Saturday, January 19, 2013

SERINGGIT LEBIH BANYAK DARI SERATUS RIBU RINGGIT

قال رسول الله - صلى الله عليه وآله وسلم - : " سبق درهم مائة ألف "
 قالوا : يا رسول الله ، كيف يسبق درهم مائة ألف ؟ 
قال : " رجل له درهمان فأخذ أحدهما فتصدق به ، وآخر له مال  - كثير فأخذ من عرضها مائة ألف - رواه أحمد " 
Sabda Rasulullah SAW: Satu dirham telah mendahului seribu dirham.
Sahabat meminta penjelasan: "Wahai Rasulullah, bagaimana satu dirham itu boleh mendahului eribu dirham?"
Nabi SAW bersabda: "Seorang lelaki hanya ada dua dirham, lalu dia bersedekah dengan salah satu dirhamnya. Dan seorang lagi punya harta yang banyak lalu diambil dari gudang hartanya 100, 000 dirham." [HR Ahmad]

Pengajaran:-

1. Kualiti bukan kuantiti

Amalan di sisi Allah itu bukan sekadar dinilai dari sudut kuantiti ibadah yang dilakukan, tetapi ia juga dinilai dari sudut dalaman seorang pelaku ibadat. Boleh jadi yang bersembahyang 2 rakaat lebih mulia dari yang solat 1000 rakaat jika dalamannya dihiasi dengan khusyuk dan fokus. Boleh jadi derma seringgit lebih besar pahala dari derma 1 juta ringgit, jika tahap ikhlas dan pengorbannya tinggi.

Perang Badar, umat islam hanya sekitar 313 orang, mampu mengalahkan musyrikin yang berjumlah lingkungan 1000 bala tentera. Kelengkapan juga amat sedikit. Seekor unta ditunggang 3 orang.

Perang Hunain, tentera muslimin merekod jumlah teramai dalam sejarah peperangan nubuwwah, iaitu sekitar 12, 000 orang. Mula timbul cakap-cakap di barisan tentera muslimin bahawa mustahil mereka akan dikalahkan dengan jumlah seramai itu. Logiknya memang begitu kerana selama ini mereka sentiasa menang walau bilangan jauh lebih rendah dari itu.



Tapi takdir menentukan kuantiti bukan ukuran kemenangan. Episod pertama perang Hunain merekodkan kekalahan yang tidak disangka. Umat islam bertemperian lari, memaksa Rasulullah bertempik memanggil kembali saf yang cacamerba. Akhirnya lingkungan 300 orang berjaya dikumpul dan dengan jumlah inilah Hunain ditawan.

Sabda Rasulullah SAW
 ‏خير الصحابة أربعة وخير ‏ ‏السرايا ‏ ‏أربع مائة وخير الجيوش أربعة آلاف ولا يغلب اثنا عشر ألفا من قلة 

"Sebaik-baik sahabat itu empat orang, sebaik-baik pasukan itu ialah empat ratus orang, sebaik-baik tentara - induk pasukan - itu ialah empat ribu orang dan jumlah duabelas ribu orang itu tidak akan terkalahkan dengan sebab sedikitnya." [HR Abu Dawud dan Termizi]


2. Prinsip peratus

Hadis itu menerang tentang bagaimana derma 1 dirham boleh mengatasi 100, 000. Dari sudut nilai derma, memang 100, 000 lebih besar. Tetapi dari sudut peratus harta yang diinfakkan, satu dirham menyumbang 50% dari hartanya yang ada (dua dirham). Manakala si kayaraya mungkin menyumbang tidak sampai 10% dari khazanahnya (100, 000 itu 10% dari 1 juta).

Mana banyak 10% dan 50%?

Dalam kitab mau`izatul mu`minin menggambarkan orang yang bersungguh memperbetulkan bacaan tajwidnya walaupun masih salah lebih besar pahalanya dari orang mahir yang membaca tanpa kesungguhan. Hal itu kerana peratus penggunaan ruang otaknya yang diperah untuk menjaga bacaan. Orang mahir pula mungkin tidak perlu memerah otak untuk menghabiskan 3 helaian al-Quran.

3. Beza pengorbanan dan sumbangan

Jihad harta benda yang dituntut dalam islam bukan dengan sumbangan, tapi pengorbanan. Situasi si A dalam hadis menggambarkan tinggi nilai pengorbanan kerana mengenepikan keperluan dirinya. Mungkin dari dua dirham itulah dia guna untuk makan, minum dan menanggung keluarga. Apabila menggadai keperluan diri untuk islam, itulah pengorbanan

Sebaliknya situasi B yang punya gedung harta, mungkin jutaan dinar didalamnya. apalah sangat 100, 000 dirham. Keperluan hidupnya tidak mungkin terjejas kerana baki hartanya masih menggunung. 100, 000 itu bukan jihad pengorbanan, itu hanya sumbangan.

Untuk menangkan islam perlukan pengorbanan, bukan sekadar sumbangan. Bukan soalnya banyak atau sikit dana yang ada, tapi soal tahap ikhlas dan tadhiyyah yang memberi itu.

Jika islam menang dalam keadaan dana yang mencukupi, punca kemenangan bukanlah wang ringgit itu tetapi kerana Allah kurniakan, sebagai balasan kita bersungguh menurut arahanNya, berjuang mengutip dana itu.

Sewaktu PRU10 tahun 1999, Barisan Alternatif bercadang untuk bertanding di seluruh kerusi Terengganu termasuklah DUN yang tegar BN. Ada seorang calon berjumpa dengan bendahari perhubungan PAS negeri waktu itu untuk meminta dana pilihanraya. Menangis teresak mengadu masalah kewangan yang dihadapi, namun Badan Perhubungan juga tidak sekaya yang disangka untuk memberi sumbangan. Akhirnya mereka terpaksa berpakat untuk menjual apa saja yang ada di rumah demi kemenangan islam. Malam itu juga, masing-masing pulang ke rumah menangkap ayam, itik di reban, lembu di padang, kerbau di bendang untuk dijual buat menampung perjuangan. Daifnya perjuangan kala itu. Tapi hasilnya, Terengganu berjaya ditawan dengan 28 daripada 32 kerusi DUN dan menyapu bersih semua kerusi parlimen.

PRU11 tahun 2004, perjuangan agak selesa kerana trofi pusingan ada ditangan. Banyak kemudahan yang berjaya dimanfaat terutama wang ringgit. Gaji wakil rakyat diwajibkan potongan tertentu untuk disalur ke kawasan masing-masing sehingga setiap cawangan mampu mengumpul dana sendiri tanpa berharap bantuan perhubungan.

Bendahari perhubungan turun melihat senario kempen ke sebuah markas cawangan. Seperti PRU sudah, ditanya bagaimana bekalan kopi dan sekut mayat (biskut kering/balak) untuk alas perut malam ni? jawab petugas di sana. "Eh, tak mainlah sekut mayat ustat. Kitorang dah siap menu sepanjang tarikh kempen ni. Malam ni giliran nasi beriyani". Fuhh!

Akhirnya kemewahan itu hanya menghadiahkan empat kerusi di Terengganu.

Dari mana punca kekalahan dan kemenangan itu?

4. Amalan terbaik adalah amalan rohani.

Pengorbanan itu tidak terzahir di pandangan. Hanya yang menanggung tahu tahap pengorbanan yang diberikan.

Tuhan sering mengikat amalan zahir dengan amalan hati, antaranya ayat:


لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبوا
Takkan dapat digapai kebaikan itu sehingga kamu mengorbankan apa yang kamu suka. [al-Baqarah:]


Hadis Nabi SAW juga ada memberitakan tentang perihal ganjaran orang yang bersembahyang.

إن العبد ليصلي الصلاة لا يكتب له نصفها . ولا ثلثها ولا ربعها ولا خمسها ولا سدسها ولا عشرها " وكان يقول : " إنما يكتب للعبد من صلاته ما عقل منها "
Sesungguhnya hamba itu bersembahyang tidak ditulis baginya separuh, satu pertiga, suku, satu perlima, satu perenam atau satu persepuluh.
Sesungguhnya ditulis (pahala) bagi hamba itu mengikut tahap konsentrasinya." [HR Abu Daud, Nasaie dan Ahmad]

Lagi hadisnya:

العبادة في الهرج كهجرة إلي
Ibadah dalam keadaan sibuk (dengan urusan dunia dan fitnah akhir zaman) seolah-olah berhijrah kepadaku (Madinah). [HR Muslim]

Kerana ia memerlukan lebih pengorbanan, sanggup meninggalkan habuan dunia dan kehendak diri untuk beribadat.

5. Kepentingan tajuk dalam dakwah.

Lontaran awal nabi membuatkan sahabat terpinga-pinga dan ingin mendapat penjelasan dari isu kontra yang dibawanya. Guane pulok seriya banyok pade 100 000 ni.

Ini satu uslub dakwah yang ditunjukkan nabi dalam menarik minat orang untuk mendalami islam. Kepada para pendakwah, gambar luar suatu mesej yang ingin disampaikan itu amatlah penting untuk memperlihatkan gah islam. Tidak dinafi khazanah islam itu sarat dengan pengisian dunia dan akhirat, tetapi tanpa kosmetik keindahan islam itu mungkin disalah ertikan oleh yang menilai sekilas pandang.

Nabi tidak melarang Abu Dujanah sewaktu perang Uhud memulakan gusti pemanas pentas dengan cara berjalan mendabik dada yang angkuh. Itu kerana ia perlu untuk memperlihat keizzahan islam di mata yang lain.

Contoh mudah adalah perbezaan poster konsert dan poster ceramah. Poster konsert itu penuh warna warni dengan susunan gambar dan efek cahaya dan kualiti kertas sendiri sudah cukup untuk memanggil orang membacanya. Tetapi poster ceramah masih lagi satu kaler!?

Meng'gempak'kan tajuk penulisan, ceramah atau artikel juga adalah sunnah dalam berdakwah.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....