SYLLABUS USRAH IDADIE 2
SIRI IV
Memelihara atau menundukkan pandangan disebut didalam bahasa arab sebagai البصر غض. Dari segi bahasa, ia berasal dari kata غَضّ , yang bererti menahan, mengurangi atau menundukkan.
Dr. Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan bahawa, yang dimaksudkan dengan menundukkan adalah menahan pandangan mata dari perkara-perkara yang haram dilihat. Dalil yang memerintahkan manusia agar menundukkan pandangan pada ayat berikut.
Firman Allah taala :
30. Katakanlah kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.
31. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka… [An-Nur:30-31]
Ayat ini antara lain menyebutkan tentang pemeliharaan aurat bagi wanita, yang menjadi punca kepada berlakunya kepayahan untuk si lelaki menjaga mata. Dosa mereka yang membiarkan aurat mereka ditatap adalah lebih besar dari yang melihatnya.
HUKUM YANG MELIBATKAN PANDANGAN MATA
1. Memandang aurat orang lain yang tidak ditutup adalah tidak boleh, samada disertai syahwat ataupun tidak.
2. Memandang lawan jantina dengan tujuan taladzdzudz (memuaskan nafsu) adalah tidak boleh walaupun menutup aurat.
3.Pandangan seketika yang tidak disengaja terhadap lawan jenis adalah dimaafkan.
4.Apabila ada keperluan syar’iyyah atau dharurat maka diperbolehkan memandang lawan jantina dengan sebabmemenuhi keperluan atau dharurat tersebut. Contoh keperluan syar’iyyah tersebut adalah seperti melamar, bersaksi, mengubati, dan mengajar.
Perlu diingat bahawa hukum-hukum ini tidak hanya dikhususkan bagi yang memandang aurat lelaki, wanita atau perkara yang dilarang ketika berhadapan sahaja, tetapi juga dalam permasalahan media elektronik dan social seperti FB, TV, Majalah, internet dan sebagainya.
HIKMAH MENJAGA PANDANGAN
Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziah telah menyebut dalam kitabnya tentang faedah dan kelebihan memelihara pandangan. Di antaranya :
1. Membersihkan hati dari rasa perit kekesalan kesan daripada memandang perkara yang tidak mampu dimilikinya.
2. Mewarnai hati dengan cahaya (nur) dan sinar yang terang, lalu terzahir pada mata, wajah dan anggotanya.
3. Dapat menajamkan firasat kerana hati tidak melihat perkara yang dilarang.
4. Dapat membuka jalan-jalan dan berbagai pintu ilmu pengetahuan serta memudahkan tercapainya pengetahuan.
5. Memperkuat, memperteguh, dan membuat hati menjadi berani.
6. Menjadikan hati gembira, lapang, jiwa lebih hebat daripada keindahan dan kegembiraan yang terhasil daripada pandangan. Kegembiraan ini adalah atas kejayaan memerangi hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan.
7. Membebaskan hati daripada menjadi tawanan syahwat.
8. Menjadi benteng penghalang daripada pintu neraka jahannam.
9. Menguatkan akal, menambahkan dan menthabatkannya.
10. Menyucikan hati daripada keinginan syahwat dan kelalaian daripada mengingati Allah dan hari akhirat.
Rasulullah S.A.W telah mengingatkan umatnya didalam sebuah hadith:
إن الله كتب على ابن آدم حظه من الزنا ، أدرك ذلك لا محالة ، فزنا العين النظر ، وزنا اللسان المنطق ، والنفس تمنَّى وتشتهي ، والفرْج يصدق ذلك كله ويكذبه
”Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla menetapkan bagi anak Adam bahagiannya daripada zina . Mata berzina, dan zinanya ialah memandang. Dan lidah berzina, dan zinanya ialah berkata-kata. Dan hati bernafsu dan berangan-angan, dan kemaluan (faraj )lah yang akan membenarkannya atau mendustakannya.”
[HR Bukhari dan Muslim]
Oleh itu, sama-samalah kita beramal dengan sifat ini kerana kitalah yang akan memimpin ummah dan menyelamatkan mereka yang mungkin terkapai-kapai kelemasan dek kefasadan yang diundang oleh mereka sendiri. Walaupun perkara ini nampak remeh dan kecil, namun kerosakan yang besar hakikatnya bermula daripada memandang remeh perkara yang kecil.
لاَ صَغِيْرَةَ مَعَ الإصْرَار
Tidak lagi disebut dosa kecil jika (perbuatan maksiat itu) dilakukan terus menerus.
Rujukan:
-Raudhatul Muhibbin- Ibnu Qayyim Al-Jauzi
-Fatawa Muasarah, Dr. Yusuf Al-Qardhawi
- Halal dan haram, Dr. Yusuf Al-Qardhawi
Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH
MAAHAD DARUL QURAN RUSILA
SESI 2013
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....