Sunday, September 15, 2013

RESPON BUAT DR AGUS

Terima Kasih pertamanya kepada Dr Agus Yusoff yang telah bersuara usai resolusi multaqa ulama dimeterai 2 hari lepas. Ini membuktikan betapa perjalanan PAS mendapat perhatian berbagai golongan.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan tulisan Dr Agus, yang kebanyakannya adalah ahli PAS sebelum era reformasi. Bagi saya, apabila PAS terjun ke kancah politik, ahli PAS perlu terbuka menghadapi respon dan kritikan pemerhati politik yang lain walaupun mereka itu bukanlah dikalangan agamawan. Inilah namanya politik. Sebaliknya pula ahli PAS harus melayani golongan sebegini mengikut ruang pemikiran mereka.

Bukankah Nabi kita mengajar khitabunnas ala qadri Uqulihim?

Dr Agus memberi respon dalam rangka pemikiran politik Malaysia, ini jelas dilihat dengan rangkap pertama beliau menyebut "kenyataannya tidak sesuai dengan perkembangan politik negara".



Bagi saya,
tindakan Ulama' PAS ini sebenarnya adalah satu bentuk respon terhadap pola politik negara hari ini. Saya bersetuju dengan pendapat menyatakan PAS mampu kehadapan lebih jauh jika bergabung dengan parti lain.

Tetapi komen Dr Agus terlalu cepat menghukum seolah-olah menggambarkan PAS ingin lari dari pakatan. Mungkin Dr Agus perlu belek kembali Kamus Dewan Bahasa supaya maksud resolusi itu tidak disalah ertikan.

Saya percaya, PAS konsisten dengan dasar keharusan bekerjasama dengan parti politik lain kerana fakta sejarah yang dibawa oleh Dr sendiri telah membuktikannya. Bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan PASlah parti yang paling banyak membentuk gabungan politik walaupun kebanyakan parti gabungan yang lain sudah berkubur satu persatu. PAS adalah parti paling layak membuat kajian terhadap gabungan terbaru ini (PR) berdasarkan pengalaman yang ditempuh.

Mengkaji kesepakatan adalah perkara biasa. Kita kena sedar bahawa pakatan dalam PR bukanlah gabungan membentuk parti baru seperti BN kerana sehingga hari ini PR masih belum diputus untuk didaftar. Masing-masing punya ideologi yang berlainan. Kita cuma berpimpin tangan untuk mara ke Putrajaya.

PAS tidak akan sekali-kali melakukan sesuatu yang merugikan matlamat politik PAS sendiri setelah hampir tujuh dekad berada dalam kancah ini. Pendekatan seperti gabungan PR, penubuhan DHPP, Jabatan Amal Malaysia termasuk pelan pentadbiran baru yang diperkenalkan Kelantan adalah amat menguntungkan politik anti-pemerintah hasil dari kajian semula terhadap perlembagaan dan strategi parti.

Jangan pula mengandaikan kajian semula ini kerana ulama' ingin melihat kerjasama antara PAS dan UMNO kerana itu hanya menggambarkan emosi Dr sehingga mengenepikan realiti perkembangan politik negara sendiri. Bukankah Ketua Umum PKR yang lebih dilihat bermesra dengan Presiden UMNO sekarang? Sedangkan PAS telahpun memecat keahlian Pesuruhjaya Selangor, dan keanggotaan ahli Majlis Syura bekas Timbalan Presiden sendiri gara-gara tindakan yang merugikan hubungan dengan PR.

Itu semua keputusan yang dicapai para ulama dari Majlis Syura.

Membaca fakta lagi, kajian khusus terhadap hubungan PKR dalam PR adalah satu cadangan yang berasas. Bukankah beberapa isu dalaman yang berlaku dalam PRU lepas melibatkan PKR? Pertembungan kerusi PR hanya berlaku samada antara PAS dan PKR atau DAP dan PKR. Hubungan kerjasama antara PAS dan DAP tidak sekali menunjukkan permasalahan kecuali fitnah-fitnah yang dimainkan media pro-kerajaan.

Menyatakan PAS bakal kehilangan sokongan kerana bersendirian juga satu pendapat yang dangkal walaupun saya tidak bersetuju jika PAS bersendirian. Dr boleh lihat daftar keahlian PAS yang semakin diterima hari ini dari satu golongan ke satu golongan termasuk bekas pegawai kerajaan, orang korporat mahupun bukan islam.

Jika benar mereka sokong PAS kerana parti lain dari PR? kenapa mereka pilih PAS? bukankah lebih elok jika dipilih terus rakan PR yang lain? PAS tidak pernah mengsyaratkan mereka yang ingin memangkah PAS supaya menyertai PAS dahulu.

Saya percaya ini kerana keyakinan terhadap dasar Islam yang dibawa PAS yang tidak ada pada PKR mahupun DAP, apatah lagi komponen BN. PAS mempunyai daya tarikan tersendiri.

Cadangan Presiden dan Timbalannya juga dikalangan ulama' adalah satu piawaian biasa dalam memilih penjawat. Adakah jawatan doktor perubatan akan diberi kepada graduan kejuruteraan hanya kerana beliau pandai melakukan prosedur CPR? Patutkah seorang pakar kewangan diberi tugas sebagai jeneral tentera setelah beliau pernah menyertai kem PLKN?

PAS adalah parti Islam semalaysia. Sudah tentulah penjawat tertingginya orang yang paling pakar dalam bidang agama yang celik politik. Hanya tahu halal haram bukanlah kelayakan yang standard untuk menjawab jawatan tersebut kerana pada masa hadapan ada banyak perkara-perkara mendatang yang belum diletakkan hukum halal atau haram. Hanya ulama' yang mampu meletakkan sesuatu hukum yang belum diketahui.

Penafian ini umpama mencadang parti UMNO membenarkan bukan melayu sebagai Presiden. Janganlah Dr jejaskan profesionality yang ada gara-gara pandangan yang menjadi bahan tawa.

Ulama tidak boleh hanya jadi penasihat kerana nasihat boleh diterima atau ditolak. Banyak mana nasihat ulama dalam UMNO yang hanya tinggal nasihat? Bila bertembung kepentingan politik atau batas Islam, adakah Dr yakin bukan ulama akan memilih batas politik?

Cuba Dr huraikan lagi maksud ulama menolak sistem dua parti dalam negara. Bukankah Unity Goverment itu asal diperkenal ke persada politik Malaysia oleh tokoh ulama?

Saya juga ingin mencadang dalam kajian PAS menuju konvensyen PR yang belum ditetapkan ini, supaya ditambah beberapa syarat dalam kontrak kerjasama PR antaranya supaya mengeksklusifkan pembahagian kerusi hanya dikalangan komponen PR, dan juga menetapkan beberapa bentuk tindakan kepada komponen yang mengkhianati perjanjian PR.

Kontrak ini juga perlu ditetapkan tempoh pembaharuan (jika masih belum ada) supaya penyegaran gerakerja serta penilaian keberkesanan bukan hanya diambil berat oleh PAS sahaja.

Akhirnya, saya ucap syabas kerana berjaya memaku saya hampir dua jam menghadap tablet. Saya bukanlah ahli politik mahupun ulama'. Bidang saya adalah perundangan Islam. Sebab itu menulis dengan tidak bersandar kepada nas agama amat menyukarkan saya.

Lontaran ini hanya mengharap respon balas dari Dr Agus sebagai penghargaan kepada penat memerah otak ini. Saya pohon maaf jika bahasa saya agak biadap dengan orang tua. Mungkin sekali-sekala perlu juga menelusuri method pemikiran orang moden ini yang semakin membelakangi nilai morality.
Sekian.

2 comments:

  1. 2 jam tulis bnyik ni? oo.. tulisan yg.. ok..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ingat mudah ke nk respon tulisan profesor ni..hehe.. Bg la support sket

      Delete

Guane gamok? komen skit....