Saya sebenarnya keberatan untuk menulis entri ini kerana ianya melibatkan pimpinan jemaah sendiri. Tetapi kebejatan pelayar maya yang bercakap hal ini tanpa batas membawa diri ini mencoret juga sejalur tegur di dinding sesawang agar tidak ditanya oleh Allah apa perananmu dalam memurnikan hal ini.
Sehingga kini saya masih fikir tidak layak berhujah dalam hal ini yang melibatkan prinsip parti dan orang besar. Tapi apabila KS menyebut istilah-istilah seperti qiyas dan ijithad (sini) yang menjadi tajuk penting dalam pengajian syariah islam, rasa diri ini terpanggil mencanting lagi kanvas perbincangan yang terbentang. Sekurang-kurang ilmu yang ditabur di fakulti dulu boleh disegarkan kembali.
Setakat yang difahami, mengqiyaskan jawatan Timb. Pres dengan Panglima Perang adalah menyamakan jawatan no. 2 dalam jemaah islam dengan jawatan panitia program-program tertentu dalam jemaah. Ini jelas qiyas maal fariq. Mengqiyaskan asas pemilihan khalid al-walid dengan asas pemilihan Timb pres juga qiyas maal fariq.
Bagi yang belum memahami qiyas, ia bermaksud menyamakan hukum bagi sesuatu yang tiada di dalam nas syarak dengan sesuatu yang ada di dalam nas kerana kaitan-kaitan tertentu.
Qiyas perlu ada empat rukun iaitu - :
kes asal, kes yang ingin diqiyas, hukum asal dan illah (sebab) yang dikongsi oleh dua kes.
Kenapa saya katakan Qiyas KS lari dari syarat Qiyas? Kerana tidak menepati rukun keempat iaitu illahnya. Dia menyatakan kedua jawatan itu sama kerana keduanya tidak memerlukan kepada kemahiran berijtihad. Alasannya kerana kita telah mempunyai majlis syura yang berperanan menentukan hukum. Soalnya, apa pula institusi yang berperanan seperti Majlis Syura di zaman Rasulullah sehingga menghalalkan pemilihan Khalid Al-Walid?
Saya bukan bermaksud bahawa perlu ada institusi Majlis Syura seperti PAS dizaman Rasulullah, tetapi mengikut disiplin ilmu, perbincangan berkenaan Qiyas hendaklah menyebut tentang titik-titik persamaan dua asas jawatan ini hingga boleh diberikan hukum yang sama secara jelas, bukan hanya pandai sebut kerana ianya membahayakan pemikiran orang awam.
Jika tidak mahu tujukan tulisan pada orang awam, jangan ditulis pada blog terbuka kerana KS merupakan pimpinan parti. Setiap tulisan itu akan dipandang serius oleh semua lapisan ahli.
Pemilihan panglima perang adalah ibarat memilih seorang pelaksana dalam hal-hal tertentu yang telah siap diijtihadkan oleh jawatankuasa tertinggi. Khalid al-Walid tidak berhak menentukan adakah perlu atau tidak perlu untuk keluar berperang kerana itu bukan bidang kuasanya. Tugas beliau hanya memikirkan strategi untuk menjayakan objektif program perang-perang yang telah diputus oleh Rasulullah.
Di dalam perbahasan Ahkam Sultoniah , jawatan ini digelar Wizarah Tanfiz. Memang benar tidak disyaratkan keilmuan hingga peringkat mampu berijtihad dalam bentuk jawatan ini, sehingga boleh dilantik bukan islam jika program-program yang dikhususkan untuk beliau tidak berkait dengan keagamaan.
Namun berbeza bagi jawatan Timb Presiden, kerana tugasnya mengikut perlembagaan adalah membantu tugas-tugas presiden. Bahkan semasa ketiadaan presiden, jawatan itu perlu dipangku oleh beliau. Dan umum mengetahui bahawa bidangkuasa presiden PAS adalah luas mencakupi perihal berijtihad yakni memutuskan keputusan-keputusan penting yang belum dibincangkan majlis syura.
Presiden tidak boleh hanya bergantung pada keputusan syura kerana perkara sebegitu bakal membantutkan gerakerja presiden yang bersifat responsif,kritis dan proaktif, yang tidak boleh menunggu persidangan syura. Namun tidak dinafikan Syura berhak mempertikaikan keputusan presiden selepas daripada itu.
Tugas sebegitu boleh disamakan dengan jawatan Wazir Tafwidh yang dikelaskan oleh Imam Mawardi kerana peranannya hampir sama iaitu memikul sebahagian tugas Imamah termasuk hal menentukan arahan tertinggi. Beliau mengsyaratkan Wazir Tafwidh memiliki ketujuh-tujuh syarat sebagai Imamah termasuk ilmu untuk berijtihad, kecuali syarat ketujuh iaitu keturunan atau pengaruh.
Perlu juga diingatkan bahawa keilmuan ijtihad bukanlah satu-satunya syarat yang perlu. Dalam tujuh syarat itu, salah satunya adalah perlu perpandangan jauh dalam politik dan kepimpinan. Mudahnya ia perlu berjiwa haraki dengan maksud ulama yang hanya pakar dalam memahami nas turath tanpa memahami realiti semasa juga tidak layak diangkat untuk memimpin. Sebab itulah orang yang dilantik nabi menjadi gabenor islam adalah ulama yang mempunyai keupayaan berijtihad dan memimpin di kalangan sahabat seperti Muadz bin Jabal dan Saidina Ali ke Yaman, Abu Musa Asyari ke Eden, dan Umar alKhattab ke Kufah. Nabi tidak memberi jawatan penting itu pada Abu Dzar walaupipun beliau meminta kerana kekurangan dalam merit yang disebutkan.
Kita tidak menafikan apa yang disebut dalam Ahkam Sultoniah itu adalah hierarki bagi sebuah khilafah islamiah, tetapi mengikut konteks realiti, peranan jemaah itu adalah menggantikan tugas khilafah yang hilang, mengikut keterbatasan yang ada.
2.IJTIHAD
Saya juga melihat KS memahami ijtihad dengan kacamata yang salah. Beliau seolah mengecilkan skop ijtihad hanya sekadar hal-hal berkaitan pengfatwaan hukum hakam furuiy sepertimana yang dibuat oleh ulama-ulama fiqh. Padahal ijtihad bermaksud berpandangan pada kes yang tiada dalam nas syarak mengikut panduan nas. Ia termasuklah memberikan komentar mewakili parti. Dikhuatiri Timb Pres yang tidak mampu berpandangan mengikut lunas syarak akan memberikan gambaran salah tentang dasar dan maqasid islam.
Lainlah halnya jika diperuntukkan satu undang-undang bahawa hanya presiden sahaja yang boleh mengeluarkan kenyataan berhubung satu-satu isu mewakili parti. Hari ini ianya tidak berlaku. Masing-masing lebih sibuk bersembang dengan reporter luar dari bertawadhu' menyerahkan tugas menjawab kepada yang selayaknya.
3.SAIDINA ABU BAKAR
Apabila YB KS menempalak orang yang mengqiyaskan jawatan Timb Pres dengan Abu Bakar RA, membuktikan KS juga gagal memahami hujah orang lain. Mereka bukan bermaksud seseorang itu perlu berkeperibadian seperti Abu Bakr, tetapi peranan beliau dalam kepimpinan nabi. Beliau seringkali menggantikan tugasan nabi. Dan beliau adalah ulama kalangan sahabat, yang mampu berijtihad sebagaimana ijtihadnya untuk menyerang golongan murtad dan yang enggan membayar zakat.
4.RASULULLAH
Peranan presiden boleh diqiaskan dengan peranan Rasulullah! Saya tegaskan berpandukan dalil hadis nabi Ulama sebagai pewaris nabi. Cuma peranan nabi itu digalas bukan oleh presiden seorang, tetapi gabungan antara presiden dan majlis syura yang memainkan peranan sebagai pewaris para nabi secara kolektif melihatkan ketidakmampuan seorang sahaja individu untuk mengkaji nas dan dalam waktu yang mengendalikan sebuah kumpulan islam seperti peranannya para nabi.
Bahkan dalam beberapa ketika, nabi perlu membuat keputusan mengikut ideanya sendiri sebagai ketua eksekutif sebelum wahyu diturunkan. Disinilah perlunya orang yang benar-benar memahami intipati syarak bagi melakar keputusan atau komentar yang tidak boleh ditangguh.
5.KOTA DAMANSARA
Membicarakan soal KD, saya masih berpendapat keputusan yang diambil Pres adalah tepat kerana PKR lah dahulu yang tidak menghormati perjanjian PR kerana membenarkan calon PSM yang tidak bekerjasama dengan PR bertanding di kerusi itu. Secara taktikalnya, belum ada parti komponen PR yang bertanding disitu.
Lagipun didalam islam, apabila perjanjian yang dibuat telah dilanggar, tiada lagi keharusan untuk terus berpegang pada janji tersebut. Sejarah Fathul Makkah bermula apabila pihak musyrikin terlebih dahulu melanggar perjanjian Hudaibiah, dengan menolong sekutunya menyerang sekutu islam. Selepas itu nabi tidak lagi berpegang pada syarat perjanjian damai untuk tidak menyerang musyrikin walaupun perjanjian masih berbaki 8 tahun. Sebaliknya nabi terus membalas kelakuan musyrikin itu dengan melancarkan kempen Fathul Makkah.
6. PERJANJIAN
Didalam islam, jika sekiranya terma perjanjian yang dibuat merugikan islam, maka ia tidak boleh dituruti sama sekali. Merujuk pada terma-terma perkanjian Hudaibiah, ada klausa yang bermaksud sekiranya seseorang daripada musyrikin menyertai umat islam di Madinah dalam tempoh perjanjian, mereka perlu diserah semula ke negeri asal, tetapi jika orang islam menyertai musyrikin, mereka tidak berhak berbuat demikian.
Lantas ayat Quran turun menerusi Surah Mumtahanah mengecualikan wanita wanita yang telah beriman dari dipulangkan ke Mekah.
7. TARBIAH
Mengaitkan kenyataan Imran dengan usaha tarbiah tokoh-tokoh PAS seolah merobek satu lubang baru untuk membocorkan bahtera PAS. Kenapa perlu disebut nama-nama mereka? Sukatan pengajian yang digariskan oleh Jabatan Tarbiah dari dulu bukanlah disusun untuk melahirkan ahli-ahli yang bertaraf ulama, tetapi sekadar menyedarkan ahli dengan tuntutan-tuntutan islam sebenar, supaya berjiwa haraki. Membina jatidiri hingga mampu berijtihad perlukan pengajian tafaqquh yang mendalam yang tidak cukup dengan hanya berusrah, liqa fikr atau tamrin.
Lagipun, kebanyakan pimpinan yang ada dalam JK tertinggi Pusat kebanyakannya tidak melalui usrah yang disusun jabatan tarbiah PAS dari bawah sebaliknya mendapat kesedaran islam dari jemaah lain yang belum disahkan keabsahannya.
Setiap jemaah perlu mempunyai rangka tarbiahnya sendiri dan tidak boleh mencedok seratus peratus dari jemaah islam lain kerana persekitarannya tidak sama. PAS bukan Ikhwanul Muslimin mesir, bukan IRC UK dan bukan juga HAMAS atau Hizbul Tahrir dari Palestin. PAS adalah jemaah islam tersendiri. Walaupun telah ditarbiah sejak tadika oleh IM, apabila menyertai PAS mereka perlu melalui proses tarbiah semula dari bawah.
8. KETERBUKAAN MELAMPAU
Saya melihat kepimpinan yang ada dalam PAS pusat hari ini menghalalkan, bahkan membawa suatu budaya baru dalam organisasi ini iaitu kritikan terbuka terhadap apa jua polemik yang boleh diselesaikan di peringkat dalaman. Disamping ianya salah dalam adab berjemaah, ia sebenarnya hanya merugikan parti sementalah PAS yang berada dalan dunia politik. Semuanya perlu nampak indah di mata pemerhati yang bakal menentukan sokongan.
Saya tidak nafikan kritikan terhadap telah berlaku sejak penubuhannya lagi. Tetapi ianya daripada orang luar, ataupun daripada ahli-ahli bawahan terpencil yang sukar menyuarakan pendapat kepada atasan. Namun hari ini perkara tersebut berlaku dikalangan AJK pusat sendiri yang sudah mempunyai pelbagai medium untuk menyuarakan pendapat mereka. Tidak cukup lagikah saluran yang ada sehingga menghentam pendapat sesama sendiri secara terbuka?
Sepatutnya mereka menunjukkan solidariti di khalayak ramai. Mereka sepatutnya membentuk wehdatul fikr sebelum wehdatul amal.Tidak salah berbeza pendapat tetapi janganlah menampakkan buruk sebelah pihak yang akhirnyan merugikan parti sendiri.
Jika Pres keluarkan kenyataan, dokongilah dengan hujah agama. Jika tidak gambarkan persetujuan dengan kacamata profesion masing-masing. Jika tidak mampu cuba jawab seperti cara Saifuddin Nasution apabila ditanyakan berkenaan tahaluf siasi. Andai tidak bersetuju sekalipun suarakanlah secara tertutup, seperti Habbab yang bersuara soal strategi Badar pada Rasulullah SAW.
Saya sendiri terpaksa menegur secara terbuka ekoran telah banyak teguran rakan-rakan sebelum ini yang disalur melalui salurannya seolah-olah tidak dihirau.
Ia juga bertujuan menjernihkan kembali kekeruhan yang hinggap pada tanggapan awam dek artikel-artikel bebas yang bersifat dalaman. Selain dari dasar muamalatul mithl (layanan serupa), saya juga menggunapakai kaedah (يغتفر فى الدوام ما لا يغتفر فى الإبتداء).
Namun begitu saya sedia menarik balik tulisan ini jika pimpinan terutama KS melihat artikel ini mengancam kesejahteraan jemaah. Saya tidak mempunyai apa-apa niat untuk memburukkan sesiapa selain menegur atas dasar tanggungjawab berpesan-pesan dengan kebenaran.
9. WACANA
Saya cadangkan agar diadakan satu wacana untuk semua ahli membariskan pihak bukan lulusan agama bersama yang berkelulusan agama membincangkan perihal pemilihan agar perwakilan jelas dengan tugasnya supaya tidak terpesong dari tuntutan syarak. Mereka perlu sedar pemilihan ini bukan berpaksi realiti politik semata-mata, tapi perlu memandang teguh dengan dalil-dalil agama.
Saya pohon maaf sebagai ahli biasa, yang masih belum disentuh selut-selut pengalaman. Harap laungan sayup dari kaki bumi PAS ini didengar hingga ke puncak langitnya.
"Setahu saya, saya tidak pernah menqiaskan sedemikian rupa. Yang saya qiaskan adalah ASAS pemilihan Khalid Al-Walid sebagai Panglima perang.", Tahu baca ke tak ni?
ReplyDelete"Mengqiyaskan asas pemilihan khalid al-walid dengan asas pemilihan Timb pres juga qiyas maal fariq." ini yang saya sebutkan dlm teks diatas. Harap baca dengan hati terbuka ye.
DeleteSebenarnya ayat itu cuma mengelirukan. 2x5 je. Kalau betul ada beza dia perlu detailkan satu persatu titik persamaan dan perbezaan, betul2 mengikut cara ulama menjalankan proses qiyas.
adik ilmu kau sepadan dgn apa yg kau belajar. tapi pengalaman kau perlu lalui, tiada dalam buku dan dengar kuliah.
ReplyDeleteTerima kasih.
DeleteBelajar memahami maksud ditulis didalam konteks, Kemudian response mengikut konteks. Bagus ilmu untuk tunjuk pandai...
ReplyDelete"Sebenarnya ayat itu cuma mengelirukan. 2x5 je. Kalau betul ada beza dia perlu detailkan satu persatu titik persamaan dan perbezaan, betul2 mengikut cara ulama menjalankan proses qiyas."
ko mentah lagi....tak perlu berbahas dgn org yg dah lama bergelumang dgn fikrah perjuangan menegakkan dan memartabatkan Islam mcm YB Khalid Samad. 32 tahun dgn Pas, 9 bulan merengkok dlm penjara, ko ada??
ReplyDeletesaya harap cadangan wacana akan jadi realiti, dalam program terbuka.
ReplyDeletetlg berikan dalil tim presiden pas wajib dari kalangan ulamak dan jika PR dapat membentuk kerajaan adakah saudara pun mahu PM dan TPM dari kakangan ulamak. adakah islam org pas berbeza dengan islam yg lain2. bagaimana pula pandangan saudara ulamak sendiri secara terbuka meminta tahaluf siasi dikaji semula.bagaimana pula rakan saudara yg menuduh ks bongkah ais ular daun dan sebagainya.kalau nak tegur tu tegur semua sekali jangan pilih bulu.
ReplyDeleteSila baca artikel saya ini:
Deletehttp://ilhamdarweesh.blogspot.com/2013/09/respon-buat-dr-agus.html
dik... belajar lagi, buang sifat ego
ReplyDeletecari pengalaman.
u punya tulisan di bumi tak jejak, di langit tak sampai.
http://www.khalidsamad.com/2013/10/respon-kepada-tulisan-ilham-darwish.html
TQ kerana mengikuti perbincangan kami. Ini jawapan seterusnya.
Deletehttp://ilhamdarweesh.blogspot.com/2013/10/respon-kedua-buat-yb-khalid-samad.html#more
Apasal dengan ulamak Malaysia.. benda benda hidup yang simpel nak dikaitkan dgn hukum hakam yang dibuat jadi kompleks... Biji butir persoalan belum jelas dah nak melompat ke hukum... Apa Islam ni ugama undang undang ke
ReplyDelete..
MasyaAllah.. ada ke sesuatu di dunia ini yang terkeluar dari ruanglingkup kekuasaan dan hukum Allah?
DeleteAssalamualaikum. Satu pandangan yang berani. Bagaimanapun, dalam Pas, tidak semua belajar ilmu agama secara khusus, tapi mereka yang bukan dari ulama, tetap ada fikrah Islam. Fikrah yang mahu Islam tertegak sebagai sebuah Daulah di Malaysia. Saya berkecimpung dalam bidang perubatan selama 18 tahun, maka saya bukan arif dengan istilah-istilah agama yang menggunakan bahasa Arab.
ReplyDeleteSaya berbeza pendapat dengan majoriti Ulama, atau Multaqa Ulama tempohhari yang mewajibkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden mesti dari kalangan Ulama. Untuk jawatan Presiden, YA. Untuk jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, TAQWA dan BIJAKSANA sudah memadai. Jika Fakih Ilmu agama, satu bonus yang sangat baik.
Analogi Timbalan Presiden Pas seumpama Panglima Perang, bagi saya tiada masalah bahkan tepat dan bersesuaian. (Saya lebih suka menggunakan perkataan "analogi" berbanding "qias"). Tiada salahnya beranalogi sedemikian kerana para pemimpin Pas selalu menyebut Pas "berperang" dengan UMNO. Berperang dalam konteks perang politik masakini bukannya perang mengangkat senjata. Dan dalam berperang itu, ahli Pas diingatkan lagi dan lagi bahawasanya kita sedang berjihad di jalan Allah swt. Maka mengambil analogi Perang politik masakini dengan Perang Zaman Rasulullah bukan satu kesalahan tetapi suatu keharusan sebagai motivasi perjuangan.
Saya merujuk kepada pendapat At-Takiri, Setiausaha Dewan Ulama, yang memberi penjelasan betapa perlunya Presiden dan Timbalan Presiden dari kalangan Ulama yang faqih ilmu agamanya lebih aula atau utama, dan "menasihati" Mat Sabu jangan kecil hati! Saya setuju, Presiden dari kalangan Ulama Faqih, bagaimanapun Timbalan Presiden tidak semestinya dari kalangan Ulama Faqih. Yang paling penting adalah TAQWA dan BIJAKSANA.
BIJAKSANA, sebagaimana bijaknya Sahabat Khubaid mencadangkan kepada Rasulullah saw memilih tempat di Perang Badar. Bijaksana sebagaimana bijaknya Salman Al-Farisi mencadangkan menggali parit mengikut kaedah perang orang Parsi. Bijaksana sebagaimana bijaknya Khalid Al-Walid di beberapa medan perang.
Kerana Panglima Perang itu mesti bijak dan cekap merencanakan strategi perang. Sama halnya Timbalan Presiden mesti bijak dan cekap merencanakan strategi "perang" di padang demokrasi sekular acuan Barat.
Saya suka menganalogikan Presiden sebagai Khalifah, maka ianya mesti dari kalangan Ulama yang fakih ilmu agama dan fakih pengalaman politiknya. Manakala Timbalan Presiden sebagai Panglima Perang, yang bersedia menerima arahan dari Khalifah (Presiden). Maka Khalifah atau Presiden adalah seorang yang mampu berijtihad.
TAQWA dan BIJAKSANA sebagai syarat utama, sudah tentu jika seseorang yang fakih ilmunya adalah satu bonus yang sangat baik.
wallahualam.
malaysianinsaf.blogspot.com
Tahniah kepada Sdr Khalid Samad yang menerima teguran dengan hati terbuka. Bagaimanapun , saya fikir, kurang elok dan kurang sesuai (tidak salah) Sdr Ilham mengkritik Sdr KS terutama soal istilah agama. Sudah tentu Sdr Ilham lebih faqih ilmu agama berbanding dgn bukan ulama dalam PAS. Tetapi mereka itu pemimpin, yang bukan sehari dua berkecimpung dalam PAS, tapi puluhan tahun.
ReplyDeleteSemua pemimpin PAS mesti dihormati oleh ahli samada mereaka ulama atau bukan ulama. Jangan kerana PAS sebuah Gerakan Islam, maka Ulama sahaja dihormati, tetapi pimpinan bukan ulama bebas dikritik sesuka hati. Kita hidu p bermasyarakat, politik pun atas urusan masyarakat. Apakah Ulama memahami semua perkara? Sudah tentu tidak, maka kombinasi semua ahli, tak kira ulama, bukan ulama amat perlu untuk PAS kekal relevan di kalangan masyarakat.
Saya fikir, Sdr Ilham sangat muda, jadi eloklah tumpukan perbahasan di kalangan orang orang muda. Sdr boleh berbahas dengan Ustaz Zaharudin, Wan Ji, dsb. Mereka juga muda, mereka juga dalam aliran agama. Pemimpin atasan , biarkanlah mereka yang setaraf dengan nya menegur dan menasihati.
Bagaimanapun, saya sebagai ahli biasa, juga menulis di blog saya, mengkritik kepimpinan. tetapi, kritikan saya lebih kepada tindakan yang diambil dalam soal isu-isu semasa. Ya, saya juga kritik At-Takiri yang menyebut nama Mat Sabu secara terang dan jelas. Sepatutnya, tidak sedemikian. Perlu buat kenyataan umum, bukan menyebut nama sedemikian.
Kadang kala, ilmu agama yang tinggi juga satu ujian untuk seseorang!