Wednesday, February 8, 2012

JUBAH BUKAN SUNNAH? (SEMPENA MAULIDUR RASUL 1433H)

Dengan berlalunya 5 Februari lepas, genaplah 1423 tahun nabi Muhammad SAW pergi meninggalkan kita. Mungkin agak terlewat untuk saya menulis artikel berkaitan baginda ini memandangkan hampir separuh minggu 12 Rabiul Awwal meninggalkan kita. Namun dek kerana penghayatan sosok agung itu perlu diamalkan berterusan, diukir jua kalam daif ini mengikut perspektif tersendiri.

Sahabat-sahabat di zaman Rasulullah tidak pernah menyambut kelahiran baginda. Baginda juga tidak menyuruh mereka melakukannya. Ini kerana baginda tidak mahu umatnya memuja beliau seperti Bani Israel yang sangat memuja Nabi Isa. Walaubagaimanapun memandangkan sambutan ulangtahun kelahiran orang tersayang disambut hampir oleh semua orang, apalah salahnya kita menyambut ulangtahun kelahiran makhluk tersayang? Sekurang-kurangnya dengan sambutan dan hebahan yang meluas hingga ke peringkat antarabangsa dapat menimbulkan sedikit suasana berbeza dari hari-hari biasa, terutama dari sudut penambahan amal ibadat. 

Mulut yang selama ini tidak pernah menyebut nama Allah, pada hari ini rancak berselawat. Telinga yang hanya melayan muzik-muzik lagho bertukar kepada mendengar panjatan selawat, mata yang asyik menatap facebook, mula menatap kalimah ucapan memuji rasul. Ataupun paling tidak akal yang hanya sibuk memikirkan urusan dunia tiba-tiba terlintas untuk memikirkan ciptaan agung itu. Bukankah itu semua mengundang pahala?

Ada satu perkara yang ingin penulis sentuh berkenaan Rasulullah ini iaitu sunnahnya. Hari ini ramai yang mendakwa diri mereka mengikut sunnah suci baginda. Dengan mengenakan jubah, serban dibahu dan kepala, seluar singkat ke paras betis, dengan kayu `araq (sugi) di poket, mereka mengharap ganjaran setimpal dengan fesyen yang digayakan itu. Persoalannya, adakah semua yang keluar dari tabang tubuh baginda dinamakan sunnah?

Ramai ulama` berkhilaf tentang perkara ini. Sunnah diistilahkan mengikut bidang masing-masing. Namun pendapat yang masyhur dalam perbahasan ulama` usul adalah bukan semua dari Rasulullah itu sunnah. Ada perkara yang dilakukannya sebagai tabiat semulajadi manusia semata-mata (makan, tidur). Ada yang hanya mengikut adat setempat (berpakaian,kenderaan), ada perkara yang terbit dari kecerdasan akal baginda (strategi perang), dan ada perkara yang hanya dikhaskan untuk beliau seorang sahaja(kahwin lebih dari empat).

Bagi penulis, tidak salah untuk berpakaian sebijik seperti Nabi, bahkan ianya adalah lambing kecintaan umat terhadap baginda. Tentu sekali akan beroleh pahala jika perkara itu bertujuan untuk mengikut cara Nabi hidup. Cuma fesyen yang nabi gayakan bukanlah sunnah yang dalam erti kata sebenar. Ianya hanya sekadar tindak tanduk normal seorang manusia biasa yang terkesan dengan kehidupan masyarakat setempat. Nabi hidup dikalangan umat arab yang menjadikan jubah dan serban itu sebagai fesyen mereka. Bayangkan jika nabi diutus ke masyarakat melayu, tentu sekali pakaian pendekar seperti hikayat hang tuah yang menjadi pilihan. Tidak mungkin juga nabi makan nasi menggunakan tiga jari.

Bayangkan pula jika anak muda hari ini mengenakan pakaian jeans paras betis, dan menjadikan selendang dibahu nabi sebagai fesyen untuk keluar melepak dan berseronok dengan rakan-rakan, adakah itu semua boleh dikatakan pakaian sunnah yang turut sama boleh diragakan oleh pak imam dan tok kadi? Rambut Nabi juga panjang, tapi hari ini makin ramai orang islam yang tidak menyukai anak-anak mereka menyimpan rambut sebegitu.









Sunnah sebenarnya dalam konteks berpakaian adalah peribadi nabi yang hidup mengikut arus zamannya. Kelakuan baginda yang boleh bergaul dengan semua orang, tidak mencabar arus tamadun dan meraikan adat setempat disenangi kawan dan lawan. Namun hari ini perkara sebegitu tidak dianggap sunnah. Ortodoks islam lebih sanggup melihat perpecahan dengan manusia menjauhi para pendakwah demi mengekalkan pakaian ‘thiqah’ mereka daripada berkorban ego untuk memenuhi kehendak arus. Bukan bermaksud menggadai prinsip islam, tetapi menggadai prinsip peribadi demi memahami prinsip sebenar islam dan sunnahnya. Berpakaian Rasulullah itu terpuji, tapi adakalanya ia tidak menepati konsep wasatiyyah dan `alamiyyah dalam islam.

Penulis tidak sekali-kali bermaksud untuk mengutuk pihak yang meragakan fesyen Rasulullah, bahkan penulis juga salah seorang penggemar fesyen baginda. Perkara ini dicatat kerana menyedari bahawa ramai orang terlalu mementingkan teladan daripada nabi dari sudut luaran semata-mata tanpa menekankan aspek-aspek lain yang tersirat padat. Fiqh Keutamaan tidak menjadi kayu ukur untuk mencontohi Rasulullah menyebabkan bacaan berlagu lebih dititikberatkan dari tajwid.

Perkara kedua yang ingin penulis sentuh sempena semangat Maulidur Rasul ini, adalah mengenai kewujudan Rasulullah di muka bumi ini dan bagaimana cara yang dbawa olehnya sehingga islam mampu mendaki puncak tertinggi peradaban manusia (suatu masa dahulu) dan kekal sebagai agama paling popular hingga ke hari ini.
Antara sunnah terpenting Rasulullah dalam memastikan survival islam adalah gerakan tajdid (pembaharuan) dan berijtihad (berpandangan).  Sesungguhnya suasana,cara hidup dan tamadun manusia sentiasa mengalami perubahan hari ke hari. Agama islam pula tidak menafikan hal ini. Buktinya adalah setiap nabi diutus dari kaum sama yang menjadi sasaran dakwahnya. Setiap Nabi juga punya syariat hukum hakam tersendiri sesuai dengan zaman mereka. Ini menandakan bahawa para pewaris dakwah nabi harus memahami dan hidup bersama adat sasaran dakwah mereka sentiasa. Jika adat itu berubah, method dakwah juga perlu berubah.

Bahkan hukum juga perlu berubah! Ini juga dibuktikan oleh Nabi Muhammad. Fatwa-fatwa baginda  meraikan keadaan seseroang. Ziarah kubur pada mulanya diharamkan, setelah itu dihalalkan setelah melihat orang tidak lagi mengamalkan perbuatan khurafat. Nabi juga sentiasa menasihat sahabat agar tidak terlalai dengan alatan muzik, namun pernah membiarkan sahaja dua orang hamba wanita mendendang lagu penuh girang di hari kebesaran mereka.

Legasi ini disambung oleh khulafa-khulafa` terkemudian. Umar alKhattab pernah menggugurkan hukuman hudud ke atas pesalah yang mencuri. Larangan nabi supaya tidak ditulis Hadith juga tidak diamalkan di akhir pemerintahan Uthman. Dengan ijtihad-ijtihad merekalah islam terus tersebar dan boleh menyantuni sekalian umat manusia merentas perbezaan zaman.

Lalu demi melihat islam terus berkembang dan hidup, perlu sentiasa ada kumpulan-kumpulan ulama` yang berkemampuan mengeluarkan idea-idea segar sebagai ijtihad. Malangnya hari ini ramai ilmuwan islam aliran tradisional yang menyelar ijtihad-ijtihad sebilangan ulama` islah dan tajdid dalam memperkenalkan method dakwah semasa. Apa maksud hadith إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها أمر دينها (رواه أبو داود) 


Percayalah jika Umar mengekal corak pentadbiran baginda 100 peratus tanpa sebarang ijtihad baru, tentu hari ini agama islam hanya dikenali di dalam buku sejarah semata-mata atau digelar agama primitif.
Buat para daie, terokailah keluasan islam. Perkenalkanlah santunan islam sebenar kepada dunia. Jangan takut untuk berijtihad. Kalaupun ulama` meletak syarat tertentu untuk bergelar mujtahid, namun dalam keadaan dhoruri di mana ijtihad diperlukan, perlu juga diketepikan mana-mana syarat yang mustahil dilaksanakan. Hari ini persatuan ulama` sedunia memperkenalkan idea ijtihad jamaie. Ianya adalah satu revolusi baru dalam memastikan survival islam yang bersifat kalis masa.

Ijtihad bukan sekadar meletak hukum bagi sesuatu perkara baru (seperti pengharaman bank susu, dakwat kekal halal), bahkan perlulah juga mencetus idea-idea baru (seperti tahaluf siyasi, sistem insuran takaful, pelaburan dinar emas). Ijtihad bukan hanya halal dan haram, ianya lebih kepada idea baru yang bersandar garis syariat. Maka itu perlulah ulama` yang berada di puncak tertinggi kepimpinan, bukan sekadar dibatasi peranannya sebagai penasihat sahaja. Mereka harus memimpin arus, bukan melawan arus atau mengikut arus.
Sudah tiba masanya golongan terpelajar, yang tahu kaedah meletak hukum, cara istinbat dalil, mengetahui status dan kategori hadith untuk turut serta menyemai evolusi idea ini demi kelangsungan agama. Jika sekadar berada di luar jemaah dan mengeluarkan fatwa halal haram terhadap sebarang pendekatan jemaah, itu tidak menepati sunnah yang dituntut.

كان الناس يسألون رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الخير
 وكنت أسأله عن الشر مخافة أن يدركني فقلت يا رسول الله إنا كنا في جاهلية وشر فجاءنا الله بهذا الخير فهل بعد هذا الخير من شر قال نعم قلت وهل بعد ذلك الشر من خير قال نعم وفيه دخن قلت وما دخنه قال قوم يهدون بغير هديي تعرف منهم وتنكر قلت فهل بعد ذلك الخير من شر قال نعم دعاة على أبواب جهنم من أجابهم إليها قذفوه فيها قلت يا رسول الله صفهم لنا قال هم من جلدتنا ويتكلمون بألسنتنا قلت فما تأمرني إن أدركني ذلك قال تلزم جماعة المسلمين وإمامهم قلت فإن لم يكن لهم جماعة ولا إمام قال فاعتزل تلك الفرق كلها ولو أن تعض بأصل شجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....