Friday, October 31, 2014

CIRI-CIRI JEMAAH ISLAM (SYLLABUS USRAH THANAWI 1 SIRI IX)

Sebagaimana yang kita fahami, bekerja untuk Islam secara berjemaah adalah salah satu kewajipan seluruh umat Islam. Namun masalah mula timbul apabila kita berada di alam realiti apabila jemaah-jemaah Islam di luar sana terlalu banyak sehingga kita tidak tahu mana satukah yang wajib untuk disertai. 

Lebih malang sekiranya kita tersilap menyertai jemaah yang ditubuhkan oleh musuh Islam bertujuan untuk melemahkan kesatuan Islam dari dalam. Untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlulah mengenali sifat-sifat jemaah Islam sebenar berpandukan al-Quran dan Sunnah. Antara ciri-cirinya ialah:

1 . ASLI 
Ditubuhkan untuk menggalas tanggungjawab kefarduan dakwah dan bukan kerana tidak berpuashati terhadap cara pembawaan jemaah islam sedia ada yang telah menepati syarat dan bukan juga ditubuhkan untuk meniru mana-mana kumpulan asing yang berbeza suasana.

2. RABBANI
Menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai perlembagaan dan matlamat utamanya adalah keredhaan Allah SWT bukan kerana kepentingan kuasa, harta, pangkat atau individu semata-mata.

3. JIHADI
Bercita-cita untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi dengan segala ruang yang ada.




4. SISTEMATIK 
Dipimpin secara tersusun mengikut hierarki jawatan dengan mentaati kepimpinan yang terlantik mengikut prioriti jawatan mereka.

5. TERBUKA
Keanggotaan menyeluruh kepada sesiapa sahaja yang mampu untuk mengikut tatacara berjemaah dan tidak dibuka hanya kepada gender tertentu, kelayakan pendidikan tertentu, keturunan tertentu atau memiliki jumlah harta tertentu.

6. INKLUSIF
Menyasarkan dakwah kepada seluruh lapisan masyarakat baik kaya atau miskin, berpelajaran mahupun tidak, muda dan tua dan tidak bersikap selektif.

6. MENYELURUH 
Merangkumi seluruh aspek kehidupan yang tidak hanya terhad kepada pendidikan semata-mata, politik semata-mata, dakwah fardi semata-mata, atau penyucian jiwa semata-mata tetapi mencakupi seluruh elemen politik, tarbiyah, dakwah, ekonomi, kesihatan, kemasyrakatan dan kebajikan.

7. THUBUT
Bersikap teguh, fundamental dan tidak mengubah dasar Islam sesuka hati walaupun kepimpinan, organisasi dan strategi bertukar ganti.

8. MURUNAH
Bersifat fleksibel dan progresif; Sentiasa memperbaharui pendekatan selari dengan peredaran masa dan menjauhi pertelingkahan masalah feqah yang bersifat furuiy.

Kesemua lapan ciri-ciri ini wajib ada pada sesebuah jemaah tanpa sebarang pengecualian, melainkan sekiranya suasana di tempat jemaah tersebut berada menghalangnya. Namun jika tiada sebarang halangan yang memudaratkan, tidak boleh sama sekali jemaah Islam untuk meninggalkan mana-mana ciri-ciri di atas.

JEMAAH ISLAM YANG TIDAK MENEPATI CIRI-CIRINYA

Adapun realiti hari ini menyaksikan kebanyakan jemaah Islam tidak menepati ciri-ciri diatas. Kebanyakannya lebih selesa bergerak dalam bidang tertentu dan mengecilkan skop dakwah mereka. Antara bidang-bidang tersebut ialah: 

1. POLITIK
Gerak kerja mereka hanya tertumpu untuk menang dalam pilihanraya walau apa cara sekalipun. Kadang-kadang menghalalkan apa yang ditegah dalam islam. Soal pemantapan akidah, pemerkasaan ibadah dan penjelasan fikrah islamiah dikesampingkan.

2. DAKWAH FARDI
Percaya bahawa islam akan tertegak dengan berdakwah mengikut cara nabi dahulu, iaitu pintu rumah ke rumah dan mengajak manusia kembali ke jalannya dengan wasilah bersemuka sahaja dan mengabaikan faktor lain.

3. SUFI
Menurut mereka, islam akan tertegak dengan sendiri jika masing-masing orang islam menumpukan soal pembersihan jiwa dari sebarang perkara dunia. Mereka memencilkan diri dari urusan sesama manusia dan hanya melakukan amalan-amalan yang melibatkan diri dengan Allah sahaja seperi zikir, wirid, solat, puasa, tilawah al-Quran dan bermunajat sahaja.

4. KEBAJIKAN
Dengan membantu manusia yang memerlukan, mereka akan menyebabkan kebaikan islam itu tersebar dengan sendiri lalu diterima seadanya. Menolong golongan susah, menyediakan makan minum dan tempat tinggal, mendirikan rumah-rumah kebajikan merupakan metod dakwah yang ampuh bagi mereka. Dengan menawarkan kesenangan dunia, mereka menarik hati masyarakat. Pendekatan ini juga diamalkan kebanyakan machinery kristian.

5. PENDIDIKAN
Golongan ini pula menjurus ke arah pemerkasaan pengetahuan islam. Mereka menumpukan untuk dibina pondok-pondok, madrasah dan sekolah, menghidupkan masjid surau dengan pengajian agama, dan membiayai golongan yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang agama. Bagi mereka, dengan berterusan memberikan pemahaman islam orang akan menerima akhirnya dan islam akan tertegak dengan mudah. Barangkali musuh yang selama ini menyimpan dendam untuk menghancurkan islam juga bakal insaf dengan pendekatan ini.

6. PEPERANGAN
Islam tidak tertegak kecuali dengan mata pedang. Inilah yang menjadi motto perjuangan mereka. Tiada istilah muajahah silmiyyah kerana berpendapat politik.diplomasi tiada diamalkan Rasulullah SAW. Yang ada hanya peperangan.


Sumber:
Ciri-ciri Umum Islam: Dr Yusof Qardawi
Risalah Taalim: Imam Hasan alBanna
Amal Jamaie: Ustaz Yahya Othman
Apa Erti Saya Menganut Islam: Dr Fathi Yakan
www.eperjuangan.com


Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH, MAAHAD DARUL QURAN 

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....