

Salah satu dari tujuan penciptaan manusia, bahkan tujuan paling utama adalah untuk beribadat kepadaNya. Ibadat bermaksud mengabdikan diri kepada Allah dengan makna tunduk, patuh dan merendah diri dihadapan yang disembah – yusuf qardawi

Tundu patuh kepada Allah bererti menurut segala suruhanNya samada yang termaktub didalam al-Quran atau yang disampaikan melalui sunnah Rasulullah SAW. Ibadat juga bermaksud meninggalkan setiap apa yang dilarang oleh Allah.Ibnu Taimiyah berpendapat sifat ubudiyyah (memeperhambakan diri) adalah tunduk, patuh dan merendah diri dengan penuh rasa cinta terhadap yang disembah.
Bolehlah difahami bahawa sesiapa yang merendah diri, patuh kepada sesuatu (selain Allah) serta mencintainya lalu menurut segala kemahuannya adalah beribadat (memperhambakan diri) kepada perkara tersebut termasuklah menurut hawa nafsu, kekasih harta atau kuasa.

2.MENJADI KHALIFAH

Firman Allah SWT:
وإذ قال ربك للملائكة إني جاعل في الأرض خليفة    [البقرة:30]
Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; sesungguhnya aku (ingin) menjadikan bagi bumi itu khalifah, 

Khalifah berasal dari kata (خلف) bermaksud belakang atau pengganti. Difahami dari kata ini bahawa manusia itu menjadi pengganti kepada Allah dalam urusan memerintah perihal dunia. Bukanlah Allah itu berhajat kepada manusia sehingga memerlukan pengganti tetapi ini sebagai salah satu dari bebanan dan juga pengiktirafan kepada manusia sebagai sejenis makhluk yang paling sempurna ciptaanNya mengatasi malaikat, jin dan seluruh alam.

Orang pertama mempopularkan gelaran ini adalah Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang digelar KhalifatulRasulillah (pengganti rasulullah). Jika seseorang menyebut beliau hidup dizaman Khilafah, ia memaksudkan zaman khulafa` Rasyidin iaitu samada zaman pemerintahan saidina Abu Bakar, Omar, Uthman dan Ali.

Justeru, manusia wajib menggalas tanggungjawab mentadbir dunia mengikut amanah-amanah yang telah ditetapkan Allah melalui al-Quran dan Sunnah dan usaha-usaha ke arah menegakkan pemerintahan islam itu merupakan antara kewajipan-kewajipan yang paling diutamakan. Dari tujuan keda inilah disyariatkan ibadah jihad.

3.MEMAKMURKAN BUMI

Firman Allah SWT:
هو أنشأكم من الأرض واستعمركم فيها [هود:61]
Dialah yang menjadikanmu daripada tanah dan untuk memakmurkannya.

Memakmurkan bumi bermaksud menjadikan bumi tempat yang aman dan selamat untuk didiami, dengan membebaskan bumi dari sebarang kezaliman, kerosakan dan penyelewengan.

4.UNTUK DIUJI
الذي خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملا   : 192 ]ص]
 (DIalah) yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapa antara kamu yang paling baik amalannya.

Dunia adalah pentas ujian. Bukan sahaja orang islam, bahkan mereka yang tidak mempercayai tuhan sekalipun tidak akan terlepas dari ditimpa ujian samada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Ujian yang ditimpa Allah tidak akan berakhir kecuali setelah tamatnya riwayat hidup kita di dunia ini. Akhirat pula adalah tempat pemarkahan dan pembalasan terhadap berpandukan keputusan ujian kita di dunia. Ulama mengibaratkan dunia ini sebagai jambatan akhirat, ada yang mengaitkan dunia sebagai tapak bercucuk tanam untuk dituai di negeri akhirat. Justeru itu menasuhati manusia dalam meniti hidup dunia ini dengan sabdanya:
كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ [رواه البخاري]
Beradalah di dunia seolah-olah kamu seorang pendatang asing atau pelintas jalan.

Jelaslah kita bahawa hidup di dunia ini perlu untuk menunaikan segala tujuan penciptaan manusia. Jangan hidup sekadar untuk jadi orang baik atau untuk solat, puasa zakat dan haji semata-mata. Jangan pula hidup untuk menjadi pemimpin dunia sahaja, ataupun hidup menyerahkan takdir kepada Allah kerana menunggu tibanya hari akhirat. Sebaliknya empat tujuan itu hendaklah diadun sebaiknya dan dipenuhi tuntutan kesemuanya

Orang paling wajar dicontohi adalah Rasulullah SAW. Beliau orang paling kuat beribadah sehingga melecet tumit kaki akibat terlalu lama sembahyang. Baginda juga berjuang mempertahankan pemerintahan islam sehingga cedera dan diancam pembunuhan. Selain dari tu rasulullah menunaikan segala amanah di muka bumi ini seperti amanah harta, amanah tubuh badan, amanah negara, amanah keluarga dan sebagainya. Kehidupan Rasulullah juga tidak sunyi dari ujian bertimpa-timpa bahkan dalam satu hadis Rasulullah bersabda apabila ditanya oleh saad bin Abi Waqqas:

 قلت يا رسول الله أي الناس أشد بلاء ؟ قال : الأنبياء ، ثم الأمثل فالأمثل ، يبتلى الرجل على حسب دينه  [رواه الدارمي والنسائي وابن ماجه والترمذي]

Aku berkata; Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling dahsyat menerima ujian? Sabda Rasulullah SAW: Nabi-nabi, kemudian yang mencontohinya, dan yang mencontohi pencontohnya.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....