Wednesday, July 9, 2014

BULAN AL-QURAN (KHUTBAH JUMAAT 11/7/2014 MASJID PADANG HANGUS)


YANG PERTAMA
الحمد لله الذي لم يتخذ ولدا ولم يكن له شريك في الملك ولم يكم له ولي من الذل وكبره تكبيرا
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له. له الملك وله الحمد وهو قاهر فوق عباده وهو السميع البصير
وأشهد أن محمدا عبده ورسوله هو الإمام المتقين وسيد الدعاة والمجاهدين وهو المبعوث رحمة للعالمين
اللهم صل وسلم وبارك على حبيبنا وشفيعنا وقدوتنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه إلى يوم الدين. أما بعد
فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، وتزودوا، فإن خير الزاد التقوى.

Wahai hamba-hamba Allah sekalian, saya berpesan pada diri dan sidang jemaah sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan erti kata yang sebenarnya, iaitulah dengan mentaati segala perintahNya serta menjauhi laranganNya.

Hari ini kita berada di pertengahan bulan Ramadhan. Sedar atau tidak, sudah 13 hari Ramadhan berlalu. Marilah kita bermuhasabah, kita tanya pada diri kita sendiri, apakah perubahan yang telah berlaku kepada aku? Apakah hasil tarbiyah tuhan yang aku jalani pada bulan Ramadhan ini? Adakah aku masih sama dengan aku yang dahulu? ataupun aku sudahpun berubah ke arah yang lebih baik?

Amat malang bagi mereka diberi peluang untuk berada pada bulan Ramadhan, tetapi mengsia-siakan peluang ini, dengan berbagai aktiviti-aktiviti yang tidak sepatutnya.


Ramadhan kali ini cuma ada 29 hari dalam setahun. Masa inilah sepatutnya kita gunakan untuk belajar mencintai amal-amal soleh, sebelum syaitan kembali dilepaskan dari belenggu, lalu akan mengganggu kita kembali, sehingga sukar untuk kita lakukan amal-amal yang dituntut dalam Islam.

Namun, berapa ramai yang sedar tentang perkara ini. Ramadhan berlalu saban tahun, tapi sikap kita masih sama seperti dulu. Lebih malang, kita jadi lebih teruk dari diri kita sebelum ini. Ramadhan yang dilalui tiap-tiap tahun langsung tidak mendidik kita menjadi lebih bertaqwa kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW:
ويل لمن أدرك رمضان فلم يغفر له
Celakalah bagi mereka yang sempat dengan Ramadhan, namun dia tidak mendapat keampunan Allah. [HR Ibnu Khuzaimah].

Hadirin sidang jumaat sekalian,

Bersempena denga bulan Ramadhan ini juga, marilah kita menghayati maksud Firman Allah SWT:
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان
Bulan Ramadhan yang diturunkan padaNya al-Quran, menjadi petunjuk kepada manusia, dan keterangan-keterangan daripada pentunjuk dan mejadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan. [alBaqarah:185]

Bulan Ramadhan juga digelar sebagai bulan al-Quran, kerana padanya Allah turunkan al-Quran daripada Luh Mahfuz ke langit dunia, sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi kita Muhammad SAW.

Hari ini, bukan cerita nuzul Quran yang kita ingin tumpukan. Tetapi isi kandungan al-Quranlah yang lebih layak untuk kita perhatikan. Sebagaimana ayat yang kita bacakan tadi, al-Quran diturunkan kepada manusia sebagai petunjuk ke jalan yang selamat, untuk dunia kita mahupun akhirat kita.

Al-Quran adalah bukti rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita. Allah tahu bahawa hamba-hambaNya ini adalah makhluk yang lemah, yang terhad ilmu pengetahuannya. Manusia tidak dapat berfikir lebih dari apa yang Allah SWT bataskan kepada mereka. Manusia juga tidak dikurniakan kuasa untuk mengetahui perkara-perkara ghaib dan perkara yang belum berlaku.

Justeru itu manusia dengan sendirinya tidak akan mampu untuk mencari kebenaran, jika tidak dibantu oleh satu kuasa lain, kuasa yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Oleh kerana itu, Allah kirimkan kepada manusia sebuah kitab, yang menjadi petunjuk buat manusia untuk hidup sejahtera samada untuk dunia mahupun akhirat. Itulah dia kitab Al-Quran yang disebut oleh nabi SAW:

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما : كتاب الله ، وسنة نبيه - صلى الله عليه وسلم
Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak sesat selama-lamanya, seandainya kamu berpegang kepada kedua; iaitulah Kitab Allah, dan Sunnah NabiNya, SAW [HR Imam Malik]

Namun, tidak semua orang menyedari hakikat ini. Ramai manusia lebih selesa mengikut acuan dan telunjuk manusia itu sendiri, yang lemah sifatnya lagi jahil akalnya. Sedangkan al-Quran itu sifatnya lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan, baik ibadat, jualbeli, ekonomi, politik, kemasyarakatan, kebajikan, sukan, makanan, urusan peribadi mahupun kenegaraan. Allah SWT telah meletakkan garis panduan yang lengkap lagi sempurna untuk manusia menjalani kehidupan di dunia ini.

Akibat dari menggunakan peraturan dan undang-undang yang digubal oleh manusia sendiri, hari ini kita melihat kegagalan sistem-sistem itu. Masalah-masalah yang di hadapi tidak berkurangan langsung, malahan semakin bertambah dari sehari ke sehari.

Lihatlah hari ini dari sudut jenayah sebagai contohnya. Negara kita telah lama tergubal sebuah undang-undang persekutuan, yang menetapkan beberapa panduan dalam mengsabitkan kesalahan dan menghukumnya. Telah ramai yang dihukum dengan undang-undang ini.

Namun, kita melihat kadar jenayah bertambah dari sehari ke sehari, sehingga bilangan kes jenayah terpaksa dibilang pada setiap minit dan saat.

Malaysia sudah tidak se aman dulu. Anak-anak  sudah tidak selamat bersendirian walaupun untuk ke sekolah kerana takutkan penculik, kenderaan yang berkunci rapat pun dengan mudah dipecahkan, rumah yang ramai penghuni pun dimasuki penjenayah tanpa rasa takut, bahkan mak cik tua yang sudah uzur pun menjadi sasaran jenayah.

Gejala sosial juga semakin menjalar teruk. Walaupun pemilik dadah yang menyimpan dadah melebihi berat yang tertentu, boleh dihukum gantung sampai mati, tetapi dadah semakin berleluasa dalam negara kita. Walaupun hukuman bagi perogol diperketatkan, tiap-tiap hari kita mendengar kes-kes rogol yang berlaku.

Di mana kehebatan undang-undang yang ada sekarang? Penjenayah langsung tidak takut walau sekeras manapun bentuk tindakannya. Puncanya ialah kerana undang-undang ini adalah ciptaan manusia. Manusia tidak tahu dimanakah punca masalah, dan apakah cara terbaik untuk menyelesaikannya.

Rakan-rakan sidang jumaat sekalian,

Marilah pada hari yang berbahagia, kita kembali kepada cara hidup yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran. Jadikanlah Ramadhan yang digelar sebagai bulan Al-Quran ini sebagai titik perubahan, untuk kita menyedari kelemahan manusia, dan mengiktiraf segala yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita di dalam kitabNya. Kembalilah kepada cara hidup Al-Quran yan sebenar.

Seterusnya, dengan kesedaran ini marilah kita berazam untuk membaiki segala masalah yang berlaku dalam masyarakat kita. Beritahu kepada orang sekeliling kita, bahawa mereka semua ada kuasa untuk memilih, maka pilihlah mereka yang benar-benar ingin menegakkan undang-undang Allah, supaya negara kita selamat dari masalah-masalah yang berlaku, terutamanya dalam bab jenayah yang semakin menakutkan. Kembalikanlah keharmonian tanah melayu ini, dengan kita kembali kepada ajaran Islam.

Firman Allah SWT:
Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kamu supaya memeberikan amanah kepada orang ang selayaknya, dan apabila kamu berhukum sesama manusia, maka berhukumlah dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi peringatan kepada kamu dengan sebaik-baiknya. Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[al-Nisa:58]

بارك الله لي ولكم في الكتاب والسنة، ونفعني وإياكم بالآيات والحكمة. أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم ولجميع المسلمين و المسلمات إنه هو الغفور الرحيم.

KHUTBAH KEDUA

الحمد لله الذي أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له. و أشهد أن محمد عبده ورسوله. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ووالاة. أما بعد.
فياعباد الله، أوصيكم و أياكم بتقوى الله فقد فاز المتقون. و تزودوا فإن خير الزاد التقوى.
Muslimin sekalian!

Marilah pada hari ini kita menghayati maksud Taqwa yang juga menjadi hikmah diwajibkan kita ini berpuasa. Antaranya seperti mana yang disebut dalam surah al-Baqarah ayat 1-4:

الم ( 1 ) ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين ( 2 ) الذين يؤمنون بالغيب ويقيمون الصلاة ومما رزقناهم ينفقون (3)
Alif Lam Mim. Inilah dia kitab yang tiada ragu lagi padanya, ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitulah mereka-mereka yang beriman dengan perkara ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta mereka sedekahkan apa yang Allah SWT rezekikan kepada mereka.

Pada bulan yang amat dituntut untuk kita ini bersedekah, marilah kita buktikan keTaqwaan ini dengan mendidik hati, tidak sayang kepada harta benda dunia, dengan mendermakan seikhlas mungkin harta yang direzekikan oleh Allah SWT kepada mereka-mereka yang memerlukan.

Ketahuilah, bahawa segala harta yang kita ada ini hanyalah pinjaman daripada Allah SWT. Allah akan menariknya kembali bila-bila masa sahaja yang dikehendakiNya. Oleh itu, tukarkanlah harta tersebut menjadi pahala-pahala berterusan yang akan menyelamatkan kita di hari yang Allah SWT sebutkan:

يوم لا ينفع مال ولا بنون إلا من أتى الله بقلب سليم
Hari yang tidak berguna lagi segala harta benda dan anak-pinak, melainkan mereka yang datang mengadap Allah dengan hati yang penuh sejahtera. [As-Shuaraa:88-89]

Sejahterakanlah hati kita dengan amalan-amalan yang menjanjikan pahala yang lumayan.

Bersempena dengan ini juga, saya mewakili Maahad Darul Quran Rusila, datang ke tempat saudara sekalian untuk memohon sumbangan jihad, bagi menyiapkan asrama lelaki untuk menempatkan anak-anak kita yang semakin ramai tagihkan ilmu agama.

Semoga apa yang sumbangkan ini, dinilai sebagai suatu amalan yang Allah SWT sebutkan dalam FirmanNya:

Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu, supaya aku tunjukkan sebuah perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitulah dengan beriman kepada Allah dan RasulNya, dan berjihad di jalan Allah, dengan harta-harta kamu, dan diri-diri kamu. Itulah yang terbaik untuk kamu, seandaiknya kamu mengetahui. [al-Saff:10&11]

Seterusnya saya menyeru dihari dan bulan yang penuh barakah ini, dengan rasa lapar yang dikurniakan Allah ketika ini, kita mengenang mereka yang tidak senasib dengan kita, terutama bagi mereka yang dilanda pergolakan seperti Syria, Palestin, Mesir, Iraq dan Burma.

Sabda Rasulullah SAW:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه [رواه البخاري ومسلم]
Tidak beriman seseorang itu, sehinggalah dia mengasihi saudaranya. Sepertimana mereka mengasihi diri mereka sendiri. [HR Bukhari dan Muslim]

Dalam kesibukan rakyat Malaysia dengan keputusan-keputusan perlawanan Piala Dunia,di tambah edngan persiapan hari raya, janganlah kita sekali-kali lupa adik beradik kita, ibu bapa dan anak-anak kita yang sedang dihujani dengan peluru dan bom di Palestin. Israel laknatullahi alaihim tidak pernah serik menyeksa dan menindas saudara kita di sana.

Saudara kita di sana amat memerlukan doa dan pertolongan dari kita. Selain itu, marilah juga, kita sama-sama menjalankan jihad boikot, dengan tidak membeli barangan-barangan yang menyumbang kepada ekonomi Israel dan sekutu-kutunya.

Kempen boikot hari ini telah menunjukkan beberapa hasil yang membanggakan. Kilang-kilang milik mereka diberitakan sudah tutup satu-persatu akibat boikot yang kita lakukan. Teruskan istiqamah kita melakukannya. Jika kita tidak mampu untuk menyumbangkan harta kepada mereka, janganlah pula kita sumbangkan untuk musuh mereka.

Sidang hadirin sekalian,

Pada hari ini juga marilah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang telah menyampaikan islam kepada kita setelah melalui berbagai bentuk jihad dan pengorbanan. Tanda kasih kita kepada baginda dirakamkan melaui selawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah di dalam al-quran:

إن الله وملائكته يصلون على النبي، ياأيها الذين آمنوا صلو عليه وسلموا تسليما
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas nabi, maka wahai orang-orang beriman ucapkan selawat dan salam keatasnNya dengan sesungguhnya. [al-Ahzab:56]

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما صليت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم، وبارك على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما باركت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم في العالمين إنك حميد مجيد.

اللهم اغفر للمؤمنين والمؤمنات والمسلمين والمسلمات الأحياء منهم و الأموات. ربنا اغفرلنا ذنوبنا وذنوب والدينا ورحمهم كما ربونا صغيرا. ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين آمنوا ربنا إنك رؤوف رحيم.

اللهم أعز الإسلام و المسلمين، وأذل الشرك والمشركين، و النفاق والمنافقين و الظلم و الظالمين، اللهم إنا نجعلك في نحور أعدآئنا ونعوذ بك من شرورهم، اللهم رد كيدهم على نحورهم. اللهم بدد شملهم وفرق جمعهم وشتت كلمتهم وزلزل أقدامهم، و سلط عليهم كلبا من كلابك.

اللهم انصر إخواننا المجاهدبن و المستضعفين في فلسطين، وفي غزة، وفي العراق, وفي كشمير، وفي شيشان، وفي جنوب تايلند،وفي بورما، وفي سوريا  وفي مصر و في كل مكان.
اللهم قو عزائمهم، واجمع كلمتهم، وثبت أقدامهم، وانصرهم على أعدآئهم.

اللهم آت أنفسنا تقواها،وزكيها أنت خير من زكاها، أنت وليها ومولاها. اللهم أرنا الحق حقا ورزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا ورزقنا اجتنابه. اللهم أصلح  سلطاننا، وأئمتنا وولاة أمورنا،واجعل ولايتنا في من خافك واتقاك يا رب العالمين.

ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفرلنا و ترحمنا لنكونن من الخاسرين. ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما،


 ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار، و صلى الله على سيدنا محمد وعلى آله و صحبه وسلم، والحمدلله رب العالمين.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....