Tuesday, July 22, 2014

RAMADHAN BULAN PEMBEBASAN BUMI AL-QUDS ( KHUTBAH JUMAAT 25/7/2014)



KHUTBAH PERTAMA

الحمد لله الذي لم يتخذ ولدا ولم يكن له شريك في الملك ولم يكم له ولي من الذل وكبره تكبيرا
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له. له الملك وله الحمد وهو قاهر فوق عباده وهو السميع البصير
وأشهد أن محمدا عبده ورسوله هو الإمام المتقين وسيد الدعاة والمجاهدين وهو المبعوث رحمة للعالمين
اللهم صل وسلم وبارك على حبيبنا وشفيعنا وقدوتنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه إلى يوم الدين. أما بعد
فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، وتزودوا، فإن خير الزاد التقوى .


Wahai hamba-hamba Allah sekalian, saya berpesan pada diri dan sidang jemaah sekalian, marilah kita 
bertaqwa kepada Allah dengan erti kata yang sebenarnya, iaitulah dengan mentaati segala perintahNya serta 
menjauhi laranganNya.

Hari ini kita sudah berada di akhir bulan Ramadhan. Sedar atau tidak, Hanya tinggal kurang 3 hari sahaja lagi, Ramadhan akan pergi meninggalkan kita sekali lagi. Marilah kita bermuhasabah, kita tanya pada diri kita sendiri, apakah perubahan yang telah berlaku kepada diri aku? Apakah yang aku dapat sepanjang bulan Ramadhan ini? Adakah aku masih sama dengan aku yang dahulu? ataupun aku sudahpun berubah ke arah yang lebih baik?

Amat malang bagi mereka diberi peluang untuk berada pada bulan Ramadhan, diberi peluang untuk hidup sehingga ke 10 hari terakhir Ramadhan, tetapi mengsia-siakannya begitu sahaja.

Sabda Rasulullah SAW:
ويل لمن أدرك رمضان فلم يغفر له Celakalah bagi mereka yang sempat dengan Ramadhan, namun dia tidak mendapat keampunan Allah. [HR Ibnu Khuzaimah].

Hadirin sidang jumaat sekalian,

Mengambil semangat Ramadhan kali ini, marilah sama-sama menghayati sebuah Firman Allah SWT:
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان Bulan Ramadhan yang diturunkan padaNya al-Quran, menjadi petunjuk kepada manusia, dan keterangan-keterangan daripada pentunjuk dan mejadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan. [alBaqarah:185]
Bulan Ramadhan juga digelar sebagai bulan al-Quran, kerana padanya Allah turunkan al-Quran daripada Luh Mahfuz ke langit dunia, sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi kita Muhammad SAW.

Hari ini, bukan cerita nuzul Quran yang kita ingin tumpukan. Tetapi yang ingin kita bicarakan, adalah berkenaan tujuan penurunan al-Quran itu sendiri. Sebagaimana ayat yang kita bacakan tadi, al-Quran disifatkan dengan tiga unsur utama al-Huda iaitu iaitu petunjuk, al-Bayyinah iaitu keterangan dan al-Furqan iaitu pemisah antara haq dan batil. Marilah sama-sama kita melihat satu persatu dari maksud unsur-unsur ini.

Pertamanya, al-Quran adalah Al-Huda iaitu petunjuk. Sememangnya Al-Quran tidak dijadikan oleh Allah SWT semata-mata sebagai alat untuk membetulkan lidah semata-mata melalui tajwidnya, bukan jua sekadar mengisi masa kosong, ataupun sekadar dijadikan sebagai bahan untuk bermusabaqah pada setiap tahun.


Tujuan sebenar penurunan Al-Quran adalah sebagai pemandu arah bagi manusia, yang bersifat lemah akalnya lagi jahil dirinya, supaya manusia itu sentiasa berada di jalan yang betul sepanjang meniti hidup di dunia ini, untuk menuju ke destinasi akhirat dengan selamat dan sejahtera.

Inilah yang disebut oleh Nabi SAW melalui sabdanya:
تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما : كتاب الله ، وسنة نبيه - صلى الله عليه وسلم
Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak sesat selama-lamanya, seandainya kamu berpegang kepada kedua; iaitulah Kitab Allah, dan Sunnah NabiNya, SAW [HR Imam Malik]

Kedua, Al-Quran juga adalah Al-Bayyinah iaitu keterangan. Al-Quran bukan sahaja menunjuk ke jalan yang benar, ia juga menerangkan kepada kita jalan-jalan yang tidak sepatutnya diikut, mendedahkan tentang hakikat hidup, dan juga menjawap segala persoalan-persoalan yang bermain di benak-benak kita. Ianya adalah hujah dan bukti bagi mereka menelitinya. Padanya juga ada kewajipan yang harus ditunaikan, larangan yang perlu ditinggalkan, serta nasihat-nasihat yang berguna untuk kita hadapi segala masalah-masalah hidup.

Al-Quran itu lengkap dengan semua keterangan-keterangan mencakupi aspek ibadah, politik, ekonomi, sosial, ketenteraan, pertanian, kesihatan dan sebagainya.

Barangsiapa yang hidup dengan corak kehidupan yang digariskan oleh Al-Quran, ketahuilah bahawa mereka juga akan mendapat kebahagiaan yang hakiki di dunia ini, mahupun di akhirat kelak. Firman Allah SWT:
ونزلنا عليك الكتاب تبيانا لكل شيء وهدى ورحمة وبشرى للمسلمين Dan kami turunkan ke atasmu sebuah kitab yang menjadi keterangan bagi setiap perkara, dan juga sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira kepada orang-orang Islam.[Al-Nahl:89]

Muslimin yang diredhai Allah sekalian,

Yang Ketiga pula, Al-Quran juga merupakan al-Furqan, iaitu pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Hakikatnya, dunia ini penuh dengan fitnah dan tipudaya. Manusia itu sukar membezakan mana yang betul mana yang salah, kecualilah mereka yang menjadikan Al-Quran sebagai tempat rujukan tertinggi mengatasi segala rujukan yang lain.

Bagi mereka yang menghayati erti sifat Al-Furqan pada Al-Quran, pasti akan mendapati bahawa Allah SWT telah menetapkan sesungguhnya kebenaran tidak akan selamanya boleh bersama dengan kebatilan. Allah SWT juga menetapkan bahawa kebenaran dan kebatilan akan sentiasa bertembung dan berlawanan. Sesiapa yang ingin hidup dalam kebenaran juga, perlu menyiapkan diri untuk hidup berjuang melawan kebatilan.

Kerana itulah kita melihat pada hari ini, bumi tidak pernah aman. Sentiasa wujud orang-orang jahat yang berusaha melenyapkan kebenaran dari Islam. Dan kita juga melihat, sentiasa ada golongan-golongan yang berjuang mempertahankan Islam. Sejak dari zaman Nabi Adam AS lagi, kita melihat sirah beliau tidak pernah sunyi dari pertembungan antara beliau dan golongan musuh.

Firman Allah SWT:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نِبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا Dan demikianlah kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan kalangan manusia dan jin, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengah yang lain dengan kata-kata dusta yang indah, sebagai tipudaya mereka. [Al-Anaam:112]

Nabi SAW juga ada menyebut:
لَا يَزَالُ مِنْ أُمَّتِي أُمَّةٌ قَائِمَةٌ بِأَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ وَلَا مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ
Akan sentiasa ada dikalangan umatku yang teguh berdiri melaksanakan perintah Allah untuk berjuang. Mereka tidak akan berganjak dengan ancaman orang yang memusuhinya, ataupun orang yang meninggalkannya, sehinggalah tiba urusan dari Allah (samada menang atau mati syahid), mereka akan tetap teguh sedemikian. [HR Bukhari dan Muslim]

Inilah lumrah alam yang ditetapkan oleh tuhan. Jika tiada golongan yang berjuang menegakkan kebenaran, pastinya golongan yang batil akan berkuasa dan melakukan kerosakan serta kezaliman di atas muka bumi ini.

Firman Allah SWT:
ولولا دفع الله الناس بعضهم ببعض لهدمت صوامع وبيع وصلوات ومساجد يذكر فيها اسم الله كثيرا ولينصرن الله من ينصره إن الله لقوي عزيز Dan seandainya Allah SWT tidak menentukan penentangan sebahagian mereka terhadap sebahagian yang lain, nescaya akan runtuhlah rumah-rumah ibadat, gereja kaum Nasrani, tempat solat kaum Yahudi dan masjid-masjid umat Islam yang sentiasa disebut nama Allah. Dan Allah pasti akan menolong mereka yang menolong agama Allah, Susungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa [Al-Hajj:40]

Sidang hadirin sekalian,

Bersesuaian dengan takrifan al-Furqan itu, Allah SWT juga menetapkan bulan Ramadhan sebagai bulan al-Furqan iaitu bulan pertembungan antara Haq dan Batil. Pertembungan pertama yang berlaku dalam sejarah umat Muhammad SAW adalah berlaku di bulan mulia ini, iaitulah peristiwa Perang Badr, yang juga dinamakan oleh Allah SWT sebagai Yaumul Furqan, ataupun hari pemisah antara haq dan batil.

Firman Allah SWT:
  واعلموا أنما غنمتم من شيء فأن لله خمسه وللرسول  ولذي القربى واليتامى والمساكين وابن السبيل إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان والله على كل شيء قدير Dan Ketahuilah, Sesungguhnya apa-apa yang kamu perolehi daripada hasil peperangan, maka bagi Allah itu satu perliman darinya, juga untuk Rasul serta kaum kerabatnya dan juga untuk anak-anak yatim, orang miskin dan anak jalanan. Itu seandainya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari Al-Furqan iaitu hari bertembungnya dua kumpulan (Perang Badar). Dan Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. [Al-Anfal:41]

Walaupun umat Islam dalam serba kekurangan, seekor unta terpaksa ditunggangi bergilir seramai 5-6 orang, jumlah mereka pula hanya 313 dan memiliki cuma dua ekor kuda sebagai jentera perang, kuffar Quraisy pula jumlahnya mencecah 1000 orang lengkap bersenjata dan beratus ekor kuda, namun Allah takdirkan Islam menang dengan jayanya, menawan 70 orang musuh dan membunuh 70 orang. 

Selain dari itu, Pembukaan kota Mekah yang menyaksikan hancurnya sebuah kerajaan kuffar Quraisy yang belum pernah dikalahkan oleh mana-mana kumpulan lain, juga berlaku di bulan puasa.

Selepas kewafatan Nabi, Para sahabat dan tabiin juga memilih Ramadhan sebagai waktu untuk menumpaskan musuh-musuh Islam. Contohnya peperangan Qadisiah yang menewaskan empayar Parsi di tangan umat Islam buat pertama kalinya dalam sejarah, di zaman Umar al-Khattab, juga pembukaan kota Andalus, Sepanyol di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad, Peperangan Ain Jalut dibawah kepimpinan Sultan Qutuz, yang menumbangkan tentera ganas Mongol. Semua ini berlaku pada bulan Ramadhan.

Saudaraku sidang hadirin sekalian,

Legasi kejayaan ini diteruskan lagi selepas zaman Salafussoleh. Kita tidak akan sekali-kali lupa di bulan Ramadhan juga, Sultan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan kota Palestin dalam  peperangan Hittin atau lebih dikenali dengan perang Salib tahun 1187. Di bulan Ramadhan ini juga, tentera Islam Turki berjaya menewaskan tentera Russia yang dianggap sebagai gergasi dunia. Pada tahun 1973, sekali lagi umat Islam dikalangan tentera Mesir mengejutkan dunia, dengan gerak gempur mengharungi Terusan Suez dan meletupkan kubu kapal perang tentera Zionis Israel di sepanjang terusan tersebut.  

Saudaraku sekalian,

Hari ini, di bulan yang mulia ini, Allah SWT takdirkan pertembungan itu berlaku sekali lagi. Israel sekali lagi melampaui umat Islam di Gaza. Sedarkah kita pada saat kita sibuk memikirkan persiapan hari raya, pada saat ini juga penduduk di Gaza sedang sibuk melakukan persiapan jihad. Disaat rakyat Malaysia dilaporkan mati dalam nahas jalanraya atau kerana bermain mercun, rakyat Gaza mati syahid dalam nahas peperangan di mata peluru-peluru musuh.

Sedarkah kita, pada saat kita bebas bergerak ke sana ke mari, pada saat ini Palestin dikepung dengan sempadan ketat yang di kawal Israel disebelah Timur. Di selatan pula adalah sempadan Mesir yang di kawal ketat oleh kerajaan haram Al-Sisi. Perairan-perairan Gaza juga dikepung sejak sekian lama oleh kapal-kapal perang Israel di sebelah barat.

Penduduk Gaza benar-benar telah dikepung dari semua sudut baik darat, laut mahupun langit. Ditambah dengan pergolakan sesama umat Islam di Syria dan Iraq, Israel mengambil peluang untuk terus melancarkan serangan bagi melenyapkan umat Islam dari bumi suci Palestin.

Akan tetapi, Ramadhan tetap sebagai bulan jihad. Rakyat Palestin tidak pernah redha walau seincipun dari tanah mereka dijajah oleh Israel dan Zionis. Briged al-Qassam pimpinan HAMAS, dibantu oleh kumpulan-kumpulan pejuang kecil lain tidak akan sekali-kali undur menyerah kalah.

Dengan slogan Allahu Akbar, mereka menggelarkan peperangan kali ini dengan perang Al-Asf Ma`kul ( العصف المأكول ) yang bermaksud daun berlubang yang dimakan oleh ulat. Ini merujuk kepada lafaz surah al-Feel, bagaimana tentera bergajah Abrahah dikalahkan oleh tentera Allah dari langit, sehingga jadilah tentera bergajah itu ibarat daun-daun berlubang yang dimakan oleh ulat.

Firman Allah SWT:
ألم تر كيف فعل ربك بأصحاب الفيل ألم يجعل كيدهم في تضليل وأرسل عليهم طيرا أبابيل ترميهم بحجارة من سجيل فجعلهم كعصف مأكول Tidakkah kamu melihat bagaimana tuhanmu lakukan terhadap kumpulan yang bergajah? Tidakkah tuhan jadikan muslihat mereka itu suatu kesesatan? Dan Allah utuskan ke atas mereka burung Ababil. Yang melontarkan ke atas mereka batu-batu daripada neraka Sijjil. Maka jadilah mereka berlubang-lubang laksana daun yang dimakan oleh ulat.

Sidang hadirin sekalian,

Buat kali pertama dalam sejarah, Israel mengumumkan, roket HAMAS telah jatuh di satu titik di Tel Aviv, titik yang paling jauh daripada jalur Gaza. Ini menandakan, tiada lagi tempat yang tidak boleh di capai teknologi roket HAMAS. Pertama kali dalam sejarah juga, siren kecemasan di Kota Tel Aviv dibunyikan. Pejuang-pejuang kita juga telah berjaya melumpuhkan ekonomi Israel apabila jalanraya di bandar utama Israel itu lengang seperti bandar berhantu, sekolah-sekolah dan premis perniagaan ditutup serapat-rapatnya. Lapangan terbang mereka sesak dengan ribuan penduduk haram Israel yang ingin keluar dari tanah suci ini.

Terbaru, skuad elit Amfibian al-Qassam yang baru setahun ditubuhkan, yang mempunyai kepakaran berperang dari dasar laut mengejutkan dunia dengan serangan-serangan dahsyat mereka ke atas armada perang Zionis. Paling tidak disangkakan, tentera al-Qassam yang dikepung sejak sekian lama itu, mampu mencipta teknologi drone, iaitu pesawat kawalan jauh yang diberi nama Ababil,  yang tidak mampu dikesan satelit Zionis. Ababil berjaya masuk berlegar-berlegar ke ruang udara musuh membawa peluru berpandu dengan hebatnya.

Sesungguhnya pihak musuh tersilap pilih bulan. Mereka menyangka Ramadhan adalah bulan umat Islam berehat dan letih. Tetapi sebaliknya, umat Islam tidak pernah tewas di bulan Ramadhan. Bulan inilah yang akan menyaksikan sejarah kejayaan umat Islam bakal berulang. Seorang jurucakap Briged Al-Qassam yang menggelarkan diri sebagai Abu Ubaidah, menyatakan bahawa antara tanda-tanda kemenangan kepada perjuangan rakyat Palestin, ialah apabila peperangan itu berlaku pada bulan Ramadhan dan pertempuran darat bermula pada 10 hari terakhir Ramadhan.

Sidang hadirin sekalian, sesungguhnya kemenangan umat Islam sudah dijanjikan oleh Allah suatu hari nanti. Kota al-Quds bakal dibebaskan sekali lagi , sebelum berlakunya kiamat. Ini akidah kita sebagai ahli Sunnah wal Jamaah. Firman Allah SWT:
 أولئك حزب الله ألا إن حزب الله هم المفلحون.
Merekalah tentera Allah. Ketahuilah, bahawa tentera Allahlah yang akan beroleh kemenangan. [Al-Mujadalah:22]

Seorang pemimpin Hamas, Syeikh Solah Bardawil juga pernah menyatakan, bahawa pembebasan bumi Palestin telah ditetapkan oleh Allah SWT, kerana cerita tentang Al-Quds wujud dalam Al-Quran, dan bumi Al-Quds adalah sebahagian dari akidah kita, dan oleh kerana itu, kami yakin bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah itu semakin menghampiri.

Lalu muslimin yang dirahmati Allah sekalian, apakah tindakan kita dalam memastikan kemenangan ini? Adakah kita hanya berpeluk tubuh menyaksikan sahaja apa yang berlaku di Palestin tanpa apa-apa perasaan, ataupun kita juga ingin nama kita tercatat sebagai salah seorang yang menyumbang kepada kemenangan ini?

Marilah kita sama-sama melibatkan diri untuk kemenangan yang telah dijanjikan ini. Yang paling penting ialah memanjatkan doa pada setiap doa-doa yang kita bacakan di setiap hari, agar Allah menetapkan kaki-kaki mereka, dan juga hati mereka, untuk tidak sekali-kali gentar menghadapi Israel laknatullah alaihim. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda,
الدعاء سلاح المؤمن Doa adalah senjata orang beriman.  [HR Al-Hakim]

Kita juga berharap, kepada mereka yang diberi rezeki oleh Allah SWT untuk turut berjihad dengan menginfakkan harta mereka di jalan Allah seberapa banyak yang mungkin, supaya melicinkan lagi gerakerja membebaskan kota suci Al-Quds. Ini juga merupakan tuntutan jihad sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
إنما المؤمنون الذين آمنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابوا
 وجاهدوا بأموالهم وأنفسهم في سبيل الله أولئك هم الصادقون
Sesungguhnya mereka yang benar-benar beriman, hanyalah mereka yang mempercayai Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak meragui kepercayaan tersebut, seterusnya mereka berjihad dengan harta mereka, dan juga diri mereka di jalan Allah, merekalah orang yang benar dengan imannya. [al-Jumuah:15]

Selain itu, kita juga boleh sama-sama berjihad dengan mereka, dengan menjalankan kempen jihad boikot. Caranya dengan kita tidak membeli barangan-barangan yang menyumbang kepada ekonomi Israel dan sekutu-kutunya. Ketahuilah, bahawa setiap sen yang kita belanjakan keatas barangan-barangan produk Israel dan sekutunya Amerika, akan bertukar menjadi peluru-peluru yang akhirnya akan menembusi tubuh-tubuh saudara kita di sana.

Al-Syeikh Dr Yusof al-Qardawi dalam fatwanya menegaskan bahawa memboikot barangan yang menyumbang kepada dana musuh yang menyerang umat Islam, adalah wajib hukumnya dan barangsiapa yang menolong ekonomi mereka adalah berdosa di sisi Allah. Ini bersandarkan kepada umum Firman Allah SWT:
ولا تعاونوا على الإثم والعدوان Dan janganlah kamu bertolong-menolong dalam urusan dosa dan permusuhan.
[Al-Maidah ayat:2]

Jika kita tidak mampu untuk menyumbangkan harta kepada pejuang Allah, janganlah pula kita sumbangkan untuk musuh Allah.

Untuk akhirnya, marilah sekali lagi kita merapatkan saf kita, kita gembeleng tenaga dan kekuatan yang ada untuk menjulang kemenangan Islam, libatkanlah diri tidak kira senang atau susah, berjihadlah dalam apa jua bentuk yang termampu, terutamanya doa, derma dan boikot, supaya kemenangan Islam itu benar-benar tercapai dan Allah SWT akan hitung segala sumbangan yang kita curahkan sebagai pahala di sisinya.
انفروا خفافا وثقالا وجاهدوا بأموالكم وأنفسكم في سبيل الله ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون Berjuanglah kamu samada dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta-harta kamu dan nyawa-nyawa kamu di jalan Allah, itulah yang terlebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui. [At-Taubah:41]

بارك الله لي ولكم في الكتاب والسنة، ونفعني وإياكم بالآيات والحكمة . أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم ولجميع المسلمين و المسلمات إنه هو الغفور الرحيم.

KHUTBAH KEDUA

الحمد لله الذي أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له . و أشهد أن محمد عبده ورسوله . اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ووالاة . أما بعد .
فياعباد الله، أوصيكم و أياكم بتقوى الله فقد فاز المتقون. و تزودوا فإن خير الزاد التقوى .


Muslimin sekalian!

Marilah pada hari ini kita menghayati maksud Taqwa yang juga menjadi hikmah diwajibkan kita ini berpuasa. Antaranya seperti mana yang disebut dalam surah al-Baqarah ayat 1-3:
الم ( 1 ) ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين ( 2 ) الذين يؤمنون بالغيب ويقيمون الصلاة ومما رزقناهم ينفقون (3)
Alif Lam Mim. Inilah dia kitab yang tiada ragu lagi padanya, ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitulah mereka-mereka yang beriman dengan perkara ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta mereka sedekahkan apa yang Allah SWT rezekikan kepada mereka.

Pada bulan yang amat dituntut untuk kita ini bersedekah, marilah kita buktikan kita adalah orang yang bertaqwa, seperti yang disebutkan dalam ayat yang kita bacakan tadi. Suburkan sifat TAQWA ini dengan mendidik hati, tidak sayang kepada harta benda dunia, dengan mendermakan seikhlas mungkin harta yang direzekikan oleh Allah SWT kepada mereka-mereka yang memerlukan.

Ketahuilah, bahawa segala harta yang kita ada ini hanyalah pinjaman daripada Allah SWT. Allah akan menariknya kembali bila-bila masa sahaja yang dikehendakiNya. Oleh itu, tukarkanlah harta tersebut menjadi pahala-pahala berterusan yang akan menyelamatkan kita di hari yang Allah SWT sebutkan:
يوم لا ينفع مال ولا بنون إلا من أتى الله بقلب سليم Hari yang tidak berguna lagi segala harta benda dan anak-pinak, melainkan mereka yang datang mengadap Allah dengan hati yang penuh sejahtera. [As-Shuaraa:88-89]

Sejahterakanlah hati-hati kita ini dengan amalan-amalan yang menjanjikan pahala yang lumayan.

Sidang hadirin sekalian,

Pada hari ini juga marilah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas pemimpin jihad kita sepanjang zaman, iaitulah Nabi Muhammad s.a.w, sebagai mematuhi perintah Allah di dalam al-quran:

إن الله وملائكته يصلون على النبي، ياأيها الذين آمنوا صلو عليه وسلموا تسليماSesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas nabi, maka wahai orang-orang beriman ucapkan selawat dan salam keatasnNya dengan sesungguhnya. [al-Ahzab:56]

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما صليت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم، وبارك على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما باركت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم في العالمين إنك حميد مجيد .
اللهم اغفر للمؤمنين والمؤمنات والمسلمين والمسلمات الأحياء منهم و الأموات. ربنا اغفرلنا ذنوبنا وذنوب والدينا ورحمهم كما ربونا صغيرا. ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين آمنوا ربنا إنك رؤوف رحيم.

اللهم أعز الإسلام و المسلمين، وأذل الشرك والمشركين، و النفاق والمنافقين و الظلم و الظالمين، اللهم إنا نجعلك في نحور أعدآئنا ونعوذ بك من شرورهم، اللهم رد كيدهم على نحورهم . اللهم بدد شملهم وفرق جمعهم وشتت كلمتهم وزلزل أقدامهم، و سلط عليهم كلبا من كلابك.
اللهم انصر إخواننا المجاهدبن و المستضعفين في فلسطين، وفي غزة، وفي العراق, وفي كشمير، وفي شيشان، وفي جنوب تايلند،وفي بورما، وفي سوريا  وفي مصر و في كل مكان.
اللهم قو عزائمهم، واجمع كلمتهم، وثبت أقدامهم، وانصرهم على أعدآئهم.
اللهم آت أنفسنا تقواها،وزكيها أنت خير من زكاها، أنت وليها ومولاها. اللهم أرنا الحق حقا ورزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا ورزقنا اجتنابه. اللهم أصلح  سلطاننا، وأئمتنا وولاة أمورنا،واجعل ولايتنا في من خافك واتقاك يا رب العالمين .
ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفرلنا و ترحمنا لنكونن من الخاسرين . ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما،
 ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار، و صلى الله على سيدنا محمد وعلى آله و صحبه وسلم، والحمدلله رب العالمين .

 
 

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....