Wednesday, July 23, 2014

PERJUANGAN RAMADHAN, KEMENANGAN SYAWAL (KHUTBAH HARI RAYA AIDIL FITRI 2014/ 1435H)


KHUTBAH PERTAMA

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر كبيرا، (9)
و الحمد الله كثيرا.

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام، وفضلنا على كثير من الأمم.

فنحن قوم أعزنا بالإسلام، فإذا ابتغينا الإسلام بغيره أذلنا الله

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، رحمة للعالمين وأعزة على الظالمين.
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد، البدر الدجى والرحمة المهداة، وقائد الدعاة والمجاهدين، وعلى آله وصحبه ومن اتبع هداه ألى يوم القيامة. أما بعد.

فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، فتزوده، فإن خير الزاد التقوى.
Wahai hamba-hamba Allah yang dirahamati sekalian! Saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri, supaya bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

Muslimin dan muslimat sekalian!

Setinggi tahniah dari mimbar ini kepada semua, atas kejayaan menyempurnakan sebulan ibadah di bulan Ramadhan. Semoga segala hikmah daripada bulan mulia tidak pergi begitu saja dengan perginya bulan Ramadhan yang lalu. Yang terpenting adalah hikmah taqwa sebagai asas kepada semua keperibadian islam yang lain.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَذِينَ مِن قَبْلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas umat yang lebih dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
[al-Baqarah:148]

Sebuah kata-kata hikmah ada menyebut:
كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا
Jadilah hamba Allah, jangan jadi hamba Ramadhan semata-mata
Perkataan ini adalah bermaksud amal-amal baik yang kita lakukan pada bulan Ramadhan, seperti puasa, solat malam, bersedekah, membaca Al-Quran, menjaga lidah dari mengumpat dan sebagainya, perlu diteruskan pada bulan-bulan yang lain. Ramadhan hanyalah ibarat bilik darjah yang mengajarkan kita segala ilmu dan pendidikan. Kita tidak akan selama-lamanya hidup dalam bilik darjah itu, kerana ia hanya dicipta untuk melakukan persiapan bagi menghadapi hidup setelah tamat sesi pembelajaran tersebut.

Dewan peperiksaan kita yang sebenarnya juga adalah pada 11 bulan yang berikutnya. Semoga kita tidak melupakan segala pengajaran yang diperolehi semasa di bilik darjah Ramadhan, InsyaAllah.

Muslimin dan muslimat yang dikasihi Allah sekalian.

Hari ini pula adalah hari kemenangan bagi umat Islam. Ianya juga adalah hadiah daripada Allah SWT sebagaimana Firmannya:
ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هداكم ولعلكم تشكرون
Dan sempurnakanlah tempoh sebulan berpuasa, dan bertakbirlah kepada Allah dengan apa yang telah dihadiahkan olehNya kepadamu dan semoga kamu berada dikalangan orang yang bersyukur.
[al-Baqarah:185]

Menjadi sunnah pada hari ini untuk kita bergembira dan bersyukur. Rasulullah SAW sendiri bergembira pada hari ini, dengan mengenakan pakaian belum pernah dipakainya, berwangian, menikmati juadah dan menggembirakan kanak-kanak. Bersempena dengan hari ini juga, seluruh umat Islam yang berkemampuan menyambut lebaran diwajibkan membayar zakat fitrah kepada mereka yang tidak berkemampuan, supaya mereka juga mampu berkongsi kegembiraan bersama kita. Inilah konsep ukhuwwah Islamiah yang Islam ingin terapkan.

Firman Allah SWT:
إِنَّمَا المُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَينَ أَخَوَيْكُم
Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara saudaramu.
[al-Hujurat:10]

Mengasihi mereka adalah bukti keimanan kita kepada Allah dan rasulNya.

Sabda Rasulullah SAW.
لَا يُؤمِنُ أَحَدُكُم حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Tidak beriman seseorang itu sehinggalah mereka mengasihi saudaranya seperti mereka mengasihi diri sendiri.
[HR Bukhari dan Muslim]

Muslimin dan muslimat sekalian,
Pada hari bahagia ini juga, marilah kita sedari bahawa ukhuwwah Islamiah tidak dibatasi dengan sempadan kampung, daerah atau negeri sahaja. Sesungguhnya persaudaraan kita tidak dibatasi dengan sempadan geografi, keturunan mahupun warna kulit, tetapi persaudaraan sesama Islam itu sempadannya ialah kalimah La Ila ha Illa LLah!

Dimana saja manusia itu berada, baik di Malaysia, Asia, Eropah malah di angkasaraya sekalipun, selagi ada lidah yang melafazkan kalimah tauhid La Ila ha Illa LLAh, mereka adalah saudara kita, yang berhak kita kasihi dan sayangi.

Saya ingin mengajak para hadirin sekalian, dalam kegembiraan kita hari ini dapat bersama sanak saudara, sahabat taulan yang lama berpisah, menikmati juadah hari raya yang lazat dan enak, marilah kita juga mengingati nasib umat Islam di negara-negara lain. Mungkin pada hari bahagia ini, mereka tidak sebahagia kita. Dalam seronok kita bergelak ketawa di sini saudara-saudara kita seperti di Gaza, Syria, Mesir dan Myanmar mungkin berhari raya dalam tangis dan darah.

Allah SWT takdirkan ujian berbentuk ancaman keselamatan buat mereka. Kita juga sedang diuji, tetapi dengan ujian kesenangan hidup. Kedua-dua keadaan ini semuanya adalah ujian dari Allah. Menghadapi ujian ini adalah dengan bersatu padu seperti konsep zakat yang kita sebutkan tadi. Yang senang diwajibkan bersyukur dengan membantu yang susah, dan yang susah diwajibkan bersabar dan berdoa, supaya kedua-duanya beroleh bahagian dunia dan akhirat.

Sidang hadirin sekalian,

Sebagaimana Ramadhan digelar sebagai bulan jihad, Syawal pula dikenali sebagai bulan kemenangan. Mungkin yang kita biasa fahami dari ungkapan ini adalah, Ramadhan sebagai bulan jihad melawan nafsu makan, minum dan syahwat, Manakala Syawal pula meraikan kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan. Ya, ini adalah salah satu definisinya.

Tetapi tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sedarkah kita, Ramadhan juga adalah bulan jihad melawan musuh Allah zaman berzaman. Bermula dengan perang pertama Islam iaitu peperangan badar, mereka berperang di bulan Ramadhan, dan menyambut kemenangan pada bulan Syawal. Pada perang khandaq juga, mereka berjihad menggali parit di bulan Ramadhan, dan menang di bulan Syawal. Pada Fathu Makkah, mereka berjihad membebaskan kota Mekah di bulan Ramadhan, dan menjulang kemenangan besar itu di bulan Syawal.

Begitulah keadaan selepas Nabi wafat. Hari raya di zaman Umar al-Khattab adalah lebih menggembirakan, apabila mereka berjaya mengalahkan Parsi yang kejam dalam jihad bulan Ramadhan.  Pejuang-pejuang Umawiyyah berjaya membuka kota Andalus pada bulan Ramadhan. juga Sultan Saifuddin Qutuz, yang menewaskan tentera gila Tatar pada perang di Mesir, lalu disambut penuh kegirangan pada bulan Syawal. Inilah makna sebenar kemenangan di bulan Syawal.

Hari ini umat Islam di Palestin sekali lagi diperintah untuk berjuang melawan serangan Zionis bermula pada bulan Ramadhan. Serangan ini masih berterusan sehingga hari ini, dan kita perlulah yakin, bahawa Syawal ini bakal menjanjikan kemenangan buat pejuang kita disana.

Ini disebut sendiri oleh seorang jurucakap Briged al-Qassam yang menggelar diri sebagai Abu Ubaidah. Beliau menyatakan, bahawa tanda-tanda kemenangan itu telah jelas, apabila Zionis memilih Ramadhan untuk menyerang Gaza, dan memulakan serangan darat pada 10 hari terakhir Ramadhan.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Mungkin perkara ini tidak disebut secara meluas dalam mana-mana akhbar atau televisyen tempatan. Saudara kita di Gaza khususnya Briged Izzudin Al-Qassam daripada Parti Hamas telah memberikan penentangan yang amat sengit kepada Zionis. Sehingga ke hari ini, sudah lebih 50 orang tentera Zionis terbunuh, beratus yang lain cedera, sementara berbelas kereta kebal berjaya diletupkan, dan beribu-ribu roket Hamas menghujani tanah haram Israel. Kem tentera laut Zionis di Barat Gaza juga berjaya diserang oleh skuad elit amfibian al-Qassam, yang baru setahun ditubuhkan.

Dulu Israel berbangga dengan Iron Dome, suatu sistem pertahanan berbentuk seperti kubah, yang memayungi Zionis daripada serangan roket Hamas. Namun, Allah SWT tetap bersama umat Islam. Hamas berjaya memintas teknologi tersebut dengan satu teknologi yang boleh mengelirukan radar Zionis sehingga mereka tidak sedar roket Hamas masuk sehingga ke pusat pentadbiran mereka, iaitu Tel Aviv. Roket Hamas juga telah menghujani lapangan terbang antarabangsa mereka, sehingga pesawat-pesawat terpaksa membatalkan penerbangan ke Israel. Ini bermakna pintu keluar masuk Israel telahpun dikepung oleh Hamas.

AllahuAkbar!
Tuan puan sekalian,

Terbaru, Ramadhan yang lepas menyaksikan kejayaan tentera Hamas menawan seorang tentera Zionis bernama Syaol Aron, yang lengkap beruniform dan senjata. Sejarah perang Badar kini berulang kembali. Perang Badar dahulu umat Islam yang juga serba kekurangan dibanding dengan musuh yang sempurna kelengkapannya, mampu menawan 70 orang Kuffar, di samping 70 orang lagi berjaya dibunuh.

Sesungguhnya penawanan seorang tentera ini adalah satu impak yang besar dalam situasi perang sebegini, kerana Briged Al-Qassam, yang serba kekurangan, dengan Gaza yang luasnya ibarat sebuah kampung jika dibandingkan dengan tanah haram Israel, dikepung pula sejak berpuluh tahun dari segenap sudut laut mahupun darat, tiba-tiba mampu menculik seorang tentera Zionis yang lengkap dengan senjata, kereta kebal dan puluhan ribu bala tentera. Ianya membuktikan lemahnya sistem pertahanan Zionis yang selama ini dianggap tentera terkuat di dunia.

Perkara ini amat ditakuti Zionis, kerana seorang tawanan ini mampu mendedahkan beribu rahsia mereka. Mereka lebih rela askar mereka mati daripada hidup sebagai tawanan.

Namun yang lebih menakutkan Zionis, Hamas berjaya mencipta teknologi drone, iaitu pesawat tanpa pemandu, siap membawa peluru berpandu, masuk sehingga ke ruang udara Tel Aviv tanpa berjaya dikesan oleh sistem satelit Zionis. Kita sendiri hairan, bagaimana sebuah kampung kecil seperti Gaza, mampu membangunkan sebuah teknologi sehebat itu, walaupun dikepung dan diawasi seluruh kuasa besar dunia.

Zionis sudah tiada pilihan lain, kecuali terus menyerang dan menyerang, sebelum Hamas berjaya mencipta berbagai lagi senjata yang akan menghancurkan mereka.

Muslimin dan Muslimat sekalian,

Inilah keadaan yang tidak diceritakan oleh media utama kita. Mereka lebih rela menyajikan cerita kematian, kekalahan dan rintihan umat Islam di sana, supaya umat Islam ini sentiasa berasa takut, dan tidak bersemangat untuk terus memberi sokongan buat pejuang di sana.

Percayalah tuan-tuan dan puan-puan, perang yang digelar sebagai perang Asful Ma`kul ini, akan mencapai satu kemenangan yang besar, yang memberikan laluan baru buat masadepan bumi Masjidil Aqsa. Sesungguhnya Bumi al-Aqsa telah dijanjikan oleh Allah akan dibebaskan suatu masa nanti. Nabi SAW telah menyebutkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim:
لا تقوم الساعة حتى تقاتلوا اليهود حتى يختبئ اليهودي وراء الحجر والشجر فيقول الحجر والشجر:
 يا مسلم يا عبد الله هذا يهودي خلفي فتعال فاقتله إلاّ الغرقد
Tidak akan berlaku kiamat, sehinggalah kamu memerangi orang-orang yahudi, sehinggalah orang-orang Yahudi terpaksa bersembunyi di balik batu-batu dan pohon-pohon, maka berkatalah batu-batu dan pokok-pokok, wahai orang Islam, wahai hamba Allah, dibelakangku ada orang YAhudi maka kemarillah bunuhlah dia, kecuali pohon Gharqad"

Kita melihat pada hari ini, orang-orang Yahudi di sekitar Palestin telah menanam pokok ini disekeliling rumah mereka kerana melihat kemaraan umat Islam sudah tidak mampu disekat lagi. Penganut Yahudi Ortodoks sendiri membantah penubuhan negara haram Israel ini, dengan menyatakan tindakan Zionis membawa masuk penganut Yahudi seluruh dunia ke negara itu adalah ibarat menggali kubur mereka sendiri. Mereka tahu, riwayat mereka akan berakhir di bumi itu juga suatu hari nanti.

Tidakkah tuan puan gembira dengan berita-berita sebegini?
Disamping kita bersedih dengan nasib umat-umat Islam di sana, janganlah ianya sampai mematahkan semangat kita untuk menuntut janji kemenangan dari Allah. Sepatutnya bersempena dengan Syawal ini, kita merasakan gembira dengan kemenangan yang bakal dicapai oleh pejuang di Gaza InsyaAllah. Kita harus yakin dengan janji Allah, bahawa kemenangan itu adalah untuk Islam sebagaimana FirmanNya:
ألا إن حزب الله هم المفلحون أولئك حزب الله.
Merekalah tentera Allah. Ketahuilah, bahawa tentera Allahlah yang akan beroleh kemenangan.
 [Al-Mujadalah:22]

Ingatlah kembali sejarah pembebasan Palestin. Umat Islam Palestin belum pernah kalah dalam perang yang berlaku pada Ramadhan. Sultan Salahuddin Ayub, berjaya membebaskan Palestin dari tentera Salib dalam peperangan Hittin pada Ramadhan tahun 1187M. Sekali lagi pada tahun 1973, pakatan tentera Mesir dan Syria menyerang Zionis pada bulan Ramadhan, dengan menggelarkan peperangan itu sebagai operasi Badar, yang menyaksikan 2688 orang Zionis terbunuh, kira-kira 10,000 yang lain cedera, dan 295 orang berjaya ditawan Mesir dan Syria. Akhirnya Sinai, Terusan Suez, dan sebahagian Bukit Golan telah diserahkan kembali kepada umat Islam.

Saudara sekalian,
Saya tertarik dengan kajian NIC iaitu (National Intelligence Council), satu badan dibawah CIA yang mendapati bahawi Islam akan bangkit pada abad kita ini. Pada awalnya, mereka menyatakan bahawa sebuah daulah Islamiah bakal tertegak seawal tahun 2020! Tetapi setelah berlaku arab-spring pada hari ini, mereka terpaksa menilai kembali kajian itu, kerana kemungkinan daulah Islam bakal tertegak sebelum 2020! Allahu Akbar!

Semoga kemenangan Syawal ini, membuka peluang kepada seluruh umat Islam dunia, untuk menziarahi bumi Palestin, dan bersembahyang di dalam Masjidil Aqsa, yang menjanjikan pahala yang ketiga terbesar selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Sabda Rasulullah SAW:

لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد:
المسجد الحرام، ومسجد الرسول صلى الله عليه وسلم، ومسجد الأقصى
Janganlah kamu bersungguh berjalan menuju ke mana-mana masjid (kerana pahalanya sama sahaja) melainkan kepada tiga masjid: Masjidil Haram di Mekah, Masjid Rasulullah di Madinah, dan Masjidil Aqsa di Palestin. [HR Bukhari dan Muslim]

اللهم ارزقنا صلاة في مسجد الأقصى!
Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami solat di Masjidil Aqsa!

Akhirnya para hamba Allah sekalian, marilah kita pastikan, nama kita juga dicatat oleh para malaikat sebagai salah seorang yang turut menyumbang kepada kemenangan di Palestin. Teruskan jihad kita dengan berdoa kepada Allah, menderma kepada Hamas, dan juga memboikot produk yang menyumbang kepada Zionis. Marilah kita berbisnes dengan Allah SWT, dengan suatu bisnes yang dijamin tidak rugi selama-lamanya, sebagaimana Firman Allah SWT:
Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu, supaya aku tunjukkan sebuah perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitulah dengan beriman kepada Allah dan RasulNya, dan berjihad di jalan Allah, dengan harta-harta kamu, dan diri-diri kamu. Itulah yang terbaik untuk kamu, seandaiknya kamu mengetahui. [al-Saff:10&11]

بارك الله لي ولكم في الكتاب والسنة، ونفعني وإياكم بالآيات والحكمة. أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم ولجميع المسلمين و المسلمات إنه هو الغفور الرحيم.

KHUTBAH KEDUA

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر،(7)  ولله الحمد،
 أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له. و أشهد أن محمد عبده ورسوله. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ووالاة. أما بعد.
فياعباد الله، أوصيكم و أياكم بتقوى الله فقد فاز المتقون. و تزودوا فإن خير الزاد التقوى.

Muslimin dan muslimat  sekalian!

Marilah pada hari raya ini kita merasakan besarnya nikmat iman dan islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah Taala. hanya kematian di dalam iman dan islam sahaja yang diredhai oleh Allah sebagaimana firmannya:
يَا أَيُّهَا الذين آمَنُوا اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ، وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَ أَنتُم مُسلِمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan mati di dalam keadaan beragama islam.
[Ali Imran:102]

Allah SWT masih tidak lupa untuk mengurniakan ganjaran kepada kita walaupun Ramadhan telahpun menutup tirai. Nabi SAW bersabda:
مَن صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتبَعَهُ بِسِتٍّ مِن شَوَّالِ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ"
Barangsiapa yang berpuasa bulan Ramadhan, kemudian diikuti 6 hari bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun!
[HR Muslim]

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam kita meneruskan tradisi bermaafan di hari mulia ini, perlulah dijaga adab dan syariat islam dengan sebaiknya. Jangan sekali-kali kita bersalaman dengan bukan muhrim kita sesuka hati. Sepupu, saudara sabit dan ipar duai adalah mereka yang haram bersentuhan dengan kita.

Jagalah aurat dan fitnah dalam kita berhias pakai di hari mulia ini. Setahun sekali bukanlah alasan untuk kita melanggar adat dan syariat yang Allah SWT tetapkan. Ketahuilah bahawa semua kecantikan yang diberikan pada kita itu hanyalah sementara, boleh ditarik balik olehNya pada bila-bila masa sahaja. Janganlah kita kemurkaan Allah di hari ini, sehingga Allah akan menarik kembali semua kecantikan yang diberikan kepada kita.

Muslimin dan muslimat sekalian!

Pada hari yang mulia dan penuh barakah ini juga, marilah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w sebagai mematuhi perintah Allah di dalam al-Quranul karim:
إنَّ اللهَ ومَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَبِيِّ، يَا أَيُّهَا الذِينَ آمَنُوا صَلُّو عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas nabi, maka wahai orang-orang beriman ucapkan selawat dan salam keatasnNya dengan sesungguhnya. [al-Ahzab:56]
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما صليت على سيدنا إبراهيم وعاى آل سيدنا إبراهيم، وبارك على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما باركت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم في العالمين إنك حميد مجيد.

اللهم اغفر للمؤمنين والمؤمنات والمسلمين والمسلمات الأحياء منهم و الأموات. ربنا اغفرلنا ذنوبنا وذنوب والدينا وارحمهم كما ربونا صغيرا. ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين آمنوا ربنا إنك رؤوف رحيم.

اللهم أعز الإسلام و المسلمين، وأذل الشرك والمشركين، و النفاق والمنافقين و الظلم و الظالمين، اللهم إنا نجعلك في نحور أعدآئنا ونعوذ بك من شرورهم، اللهم رد كيدهم على نحورهم. اللهم بدد شملهم وفرق جمعهم وشتت كلمتهم وزلزل أقدامهم، و سلط عليهم كلبا من كلابك.

اللهم انصر إخواننا المجاهدبن و المستضعفين في فلسطين،وفي غزة، وفي العراق, وفي كشمير، وفي شيشان، وفي جنوب تايلند،وفي بورما، وفي سوريا، وفي مصر  و في كل مكان. اللهم قو عزائمهم، واجمع كلمتهم، وثبت أقدامهم، وانصرهم على أعدآئهم.

اللهم آت أنفسنا تقواها،وزكيها أنت خير من زكاها، أنت وليها ومولاها. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا ورزقنا اجتنابه. اللهم أصلح  سلطاننا، وأئمتنا وولاة أمورنا،واجعل ولايتنا في من خافك واتقاك يا رب العالمين.

ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفرلنا و ترحمنا لنكونن من الخاسرين. ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما، ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار،

 و صلى الله على سيدنا محمد وعلى آله و صحبه وسلم، والحمدلله رب العالمين.

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد   

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....