Sunday, April 20, 2014

KHUSYUK

Ramai orang tersalah faham erti khusyuk. Bagi mereka, khusyuk ialah meletakkan hanya tuhan di hati dan melupakan selainNya sehingga fana'@tidak sedar apa yang berlaku di dunia.

Ini sama sekali bertentangan dengan sunnah Rasul dan hukum syariat.

Khusyuk yang sebenar bermaksud mentakuti Allah dalam hati dan diterjemahkan dengan perbuatan zahir. Khusyuk melibatkan dua peranan; Takut di hati dan tenang di anggota badan. Dalam bahasa mudah, khusyuk ialah FOKUS.

Takut pada Allah dengan merasa tawadhu' dihadapanNya dan menghayati setiap yang menutur di bibir. Zahirnya pula menterjemah khusyuk di hati dengan tenang dan tidak melakukan sesuatu yang tiada kepentingan semasa solat.

Tetapi ia tidak bermaksud sehingga kita mabuk dari dunia seolah berada di dunia lain.

Nabi SAW manusia paling khusyuk pada Allah. Namun baginda sedar kehadiran cucunya semasa beliau solat. Baginda juga solat sambil tangan menghayun pedang ke arah musuh. Baginda sedar apa berlaku di dunia. Khusyuk sama sekali tidak menghalang perasaan takut pada Allah dari alam dunia.

Saidina Abu Bakar walaupun sedang mengimami solat, tetapi sedar kehadiran Nabi sehingga hampir berundur untuk memberi laluan kepada baginda memimpin solat.

Justeru, khusyuk juga bukan bererti membayangkan zat kejadian tuhan kerana itu mustahil. Khusyuk sebenar ialah menghayati setiap bacaan yang dilafaz. Jika ia berbentuk doa, fokus kepada permintaan kita. Jika dalam bentuk selawat, fokus kepada sunnah baginda SAW. Dan jika berbentuk pujian pada Allah, fokus kepada nikmat-nikmat kekuasaanNya.

Begitulah juga jika membaca ayat tentang syurga dan neraka. Khusyuk pada waktu itu ialah fokus tentang kisah tuhan berkenaan syurga dan neraka, seolah tuhan sedang berbicara dengan kita. Jika ayatnya tentang firaun, maka ibrah firaunlah fokus kita dalam solat.

Maka, untuk memupuk khusyuk yang tinggi, semestinya seseorang perlu mempunyai ilmu. Semakin tinggi ilmu bermakna semakin mudahlah seseorang untuk khusyuk. Sebab itulah para hukama menyatakan 1000 rakaat solat orang awam belum tentu dapat menandingi pahala 2 rakaat solat seorang alim.

Khusyuk adalah syarat untuk menerima ganjaran pahala dari Allah. Tanpa khusyuk, tiadalah pahala walaupun solat itu dikira sah

Nabi SAW pernah bersabda: Sesungguhnya seorang hamba itu solat, maka tidak ditulis baginya melainkan dalam 10 solat itu, hanya 9, 8, 7, 6, 5, 4 ,3, atau separuh darinya sahaja pahala.

Ibnu Abbas menambah: Tidak dikira pahala solat itu melainkan mengikut kadar fokus padanya.

Mantapkan kualiti ibadah dengan menambah ilmu pengetahuan!

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....