Thursday, November 22, 2012

KEKELIRUAN PEMIKIRAN DR MAZA: SATU KIRITKAN (Pinjam ayat al-Faqeeh)


Maaf diucap pendahulu entri
Bukan marah bukan membenci
Dr MAZA ku sanjung tinggi
Menegur sekadar mengamal demokrasi



Saya antara salah seorang yang amat meminati tulisan-tulisan Dr MAZA. Beliau ada cara fikir tersendiri, membawa kita supaya sama berfikir tentang isu-isu yang berlaku, bukan hanya menunggu fatwa dan pandangan orang lain. Saya tidak pernah miss Sinar Harian edisi jumaat kerana artikel Dr MAZA ada pada hari tersebut. Bahkan saya menyantap artikelnya terlebih dahulu sebelum medengar kuliah jumaat Tuan Guru Ayah Chik.

Banyak pendapat-pendapat beliau yang saya setujui. Antara yang terbaru adalah harapannya supaya Obama menewaskan Romney untuk kerusi presiden AS. Saya juga menerima sepenuh hati teguran beliau supaya pemimpin PAS tidak jadi Ayatullah. Tak rugi kalau kita terima sahaja apa teguran itu.



Artikel ini ditulis untuk mengutarakan pendapat dan kritikan berhubung artikel terbaru beliau, baca sini. Saya percaya beliau bukanlah seorang Ayatullah sehingga tidak boleh menerima kritikan ini. Biarlah kita cambahkan suasana ilmiah ini untuk mencari kebenaran semata-mata.


Secara umumnya, artikel tersebut saya lihat terlalu liberal dan menyimpang dari prinsip perjuangan anbiya` dan salafulsoleh. Sabda Rasulullah SAW:

بدأ الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بدأ فطوبى للغرباء

(Islam itu bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula, maka gembiralah bagi mereka yang asing)

PAS DAN GERAKAN TAJDID

Sebenarnya Pas merupakan sebuah gerakan islam yang mempunyai kualiti tersendiri. Ulama-ulama dalam Pas banyak mengepalai proses tajdid dalam urusan agama terutamanya konsep politik. Paslah parti terawal mencalonkan muslimah untuk bertanding dalam pilihanraya. Paslah parti pertama yang mengamalkan tahluf siasi seawal era pasca-kemerdekaan lagi serta membuka ruang keahlian untuk bukan islam. Ikhwan Muslimin mesir serta beberapa gerakan islam lain banyak meminta nasihat PAS terutama berkenaan selok-belok pilihanraya.

Pas memimpin perubahan faham islam di Malaysia. Sebelum era 80-an, orang hanya memahami islam sebagai puasa, zakat, solat, masjid, nikah dan kubur islam. Ramai yang tidak hiraukan persoalan aurat. Wanita bergelar ustazah sekalipun hanya memakai selendang berjambul rambut dihadapan. Seragam sekolah tidak labuh lebih dari paras lutut, samada lelaki mahupun wanita. Skirt pendek merupakan pakaian rasmi kebanyakan wanita melayu.

Khurafat berleluasa atas nama islam. Bersanding, lenggang perut, campur aduk mantera siam jawa dengan al-Quran, berlimau, kemenyan dan berbagai lagi.

Institusi agama pula hanya tertumpu di pondok-pondok dan sebahagian perkampungan agama. Dakwah secara universal tidak diamalkan. Akibatnya islam hanya berlegar di kalangan mereka yang sedar sahaja tanpa menembusi latar masyarakat yang pelbagai baik professional, pendalaman, institusi diraja mahupun jabatan kerajaan.

Pulangnya graduan Azhar seperti TG Abdul Hadi dan TG Harun Taib yang menjadi tulang belakang PAS hari ini memurnikan fahaman umat melayu. TG Abdul Hadi terutamanya membentuk suatu fenomena baru pada masa itu. Seluruh tempat menunggu kelibatnya untuk datang berpidato merawat ideologi di puluhan ribu pendengar waktu itu, persis aura Ustaz Azhar Idrus pada hari ini bahkan lebih dari itu. Namanya masyhur di persada dunia. Saya pernah lihat mukanya menjadi penghias majalah antarabangsa, Time. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai pemidato no.1 di asia (atau asia tenggara) oleh media malah media barat memberi jolokan kepada beliau sebagai the future leader of Malaysia.



Jika PAS tidak membawa legasi tajdid, sudah lama Pas menolak untuk terlibat dalam pilihanraya Malaysia yang sungguh tercemar. Andai Pas itu jumud, masakan artis boleh naik ke pentas dakwah, jauh sekali untuk bekerjasama dengan non-muslim. Jasa Pas begitu tinggi dalam survival islam tanahair.


ISLAMIC SYSTEM VS SYSTEM OF ISLAM

Era Pasca-Islamisme, yang tercetus melalui fenomena arab spring hari ini merupakan senjata baru zionis. Setelah mereka tidak mampu menyekat kemaraan gerakan-gerakan islam yang bergerak secara sah di sisi undang-undang negara, mereka cuba pula bawa masuk racun terbaru ini dalam organisasi gerakan islam.
Pasca Islamisme merujuk kepada fahaman perjuangan keadilan dan hak asasi dengan membelakangi syariat islam. Dengan erti kata lain, meneruskan method-method dan dasar keadilan hak asasi menurut istilah barat dan hanya menampal islam pada badan konvensional, kononnya itulah islam yang sebenar. Ianya tidak memperkenalkan sistem islam secara keseluruhan. 

Maka muncullah idea menurunkan cukai untuk membebankan rakyat, padahal islam tidak menggunakan sistem percukaian kecuali terpaksa. Muncul juga idea mengurangkan sebatan hukuman kerana didakwa menzalimi pesalah, sedangkan islam ada etika tersendiri dalam penghukuman melalui hudud, qisas atau taazir.

Ianya timbul dari mereka yang tidak ada asas pengajian islam, tapi bercakap soal islam. Mereka melihat islam dengan kacamata konvensional yang mereka faham. Maksudnya, jika tiada konvensional, tiadalah pemikiran islam mereka.

Zionis amat menginginkan umat islam berfahaman sebegini kerana ianya amat menguntungkan mereka. Contohnya bila umat islam mengamalkan kejujuran dan sifat amanah dalam bekerja sebagai pegawai Bank, tetapi bekerja di Bank yang mengamalkan sistem konvensional yang penuh penindasan dan kezaliman, Bank akan maju kerana mereka tidak akan menyeleweng wang syarikat, mereka datang kerja punctual dan secara tidak langsung menggalakkan keuntungan bank ribawi. Akibatnya kezaliman semakin berleluasa dan yang miskin terus dihimpit kemiskinan dan pemodal besar seperti Zionis meraih untung berlipat ganda.

Sebab itulah Turki masih tidak menjadi ancaman buat barat kerana mereka masih menjunjung ideologi Zionis. Dari sudut politik turki tidak boleh menggugat mereka. Yang mereka takutkan adalah gerakan islam yang menjunjung syariat islam seperti PAS kerana mereka terlebih kenal apa kesan akidah islam terhadap masyarakat dunia. Sebab itulah FIS dinafikan kemenangan di Algeria. Ikhwanul Muslimin juga menghadapi perkara yang sama di Syria dan Mesir suatu ketika dulu tetapi kerajaan Turki tanpa segan silu diterima sebagai anggota bersekutu EU.



Firman Allah SWT:

[إذا جاء نصر الله والفتح ورأيت الناس يدخلون فى دين الله أفواجا [سورة النصر)
(Apabila datangnya pertolongan Allah maka terbukalah (kota Mekah). Dan kamu lihat manusia berduyun-duyun masuk islam.)

Ayat ini membicarakan tentang kejayaan Nabi membuka kota Mekah. Lalu adakah Rasulullah mentadbir dengan mengekalkan fahaman yang lunak dengan masyarakat jahiliyyah Mekah sehingga apa yang dikatakan berduyun-duyun menerima islam?

Tidak sama sekali! Seawal Rasulullah membuka kota itu, baginda mengarahkan agar dimusnah 360 buah berhala yang berada di dalam Kaabah. Bilal bin Rabah di arah memanjat dinding kaabah untuk dialungkan azan. Rasulullah dalam ucapan sulungnya memberitahu bahawa segala ajaran jahiliyyah telah terlupus di bawah dua kakinya. Sistem pentadbiran Mekah dipaling kiblatnya menurut sistem Madinah.

Itulah dia cara islam yang sebenar. Dakwaan bahawa Islam tidak dapat diterima jika konsep pemerintahan tulen yang tidak mencedok mana-mana ajaran barat tidak dipersetujui majoriti rakyat hanyalah retorik semata-mata. Media massa milik kerajaan telah berjaya menakut-nakutkan perasaan Dr MAZA terhadap islam sebagaimana rakyat yang terpedaya. Dalam tak sedar kita lebih mengimani akal daripada mengimani janji Allah.

Najasyi mengekalkan pemerintahan Kristian kerana belum ada syariat pemerintahan islam. Tidak mungkin Allah memberikan Habsyah mendaulatkan islam terlebih dahulu daripada Rasulullah. Jika Najasyi masih hidup di zaman kerajaan islam Madinah, sudah tentulah nabi akan meminta pemerintahan Habsyah berlandaskan islam sebagaimana yang diarahkan kepada Muaz bin JAbal sewaktu menjadi utusan Nabi ke Yaman

Firman Allah SWT:

يا آيها الذين آمنوا ادخلوا فى السلم كافة ولا تتبعوا خطوات الشيطان
(Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu mengikut ajaran selamat (islam) dengan sepenuh penuh tulennya dan janganlah kamu mengikut telunjuk syaitan)

PAS, GERAKAN ISLAM DAN HUDUD

Bukan sesuatu yang menghairankan jika Pas menjunjung matlamat Hudud tidak seperti negara yang berjaya diperintah gerakan islam yang lain kerana latar sosial setiap negara ini berbeza. Dr MAZA orang yang banyak merantau ke pelusuk dunia. Saya hanya pernah berada di Syria. Kita boleh melihat perbezaan suasana di luar dengan suasana Malaysia. Jenayah yang berlaku di Malaysia amat teruk dan membusuk  di semua peringkat masyarakat baik orang bawahan, pertengahan mahupun atasan. Sebab itulah hudud diperkenalkan. Mesir tidak ada kecurian melampau seperti ragut atau mesin ATM dilarikan tetapi yang dominan adalah soal kebersihan, kesesakan lalu lintas melampau dan pentadbiran zaman perang dunia. Tunisia pula lebih kepada persoalan akhlak islamiyah. Mereka lebih patut menumpukan kepada mewujudkan biah islamiyah kerana jenayah mereka tidak sedahsyat Malaysia begitu juga Turki.

SYEIKH RASHEED GHANNOUSYI, PRESIDEN TUNISIA/ PRESIDEN EL-NAHDA

Pas ibarat bayangan gabenor khalifah yang membawa mesej dakwah dengan wasilah politik .Setiap wilayah islam itu ada isu yang harus mereka tangani. Itulah juga yang membawa kepada perbezaan ijtihad imam Mazhab Fiqh di awal kegemilangan islam.

Malang sekali apabila pengertian hudud telah sengaja disalah ertikan oleh media kerajaan sehingga membayangkan wajah hukuman yang kejam. Hakikatnya majoriti rakyat Malaysia lebih menerima pendekatan hudud dan qisas islam berbanding konvensional. Cuma jenama sahaja yang dipalit buruk.

Satu kajian yang dilakukan terhadap 179 responden terdiri dari Melayu, Cina dan India membenar pernyataan diatas. Apabila soalan pertama yang menyebut jika salah seorang ahli keluarga kita dilanggar mat rempit sehingga mati, apa hukuman yang anda harapkan? Jawapan A adalah dikenakan denda dan sebatan ke atas mat rempit dan denda itu dimasukkan ke dana kerajaan dan itulah undang-undang hari ini. Jawapan B pula adalah undang-undang hukuman dalam islam, iaitu dikenakan denda(diat) ke atas mat rempit dan wang itu diperoleh oleh keluarga mangsa. Tiada seorang pun yang memilih jawapan A.

Soalan kedua pula adalah apakah anda setuju hudud dan qisas dijalankan di Malaysia? 95% tidak bersetuju. Ini menunjukkan bahawa masyarakat bukan tidak boleh menrima islam, tetapi tidak faham islam.



Satu-satunya cara berkesan adalah dakwah bil hal iaitu memperkenal islam melalui tindakan kita termasuklah perlaksanaan hudud.

POLITIK WASILAH DAKWAH

Seharusnya kita kembali merujuk matlamat islam dalam penglibatan politik. Kuasa politik dilihat mampu  mengoptimakan tugasan dakwah kepada alam. Ini dibuktikan dengan jumlah orang islam di era wahyu. Dakwah rasulullah tanpa kuasa politik di Mekah selama 13 tahun hanya mampu mengislamkan sekitar 150 orang Quraisy dan Yathrib. Tetapi jumlah tersebut bertambah dengan ketara apabila islam memperoleh kuasa politik di Madinah, iaitu seramai lebih dari 80 000 (mengikut jumlah peserta Haji Wada` tahun 10 hijrah).

Jangan pula kita meninggalkan ajaran-ajaran islam demi matlamat politik kerana dakwah kita bukan bermatlamatkan politik tetapi politiklah yang bermatlamatkan dakwah.

Politik tidak boleh dipisahkan dari kaedah usul fiqh, dari kaedah dirayah hadis dan ulumul quran. Dr MAZA terlebih mahir tentang perbahasan uruf dan pandangan islam ke atasnya. Yang mana satu uruf yang perlu dirai dan yang mana uruf perlu ditolak,

Dr Buti dalam Fiqh Sirahnya mengemukakan salah satu pendekatan orientalis dalam merosakkan akidah umat islam. Pertamanya dengan menimbulkan polemik  dan provokasi bahawa islam itu agama yang radikal, ekstrem dan ganas kerana terlibat dalam peperangan, perhambaan dan kekerasan. Apabila fahaman ini meresap dan umat islam mula marah, disuntik pula fahaman kesejahteraan islam yang maha lemah-lembut untuk menjawab polemik di atas, sehingga umat islam meninggalkan konsep jihad dan tajarrud.

Akhir kata, sama-samalah kita hayati ucapan Umar al-Khattab sewaktu memegang kunci kota Rom.

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله
(Kitalah kaum yang diangkat martabat oleh Allah dengan islam, maka apabila kita mencari kemuliaan selain dari islam kita akan dijatuhkan Allah)

4 comments:

  1. Bagi saya, teguran drMaza itu bersebab. Tidak perlu terlalu tersentap. Apatah lagi zaman kini sukar menentukan kawan atau musuh. Gerakan Islam lebih sukar liku likunya. Perlu berhati hati sentiasa.
    Tetapi tentang hudud, saya rasa DrMaza lebih banyak mempromosikannya lebih daripada mana mana tokoh dari PAS.
    Beliau amat banyak mengupas tentang hudud baik melalui penulisan, ceramah atau video di youtube. Saya faham hudud pun kerana kupasannya. Ia tidak terhad kepada hukuman malah kes2 pengecualian, akhlak terhadap pesalah, hikmah, cara perlaksanaan, kes2 yang gugur hudud serta yang lebih penting mewujudkan nusa yang takut akan Allah melebihi takut kepada hudud, yang cinta akan Allah, yang memandang pesalah yang dihukum sebagai suci dari noda.
    Terima kasih drMaza.
    DK.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih anonymous yg sudi berpendapat juga di atas..pendapat masing2..ambil je mane yang baik..saya tak stuju dengan kekondusifan suasana sebagai sebab utk laksana undang2 islam..mana ada undang2 tunggu rakyat faham baru laksana..sampai bila2 xkan kondusif..mungkin saya boleh terima jika ada fakta

      Delete
  2. lawak sangat artikel kritikan anda ni..

    Anda sebenarnya keliru membaca artikel dr. maza

    ReplyDelete
    Replies
    1. artikel yang baik,penjelasan yang mantap..perbahasan yang ilmiah...terima kasih..(dr asri bukan maksum)

      Delete

Guane gamok? komen skit....