Sunday, September 8, 2013

TOLONG-MENOLONG (التعاون)

SYLLABUS USRAH IDADIE 1
SIRI IV

Ta’awun  adalah perkataan bahasa arab (تعاون) yang bermaksud tolong-menolong, gotong-royong, bantu-membantu sesama manusia.

Manusia tidak dilahirkan mampu menguruskan keperluan hidupnya tanpa bantuan orang lain. Justeru, secara asasnya manusia memerlukan pertolongan dari orang lain bagi melengkapkan kehidupan mereka.

Pakaian yang kita pakai hasil buatan orang lain. Sayuran, buahan, serta makanan yang kita makan ditanam, dipetik dan dijual oleh orang lain. Dari kecil lagi kita berhajat kepada bantuan orang lain untuk menguruskan diri,dibela, diajar sehingga dewasa.

Firman Allah Taala :

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [Al-Maidah : 2]





  Ayat diatas menunjukkan bahawa tidak semua bentuk tolong-menolong itu baik, melainkan ada juga yang tidak baik. Tolong-menolong yang baik adalah apabila ia menjurus kepada kebaikan dan ketaqwaan sesuai apa yang diajarkan dalam islam. Tolong-menolong dalam masalah dosa dan permusuhan pula termasuk perkara yang dilarang agama. Tolong-menolong bebas dilakukan dengan siapapun (termasuk non muslim).

Sabda Rasulullah SAW:
المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا, ويشبك بين أصابعه
"Mukmin yang satu dengan yang lainnya bagaikan sebuah bangunan yang saling memperkuat antara sebahagian dengan sebahagian yang lain. (Sambil Rasulullah SAW memasukkan jari-jari tangan ke sela jari-jari lainnya) [HR Bukhari dan Muslim]

KONSEP TOLONG MENOLONG DALAM ISLAM

Antara perkara yang termasuk dalam kategori kebaikan (al-birr) adalah :

Seorang yang berilmu membantu manusia dengan ilmunya.
Seorang yang kaya membantu orang lain dengan hartanya.
Seorang yang berani membantu dengan keberaniannya berjuang di jalan Allah swt.
Saling nasihat-menasihati di dalam kebenaran dan kesabaran.
Menghilangkan kesusahan sahabat-sahabat seperti menutup aib mereka, mempermudah urusan mereka, menolong mereka dari orang yang berbuat aniaya, menghibur atas duka cita mereka,mengunjungi ketika sakit.
Mendoakan kesejahteraan mereka.

Sabda Nabi S.A.W :
والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه
Allah akan menolong seorang hamba selagimana hamba itu menolong saudaranya. [HR Muslim]

Saidina Ali KAW pada suatu hari keluar rumah untuk mencari makanan. Beliau cuma ada enam dirham. Dalam perjalanan, beliau terserempak dengan seorang dalam kesusahan yang berkata "Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan yang selalu menepati janji?"

Tanpa berfikir panjang, Saidina Ali memberikan kesemua enam dirham yang dimilikinya itu pada lelaki tersebut lalu pulang dengan tangan kosong.

Fatimah yang melihat suaminya melangkah ke pintu rumah dengan tangan kosong lalu menangis membuatkan Saidina Ali keluar lagi, kali ini untuk berjumpa Rasulullah SAW mengadu nasib. Di tengah perjalanan, beliau terserempak pula dengan seorang badwi sedang menunggang unta.

Badwi itu segera menghampirinya dan menawarkan untanya untuk dijual. Ali pada mulanya tidak mahu membeli kerana tidak punya wang, tetapi orang badwi itu mengizinkannya untuk bayar pada bila-bila masa yang lain setelah memperolehi wang.

Saidina Ali akhirnya bersetuju dan terus membawa unta itu bersamanya. Tidak berapa jauh meninggalkan tempat tadi, datang pula seorang badwi yang lain menghampiri beliau bertujuan untuk membeli unta tersebut. Saidina Ali menjualnya dengan haraga 300 dirham. Sekelip mata saidina Ali berjaya memperoleh keuntungan 200 dirham.

Saidina Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada Fatimah. Fatimah menyarankan agar beliau terus berjumpa nabi menceritakan hal terbabit.

Setibanya di masjid, nabi yang sedang beribadah terus tersenyum dan berkata:
"Wahai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli unta daripada kamu tadi?" Soal nabi memulakan bicara.

Ali menggeleng: "Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu."

Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan:
"Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap satu dirham mendapat ganti 50 dirham.
"Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang kedua adalah malaikat Mikail."

من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Barangsiapa yang tidak menghiraukan nasib umat islam lain maka dia bukanlah dikalangan umat islam.

Rujukan:
-Tafsir Ibnu Kathir
-Riyadhus Salihin, Imam nawawi

Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH
MAAHAD DARUL QURAN RUSILA
SESI 2013

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....