Friday, October 3, 2014

KHUTBAH HARI RAYA AIDIL ADHA 2014/ 1435 H “ KELUARGA IBRAHIM IKON RIJAL TARBAWI ”

KHUTBAH PERTAMA

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر كبيرا، و الحمد الله كثيرا

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام، وفضلنا على كثير من الأمم.

فنحن قوم أعزنا بالإسلام، فإذا ابتغينا الإسلام بغيره أذلنا الله

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد، الرحمة المهداة، قائد الدعاة ةالمجاهدين، وعلى آله وصحبه ومن اتبع هداه ألى يوم القيامة. أما بعد.

فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، فتزوده، فإن خير الزاد التقوى.

Wahai hamba-hamba Allah yang dirahamati sekalian! Saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri, supaya bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya dan berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Muslimin dan muslimat sekalian!

Alhamdulillah, Allah SWT masih berikan kesempatan untuk kita pada hari ini, untuk sama-sama berada pada hari yang penuh barakah ini. Hari yang Allah SWT syariatkan untuk kita sama-sama bergembira disamping mengenang harga sebuah pengorbanan yang ditunjukkan oleh nabi-nabi dan rasul-radul terdahulu terutama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihima salam.

Tahniah dan syabas kita ucapkan di kejauhan ini pada saudara mara yang diberi kemuliaan oleh Allah SWT untuk melakukan ibadah haji di tanah suci mekah saat ini. Sempurnalah bagi mereka rukun islam kelima. Sabda Rasulullah SAW:

من حج لله فلم يرفث ولم يفسق، رجع كيوم ولدته أمه
Barangsiapa yang mengerjakan haji, dalam keadaan dia tidak bercakap keji dan berbuat kesalahan, nescaya dia akan pulang seperti hari dia dilahirkan ibunya. [HR Bukhari dan Muslim]

Semoga Allah juga bakal mengurniakan pada kita keizinan untuk menurut jejak langkah mereka-mereka yang sedang beribadah di tanah suci ketika ini.

Ibadah haji yang mereka tunaikan itu adalah selaras dengan tuntuan Allah SWT menerusi FirmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 196:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah.

Allah SWT tidak akan sekali-kali mengsyariatkan sesuatu perkara melainkan disana ada kebaikan untuk manusia baik dunia dan akhirat. Ia termasuklah pengsyariatan haji. Para alim ulama menyatakan antara hikmah perintah haji dilakukan adalah untuk mentarbiah diri umat islam.

Yang paling penting adalah supaya dapat membentuk diri memutuskan hubungan dengan dunia bagi menjalinkan hubungan dengan Allah SWT. Mereka diajar untuk meninggalkan segala kekayaan di negeri masing-masing, meninggalkan sanak saudara dan teman-teman, meninggalkan aktiviti-aktiviti rutin seharian semata-mata untuk menghadap Allah SWT. Pakaian kebiasaan mereka diganti dengan kain ihram. Semua lapisan masyarakat baik raja, pemerintah, pembesar negara, pegawai tinggi atau rendah malah seluruh rakyat mengenakan pakaian yang sama. Suasana di Mekah pada musim ini saling tak tumpah seperti keadaan hari akhirat nanti.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Antara ibadah yang juga dituntut di hari ini dan 3 hari tasyrik yang lain, adalah ibadah korban. Bahkan sebahagian ulama' menyatakan ianya suatu kewajipan bagi mereka yang kaya dan berada.

Firman Allah SWT dalam surah a-Kautsar:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Ibadah ini disyariat bertujuan ubtuk mengenang kembali nilai pengorbanan keluarga Nabi Allah Ibrahim. Keluarga tersebut adalah lambang sebuah ikatan darah daging yang diikat dengan simpulan akidah yang mantap yang berkorban apa saja demi menurut perintah Allah SWT.

Kita juga boleh mengambil iktibar sebagai tarbiah untuk diri. Lihatlah pengorbanan jiwa seorang ayah. Nabi Ibrahim yang baru dikurniakan anak setelah hampir sedekad menanti, diarahkan pula untuk ditinggalkan di sebuah padang pasir tidak berpenghuni. Tiada sumber hidup, tiada segala-galanya. Bapa mana yang tidak luluh jiwa melihat tanggungannya berkelana tanpa jagaan di tanah sunyi itu. Tetapi atas dasar wala' kepada Allah, semua itu diketepikan. Baginda tahu, Allah SWT tidak akan mengsia-siakan keluarganya selagi dia menjaga suruhan Allah.

Sabda Rasulullah SAW:
احفظ الله يحفظك
Jagalah kepentingan Allah, nescaya Allah akan menjaga kepentinganmu.

Begitu juga pengorbanan Isterinya Saidatina Hajar. Walaupun pada mulanya terasa berat diri untuk menurut perintah suaminya, tetapi apabila diberitahu bahawa itu adalah suruhan Allah, beliau dengan rela hati menyatakan kesanggupan.

Allah tidak sia-siakan ketaatan itu begitu sahaja. Atas usaha dan ikhtiar tulang empat kerat wanita itu, yang mencari air ke sana ke mari untuk bayinya Nabi Ismail, Allah kurniakan padanya sebuah mata air, yang tidak pernah kering sehingga hari ini. Dengan itu bertukarlah keadaan, dari padang pasir membentuk sebuah kota tumpuan dunia. Air yang mengalir dari bumi di celahan kaki Nabi Allah Ismail itu juga menjadi air yang paling kaya dengan nutrisi dan khasiat di dunia ini.
Itulah hadiah sebuah pengorbanan!

Nabi Ismail juga merekodkan kisah pengorbanan yang agung. Beliau meletakkan nyawanya sebagai bayaran untuk taat kepada Allah. Apabila Nabi Ibrahim menyatakan mimpinya, supaya beliau di sembelih di tangan bapanya sendiri, Nabi Ismail tidak sedikitpun bimbang dan memberontak, sebaliknya merelakan sahaja tuntutan itu.

Ketika Nabi Ismail berbaring sedia untuk disembelih, Allah gantikan tempat beliau dengan seekor kibash untuk dijadikan korban. 

Bacalah firman Allah SWT:
فلما بلغ معه السعي قال يا بني إني أرى في المنام أني أذبهك فانظر ماذا ترى قال ياأبت افعل ما تؤمر ستجدني إن شاء الله من الصابرين0 فلما أسلما وتله للجبين 0 وناديناه أن يا إبراهيم 0 قدصدقت الرئيا إنا كذلك نجزي المحسنين 0  إن هذا لهو البلاء المبين 0 وفديناه بذبح عظيم0
Maka apabila anak itu semakin matang umurnya, berkatalah Nabi Ibrahim: Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu, lalu bagaimana pendapatmu? Kata Nabi Ismail: Wahai bapaku, lakukanlah apa yangdiperintahkan itu. InsyaAllah kamu akan dapati aku bersama orang-orang yang sabar.

Setelah kedua mereka berserah dengan perintah Allah itu, dan bersedia melaksanakannya, siap merebahkan Nabi Ismail di atas tanah, kami menyeru Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan perintah dalam mimpimu. Demikianlah kami membalas kebaikan yang dilakukan. Sesungguhnya perintah ini hanyalah sebuah ujian yang nyata. Dan kami gantikan anak itu dengan binatang korban yang agung.  [Assofat:102-107] 

Itulah awal pengsyariatan korban haiwan ternakan.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Keluarga Nabi Ibrahim menunjukkan sebuah keluarga contoh. Pakar-pakar tarbiah menyatakan antara medium pertama pentarbiahan islam adalah keluarga umat islam itu sendiri. Bapa perlu memainkan peranan untuk membekalkan anak isteri dengan kesedaran islam. Ibu pula adalah tempat anak-anak berkongsi segala-galanya.

Kerosakan anak-anak muda berpunca dari rumah tangga yang kosong dari pengisian tarbiah. Si bapa hanya serahkan urusan mendidik anak kepada ibu. Si ibu pula melepaskan tanggungjawab hanya kepada pendidik di sekolah, lebih-lebih pada ibu yang bekerja. Yang mereka tahu hanya memanjakan anak-anak dengan wang ringgit yang mereka cari. 

Itulah antara punca terbesar rosaknya gaya hidup anak muda kini. Kajian mendapati sebilangan besar pelaku jenayah mempunyai latar belakang keluarga yang buruk. Antaranya kerana ibubapa bercerai, didera, terlalu dimanjakan, atau ibubapa sendiri yang terlibat dalam aktiviti jenayah. Anak-anak ini hilang sentuhan kasih ibu bapa mereka. Anak-anak terpaksa mencari kasih sayang itu di luar rumah. Dengan rakan sebaya, dengan permainan, dengan hiburan dan hasutan nafsu!

Lalu berlakulah bermacam salah laku melibatkan anak muda. Rompak, bunuh, judi, dadah, arak, zina dan kes buang anak. Siapakah yang bertanggungjawab dihadapan Allah terhadap semua ini?

Anak-anak adalah jelmaan ibubapanya. Jangan salahkan persekitaran walau ianya boleh mempengaruhi, kerana ibubapa boleh membersihkan anasir luar itu apabila pulang ke rumah. Soalnya, adakah ibubapa peka dan sanggup untuk menggalas tanggungjawab ini.

Sabda Rasulullah SAW:
ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه وينصرانه ويمجسانه
Tidaklah seseorang itu dilahirkan melainkan atas keadaan fitrah yang suci. Maka ibubapanyalah yang menjadikannua sebagai yahudi, kristian atau majusi. [HR Muslim]

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Bercakap soal tarbiah islamiah memang luas perbahasannya. Cukuplah kita beberapa perkara tadi sebagai suatu contoh betapa penting sebuah pendidikan bercorak islam anjuran al-Quran dan Sunnah. Tiada lain yang dapat menyelamatkan kita dari masalah-masalah dunia hari ini melainkan dengan petunjuk yang Allah telah sediakan.

Marilah kita hidupkan kembali suasana tarbawi di kalangan umat islam. Penuhilah program-program keagamaan setempat. Bentuklah usrah-usrah di kalangan penduduk kampung, rakan sepejabat mahupun teman sepengajian dahulu. Tiada ruginya kita berhabis sejam dua dalam sebulan atau seminggu untuk duduk berbincang masalah agama atau apa jua isu, supaya tidak terus hanyut dengan tipudaya musuh islam.

Islam sekarang ini sedang diuji dari luar dan dalam. Musuh-musuh Islam bukan sahaja berada di luar kelompok, malahan menyelinap masuk ke dalam saf jemaah Islam. Jika musuh yang diluar, kita boleh kenalpasti dengan mudah. Tetapi musuh yang berada bersama kita, amat sukar untuk dikenali. Mereka sama-sama mengaku Islam, mengaku sebagai rakan dan bersama perjuangan Islam, tetapi Allah sahajalah yang mengetahui isi hati mereka.

Musuh sebeginilah sebenarnya yang lebih membahayakan Islam. Kejatuhan Khulafa` ArRasyidin, Khilafah Abbasiyah, Khilafah Uthmaniah, dan kejatuhan Kesultanan Islam Tanah Melayu sendiri ke tangan penjajah terdahulu, semuanya berpunca dari tali barut- tali barut musuh yang berada dikalangan kita.

Jalan yang boleh menyelamatkan kita dari tipudaya musuh dalam selimut ini hanyalah dengan memperkuatkan ikatan kita dengan tali Allah. Firman Allah SWT:
واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا
Dan perpegang teguhlah dengan tali Allah kesemuanya, dan jangan kamu berpecah belah.
[Ali Imran:103]

Tali Allah yang dimaksudkan itu adalah syariat Islam yang diceduk menerusi dua sumber utama, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Senantiasalah hidup berpandukan petunjuk dari al-Quran dan Sunnah itu, serta bersama dengan jemaah dan pemimpinnya. Musuh tidak akan berjaya memperdayakan kita jika hati kita sentiasa disuluh oleh cahaya Ilahi. Namun apabila umat Islam meninggalkan dua pedoman ini, maka kita disesatkan dengan mudah oleh musuh-musuh Islam.

Sabda Rasulullah SAW:
تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة نبيه
Aku tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang kepada keduanya, iaitulah Kitab Allah dan Sunnah NabiNya. [HR Imam Malik]

Untuk mendapat panduan yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah ini, perlulah kita melazimi majlis-majlis dan program-program yang bersifat tarbawi. Dengan program tarbiyahlah kita akan sentiasa mendapat pencerahan untuk membezakan mana satu yang benar dan yang batil menurut kacamata Islam. 

Dengan usrah, liqa fikr, mukhayam dan tamrin, kita akan sentiasa mendengar kalam-kalam Allah dan sunnah Rasulullah melalui lidah-lidah pemimpin kita dan saudara-saudara sejemaah kita yang lain. Mana yang silap kita akan diperbetulkan, mana yang sesat kita akan dikembalikan, mana yang lemah dan mengalah, akan segera ditiupkan semangat dan kesabaran.

Inilah antara pengajaran terbesar yang boleh kita ambil dari peristiwa keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya melaksanakan setiap perintah Allah itu memerlukan jiwa yang kental, yang tidak terpengaruh dengan anasir yang bukan Islam. Nabi Ibrahim sendiri menghadapi zaman keruntuhan akidah yang dahsyat. Kaum di zamannya meyembah bermacam-macam makhluk daripada matahari, bulan, bukit, raja, berhala dan berbagai lagi. Sehingga setiap seorang daripada mereka ada seekor berhala khusus sendiri. Namun dengan tarbiah dari Ilahi, Nabi Ibrahim berjaya keluar dari kesesatan yang dahsyat itu.

Firman Allah SWT dalam al-Anaam yang bermaksud:
Maka apabila berkata NAbi Ibrahim kepada bapanya Aazar, Adakah kamu menjadikan berhala-berhala ini sebagai tuhan? Sungguh aku melihat kamu berada dalam kesesatan yang nyata. Dan demikianlah kami tunjukkan kepada Nabi Ibrahim kekuasaan di langit dan bumi, supaya dia menjadi orang-orang yang yakin.  Maka apabila datangnya malam, dia melihat bintang dan berkata, inilah tuhanku! Maka apabila bintang itu hilang, dia berkata aku tidak sukakan yang menghilang. Apabila dia melihat bulan yang terang, dia berkata inilah tuhanku apabila bulanpun terbenam, dia berkata jika tuhan tidak memberikan aku petunjuk, nescaya jadilah aku dikalangan orang-orang yang sesat. Apabila dia melihat matahari terbit, dia berkata inilah tuhanku, ini lebih besar! Apabila matahari pun terbenam, dia berkata wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah. Aku menghadap diriku kepada Pencipta langit dan bumi setulus hati, dan tidaklah aku termasuk dari kalangan orang yang menyekutukan Allah. [Al-Anaam:74-79]

Sidang hadirin sekalian!, 

Allah juga telah menetapkan bahawa perjuangan Islam ini adalah amat panjang dan berliku. 
لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا لاتبعوك ولكن بعدت عليهم الشقة
(Orang-orang munafik berkata): Seandainya perjuangan itu singkat dan perjalannya mudah, pasti kami akan bersamamu (Muhammad). Akan tetapi ianya amat jauh dan sukar. [at-Taubah:42]

Untuk kekal di atas jalan Islam bukanlah mudah.  Selain dari musuh yang menyerang dengan jelas, dan orang munafiq yang memperdaya dengan licik, kita juga akan menghadapi karenah nafsu, isteri, anak-anak, keluarga, jiran tetangga, dan rakan-rakan kita sendiri. Hanyalah program tarbiah yang tersusun dan berpanjangan mampu untuk menguatkan diri kita menghadapi semua rintangan hidup ini sehingga bertemu Allah SWT. 

Bacalah kisah-kisah Nabi Allah Ibrahim dan Ismail. Mereka berdua tidak terus taat dan sabar semenjak lahir, tetapi Allahlah yang mengatur program-program tarbiyah untuk mereka, sehingga bila tiba kematangan tarbiah itu, Allah uji dengan berbagai cubaan.

Allah juga telah menetapkan dari kalangan kita ada kumpulan yang mengatur program tarbiah untuk umat Islam. Jayakanlah ianya supaya apabila datangnya ujian dari Allah, kita boleh bersikap dengan sikap keluarga Nabi Ibrahim.
هو الذي بعث في الأميين رسولا منهم يتلة عليهم آيا ته ويزكيهم ويعلمهم الكتابوالحكمة وإن كانوا من قبل لفي ضلال مبين
بارك الله لي ولكم في الكتاب والسنة، ونفعني وإياكم بالآيات والحكمة. أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم ولجميع المسلمين والمسلمات إنه هو الغفور الرحيم.

KHUTBAH KEDUA

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، و لله الحمد،

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له. و أشهد أن محمد عبده ورسوله. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ووالاة. أما بعد.

فياعباد الله، أوصيكم و أياكم بتقوى الله فقد فاز المتقون. و تزودوا فإن خير الزاد التقوى.

Muslimin dan muslimat  sekalian,

Marilah pada hari raya ini kita merasakan besarnya nikmat iman dan islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah Taala. Hanya kematian di dalam iman dan islam sahaja yang diredhai oleh Allah sebagaimana firmanNya:
يَا أَيُّهَا الذين آمَنُوا اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ، وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَ أَنتُم مُسلِمُونَ 
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan mati di dalam keadaan beragama islam.
[Ali Imran:102]

Seterusnya marilah kita merenung kembali beberapa adab yang dianjurkan oleh islam dalam menyambut perayaan terbesar ini.

Seperti juga Aidilfitri, disunatkan juga pada AidilAdha ini untuk kita mandi sebelum mengerjakan solat hari raya, berwangi-wangian dan mengenakan pakaian yang paling baik yang kita miliki. Selain dari itu, disunatkan kita menyegerakan solat hari raya bagi mengerjakan ibadah korban pula.

Kita juga disunatkan untuk bertakbir selepas solat, bermula solat subuh 9 Zulhijjah, sehinggalah tenggelam matahari pada 13 Zulhijjah. Ibadah korban juga boleh dilewatkan sehingga hari tasyrik yang ketiga.

Berada dalam majlis penyembelihan juga adalah satu bentuk ibadah. Apatah kija kita sama-sama menghulurkan bantuan untuk menyempurnakannya. Sabda Rasulullah SAW kepada anaknya:
يا فاطمة قومي فاشهدي أضحيتك ، فإنه يغفر لك بكل قطرة من دمها كل ذنب عملتيه
Wahai Fatimah, bangunlah dan saksikanlah korbanmu. Sesungguhnya ia mengampunkan bagimu setiap dosa yang kamu lakukan pada setiap titisan darah yang mengalir. [HR Thobrani].

Nabi Allah Muhammad SAW juga berpesan didalam hadisnya yang berbunyi:
: إن الله كتب الإحسان على كل شيء ، فإذا قتلتم فأحسنوا القتلة ، وإذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة ، وليحد أحدكم شفرته ، وليرح ذبيحته 
Sesungguhnya Allah menetapkan keelokan pada setiap sesuatu. Maka jika kamu membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang elok. Dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan elok, dan tajamkanlah alat sembelihannya, dan tenangkanlah binatang sembelihannya. [HR Muslim]

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada hari ini juga kita seharusnya tidak lupa mengenangkan nasib umat islam sedunia terutamanya di negara-negara yang dihantui dengan konflik agenda barat. Alhamdulillah, banyak badan-badan kebajikan yang menganjurkan ibadah korban di negara-negara malang ini termasuk kepada pelarian Sudan, penduduk Mindanao, Kemboja, pelarian Syria, Mesir dan yang terbaru di Yaman. Inilah peluang untuk kita menghulurkan bantuan semampu yang mungkin sebagai bekalan untuk dijawab dihadapan Allah SWT nanti.

Sabda Rasulullah SAW.
لَا يُؤمِنُ أَحَدُكُم حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ 
Tidak beriman seseorang itu sehinggalah mereka mengasihi saudaranya seperti mereka mengasihi diri sendiri.

Muslimin dan muslimat sekalian!

Pada hari yang mulia dan penuh barakah ini juga, marilah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang telah menyampaikan islam kepada kita setelah melalui berbagai bentuk jihad dan pengorbanan. Tanda kasih kita kepada baginda dirakamkan melaui selawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah di dalam al-quran:
إنَّ اللهَ ومَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَبِيِّ، يَا أَيُّهَا الذِينَ آمَنُوا صَلُّو عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas nabi, maka wahai orang-orang beriman ucapkan selawat dan salam keatasnNya dengan sesungguhnya.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما صليت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم، وبارك على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما باركت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم في العالمين إنك حميد مجيد.

اللهم اغفر للمؤمنين والمؤمنات والمسلمين والمسلمات الأحياء منهم و الأموات. ربنا اغفرلنا ذنوبنا وذنوب والدينا ورحمهم كما ربونا صغيرا. ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقون بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين آمنوا ربنا إنك رؤوف رحيم.

اللهم أعز الإسلام و المسلمين، وأذل الشرك والمشركين، و النفاق والمنافقين و الظلم و الظالمين،

 اللهم إنا نجعلك في نحور أعدآئنا ونعوذ بك من شرورهم، اللهم رد كيدهم على نحورهم. اللهم بدد شملهم وفرق جمعهم وشتت كلمتهم وزلزل أقدامهم، و سلط عليهم كلبا من كلابك.

اللهم انصر إخواننا المجاهدبن و المستضعفين في فلسطين، وفي غزة، وفي العراق, وفي كشمير، وفي شيشان، وفي جنوب تايلند،وفي بورما، وفي سوريا  و في مصر وفي كل مكان. اللهم قو عزائمهم، واجمع كلمتهم، وثبت أقدامهم، وانصرهم على أعدآئهم.

اللهم آت أنفسنا تقواها،وزكيها أنت خير من زكاها، أنت وليها ومولاها. اللهم أرنا الحق حقا ورزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا ورزقنا اجتنابه. اللهم أصلح  سلطاننا، وأئمتنا وولاة أمورنا،واجعل ولايتنا في من خافك واتقاك يا رب العالمين.

ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفرلنا و ترحمنا لنكونن من الخاسرين. ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما، ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار، و صلى الله على سيدنا محمد وعلى آله و صحبه وسلم، والحمدلله رب العالمين.

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....