Thursday, January 12, 2012

Ilham Humaira; Ikatan Sebuah Istikharah (Bab VII hingga X)


Bab 7: ((المؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر

Episod kedua Humaira bermula seiring musim bunga 2008. Dengan mekarnya bunga-bunga di hadiqah sekitar dataran Syam, begitulah juga mekarnya debaran mahasiswa Syria menyambut kehadiran musim peperiksaan yang bakal menjelang. Kala itu semua menumpukan soal akademik. Program-program persatuan mulai dikurangkan, kehadiran ke kelas semakin membanjir, Cyber café semakin sunyi daripada suara pelajar beraneka bangsa, dan amal ibadah secara automatik menjadi banyak.

Tika aura peperiksaan semakin membahang, Izzat pula muncul dalam sedutan titian perjalanan hidupnya. Jejaka itu juga sekapal dengannya semasa tiba di Syria. Beliau seorang yang amat menyintai ilmu semenjak di bangku persekolahan lagi. 

Mungkin dia tidak sehebat Taufiq dalam aspek kepimpinan, tetapi sebagai perekod ilmu, beliau bukan calang-calang orangnya. Ramai yang suka menghabiskan masa bersembang dengan Izzat, kerana setiap tuturnya penuh mutiara ilmu.

Sejak awal mengenal Humaira lagi, panahan peribadi gadis tersebut telah menembusi jantung Izzat. Beliau yang secara tidak langsung diangkat menjadi ketua untuk menguruskan kebajikan kawan-kawan satu batch banyak bersemuka dan berbincang dengan Humaira yang juga dilantik secara tidak langsung menjadi wakil akhawat untuk batchnya.

Dari situlah perasaan aneh mula menggeletek lubuk hati Izzat. Belum pernah dia jumpai perbahasan tentang maksud perasaan ini dalam telaahan buku-buku ilmiah yang dibacanya. Justeru itu beliau banyak menceritakan akan hal ini kepada rakan-rakan untuk mengetahui hakikat rasa itu.

Hasil dari perkongsian, ramai yang mendakwa itulah perasaan sayang anugerah ilahi, diberikan kepada hambanya yang bersedia memikul amanah hidup. Sifat cintakan ilmu yang ada pada dirinya membuatkan dia semakin bersungguh-sungguh mempelajari satu lagi cabang ilmu yang baru dikenalinya,iaitu ilmu cinta sesama manusia.

Ilmu tersebut dipelajari dari pengalaman orang-orang lama, tulisan-tulisan di blog dan sebagainya. Apa yang menyeronokkan, semakin dia mempelajari ilmu ini, semakin kuat dia mengecap perasaan sayang itu. Seolah-olah ianya hidup dan membesar bak pokok yang disiram dan dibaja sempurna.

Menjadi adat pelajar yang baru sampai  ke Syria, urusan menyesuaikan diri memang amat merumitkan. Banyak tenaga yang harus digembleng untuk memastikan semua mendapat keselesaaan di negara orang ini. Humaira banyak berjumpa dengan Izzat untuk meminta pertolongan yang pelbagai termasuklah membelikan perabot rumah, alatan dapur, mencari rumah untuk disewa, menyelesaikan masalah dengan jiram, tuan rumah hinggalah menjadi peneman ke tempat-tempat jauh dan tika lewat malam. Izzat juga banyak meminta Humaira menyediakan kelengkapan tertentu sekiranya mereka ingin melakukan sesuatu urusan dengan kerajaan Syria atau untuk mengadakan sebarang majlis taklimat. Ini membuatkan rakan yang melihat mereka berdua bagaikan agak intim dan serasi bersama walaupun dalam perbatasan syarak yang dijaga rapi.

Setiap kali mereka bersemuka, Izzat menjadi tidak tentu arah. Seringkali tindakannya tersasar dari perbincangan. Perasaan itu amat mengacau konsentrasi dirinnya. Walaupun Humaira berniqab, Izzat tidak mampu melawan fitrah yang terpendam dalam sanubari hatinya.

Itulah alam percintaan golongan pelajar agama. Walaupun mereka dididik agar menjaga batas pergaulan, didedah dengan bahaya couple, berhadapan dengan larangan-larangan syara` tentang tipudaya nafsu, namun mereka bukan malaikat. Bisikan halus yang mengajak kepada menyukai golongan lain jantina menyempurnakan lagi fitrah manusia yang terdapat dalam diri mereka. Sudah sampai masanya mereka berdepan dengan satu lagi cabaran Ilahi, iaitu cabaran meletakkan fitrah tersebut mengikut acuan syara`.

Cabaran tidak bertujuan untuk mencampakkan mereka ke lembah binasa, sebaliknya ingin meninggikan lagi darjat seorang hamba disisi tuhannya. Itulah tanda-tanda kecintaan Allah SWT terhadap hambanya. Dan berbahagialah hamba-hambanya yang diuji.

Jangan sekali-kali melawan  fitrah, nescaya akan binasalah hidup. Sebaliknya pandulah ia menuju kehendak syara`. Lelaki yang menjauhi diri dari wanita kerana ingin menjaga diri bukanlah lelaki sejati. Wanita yang mendakwa tidak akan membina hidup bersama lelaki kerana bimbang dinoda kesetiaannya terhadap Yang Maha Esa juga telah menempah kemurkaan Rasulullah SWT
((النكاح سنتي فمن رغب عن سنتي فليس مني)). Sabda tersebut bermaksud nikah itu adalah sunnahku,sesiapa yang menolak sunnahku maka dia bukanlah dari kalangan (umat)ku.

Sejak Adam dan Hawa lagi islam telah menunjukkan contoh fitrah manusia. Balasan buang daerah dari syurga ke bumi kerana telah mengingkari larangan Allah SWT bukanlah suatu yang berat bagi dirinya, tidak seberat hukuman dipisahkan dengan Hawa hingga menyebabkan 40 tahun baginda merayau mencari cari dimanakah Hawa diturunkan.

Hari ini barangsiapa yang disapa keinginan untuk memiliki pasangan hidup, maka sujud syukurlah. Anda telah dijemput untuk menyempurnakan separuh iman anda. Rasulullah bersabda lagi bahawa Sesiapa yang telah bernikah maka telah sempurnalah separuh dari imannya dan menangislah syaitan-syaitan seraya ijab kabul dilafazkan.

Hari berganti hari, tusukan perasaan semakin merobek jantung Izzat. Dirinya sudah tidak mampu lagi menanggung perasaan tersebut. Rakan-rakannya pula bagaikan tidak membantu meredakan perasaan itu, sebaliknya sentiasa memberi sokongan padu supaya diteruskan kelangsungan perasaan aneh itu, iaitu dengan melamar Humaira.

Akhirnya Izzat akur dengan tuntutan hidup. Dia tidak mampu lagi menipu diri sendiri. Dia bercadang untuk  menyatakan hasrat hatinya pada Humaira, yang telah mencuri hatinya sejak sekian lama.



Bab 8
Suatu petang yang dingin, hembusan angin segar menyambut kedatangan Humaira ke Banjaran Ruknuddin, yang jauhnya kira-kira 20 kilometer dari rumah kediaman beliau. Memandangkan hari tersebut adalah hari cuti umum Syria, petang itu beliau berjanji dengan rakan-rakan untuk turun ke sebuah taman bunga yang dipanggil ‘Hadiqah Sayyidah’. Taman ini hanya dikhususkan untuk kaum wanita.

Siapa sangka niat Humaira untuk melepaskan tekanan pembelajaran di taman ini bakal merakam peristiwa baru dalam hidupnya. Buat kali kedua beliau akan dilamar oleh seorang lagi jejaka. Kali ini dengan gaya yang cukup gentleman dan berbeza dari Taufiq suatu ketika dahulu.

Peristiwa ini berlaku secara spontan tanpa dirancang oleh kedua-dua belah pihak. Izzat yang baru pulang dari pengajian talaqqi di Jamek Dhirar ibn Azwar berjalan pulang ke rumahnya menyelusuri lorong kecil di sebelah Hadiqah Sayyidah. Dia tidak tahu langsung Humaira berada di taman tersebut.

Sedang asyik berjalan dengan fikiran yang sedang berkecamuk mengatur tutur bicara yang paling sesuai untuk menyunting hati gadis bernama Humaira, tiba-tiba beliau tersentak. Lamunannya terhenti tiba-tiba. Alangkah terkejutnya dia apabila gadis yang sedang berada dalam khayalannya saat itu terpacak kaku dihadapannya.

Rupa-rupanya ketika sedang berjalan di lorong tersebut, tanpa disedari dia telah menghalang laluan dari arah bertentangan, kebetulan pula Humaira melalui jalan yang sama menuju ke arah satu lagi. Sebab itulah Humaira terpaksa berhenti betul-betul dihadapan Izzat.

Mereka bertentangan mata. Kala itu seperti ada suatu suara membisik kepada Izzat, inilah masanya. Takdir Allah SWT bersama lamunanmu Izzat. Humaira juga merasa pelik melihat keadaan Izzat yang sedikit aneh daripada biasa.

“Assalamualaikum. Boleh ana bercakap dengan ustazah sekejap?” Tanya Izzat penuh sopan.

“Waalaikumsalam. Err, boleh kot.” Humaira teragak-agak menjawabnya sambil memerhatikan Syafiza, rakan karibnya yang berjalan bersamanya. Dia bimbang takut-takut Syafiza punya hal lain yang perlu disegerakan. 

Setelah Syafiza membenarkan persetujuan Humaira, Izzat mula mengatur bicara.
“Ana ada hajat besar ni. Harap ustazah dapat penuhi permintaan ana ini.” Ujar Izzat. Humaira mula berasa pelik. Selama dia mengenali dan berurusan dengan Izzat, belum pernah dia membuka bicara dengan mukaddimah sebegitu. Biasanya dia akan straight tu the point. Salam pun kadang-kadang lupa dihulur.    

“Mungkin besar benar hajatnya” Getus hati Humaira.

“Ada apa ye ustaz? Insyaallah ana akan tolong semampu yang boleh.” Jawab Humaira tenang.

“Begini, ana ingin berterus terang sahaja, ana sukakan ustazah, ana ingin mengkhitbah ustazah”

Gangg!! Serta merta darah Humaira mengalir laju. Mukanya merah padam. Dia seakan tidak mempercayai khabaran dari telinganya.

Tiba-tiba pandangannya kabur. Tubuhnya longlai. Hanya kata-kata ringkas Izzat yang masih terngiang-ngiang di fikiran. Bagaimana mampu dia menghadapi semua ini. Hanya diam seribu bahasa yang boleh dilakukan baik Humaira ataupun Syafiza ketika itu.

“Sudikah ustazah menerima lamaran ini?” Izzat meninggalkan tandatanya pada Humaira. Dia tidak tahu bagaimana keadaan Izzat ketika melafazkannya. Pandangannya masih lagi kelabu.

Humaira akhirnya memberanikan diri untuk membuka mulut. Kali ini beliau lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. “Ustaz dah fikir masak-masak ke? Maaf Ustaz, Ini perkara besar. Ana tak mampu menjawabnya segera. Ana perlukan sedikit masa.”

“Baiklah, maghrib nanti ana akan hubungi ustazah.” Ujar Izzat menoktah bicara. Humaira hanya mengangguk. Ucapan salam dihulur sebelum keduanya beredar.

“Gila apa si Izzat tu. Dah lah cakap straight to the point terus, maghrib nanti nak jawapan terus. Ingat ni nak tawar beli ayam ke.” Lepas Syafiza geram. Humaira tidak membalasnya. Fikirannya masih lagi tidak mampu menerima hakikat. Dia akui kata-kata Syafiza itu. 3 jam masa yang diperuntukkan buatnya untuk memikirkan keputusan yang menentukan perjalanan hidupnya akan datang memang tidak munasabah. Sedangkan hatinya tidak pernah terdetik pun untuk menilai Izzat selama dia mengenalinya.

Mekar bunga tulip dan ros di Hadiqah Abu Nor tidak berjaya menarik perhatian Humaira. Beliau hanya duduk di bangku meliarkan pandangan lemah ke sekitar taman. Fikirannya pesat dengan peristiwa tadi. Walaupun dikelilingi kawan-kawan yang bergelak ketawa berkongsi kisah alam peperiksaan yang sedang mereka lalui, hatinya masih tidak lega. Dalam senja yang semakin menyingsing, hanya Syafiza yang perasan keadaan Humaira itu.

Dalam perjalanan pulang, sekali lagi Syafiza menegur Humaira supaya meminta Izzat memanjangkan tempoh untuk memikirkannya. Jika tidak, tolak sahaja lamaran tersebut. “Keputusan ini bukan boleh dibuat main-main.” Tegas Syafiza.

Humaira sampai di rumahnya tepat jam 6.30,  disertai gema azan maghrib. Itu menandakan waktu untuk menjawab soalan Izzat telah tiba. Namun Humaira masih tidak memikirkan apa-apa. Dirinya masih dalam keadaan terkejut.

“Apa nak jadi ,jadilah. Baik aku sembahyang dulu.” Fikir Humaira. Dia terus mempersiapkan diri untuk menghadap ilahi. Dalam sembahyangnya beliau berdoa agar dipermudahkan kesulitan yang dihadapi. Beliau percaya dengan bantuanNya, tidak mustahil dia dapat menyelesaikan masalah besar itu walaupun masa telah suntuk. Tiada yang mustahil bagi Allah. Sedangkan imam Nawawi sempat mengarang beratus buah kitab tebal hanya dalam masa 20 tahun, inikan pula untuk menyelesaikan perkara ini. Allah boleh memberhentikan masa untuk menyempatkan Humaira memikir jalan penyelesaian. Hebatnya kekuasaanMu!

Belumpun sempat Humaira mengaminkan doanya, telefonnya berdering. Perasaan takut datang kembali. Teragak-agak beliau untuk mendapatkan telefonnya yang berada di atas katil. Takut untuk melihat nama Izzat terpampang pada skrin telefonnya. Setelah kali ketiga berdering, Humaira akhirnya mencapai telefonnya. Ya, memang dialah yang telefon.

“Assalamualaikum ustazah, macamana dengan soalan ana tadi?” Terus sahaja Humaira ditanya soalan sebegitu. Jelas tergambar sikap agak gelojoh Izzat. Itu bukan salahnya. Dia juga tersepit. Andai dibiar, perasaan itu terus menghantuinya. Mungkin itu telah lama difikir Izzat sebelum lamaran ini dibuat.

“Maaf ustaz, ana belum sempat fikirkannya. Boleh lanjutkan lagi masanya tak?” Terpacul jawapan tersebut dari telefon Izzat. Beliau yang ketika itu berada di bumbung rumahnya sendirian termangu dengan jawapan tersebut. Berat rasanya mendengar permintaan Humaira. Bukan senang untuk menunggu. Setiap saat membuatkan dia hanya terfikirkan keputusan daripada Humaira.

“Ana rasa susah ustazah. Kalau ustazah jawab sekarang takpe ke? Ana bersedia dengan sebarang jawapan ustazah.” Balas Izzat penuh debaran. Humaira semakin tertekan dengan jawapan tersebut. Sekali lagi dia memohon untuk berfikir panjang. Namun Izzat tetap dengan jawapan yang sama.

“Ustaz kena faham, ini bukan benda kecil. Kita kena fikir masak-masak.” Jelas Humaira sedikit geram.

“Ustazah, Kalau susah sangat cakap je yang ustazah tak nak terima. Ana hanya mahukan jawapan. Ana tak boleh tunggu lama-lama. Jiwa ana semakin tak tenteram.” Izzat terus mendesak. Hebat juga ego seorang lelaki. Habis hilang semua sifat romantik dalam lamarannya.

Akhirnya Humaira tidak tahan lagi. Beliau menyatakan yang dia belum bersedia. Jawapan sama yang diterima Taufiq tak lama dulu.

Suhu Damsyik saat itu adalah 10 darjah celcius. Walaupun suhunya tidaklah begitu rendah jika dibandingkan dengan kebanyakan Negara eropah, tetapi angin kencang yang bertiup menusuk ke setiap liang kulit, membuatkan badan seseorang boleh diserang penyakit berbisa kerana ia menyerang hingga ke tulang. 

Walaubagaimanapun, Izzat yang hanya membaluti tubuhnya dengan sehelai Kurta dan sepasang seluar jeans bagai tidak terasa apa-apa tatkala mendengar jawapan Humaira itu.

“Kenapa Ustazah tak boleh terima ana?” Tanya Izzat gusar. Mukanya merah padam. Jawapan yang diberikan Humaira sebentar tadi merubah suhu badannya serta-merta. Langit merah Damsyik yang menjadi saksi bisu perbualan mereka itu bagaikan mentertawakan Izzat.

“Sebab ustaz tak bagi ana cukup masa.” Balas Humaira selamba. Sebenarnya dia juga sedang lemah namun dikuatkan juga diri berhadapan dengan Izzat. Ingin saja dialirkan airmata buat perisai diri.

Memang itulah sifat wanita. Tangisan bukan bererti takut, bukan selalu bermaksud sedih, tapi sebagai gambaran kewanitaan sejati. Biarkanlah wanita menangis jika mereka ingin. Kerana mereka akan puas, tenang dan lega setelah menangis.

“Takpelah kalau macam tu.” Terus ditamatkan bicara. Sekali lagi Izzat memberhentikan perbualan secara tiba-tiba. Ditariknya nafas sedalam mungkin sambil mata tertutup, lalu terus menghela panjang. Mungkin itu pula perisai bagi seorang lelaki. Dan memang itu terapi terbaik untuk menenangkan diri. Ianya dapat menormalkan kembali peredaran darah serta degupan jantung.

Lama juga Izzat melakukan gelagat sedemekian. Dihirup sepuasnya bayu senja damsyik yang masih berbaki. Duduknya betul-betul di tebing bangunan 2 tingkat itu. Sesekali ada arab yang melaung menyatakan sesuatu kepada beliau dari bawah. Lagak lakunya memang cukup membimbangkan orang yang lalu lalang sekitarnya. Namun Izzat langsung tidak mengendahkan apa yang dingomelkan mereka. Dia sedang berada di dunia lain ketika ini.

Dengan kondisi dirinya yang teruk dilanda keremukan, macam-macam andaian boleh berlaku sebentar lagi. Namun itu bukanlah tanda beliau tidak reda akan ketentuan ilahi. Seperti Taufiq, beliau pasrah. Mungkin itu yang terbaik buat dirinya.

Saat Izzat menamatkan perbualan telefon, berderailah kilauan air jernih membasahi pipi. Humaira tidak dapat bertahan lagi. Dia betul-betul lemah. Dia amat memerlukan seseorang masa ini. Mendakap beliau, mengusap bahu serta mengurai rambutnya. Dia perlukan seseorang untuk dikongsi sedih pilu yang bertandang masa ini. Namun dia tetap bersyukur dia mampu hadapi perkara ini buat kali kedua. Tanpa disedari sejadah biru pemberian ibunya lenjun bermandi airmatanya.















Bab 9

Jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi. Lobi airport telah dipenuhi dengan pelajar Malaysia. Semua orang masih menanti-nanti penuh debaran. Namun kelibat Ning belum muncul tiba. Sejak dari jam 9 pagi lagi sudah ada yang datang ke airport semata-mata untuk memberikan ‘penghormatan terakhir’ pada Ning. Ning akan berangkat pulang hari ini.

Ilham tiba lewat sedikit. Jam 10.20 pagi dia sampai ke airport ditemani  3 rakan serumahnya. Mujurlah ada yang memafahami kesedihan yang jelas terpancar di raut wajah Ilham sejak mendapat berita penangkapan Ning. Rakan di bayt Nawawilah yang sentiasa memberikan kata-kata penenang buat Ilham menghadapi ujian ini.Mereka setia mengiring jasad Ilham hinggalah ke tapak airport yang jauhnya kirakira 50 kilometer dari Bandar Damsyik.

Sesampainya di airport, beliau dapati orang telah memenuh ruang legar. Ada yang sudah berangkat pulang. Ilham mulai bimbang, jangan-jangan Ning sudah berlepas. Perlahan-lahan dia merapati kerumunan pelajar Malaysia, masing-masing dilihat sugul. Hanya terdapat dua tiga kelompok yang sedang berbual, manakala yang lain hanya membisu lemah.

Ilham sebenarnya mencari-cari dimanakah Ning berada. Matanya sejak datang tadi terus menumpukan ke arah gerombolan akhawat, menilik seorang demi seorang yang ada di situ. Sebenarnya perbuatan memerhati ke arah akhawat tanpa sebab tertentu amat melanggar adab sebagai seorang mahasiswa agama. Jangankan memerhati, menjeling pun sudah mengundang kritikan rakan lain. Namun waktu itu Ilham tidak hiraukan lagi kata orang. Dia berdiri betul-betul dekat dengan kelompok akhawat, mengintai-intai kelibat Ning.

Setelah puas membelek, Ning tiada. Perasaan hampa mula menyelinap ke jiwa Ilham. Nampaknya dia memang betul-betul lewat. Ning telahpun check-in. Rakan-rakannya hanya bisu membiarkan Ilham melayan perasaannya. Apalah sangat daya lelaki yang memang tidak searif wanita dalam hal hati perasaan ini.

Dalam melayani jiwa hambarnya, tiba-tiba bulu romanya meremang. Sepasang mata coklat hazel sedang bertentang mata dengannya. Biasanya dia akan tundukkan pandangan bila berhadapan dengan situasi sebegini, baik syabab mahupun akhawat. Namun kali ini dia terpaku. Degupan jantungnya mulai deras. Rasa hampa sebentar tadi hilang begitu saja.

Tanpa disedari tuan empunya mata cantik itu bangun dari duduknya. Dengan bertemankan seorang lagi gadis sama tinggi dengannya, mereka berjalan kedepan tepat ke arah Ilham. bagaikan singa mahu menerkam mangsanya, Ilham kecut perut. Begitulah perasaannya tatkala gadis tersebut merapatinya. Entah kenapa perasaan sebegitu muncul dalam dirinya. Dia memang kepelikan.

“Ustaz jangan bimbang, Ning belum check-in  lagi. Dia masih di pejabat imegresen dalam sana.” Humaira cuba menenangkan Ilham. Gadis inilah yang membuat perutnya kecut sebentar tadi. Gadis ini jugalah yang menghilangkan kembali hampanya, lalu mengembalikan sinar harapan bahawa Ning masih sempat untuk diziarahi.

Ilham sedikit lega. Namun kehairanan yang berkubu dibenaknya masih mendekam.
“Kenapa aku takut sangat dengan dia hari ini? Macamana pula dia boleh tahu apa aku rasa? Dia boleh baca perasaan orang ke?” bisik hati kecilnya.

“Oh begitu. Takpelah, terima kasih ustazah.” Ilham terus berundur kebelakang setelah mengucap terima kasih. Baru dia sedari kelompok syabab sudah jauh dibelakangnya.

Ilham duduk dibangku yang agak jauh dari pelajar Malaysia, tetapi masih dalam jangkauan penglihatannya. Fikirannya mula melayani perasaan aneh sebentar tadi. Diketepikan rindu pada Ning buat sementara waktu. Humaira benar-benar membuat hatinya rasa gundah gulana.

Setelah lama mengelamun barulah dia teringat bahawa gadis tersebut memang menjadi buruan ramai jejaka. Tidak hairanlah kalau dia pun terpesona. Cerita-cerita daripada sebilangan syabab memperkatakan sosok dakwah tersebut memang melata.

Dia mulai melupakan kisah tadi. Tiada gunanya memikirkan gadis yang menjadi pujaan ramai. Mungkin dia sudah dipinang orang. Lagipun bak kata orang, kubur isteri masih merah, dah berbini satu lagi. Ning baru sahaja meninggalkannya, takkan begitu cepat hatinya beralih arah.

Tiba-tiba bahunya dicuit. “Bro, jam dah pukul 12.15 ni. Agak-agak sempat tak kita balik sembahyang jumaat ni?” Soalan yang memberhentikan kelana jiwanya.

“Erm, tak tahulah, entah bila Ning boleh keluar.” Ilham bersungut. Dia sendiri tidak mendapat sebarang makluman bilakah Ning akan keluar berjumpa mereka di luar lobi airport. Lantas beliau bangun mendapatkan Kak Shida, kakak angkat Ning bagi mendapatkan kepastian.

“Ustazah Shahida cakap sepatutnya pukul 10.30, tapi entahlah.”  Ilham memberitahu rakan-rakannya sambil berjalan. Dilihat Abang Fakhrul mundar-mandir keseorangan. Baru dia sedari sebenarnya ada hati yang turut sama merasai apa yang dirasanya, malah mungkin lebih dahsyat darinya.

Setelah puas berbincang, akhirnya mereka besepakat untuk meninggalkan airport tersebut. Walaupun Ilham sedikit berat, namun dia sedar tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Lagipun kehadirannya di airport  tidak membantu apapun, dan perginya pun menjejaskan apa-apa. Biarlah akhawat sahaja yang menunggu. syabab harus menunaikan sembahyang jumaat.

Usai meminta Kak Shida menyampaikan salam beserta sekeping nota kecil pada Ning, Ilham bergerak pulang. Sempat lagi dia menjeling ke arah kelompok akhawat, hanya untuk melihat Humaira. Walaupun seribu satu rasa aneh muncul bila berhadapan dengannya, dia tetap suka melihatnya. Sikap nakalnya masih belum terhakis.

Perjalanan pulang yang memakan masa kira-kira setengah jam membuatkan fikirannya sekali lagi terawang memikirkan sesuatu. Kali ini akan kisah-kisah peribadi Humaira. Cakap-cakap orang yang didengar dari beberapa orang syabab cuba dikumpulkan kembali dalam peta mindanya untuk mendapatkan plot yang jelas. Seingatnya, Humaira pernah disunting beberapa orang, malah ada yang mengatakan bahawa beliau sudahpun bertunang.

Yang terbaru didengarinya adalah gosip beliau dengan seorang lagi pelajar, kali ini bernama Hisyam. Beliau adalah pelajar Abu Nor, sebaya Humaira dan putih sepertinya. Dengan mata yang agak sepet, bentuk muka dan ketinggian mereka pun hampir sama. Mereka sama-sama  bekerja di Biro Kebajikan PPMS. Inilah yang seringkali menjadi fitnah dan mehnah kepada organisasi yang menggabungkan tenaga kaum Adam dan Hawa. Ada sahaja yang terpedaya dengan bisikan syaitan yang sedaya upaya memesongkan umat islam, termasuklah semasa menjalankan tuntutan organisasi.

Fitnah sebenarnya bukan bermaksud cerita bohong yang tersebar mengikut istilah melayu, tetapi ianya bermaksud ujian dan cubaan Allah terhadap hambanya.

Walaupun begitu, menjadi kesilapan besar bagi golongan pendokong islam baik aktivis, ahli politik, daie, penuntut ilmu mahupun pencinta islam menolak jalan organisasi gabungan ini. Semua ciptaan ilahi punya kelemahan. Pengembelingan tenaga dari pelbagai latar itulah yang mencipta kesempurnaan amal. Utusan agung SAW sendiri tidak pernah melupakan wanita dalam operasi-operasi dakwah dan jihadnya.

Tiada hukum yang melarang gabungan sihat ini. Yang disebut hanyalah bahaya hubungan ini jika tidak berlandas syariat. Bahkan islam menggesa diwujudkan kesatuan antara mereka yang saling bantu membantu dalam perihal dakwah.

Firman Allah SWT ((المؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر)).
Jelas lelaki dan wanita itu berbezaa, namun jika tanpa keduanya seiring, mereka ibarat sate tanpa lidi, umpama layang - layang tanpa tali, ataupun seperti burung tanpa sayap.










Bab 10

Selesai bersembahyang jumaat di Jami` Mansur, Ilham terus mengangkat punggung menuju ke rumah. Sambil mengenakan selipar di luar Jami`, tangannya menyeluk poket seluar. Dicapainya telefon bimbit yang tadinya bergetar semasa khutbah jumaat. Rupa-rupanya itu adalah isyarat mesej dari Humaira mengatakan Ning sudah selamat berlepas. Malangnya tiada seorangpun yang dibenarkan berjumpa dengannya. Dia dikawal ketat sepanjang berada dalam tahanan. Bagasinya hanya diserahkan kepada pihak imegresen. Hanya doa mereka yang mengiringi kepulangan Ning.

Secara tidak sedar fikiran Ilham menerjah kembali susur kisah Humaira yang menerima kunjungan  Hisyam dalam hidupnya. Setahu Ilham, Humaira menyerahkan soal jodoh kepada ibubapanya bulat-bulat. Hisyam pula khabarnya telah beberapa kali berhubung dengan keluarga Humaira. Barangkali mereka berdua sudah punya ikatan rasmi. Sekali pandang, mereka berdua memang secocok bersama.

Apapun, manusia hanya mampu menghukum apa yang zahir. Di sebalik keindahan fantasi Ilham, lain pula realitinya. Humaira hanya mengenali Hisyam selepas sesi taaruf semasa pembentukan Biro Kebajikan. Jejaka yang berlatar belakang sekolah aliran pondok itu tidak didedahkan dengan ilmu-ilmu berorganisasi menyebabkan dia sedikit kekok dalam menjalankan tugas yang diamanah. Dari situlah Humaira selalu menegur dan mengajar baik di dalam mesyuarat, pertemuan mahupun dalam program. Segala apa yang ditunjuk Humaira amat membantu Hisyam meningkatkan kualiti kerjanya. Tambahan pula Hisyam ditugaskan memegang jawatan Setiausaha. Memang dia rajin dan minat menulis, tetapi untuk menulis dalam skema dan format tertentu itu belum pernah dicuba.

Humaira amat mudah berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar. Dia tidak pernah lokek mencurah segala pengetahuannya dalam sesuatu perkara. Dia juga tidak semalu gadis-gadis lain. Baginya sifat malu berlebihan hanya membantutkan perkembangan diri dan merugikan kaum hawa.

Pernah ada satu ketika, semasa Hisyam sedang menghantar Humaira pulang dari mesyuarat ke rumahnya , Humaira secara spontan telah berbicara seperti seorang motivator. Kata-kata semangat dan nasihat diucap buat Hisyam agar terus mempertingkatkan kualiti kerjanya.

“Ustaz boleh sebenarnya. Mahu tak mahu je. Cuma perlu sedikit kerja keras dan fokus.” Ujar Humaira penuh semangat. Dalam tidak sedar, Hisyam mula tertarik dengan perwatakan Humaira. Tugas baru yang diamanahkan padanya dirasakan amat ringan dan seronok hasil dari tunjuk ajar gadis ikon tarbiyyah itu.

Sejak dulu lagi Humaira terkenal sebagai tempat meluah masalah dikalangan rakan-rakannya. Menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah perselisihan, salah faham atau perbalahan memang menjadi tugas tetap beliau sejak dari persekolahan. Pernah juga dia diminta untuk menyelesaikan ketegangan yang berlaku antara syabab dan akhawat.

Humaira tidak pernah memilih dalam berkawan. Walaupun semasa zaman sekolah gejala berpuak-puak melanda batchnya, dia tidak terpengaruh. Semuanya dianggap satu puak. Lebih hebat dari falsafah 1Malaysia mungkin.

Terpesona dengan kehebatan Humaira, Hisyam semakin asyik dengan tugasannya. Setiap tugasan yang diamanah sengaja dirujuk pada Humaira walaupun adakalanya tugasan tersebut telah jelas difahami.

Hari demi hari, perasaan suka semakin membunga di taman hatinya. Kemaruk yang melanda Hisyam membuatkan dirinya seolah dilanda kemarau panjang, kehausan mendamba kasih saying seorang insan. Walaupun begitu, Humaira masih tidak menyedari perubahan yang berlaku pada diri Hisyam itu. Baginya bantuan yang dihulur sejak dahulu atas dasar amanah dan tolong-menolong semata-mata. Tambahan pula bukan Hisyam seorang yang menerima nasihat darinya. Ramai lagi kenalan yang suka dengan cara gadis kecil molek itu berkomunikasi.

Perkara itu berlanjutan hinggalah pada suatu hari dalam perjalanan pulang  dari Mujamma` Fatah, Humaira yang sedang berjalan bersama Syafiza disapa dengan nada yang agak tinggi oleh seorang lelaki dari belakang. Ditolehnya ke belakang, rupa-rupanya Hisyam yang baru pulang dari solat Maghrib di Jami` Mahyuddin.
Teragak-agak juga mereka, takut-takut Hisyam menegur orang lain. Setelah lama mengamati, memang betullah Hisyam memanggil mereka. Jam di tangan menunjukkan sudah pukul 8.20 malam. Mereka mengagak ini mesti sebab berkeliaran di luar rumah tanpa mas`ul (pengiring lelaki). Cemas juga mereka apabila Hisyam meluru tepat ke arah mereka meredah lautan manusia yang sibuk berurusan di pasar jumuah.

“Ustazah, buat apa lagi malam-malam ni? Mana mas`ul?” Tanya Hisyam dengan wajah yang agak serius. Mereka hanya tunduk malu. Memang salah mereka. Mengikut etika yang ditetapkan PPMS, akhawat  dilarang keluar rumah selepas jam 8.00 malam tanpa mas`ul.

Mereka pula keluar dari Mujamma` jam 7.30, akan tetapi kesibukan kota Damsyik menyebabakan perjalanan pulang memakan masa lebih setengah jam. Sesampainya di kaki Banjaran Qasiyun, mereka perlu berjalan kaki menelusuri Pasar Jumuah untuk sampai ke rumah. Menjadi adat wanita, suka menjamu mata melihat barangan yang dijual jika berada di pasar.

Akhirnya setelah keduanya meminta maaf, Hisyam menawar diri untuk menghantar mereka pulang hingga depan pintu rumah. Mereka hanya mampu untuk bersetuju. Sepanjang perjalanan Hisyam asyik berleter dan marah-marah. Raut wajah berkerut jelas menunjukkan dia sedang marah. Melihat perlakuan aneh Hisyam itu, Humaira naik hairan. Belum pernah ada syabab yang berleter sedemikian rupa hanya kerana kesalahan kecil itu. Farid, sepupunya sendiri pun tidak sebegitu. Lagak lakunya tak ubah seperti seorang abang yang meleteri adiknya. Rasa pelik dan sceptic  terhadap Hisyam mula timbul dalam diri Humaira. Hisyam yang dikenalinya dulu adalah seorang yang pendiam dan pemalu.

Walaupun begitu, rasa seronok sepanjang bekerja bersama Hisyam timbul. Beliau pandai bergurau. Letih Humaira menguruskan Lajnah Kebajikan terassa hilang tiap kali melayani karenah Hisyam. Gurauan beliau menyebabkan Humaira sering terlupa akan beban tanggungjawab yang sedang ditanggung. Biasalah, andai teruna dan dara berdua, pasti iblis ada bersama. Namun mereka tidak pernah berkongsi sebarang hal peribadi.

Setelah hampir empat bulan saling mengenali, Hisyam membuat keputusan untuk lebih mendekati Humaira, lebih dari sekadar rakan sekerja. Langkah pertama yang diambil adalah menghubungi keluarga Humaira di Malaysia. Acap juga Hisyam menelefon Ibu Humaira. Dia mendapatkan maklumat mengenai keluarga gadis itu dari sepupunya, Farid.

Hisyam juga seorang yang peramah. Dia senang rapat dengan semua orang. Sifat mesra alam itu membuatkan dia tidak kekok langsung bercakap dengan ibu Humaira, seolah-olah sudah lama kenal. Sengaja Hisyam menggelar Ibu Humaira dengan panggilan emak agar ibunya senang menghidu niat sucinya sebelum berterus terang.

Hari berganti hari, kocakan perasaannya semakin kencang. Kerana sudah tidak mampu melupakan Humaira lagi, akhirnya dia tekad untuk meluahkan apa yang sekian lama terbuku di hatinya. Setelah bait-bait bicara diatur rapi, beliau terus menghubungi Humaira pada suatu petang. Waktu itu Humaira sedang menolong rakannya mengemas rumah  kerana ingin berpindah ke rumah sewa baru.

Lamaran Hisyam disusun penuh tertib. Dari awal perbualan mereka di talian, Humaira sudah dapat mengagak Hisyam ada hajat besar yang ingin diberitahu. Dia tidak begitu terkejut tatkala lafaz cinta diungkap dari jejaka tersebut. Malahan dia seolah-olah mengambil ringan akan hal tersebut. Hisyam memang pandai mengambil hati sang wanita. Perbualan yang memakan masa hampir 20 minit itu dihiasi dengan gelak ketawa dan senyuman. Humaira langsung tidak menyedari bahawa dia sedang diperhatikan rakan-rakan yang turut sama menguruskan rumah yang bakal ditinggalkan itu.

Hisyam tidak seperti Izzat dalam melamar. Dia lebih berhati-hati dalam setiap tindakannya. Dia tidak pernah mendesak Humaira menerimanya sebaliknya membiarkan sahaja Humaira berfikir selama mana yang dia mahukan. Sepanjang tempoh yang diberikan, mereka masih berhubung seperti biasa.

Sebenarnya, sebelum menerima jemputan Hisyam untuk mendiami kamar hatinya, Humaira terlebih dahulu di lamar seorang lagi jejaka, Fadhil namanya. Lamarannya sedikit berhemah dari Izzat kerana memberi ruang masa untuk Humaira selama dua minggu sebelum memberi keputusan.

Walaubagaimanapun ianya tak seindah yang diharap. Sebelum sampai waktu yang dijanji, Fadhil telah menuntut keputusan dari Humaira menyebabkan dia menerima nasib sama seperti Izzat.

Layanan yang diberikan Hisyam pula sedikit sebanyak membantu lamarannya. Kali ini Humaira agak serius memikirkan tentang harapan Hisyam itu. Selain menghubungi ibunya bertanyakan pendapat. Dia juga ada berbincang dengan Syafiza serta beberapa rakan serumahnya. Seperti semasa lamaran Izzat dan Fadhil, Humaira juga melakukan istikharah memohon supaya Allah menujukkan pilihan terbaik untuk hidupnya.

2 comments:

  1. saya suka cedok ilmu di blog ni
    tapi satu saja..
    may B penulis blog sesuai dgn warna log ni...
    agak striking...
    dan boleh rosak mata untuk membaca post2 yg agak panjang

    ReplyDelete
  2. TQ...tp saya tak pandai nak ubah...boley bg cadangan

    ReplyDelete

Guane gamok? komen skit....