Friday, January 27, 2012

BILA PULA GILIRAN SYRIA?



Dimulakan dengan Tunisia, menerjah bumi mesir, lalu menyapa langit Libya, kini Yaman menjadi persinggahan, dan akhirnya Syria menanti giliran mereka.

Persoalannya, bilakah Syria akan turut mengecapi monsun kebebasan tersebut? Mari kita soroti latar revolusi arab spring ini untuk memudahkan perterjemahan ke atas Syria.

Tunisia mengorak langkah dengan keberanian seorang pemuda/mahasiswa, Muhammed Bouazizi yang membakar dirinya sebagai obor kebangkitan rakyat. Kala itu tiada siapapun yang sempat mendakwa mereka memimpin kebangkitan tersebut. Ianya lahir dari fitrah manusia yang mahukan kebebasan. Dan hari ini, fitrah itu memilih cara hidup islam kendalian parti El-Nahda sebagai kemudi utama kebebasan itu. Sewaktu revolusi masih rancak, rakyat Tunisia ditanya siapakah yang bakal menggantikan presiden (Zein Abidin) selepas kejatuhannya kelak? Mereka tidak menjawab persoalan tersebut. Mereka tidak kenal seorangpun dari pemimpin pembangkang, samada yang berhaluan islam, kapitalis mahupun sosialis.

Perkara sama juga berlaku di Mesir. Jihad selama 23 hari di medan tahrir tanpa pimpinan sesiapa membuahkan hasil yang amat membanggakan. Dengan hanya momokan propaganda di facebook juga oleh seorang pemuda/mahasiswa, parti islam berjaya memenuhi majoriti kerusi parlimen. Kala itu juga rakyat tidak sempat memikirkan siapa bakal menggantikan penguasa Hosni Mubarak.

Libya pula kini menanti generasi singa padang pasir, Omar Mukhtar untuk menjulang nama islam melalui aspirasi kebebasan dan keadilan. Walau Amerika dan NATO menjadi watak utama kejatuhan Muammar Ghadafi, monopoli kuasa rakyat terhadap mereka kini tidak dapat dinafikan. Pemimpin NATO dalam ucapannya seakan menyesal dengan campurtangan mereka kerana kerugian yang ditanggung tidak setimpal dengan sokongan rakyat. Dengan tekanan yang masih berterusan terhadap pihak yang menggelar diri sebagai puak pengaman hingga hari ini, Fitrah rakyat yang mahukan kebebasan dan keadilan tidak akan sekali-kali memilih wakil NATO ataupun Amerika sebagai pengganti rejim sebelum ini.

Yaman juga akhirnya membawa khabaran baik. Presiden Ali Abdullah Salleh kini mengaku dan memohon maaf secara terbuka atas kesilapan  yang dilakukan selama 33 tahun sebelum ini. Beliau berjanji akan berundur dari tampuk pemerintahan. Sejauh mana kejujuran beliau tidak dapat dipastikan. Namun apa yang pasti, fitrah rakyat tidakkan dapat ditipu lagi pada era kebangkitan ini.

Kini semua mata sedang menumpu ke arah Syria. Dunia menanti kesudahan kisah tragis bumi Anbiya` itu. Watak-watak pemimpin masyarakat yang terdiri dari Masyaikh menjadi pemacu masa depan Syria. Pendapat mereka dijadikan pegangan. Pendirian mereka bakal mencorak kesatuan rakyat.

Apa yang menyedihkan, masih ada kalangan Masyaikh yang mengambil sikap berdiam diri dan tidak menyetujui corak penentangan yang dilakukan terhadap rejim Bashar Alassad. Antara alasan yang digunakan adalah method yang tidak islamik, masa depan yang kabur (adakah yang akan menerajui kerajaan islam ataupun pemimpin berideologi sama seperti Bashar) dan semua ini fitnah buat umat islam.

Penulis bukanlah seorang ulama yang layak mempertikai pendirian ulama` lain. Penulis cuma seorang mahasiswa luarnegara (yang tiada sekatan AUKU), yang juga mendapat sedikit pecerahan cara fikir islam. Mungkin sudah ramai cendikiawan islam yang membahaskan perkara ini panjang lebar. Cukuplah untuk penulis bawakan sepotong Firman Allah dalam surah Al-Hujurat (Kebetulan membaca surah ini selepas subuh tadi.)

وإن طائفتان من المؤمنين اقتتلو فأصلحوا بينهما لفإن بغت إحداهما على الأخرى فقاتلوا التى تبغي حتى تفيء إلى أمر الله..
Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! tapi kalau yang satu melampau terhadap yang lain, hendaklah yang melampau itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah.”

Dalam soal keganasan melampau di Syria ini, sudah tiada lagi wajar untuk menjadi orang tengah atau berkecuali. Masing-masing perlu memihak kepada yang ditindas yakni rakyat marhenis dan memerangi kebobrokan melampau rejim pemerintah.

Jangan takut akan masa depan. Usah ditanya siapa bakal mengambil alih kerajaan lagi buat masa ini. Aspirasi yang lahir dari naluri manusia normal ini perlu didokong para ilmuwan islam yang dijadikan kompas untuk bertindak. Rakyat Damsyik (khusunya) hanya menunggu kerahanmu untuk mengguling kezaliman. Dengan bersikap tidak menyetujui hanya akan memburukkan keadaan. Pembelaan darah dan nyawa yang hilang sepanjang revolusi ini berlangsung menjadi tanggungjawab setiap pemimpin masyarakat.

((لزوال الدنيا أهون على الله من قتل رجل مسلم)) رواه الترمذي
"Kehancuran dunia itu lebih lembut bagi Allah daripada terbunuh seorang muslim"

Jika Masyaikh berani terlibat dalam politik dan menjadi sebahagian dari competitor yang akan merebut kuasa pemerintahan lalu membentuk pakatan baru setelah kejatuhan kelak, penulis yakin pilihan rakyat Syria adalah pakatan islam tersebut. Dengan kata lain, kumpulan-kumpulan picisan yang sedang membentuk kabinet bayangan samada di Kaherah, Beirut atau Riyadh akan ditolak mentah-mentah jika pemilihan adil seperti di Tunisia dan Mesir dijalankan.

Tidak mungkin golongan bukan islam dapat mengambil kesempatan lagi setelah kemerdekaan baru dicapai. Seperti Tunisia dan Mesir, fitrah manusia yang menjadi pemimpin bisu revolusi arab ini pastinya akan memilih islam sebagai nakhoda yang akan mengemudi bahtera keadilan dan kebebasan nanti. Mereka sudah serik dengan sistem lain. Percayalah, islam hari ini diberi peluang menunjukkan keadilan dan keamanan yang selama ini hanya didakwa dalam kitab dan lisan.

Tulisan bukanlah ditujukan buat Masyaikh yang masih dihormati dan disanjung. Akan tetapi ianya ditujukan penilai dan pemerhati. Dokongilah kebangkitan rakyat dengan doa-doamu di setiap akhir solat dan akhir malam. Sertailah kebangkitan ini dengan mencurahkan kesedaran yang ada samada melalui tulisan, ucapan dalam ceramah,kuliah, usrah, perbualan, boikot, demonstrasi ataupun sekurang-kurangnya melalui cegahan dalam hati. Buktikanlah kita ini orang mukmin yang bersaudara, walaupun dengan selemah-lemah iman. Kita tidak boleh lagi berada di tengah-tengah ataupun berkecuali kerana perbuatan tersebut hanya untuk mereka yang dayus!

Untuk rakyat Malaysia khususnya, sertailah perjuangan menuntut kebebasan ini. Bebaskanah tanahair kita dari rejim kerajaan yang bertanggungjawab. Rasuah, penyelewengan, fitnah, kejatuhan moral, penindasan, politik kotor serta bermacam lagi kepincangan yang berleluasa tidak harus dibiarkan oleh mereka yang diberi pilihan untuk memilih kerajaan.

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناي فاحكموا بالعدل ]النساء:58]

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.”


Jangan sampai kita diazab dalam api neraka hanya kerana tidak mematuhi arahan memberi amanah kerajaan kepada yang berhak sahaja. Wallahualam.



No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....