Friday, January 13, 2012

Jemaah Islam Hanya Perlukan Ahli Yang Patuh

Menyoroti sejarah perjuangan islam sejak dahulu, dalam menegakkan agama Allah yang suci ini tentunya memerlukan disiplin yang tinggi dari kalangan pendukungnya. Perjuangan turun temurun yang bersambung kepada zaman kita hari ini seringkali merakam peristiwa-peristiwa dibadai gelombang masalah yang tak berkesudahan. Semua itu menuntut barisan pejuang yang terkemudian sentiasa melihat kembali ke belakang, untuk menimba pengalaman dari orang-orang lama yang terlebih dulu bermandi keringat sebelum kita, kerana prinsipnya sama. Sepantas dan secanggih manapun kereta zaman kini, jika ingin meluncur kehadapan dengan selamat, ia mesti dilengkapi dengan cermin pandang belakang.

Lima prinsip perjuangan yang harus ada dalam diri setiap pendokong islam adalah sikap dengar, patuh, berjihad, berhijrah dan berjemaah. Ini diterapkan oleh Rasulullah SAW semenjak bai`ah aqabah kedua, iaitu sebelum daulah islamiah Madinah tertegak. Atas dasar berpegang teguh kepada prinsip inilah, sebuah negara yang memayungi seluruh umat islam telah terbina lalu mencetuskan fenomena yang merubah pola peradaban dunia.

Tanpa prinsip ini, jemaah akan goncang dan ketumbukan dakwah islam akan lemah serta boleh mengakibatkan kekalahan islam. Sejarah juga merakam beberapa peristiwa untuk dijadikan contoh bahaya jika berpaling dari prinsip ajaran Rasulullah SAW ini.

Kisah pertama, berkenaan Kaab bin Malik. Beliau salah seorang dari kalangan penduduk Yathrib yang turut menyertai Baiah Aqabah. Seorang sahabat yang menerima tarbiah Rasulullah seawal sebelum peristiwa hijrah. tentunya Prinsip asas yang disebutkan telah terterap kemas dalam sanubarinya.

Namun Allah telah mengujinya untuk tidak menyahut arahan pimpinan supaya turun ke Perang Tabuk, menyebabkan Rasulullah menjatuhkan hukuman pulau terhadapnyaa. Hatta isterinya pun tidak bertegur sapa dengannya kerana patuh akan arahan Rasulullah.

Betapa besarnya peranan kepatuhan dalam islam, sesiapa yang melanggari perlu disingkir dari barisan pendukung sehinggalah mereka kembali bertaubat. Akhirnya Kaab menyesal dan Allah menerima kembali taubatnya.

Seperkara yang perlu diambil perhatian adalah kehebatan iman sahabat yang lain kala itu. Mereka menyayangi antara satu sama lain. Tiada langsung menyimpan dendam terhadap saudara lain lebih-lebih lagi isteri Kaab terhadap dirinya. Namun atas dasar arahan, mereka menahan rasa kasihan dan terus berlagak sombong tanpa sebarang senyuman  apabila berhadapan dengan Kaab. Bergembiralah mereka memeluk erat Kaab seolah-olah dilanda rindu yang amat dahsyat tatkala hukuman tersebut diangkat kembali oleh Allah.

Kisah kedua pula berlaku dizaman Khalifah Umar. Beliau langsung telah memecat Saidina Khalid al-Walid kerana tiga faktor utama. Yang pertamanya sifat keras dan tidak berlembut dengan sesiapa. Rasulullah pernah menegurnya kerana melakukan kesalahan membunuh tawanan perang yang disangkanya tidak mahu menerima islam.

Yang kedua adalah sikapnya yang terlalu gopoh beliau yang sering mendahului pemimpin atasan. Diriwayatkan beliau telah beberapa kali membahagikan harta rampasan perang tanpa sebarang arahan dari pimpinan. Berkali sudah perbuatan itu ditegur namun beliau tidak mengendahkannya.

Ketiga adalah seperti yang diungkap oleh Saidina Umar, demi menjaga akidah umat islam supaya tidak menganggap bahawa islam tidak boleh menang tanpa pimpinan Khalid al-Walid semata-mata. Perlu diketahui bahawa beliau tidak pernah kalah dalam sebarang peperangan yang dipimpinnya dan kerana itulah beliau bergelar Pedang Allah. Mujurlah Khalid alWalid terus bersama pasukan islam berjihad walaupun hanya sebagai perajurit bawahan, kerana jihadnya untuk tuhan Saidina Umar, bukan untuk Saidina Umar. Beliau diangkat kembali menjadi panglima setelah sikap-sikap merugikan islam itu dibuang dari dirinya.

Peristiwa Perang Uhud telah menunjukkan bahaya berpaling dari arahan pimpinan. Dek melihat kaum musyrikin yagn bertempiaran lari meninggalkan medan perang dengan harta yang banyak, pasukan pemanah yang ditugaskan untuk berada di bukit Uhud sepanjang perang telah turun mendapatkan harta karun tersebut yang sebenarnya hanya muslihat musuh. Lalu berantakanlah saf jemaah muslimin diserang balas tanpa sebarang perlindungan menyebabkan mereka terpaksa berundur hampa tanpa beroleh kemenangan.

Lain pula dengan apa yang berlaku dalam kisah ketiga. Peristiwa yang menyaksikan perlantikan seorang pemuda untuk mengepalai perang Zat alSalasil atas arahan Rasulullah SAW pada mulanya diragui sahabat yang lain. Arahan-arahan pelik dan mencabar logik akal yang dikeluarkan olehnya juga tambah mengeruhkan kepercayaan mereka. Beliau mengarahkan supaya tidak dinyalakan api sepanjang perkhemahan mereka menuju medan perang walaupun dalam cuaca yang amat sejuk dan tidak mengejar kembali musuh yang lari menyelamatkan diri. Beliau juga tidak berwudhu` sebaliknya hanya bertayammum untuk menunaikan solat subuh walaupun mempunyai bekalan air yang cukup.

Sekembalinya mereka dari medan perang, mereka menghadap Rasulullah menyatakan perihal pemuda tersebut. Rasulullah dengan tersenyum menerangkan bahawa api tidak dinyalakan supaya musuh tidak dapat menjejaki pergerakan mereka. Bertayammum pula adalah untuk mengelak dari serangan penyakit jika terkena air akibat berada dalam kesejukan semalam. Mereka tidak dibenarkan mara mengejar musuh kerana ianya satu bentuk psikologi untuk tambah menggerunkan pihak lawan. Ada banyak lagi siri peperangan yang bakal menyusul selepas ini.

Kepatuhan itulah yang membawa kepada kemenangan islam. Benarlah Sabda Rasulullah dengan mafhumnya bahawa kekeruhan pendapat jemaah itu lebih baik dari kejernihan pendapat peribadi.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....