Wednesday, October 8, 2014

SUNNAH HARI KETUJUH KELAHIRAN BAYI

.Tanggal hari ketujuh kelahiran kedua kami. Berjaya sempurnakan sunnah bercukur, tahnik dan menamakannya dengan MULAIKA ARFA BINTI MUHAMMAD MARWAN

مليكة عرفة

Ada cerita di sebalik nama yang dipilih. Dari sudut makna, Mulaika (مليكة) bererti ratu kecil ataupun
puteri. Arfa (عرفة) pula sempena Padang Arafah. Arfa (أرفى) juga membawa maksud prihatin.

PUTERI PADANG ARAFAH

Mulaika juga adalah nama seorang Hamba Allah yang amat kuat Ibadah, Mulaika binti Munkadir. Gadis ini dari kalangan Tabiin, generasi keempat umat Islam Madinah.

Pernah suatu hari ketika Malik bin Dinar, seorang Tabiin yang terkenal sedang tawaf di Baitullah, dia terlihat seorang gadis sedang berdoa pada Allah dengan suara yang kuat sambil berkata: "Aku telah datang dari jauh kerana mengharap kebaikan dariMu. Maka kurniakanlah padaku kebaikan dari kebaikanMu yang mencukupkan aku dari mengharap kebaikan selain dariMu, Wahai Yang Maha Mengenali Kebaikan."
Malik bin Dinar yang tidak senang dengan telatah gadis itu menceritakannya pada Ayub Assakhtiani, juga seorang Tabiin yang terkenal dengan kealiman dan kewarakan. Setelah itu mereka berdua mencari tempat tinggal gadis berkenaan dan terus menuju ke sana. Setelah kedua mereka menemuinya, diucapkan salam padanya seraya memberi nasihat:

"Berbicaralah dengan Allah dengan baik, nescaya Allah akan mengasihimu".
Jawab gadis tersebut, "Aku hanya mengadu hati dan perasaanku pada Allah."

"Sungguh kamu berdua telah menyusahkan aku dan menggangguku dari beribadah. Beredarlah. Aku sedang dalam perjalanan kembali ke hadrat Ilahi." Tambahnya.

Kata Ayub Assakhtiani "Aku belum pernah jumpa gadis sebegini sebelum ini. Alangkah bagus jika kamu berkahwin. Tentu suamimu dapat menolongmu beribadah."
Jawab gadis tersebut "Jika orang itu Malik bin Dinar atau Ayub AsSakhati sekalipun aku tidak mahu".

Nama Malik bin Dinar dan Ayub Assakhtiani sememangnya amat masyhur dikalangan para tabiin ketika itu sebagai abid yang alim, zuhud dan warak. Namun gadis itu belum pernah mengenal kedua orang itu.

"Sayalah Malik bin Dinar dan ini Ayub AsSakhtiani." Balas Malik.

"Uff.. (Nada tidak percaya). Selama ini aku sangkakan kamu berdua lebih suka memikirkan Allah dari berbicara dengan perempuan (berkahwin).

Lalu gadis itu terus berpaling untuk menunaikan solatnya. Kedua mereka itu cuba menyelidik siapakah gadis yang hebat itu. Akhirnya mereka dapat bahawa itulah " Mulaika binti Munkadir".

Menurut Albarrad pula, beliau pernah menasihati Mulaika supaya mengurangkan sedikit ibadahnya. Namun Mulaika menjawab "Biarkanlah aku kembali ke pangkuan Ilahi."

Kisah ini diambil dari kitab Sifatu Sofwah karya Al-Imam Ibnu Jauzi. Semoga Mulaika Marwan juga boleh hebat seperti Mulaika Munkadir.

Ada satu lagi sunnah yang belum dibuat di hari ke tujuh iaitu bersedekah nilai emas seberat rambut yang dicukur dan juga akikah. Bagi yang berkemampuan, jangan lupa untuk turut mengamalkan sunnah yang bermanfaat ini!

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....