Thursday, December 27, 2012

MERRY KRISMAS!



Merry krismas buat seluruh penganut kristian yang berada di dunia ini. Semoga anda bergembira di hari perayaan ini sepertimana kami umat islam amat gembira pada dua hari raya kami.

Untuk sahabat-sahabat islamku! Marilah sama-sama kita menghadiahkan ucapan-ucapan tahniah sempena perayaan mereka kerana ia lambang keluhuran islam dan keterbukaan dakwah islam.

Apa yang ingin saya bawakan kali ini adalah soal keharusan umat islam mengucap ucapan ‘tahniah’  atas perayaan penganut agama lain. Saya faham ini isu yang seringkali berulang setiap kali menjelang perayaan mana-mana kaum di Malaysia baik Deepavali, Krismas, Tahun baru Cina, Cap Goh Mei dan sebagainya.

Ramai juga yang telah berfatwa tentang isu ini. Tapi rasanya tidak salah untuk saya juga berpendapat mengikut ilmu yang saya ada. Ruang ijtihad itu luas, dan islam sememangnya hanya valid untuk arus dunia disebabkan keluasan ijtihad, islah dan tajdidnya, yang tidak ada pada agama lain.

Kata pepatah arab, Insan adalah tawanan Ihsan.

Islam sendiri mengajar umatnya untuk berbuat baik kepada non-muslim dengan berlaku adil sepertimana manusia biasa. Firman Allah SWT:

لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين [الممتحنة:8]
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (non-muslim) yang tidak memerangi kamu dan tidak mengusir kamu daripada tanahair kamu. Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang berlaku adil.

Sambungannya:

إمنا ينهاكم الله عن الذين قاتلوكم في الدين وأخرجوكم من دياركم وظاهروا على إخراجكم أن تولوهم ومن يتولهم فأولئك هم الظالمون[الممتحنة:9]

Sesungguhnya Allah melarang (melakukan kebaikan) kepada mereka yang memerangi agamamu dan mengusir kamu dari tanahairmu serta menzahirkan (permusuhan) tatkala mengusirmu. Maka barangsiapa yang setia kepada mereka, itulah orang-orang yang zalim.

Qisth dalam ayat itu bermaksud adil dan adil adalah memberikan hak kepada yang sepatutnya termasuk dirimu. Birr pula membuat baik iaitu melepaskan hak kamu demi orang lain. Maka birr adalah makam yang lebih tinggi daripada Qisth.

Dan birr pula adalah cara berurusan yang paling tinggi martabatnya kepada manusia sebagaimana banyak terdapat dalam al-Quran. Antaranya dalam surah ٍal-Baqarah menerangkan birr adalah maksud iman.

ليس البر أن تولوا وجوهكم قبل المشرق والمغرب ولكن البر من آمن بالله واليوم الأخر...  الخ [البقرة:177]

Bukanlah kebaikan itu dengan memalingkan wajahmu ke timur dan barat tetapi kebaikan itu bagi mereka yang beriman pada Allah dan hari akhirat.

Juga surah al-Baqarah menerangkan maksud birr dengan begitu tinggi:
لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون [ال عمران:92]

Takkan dapat digapai kebaikan itu sehingga kamu mengorbankan apa yang kamu suka.

Juga hadis nabi yang menyatakan sebaik-baik amalan selepas beriman pada Allah adalah birr terhadap kedua ibubapa.
عن ابن مسعود رضي الله عنه قال:
سألت رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: أي العمل أفضل؟ قال: الصلاة على وقتها. قلت: ثم أي؟ قال: بر الوالدين. قلت: ثم أي؟ قال: الجهاد في سبيل الله
Daripada Ibnu Mas`ud RA katanya:
Aku bertanya Rasulullah: Apakah amalan yang paling afdhal? Jawabnya: "Sembahyang pada (awal) waktunya. Aku bertanya lagi "Kemudian apa?" Jawabnya "Berbuat baik kepada dua ibubapa". Aku bertanya lagi: "Kemudian apa?" Jawabnya: "Jihad di jalan Allah." (hr Bukhari dan Muslim)

Begitulah tinggi nilai birr yang disuruh kepada umat islam, termasuklah terhadap non-muslim seperti ayat di awal tadi.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Asma` binti Abi Bakar telah didatangai oleh ibunya yang musyrik dengat niat untuk bersilaturrahim/ berkasih sayang sesama keluarga lalu diadu kepada baginda  SAW akan hal tersebut. Baginda terus bersabda: “jalinlah (silaturrahim itu) dengan ibumu.”

Bahkan terdapat ayat Quran yang menghalalkan sembelihan dan wanita ahli kitab untuk dijadikan isteri.

وطعام الذين أوتوا الكتاب حل لكم وطعامكم حل لهم والمحصنات من المؤمنات والمحصنات من الذين أوتوا الكتاب من قبلكم [المائدة:5]

Dan makanan ahli kitab itu halal bagi kamu dan makananmu halal bagi ahli kitab dan begitu juga wanita mu`min dan wanita ahli kitab.[al-Maidah:5]

Faedah dari  perkahwinan adalah berkongsi kasih antara dua pasangan. Bagaimana mungkin kamu tidak boleh mengasihi seri rumahnya, teman hidupnya, dan ibu kepada anaknya? Allah menerangkan eratnya hubungan antara mereka adalah:

هن لباس لكم وأنتم لباس لهن [البقرة:187]
Mereka (wanita) adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka. [al-Baqarah:187]

Antara kesan perkahwinan juga adalah penyatuan antara dua keluarga (musoharah/ mertua, besan, biras, ipar duai)

وهو الذي خلق من الماء بشرا فجعله نسبا وصهرا [الفرقان:54]
Dialah yang mencipta manusia daripada air, lalu menjadikannya berketurunan dan bermusaharah.

Bagaimana mungkin dapat kita bayangkan sebuah keluarga harmoni yang berkongsi kebahagiaan sehingga kewajipan menantu menanggung kebajikan ibubapa walaupun kafir, tetapi tidak membenarkan penghormatan diberi di hari kegembiraan mereka?

Nabi mengarah supaya berlaku lembut serta melarang biadap terhadap mereka.

Ketikamana lalu beberapa orang yahudi melintasi Rasulullah SAW, mereka mengucapkan “Assaamualaika ya Muhammad” (السام عليك يا محمد) dengan maksud, “Mati ke atasmu wahai Muhammad.” Aisyah dengan berang membalas:
“Waalaikumu Sam wa Laknah ya `Ada`allah.’ (وعليكم السام ولعنة الله يا أعداء الله)
(Ke atas kalian juga mati dan dan laknat Allah, wahai musuh Allah!)

Lalu Rasulullah menegurnya supaya menjawab “Waalaikum” sahaja. “Sesungguhnya Allah menyukai sifat berlembut dalam segala sesuatu” terang nabi lagi.

Umat islam lebih wajar mengucap selamat terhadap perayaan mereka jika mereka juga mengucap selamat terhadap perayaan kita. Allah SWT meminta kita membalas kebaikan dengan kebaikan yang serupa, apatah lagi jika diucap sapaan hormat agar dibalas dengan ucapan lebih baik daripada itu.

Ibnu Qayyim juga berdalilkan kepada umum ayat berikut:

وإذا حييتم بتحية فحييوا بأحسن منها أو ردوها [النساء:86]

Dan apabila diucap sapaan hormat terhadapmu maka balaslah ucapan itu dengan yang lebih baik atau (sekurang-kurangnya) setimpal.  [al-Nisa`:86]

Pendapat Ibn Qayyim mengenai hadis supaya meringkaskan jawab salam dengan “Waalaikum” sahaja adalah disebabkan mereka menyebut perkataan “AsSamm”. Maka apabila hilangnya sebab untuk diringkas jawapan ini, maka perlulah dijawab sejajar dengan ucapan.

Seorang majusi (penyembah api) mengucap salam pada Ibnu Abbas maka jawab Ibnu Abbas: “Waalaikumsalam warahmatullah”. Lalu datang beberapa sahabat menegurnya kerana mengucap warahmatullah. Jawab Ibnu Abbas “Bukankah dia hidup atas rahmat Allah?”.

Mendahului salam terhadap orang bukan islam memang ditegah menerusi suatu hadis nabi mengikut sahih muslim. Tetapi menjawab salam mereka adalah wajib bagi umat islam dalam hadis-hadis yang banyak, juga beramal dengan umum ayat surah al-Nisa` di atas.

Walaupun mazhab Ibnu Abbas dan Abi Umamah membenarkan memulakan ucapan salam terhadap non-muslim, yang paling selamat sebagai ihtiyat adalah memulakan ucapan dengan “hello”, “hai”, ”hola”, ”Yoo!”, “Good morning”, “Sawadikap” atau apa-apa ucapan sapaan yang sesuai dengan masyarakat setempat.

Amat tidak wajar bagi seorang bergelar muslim itu lebih rendah tahap moral pergaulan serta budi pekertinya jika dibanding dengan yang lain. Rasulullah menyebut:

أكمل المؤمنين إيمانا أحسنهم خلقا [رواه أحمد وأبو داود]
Orang yang paling sempurna imannya adalah yang paling indah pekertinya. [Hr Ahmad dan Abu Daud]

Rasulullah terkenal dengan baikhatinya terhadap kaum musyrik Quraisy. Walaupun mereka memusuhi baginda, Qudwah ummah itu tetap sanggup memegang amanah simpanan Quraisy bersamanya. Sehingga saat baginda diancam bunuh yang memaksanya berhijrah, masih sanggup meninggalkan Ali untuk memulangkan amanah-amanah tersebut tanpa menyentuh sesen pun.

Justeru itu, tiada tegahan untuk mengucap slogan perayaan mana-mana agama, apatah lagi kaum atau bangsa selagimana tidak bercanggah dengan syiar dan prinsip islam seperti salib, calit dahi dan kalungan bunga.

Antara salah faham dalam toleransi beragama
Bahkan masyarakat awam memperakui ucapan seperti  Merry Christmas, Happy Deepavali, Gong Xi Fa Cai bukanlah satu ungkapan kufur atau tanda menganut mana-mana agama, seperti ucapan salam dalam islam yang tidak diwajibkan untuk mengiktiraf seseorang masuk islam, sebagaimana ucapan syahadah.

Menziarahi perayaan bukan islam juga begitu. Jika ianya tidak melibatkan upacara keagamaan seperti nyanyian lagu memuji tuhan mereka, sembah hormat atau jampi mantera tiada masalah. Apatah lagi jika ia melibatkan perkara yang turut disaran islam seperti mengadiri jamuan, berbalas hadiah dan ziarah menziarahi, ia juga wajar dipraktikkan umat islam kini.

Tetapi harus juga diingat, ini bukan membenarkan pluralism agama yang mengiktiraf semua agama adalah benar sehingga boleh islam menyambut perayaan Krismas atau Deepavali sesama islam. Jangan sekali-kali mengucap Merry Krismas sesama islam kerana kita sudah punya cara tersendiri. Pengharusan ini hanya atas dasar dakwah dan mempamer keindahan islam dalam fleksibilitinya.

Jika perbuatan di atas dilakukan dengan niat mengagungkan agama lain, atau bimbang akan terkesan dengan agama tersebut, maka jatuhlah hukumnya sebagai haram.

Adapun perayaan kaum seperti Gong Xi Fa Cai atau perayaan bangsa seperti Hari Kemerdekaan India maka itu secara mafhum muafaqahnya terlebih harus disambut walau sesama muslim kerana berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan itu adalah ajaran islam. Nabi sayang kaum arabnya, nabi mengamal adat resam kaum arab dalam berpakaian, berhibur dan memilih hobi. Nabi juga pencinta kebebasan, penentang penjajahan dan penindasan. Wallahualam.



Sumber:
Fatwa Muasarah: Dr Qardawi

Monday, December 3, 2012

SECEBIS RAHSIA DOA




"Doa tunjang ibadah", "doa senjata orang beriman", "doa pengubah laluan takdir", "doa penghukum kezaliman".

Ini antara intipati berbagai hadis Rasulullah berkenaan kuasa doa. Direct to the point entri ini adalah untuk menyatakan pandangan terhadap isu doa yang sengaja dibawa oleh media pro-kerajaan untuk mengalihkan isu kezaliman yang semakin membarah

Isu dah lama berlaku, tapi atas perminataan seorang ahli usrah untuk ditulis mengenai isu ini, saya turuti jua kemahuannya. Menjadi kewajipan setiap muslim untuk menasihati apabila diminta berbuat demikian.

Saturday, December 1, 2012

SUATU SUBUH DI SERAMBI MEKAH (BINGKISAN BUAT JIWA-JIWA YANG MENCARI ERTI HIDUP SEJATI)


Subuhku sedikit terlewat daripada jemaah pertama. Malu juga rasanya kerana aku tidur di dalam kereta yang diparkir betul-betul di pintu pagar utama masjid. Mesti jemaah yang hadir awal akan melintasi keretaku dan melihat gelagatku sedang enak tidur. Letih bang tidur dalam kereta. Maybe pukul tiga baru aku terlena dek layanan special nyamuk-nyamuk yang tidak membiarkan aku bersendirian walau sesaat. Nak tutup tingkap panas, takkan nak buka aircond sepanjang malam.

Itulah kisahku pada suatu subuh di negeri serambi mekah, Kelantan Darul Naim. Aku ke sana bersempena Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-58. Aku percaya ramai yang memilih untuk tidur di dalam kereta sepertiku sepanjang 5 hari Muktamar berlangsung. Biasalah orang Pas, datang tidak dibayar, pulang tiada dihantar, kena survive sendiri pula.

Tapi aku puas berada di sana. Sejuk hati sejurus memijakkan kaki ke kota ini. Setiapkali selepas subuh bergema laungan pengajian agama bersahutan antara masjid dan surau, sehingga aku yang pada mulanya ingin segera berkhidmat diri terpaku seketika dengan penyampaian kuliah subuh di sana. Ditambah pula dengan melihat wajah-wajah pejuang Allah yang penuh jernih ikhlas di Muktamar itu, hatiku cukup damai walau terpaksa berjalan kaki hampir 1km dalam panahan mentari dek jauh kereta yang diparkir. Ada yang bertongkat ke sana, ada yang datang sekeluarga dengan bas ekspres. Abang Du, saudaraku seusrah dari Tawau Sabah juga hadir.



Syurga dunia!

Thursday, November 22, 2012

KEKELIRUAN PEMIKIRAN DR MAZA: SATU KIRITKAN (Pinjam ayat al-Faqeeh)


Maaf diucap pendahulu entri
Bukan marah bukan membenci
Dr MAZA ku sanjung tinggi
Menegur sekadar mengamal demokrasi



Saya antara salah seorang yang amat meminati tulisan-tulisan Dr MAZA. Beliau ada cara fikir tersendiri, membawa kita supaya sama berfikir tentang isu-isu yang berlaku, bukan hanya menunggu fatwa dan pandangan orang lain. Saya tidak pernah miss Sinar Harian edisi jumaat kerana artikel Dr MAZA ada pada hari tersebut. Bahkan saya menyantap artikelnya terlebih dahulu sebelum medengar kuliah jumaat Tuan Guru Ayah Chik.

Banyak pendapat-pendapat beliau yang saya setujui. Antara yang terbaru adalah harapannya supaya Obama menewaskan Romney untuk kerusi presiden AS. Saya juga menerima sepenuh hati teguran beliau supaya pemimpin PAS tidak jadi Ayatullah. Tak rugi kalau kita terima sahaja apa teguran itu.



Artikel ini ditulis untuk mengutarakan pendapat dan kritikan berhubung artikel terbaru beliau, baca sini. Saya percaya beliau bukanlah seorang Ayatullah sehingga tidak boleh menerima kritikan ini. Biarlah kita cambahkan suasana ilmiah ini untuk mencari kebenaran semata-mata.

Tuesday, October 30, 2012

MELAYU DAN PRU 13


“salam ce try jawab soklan ni dalam blog deme...
isu ketuanan melayu... <-------- font="font">Umno memainkan sentimen bahawa jika PR memerintah, hak orang melayu dan bumiputera akan tergadai"

Inilah mesej yang saya terima yang membawa saya menulis entri ini. Rasanya memang inilah antara persoalan yang membuahkan keraguan didalam benak anak-anak muda dan mereka yang inginkan perubahan. Mereka sedar akan kerajaan hari ini sudah terlalu bahaya untuk terus diberikan amanah. Namun adakah Pakatan Rakyat mampu menjamin kepentingan orang melayu dalam negara andai diberi mandat?

Saya cuba kongsikan apa yang termampu. Pertamanya saya terangkan siapa sebenarnya melayu Malaysia dari sudut sejarah, kemudian saya akan bahagikannya jawapan kepada tiga sudut pandangan. Pertamanya dari sisi agama, kedua dari sisi perundangan, dan ketiga, politik

SEJARAH MELAYU MALAYSIA

Masyarakat Melayu di Malaysia wujud hasil dari percampuran di antara tiga rumpun bangsa yang berbeza, iaitu Negrito, Austro-Asiatic dan Austronesia dengan pengaruh dari bangsa-bangsa dari luar Asia Tenggara.


Wednesday, October 24, 2012

KHUTBAH HARI RAYA AIDIL ADHA 1433H/2012M PENGORBANAN DEMI PERJUANGAN




YANG PERTAMA

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر كبيرا، و الحمد الله كثيرا.

الحمد لله الذي خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملاوهو العزيز الغفور.

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، البدر الدجى و السراج المنير.

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا وحبيبنا وشفيعناوقدوتنا وإمامنا محمد أشرف الأنبياء والمرسلين ، وعلى آله وصحبه ومن اتبع هداه ألى يوم الدين. أما بعد.

فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، فتزوده، فإن خير الزاد التقوى.

Wahai hamba-hamba Allah sekalian, saya berpesan pada diri dan siding jemaah sekalian agar bertaqwa kepada Allah dengan erti kata sebenarnya, iaitu mentaati segala perintah serta menjauhi laranganNya. Kejayaan hanyalah untuk mereka yang beriman

Betapa beruntungnya kita menjadi orang islam, kerana berada dalam agama fitrah, agama yang meraikan tuntutan semula jadi manusia. Antara tuntutan-tuntutan tersebut adalah menyambut perayaan. Hari ini kita pula kita dianugerahi dengan satu lagi perayaan iaitu hari raya Qurban/Aidil Adha

Muslimin dan muslimat sekalian!

Sambutan AidilAdha ini disyariatkan Allah SWT bagi mengenang sejarah korban yang dilakukan oleh Khalilullah Nabi Ibrahim AS. Baginda berkorban apa saja demi mematuhi perintah Allah SWT:

Firman Allah SWT dalam surah as-Saffat:


فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِين
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ
وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيم
قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِين
إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ
وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيم



102.  Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".
103.  Tatkala keduanya Telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya ).
104.  Dan kami panggillah dia: "Hai Ibrahim,
105.  Sesungguhnya kamu Telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
106.  Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata.
107.  Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

Bayangkanlah wahai saudaraku sekalian,

Saturday, October 13, 2012

JAWAPAN MUDAH PASAL ISU TAHALLUF DAN AMBIGA


Semalam kami berusrah, ada sahabat melontar masalah tentang satu isu iaitu tahlluf bersama DAP. Kebanyakan orang islam melayu yang sudah cenderung kepada PAS kerana mengakui kekejaman UMNO, sekali lagi keliru apabila PAS melakukan tahluf bersama DAP. Mereka sememangnya memerlukan penjelasan. Media Pro-Umno berjaya putar belit isu ini kononnya Pas sudah lari dari perjuangan. Pening juga para pengempen Pas bila berhadapan soalan-soalan ini dari orang kampung.

Mereka tidak mahu dengar jawapan dari Nas quran, hadith mahupun sirah. Itu tidak boleh meyakinkan mereka. Kerana mereka masih sangsi kuasa PAS dalam PR dalam membawa prinsip islam.

Saya cuba kongsi jawapan untuk kita hadapi soalan sebegini. Mudah-mudahan mampu membantu para pengempen untuk memenangi semula hati mereka yang terkeliru ini.

KEMENANGAN PAS BUKAN KEMENANGAN ISLAM




Maaf jika tajuk entri ini boleh menderaukan darah segelintir pembaca terutama pendokong tegar parti Pas. Saya bukanlah bermaksud Pas bukan sebuah parti islam tulen. Saya akui jua saya adalah ahli Pas, aktivis Pas, dan Pas telah banyak berjasa dalam membentuk acuan peribadi saya. Paslah yang menyedarkan saya bahawa saya ini manuisa.

Entri ini dinukil setelah terbaca suatu laporan muka depan akhbar sinar harian hari ini (10 Oktober 2012) mengenai kenyataan seorang pimpinan Pas. Tulisan ini bukan untuk menyerang mahupun mempertahan sesiapa. Saya cuma terpanggil untuk melontar buah perkongsian atas dasar nasihat menasihati dalam beragama.

Andai Ustaz Nasha membaca entri saya ini, ingin saya nyatakan bahawa sehinga hari ini, saya masih belum berganjak dari perasaan husnu zhon terhadap Ustaz. Malahan saya bangga punya saudara seperti Ustaz, sanggup mengenepikan cemuhan, kritikan liar, kebencian dan segala ancaman demi agama tercinta. Biar hina di dunia, asalkan masyhur di kalangan penduduk langit. Pengorbanan yang Ustaz curahkan tiada tolok bandingnya.


Mungkin juga ini adalah salah satu strategi murni untuk membersihkan Pas yang dilihat sedang dilanda krisis fikrah peringkat tertinggi. Saya sedar fahaman ala mu`tazilah yang sedang menular dalam Pas hari ini cukup bahaya untuk masa depan parti jua islam.

Berbalik pada tajuk di atas, ini bukan surat terbuka untuk Ustaz Nasha, bahkan suatu tulisan umum untuk semua ahli jemaah islam.

Thursday, August 16, 2012

KHUTBAH HARI RAYA AIDIL FITRI 2012/ 1433 H “ SIFAT TAQWA LAHIR DARI KECEMERLANGAN RAMADHAN AL-MUBARAK”


(Khutbah ini diedit dari teks khutbah hari raya yang disediakan oleh Dewan Ulama` PAS Negeri Terengganu dengan mengalih tulisan kepada rumi disamping mengubah sedikit gaya bahasa, penambahan dalil-dalil Quran dan isu-isu semasa, serta meringkaskan beberapa bahgian tanpa menjejaskan fokus utama khutbah. Terima kasih buat isteri tercinta yang sudi menaipkan kembali teks khutbah ke tulisan rumi dengan penuh tekun dan ikhlas. Hanya Allah mampu mengganjar anugerah yang setimpalnya.)




KHUTBAH PERTAMA
الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر كبيرا، و الحمد الله كثيرا.

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام، وفضلنا على كثير من الأمم.

فنحن قوم أعزنا بالإسلام، فإذا ابتغينا الإسلام بغيره أذلنا الله

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، البدر الدجى و السراج المنير.

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد، الرحمة المهداة، قائد الدعاة ةالمجاهدين، وعلى آله وصحبه ومن اتبع هداه ألى يوم القيامة. أما بعد.

فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، فتزوده، فإن خير الزاد التقوى.
Wahai hamba-hamba Allah yang dirahamati sekalian! Saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri, supaya bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya diiringi rasa takut kepada Allah di mana jua kita berada.

Muslimin dan muslimat sekalian!

Tuesday, August 14, 2012

SURAT TERBUKA KEPADA JAKIM BERHUBUNG ISU ZAKAT OKU



Pertamanya ucapan syukur kepada Ilahi dan terima kasih kepada yang berkenaan atas kesudian membaca surat ini sebagai sebuah pandangan dalam menentukan asnaf zakat kepada OKU. Suara ini ditulis hanyalah untuk menyahut tuntutan al-Quran supaya bertolong menolong dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan.

1.       Pertamanya tentang prinsip bantuan yang diberikan, saya melihat matlamatnya haruslah membantu tidak hanya sekadar untuk mencukupkan bekalan semasa sahaja, tetapi haruslah bantuan tersebut mampu untuk membuatkan mereka keluar dari senarai layak menerima zakat. Dengan kata lain, bantuan haruslah digandakan agar mereka boleh menjadikannya sebagai modal perniagaan, membeli asset penjana pendapatan, ataupun supaya mereka terasa sudah tidak tergolong lagi dari kalangan yang memerlukan bantuan kebajikan.

2.       Saya bersetuju dengan pandangan bahawa secara principal OKU memang layak untuk menerima bantuan, cuma untuk memasukkan mereka dibawah asnaf tertentu memerlukan perbincangan khusus supaya dapat didokumentasikan dan agar tidak berlaku masalah di kemudian hari.

Monday, August 13, 2012

MERAKYATKAN RAKYAT MELALUI ZAKAT

Tahun ini buat pertama kalinya saya akan membayar zakat fitrah untuk diri saya sendiri, juga untuk orang dibawah tanggungan saya iaitu isteri tercinta. Sehingga artikel ini ditulis, saya masih belum menunaikannya. Harap-harap sempat la saya kejar amil itu untuk selesaikan segera tanggungjawab ini.

Zakat, sepertimana juga puasa adalah antara rukun islam yang wajib ditunaikan. Barangsiapa mengingkarinya maka terlucutlah pangkat islam di dada secara automatik.

Zakat adalah bentuk cukai dalam islam. Tanggungjawab memungut cukai adalah terletak dibahu pemerintah dan kerajaan. Ianya berpaksikan Firman Allah SWT:

خذ من أموالهم صدقة تطهرهم وتزكيهم بها...[التوبة:84]

Apa yang ingin saya kongsikan adalah keindahan islam itu yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Dengan kewaijpan berzakat ini membuat saya lebih beriman bahawa agama islam ini cukup sempurna. Ia bukan sekadar membicarakan aspek kerohanian adat istiadat ritual ibadat semata-mata, malah turut merangkumi soal pentadbiran sesebuah negara. Bahkan mendahului perundangan ideologi lain dari sudut kesaksamaan.

Zakat secara umumnya akan dipungut dari orang kaya (harta simpanan melebihi jumlah yang ditetapkan) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan mengikut asnaf yang ditetapkan. Semakin kaya seseorang itu, semakin besar jumlah zakat yang harus dibayar.

Islam tidak melarang seseorang itu mencari kekayaan material bahkan islam menggalakkan lagi berbisnes. Ianya sunnah Baginda SAW disamping mata pencarian yang paling tinggi menjana pendapatan. Namun disana terdapat etika dan disiplin dalam berbisnes, antaranya ialah berzakat. Ini yang membezakan dengan sistem manusia lain.

Sistem Kapitalis contohnya dengan slogan ‘government has no business to get in to the bussiness’, semua pemilikan sesebuah Negara itu diswastakan kepada individu dan mereka bebas mentadbir mengikut kemahuan tanpa batas. Maka berleluasalah sistem riba`, sistem piramid/ponzi, penipuan, rasuah, judi yang menindas golongan lain. Persaingan sihat tidak lagi berlaku dalam perniagaan malah bertukar kepada peperangan ekonomi.

Sistem Sosialis pula tidak membenarkan langsung rakyat mengaut keuntungan melebihi had yang ditetapkan. Jika tidak, semua lebihan tersebut akan menjadi milik kerajaan. Lahirlah pula golongan yang pasif dan tidak produktif dalam bisnes kerana mereka hanya bekerja sedangkan keuntungannya untuk kerajaan. Rejim pemerintah pula yang kaya raya hasil usaha keringat rakyat jelata.

Islam dengan sifat wasatiyyahnya berada di tengah-tengah. Sektor-sektor asas dikekalkan dibawah tanggungjawab pemerintah dan tidak dibisneskan seperti hartanah awam, air, petrol dan elektrik. Selain dari itu rakyat bebas membuka perniagaan dengan syarat etika yang ditetapkan itu dijaga.
Dengan kita giat berniaga sehingga mengaut keuntungan berganda, secara tidak langsung kita meningkatkan ekonomi umat islam melalui zakat. Kekayaan yang kita perolehi turut dikecapai golongan tidak berkemampuan.

Bagaimana pula untuk mengutip cukai daripada bukan islam? Itu tidak menjadi maslah. Islam kaya dengan sistem pentadbiran. Bukan islam akan dikenakan cukai yang dipanggil jizyah. Perkiraannya adalah mengikut peratus pendapatan.

Sedar atau tidak sebenarnya kita tertanggung dengan beban cukai yang terlalu banyak. Kerperluan asas pun tidak terkecuali. Kita ambil contoh gula. Harga sebenar tanpa cukai RM1.50, tapi kerajaan menjual kepada peraih RM1.80, dengan 0.30 cukai tak langsung. Daripada peraih ke pemborong, kepada peruncit sehinggalah sampai ke tangan kita, harganya menjadi RM2.30! Secara tidak langsung cukai sebanyak RM0.30 ditanggung oleh pengguna.

Angka ini mungkin tidak tepat, Cuma sekadar memberi gambaran keadaan.

Yakinlah saya dengan mengerti peranan zakat ini bahawa tawaran Negara Berkebajikan sebenarnya mampu membawa semula nama Malaysia di persada dunia dengan memperkenalkan sistem islam seperti yang dibahaskan tadi. Tidak usah khuatir kepada non muslim yang tdak mahu mengamalkan sistem islam di Malaysia kerana itu mungkin melanggar kepercayaan agama mereka, dan kita harus menghormatinya. Cuma yang menjadi masalah bila kita sendiri teragak-agak untuk mempercayai keupayaan sistem islam mendepani modenasasi. Lagi besar masalah bagi mereka yang islam, lagi berkuasa namun tetap menolak sistem islam.

Tak perlu ciplak sistem orang lain mentadbir negara. Lupakah kita nenek moyang kita pernah mentadbir keseluruhan dunia. Era muhammadi sahaja punya tiga dinasti agung seperti Umawiyyah, Abasiyyah dan Uthmaniyyah. Era sebelumnya juga lebih hebat! Kita ada Iskandar Zulkarnain yang kekuasaannya bermula dari ufuk terbitnya matahari sehinggalah ke ufuk terbenamnya ke dasar dunia. Kita juga ada Nabi Sulaiman yang memerintah seluruh makhluk tuhan termasuk jin, syaitan dan binatang. Islam lebih sarat dengan pengalaman berbanding barat, tinggal kita sahaja yang lupa daratan sehingga bahasa sendiri pun dianak tirikan.

Bagi saya, soal kenapa non muslim menolak islam bukan kerana diskriminasi ajaran islam terhadap penganut agama lain. Soal tidak memahami agama islam juga mungkin benar, tapi mungkin dikalangan golongan pertengahan dan bawahan sahaja. Sebagai kalangan yang celik maklumat dan peka sekeliling, golongan atasan dan pemimpin mereka sepatutnya sudah mempunyai asas tentang agama islam. Cuma mereka tersekat dari memahaminya secara jelas kerana prinsip islam berbeza dengan pengamalannya. Rakan-rakan sepangkat mereka dari kalangan muslim tidak beramal dengan ajaran mereka sendiri. Freehair, tonggang arak, langgan pelacur, menipu, rasuah, riba serta banyak lagi dosa yang dilakukan membentuk persepsi meragukan dalam kotak pemikiran non muslim. Lebih memarahkan lagi persepsi mereka terhadadap islam apabila institusi yang bertanggungjawab untuk menjaga agama turut diseleweng penganutnya sendiri seperti lembaga zakat, tabung haji dan yayasan-yayasan lain.

Jika perkara ini dapat diatasi, samada dengan pemerintah muslim mengubah akhlak mereka atau muslim lain mengubah individu yang memerintah, saya yakin bukan islam bukan sahaja boleh menerima, bahkan terpesona dengan islam lalu menjadi saudara baru kita. Ini kerana non muslim di negara kita tidak berfikiran seperti melayu, mereka tiada istilah perkauman sempit ataupun sifat ekstremis agama. Mereka berfikiran terbuka berlandaskan pengetahuan dan kebaikan hidup secara keseluruhannya. Apa-apa yang menguntungkan kehidupan mereka, pasti tidak teragak-agak untuk memilihnya.

Sedarlah kita sebenarnya belum ada lagi satu pun negara islam dapat mentadbir islam secara menyeluruh untuk dijadikan role model kepada agama lain. Inilah penyebabnya doktrin islamofobia masih menebal di benak manusia.

Benarlah ungkapan emas dari Malik bin Nabi (atau mungkin Hasan AnNadawi) bahawa ”ruginya dunia kerana lemahnya umat islam.”

Akhir kata, zakat fitrah pula adalah zakat berkadar tetap dari setiap orang muslim yang mampu (bukan hanya orang jaya). Asal disyariatkan membayarnya adalah bermula masuknya Syawal sehingga sebelum sembahyang raya agar orang kurang upaya turut sama boleh beraya. Tapi ulama` berfatwa boleh dibayar awal untuk mengelak kesukaran membayar.

Asal bentuk bayaran pula adalah makanan asasi yang kita makan yang tidak terlalu murah dan terlalu mewah. Namun melihat kepada peredaran masa dan keperluan semasa, adalah terlebih baik untuk kita berzakat dengan wang ringgit mengikut harga semasa sesebuah negeri. Mereka boleh memilih keperluan yang sepatutnya.

Kita boleh membayar terus kepada asnaf yang ditetapkan, atau mewakilkan kepada amil yang bertugas. Saya memilih untuk memberikan kepada amil kerana mereka lebih tahu siapa yang lebih utama menerimanya.  Tapi saya periksa dahulu latar amil tersebut dan kemana zakat itu disalur. Bukan ingin terlalu merumitkan urusan, tetapi bimbang sistem zakat tidak membantu meningkatkan taraf umat islam jika tidak diurus dengan betul. Kadangkala saya lebih memilih amil kampung di suaru-surau daripada yang bertauliah kerana tahun lepas di daerah saya sahaja (Kuala Terengganu), 72 orang amil berdaftar tidak menyerahkan hasil zakat kepada pusat pungutan zakat.