Wednesday, January 25, 2012

ILHAM HUMAIRA; ikatan sebuah istikharah (Bab XVI)

Bab 16:


Hiruk pikuk suasana pasar Jumuah sudah menjadi perkara yang lazim. Dengan deruan enjin lori pikap mini yang bersimpang siur di celahan gerai jualan, lautan manusia yang berkerumun di sana tambah membingit lagi keadaan.

Seawal jam 9 pagi, sudah ramai yang turun dari lereng-lereng bukit Ruknuddin menyerbu pasar tersebut untuk mendapatkan keperluan harian. Banyak juga gerai yang beroperasi 24 jam tanpa henti.

Masuk hari ini cukup setahun Hisyam hidup dalam suasana tersebut. Terataknya betul-betul di tengah pasar terbabit. Dihadapannya berdiri sebuah masjid lama, yang didirikan sempena seorang ulama` tempatan yang banyak menabur bakti pada generasi terdahulu, Iaitu Syeikh Mahyuddin Ibn Arabi. Corong pembesar suara tepat menghala ke tingkap atas rumah Hisyam. Ruang pemisah yang hanya beberapa meter menyebabkan beliau sering lekat di masjid tiap kali seruan azan berkumandang.

Hari ini juga Hisyam membilang waktu menanti jawapan emas dari Humaira. Tiada tarikh akhir yang ditetapkan mereka, menyebabkan Hisyam harus menunggu hari demi hari. Walaupun begitu tempoh penantian itu dilaluinya penuh sabar. Sehingga ke hari ini, dia masih setia menanti. Walau resah di hati bukan kepalang lagi rasanya, digagahi jua seketul daging yang menjadi raja jasadnya itu.

“Elok juga kalau aku call mak dia esok.” Satu suara halus tiba-tiba menjengah hematnya. Idea tersebut datang ketika sedang mengelamun membayangkan kehidupan bahagia bersama Humaira kelak. Tanpa membuang masa dia terus mencapai telefon bimbit yang letaknya di atas meja study. Dicari nama Ustazah Humaira Dafeeqa lalu ditekannya butang hijau yang menyambungkannya taliannya kepada peranti gadis tersebut.

“Assalamualaikum Ustazah, sihat?” Hisyam membuka bicara. Dengan nada tersekat-sekat, Humaira membalas salamnya dan memberitahu khabar dirinya.

Dia tahu Hisyam sedang menanti jawapan darinya. Dia tahu betapa seksanya penantian itu. Namun dia tidak tergamak melafazkan penolakannya. Hisyam amat baik baginya. Alangkah berdosanya dirasakan andai dia yang menyebabkan hati lelaki tersebut hancur luluh.

Setelah menyelitkan beberapa soalan sebagai mukaddimah, Hisyam mula menyatakan hasrat untuk menghubungi ibunya esok hari untuk menerangkan keadaan sebenar.

Humaira kelu. Dirasakan nasi sudah menjadi bubur. Di tahannya air jernih dari terjun keluar melalui kolam matanya. Namun hatinya terlebih dahulu mengesak tangis. Dia sedang berdiri di persimpangan dilemma, antara mengecewakan Hisyam atau mengecewakan diri sendiri. Semuanya membawa impak besar buat hidupnya.

“Boleh ke ni ustazah? Ke ustazah dah ada jawapan sendiri?” Hisyam memecahkan  kebisuan Humaira. Sekali lagi hasratnya diulang.

Setelah nafas ditarik sedalam-dalamnya, Humaira beranikan diri untuk bersuara jua.
“Ikut ustazlah. Ana serah segala keputusan pada ibu ana. Mana yang terbaik bagi dirinya, itulah yang terbaik buat ana.” Humaira bersuara perlahan. Jawapan itu cukup melegakan Hisyam. Dia sudah biasa bercakap dengan ibu Humaira. Sedikit sebanyak budi pekerti ibunya telah dihafal Hisyam. Oleh itu memujuk wanita tersebut bukan lagi menjadi permasalahan besar baginya.

Setelah hajat diungkap, Hisyam terus mengakhiri dialognya. Tiada apa yang hendak dibualkan lagi. Masa yang dinanti semakin dekat menghampiri. Cuma berbekalkan secebis kesabaran lagi, Hisyam bakal berdialog panjang dengan Humaira suatu hari nanti. Hanya mereka  berdua.

Humaira pula semakin menderita. Airmata yang mencurah penuh penyesalan sewaktu isitkharah bersejarah lewat malam yang lepas dibazirkan begitu sahaja. Janjinya untuk hanya menerima lelaki pilihan Allah dimungkiri lagi.

Humaira tetap Humaira. Seindah namanya, serapuh itulah kudratnya. Mana-mana kaum hawa pun lemah bila berdepan dengan layanan lembut lelaki. Jiwa mereka mudah tertipu dengan lemah gemalai penuh santun Sang Adam.

“Ya Allah. Aku telah mendustaiMu sekali lagi. Masihkah kau ingin ampuni dosaku ini? Inginkah kau terima lagi taubatku ini. Aku tahu aku tak layak untuk bercita-cita memijak syurgaMu, namun diriku terlalu takut akan murkaMu. Siapalah aku tanpa belas petunjukMu. Pimpinlah aku sentiasa. Jangan lagi kau tinggalkan aku sendirian memikul bebanan seberat ini. Kakiku terlalu rapuh untuk bertahan menangkis badai ujianMu ini. Kuatkanlah ia agar tidak lagi tergelincir dalam lembah murkaMu. Sesungguhnya Kaulah yang Maha Mendengar setiap rintihan hamba.”

Humaira melutut dinihari. Tangannya ditadah rapat semasa mengucap bait-bait doa di atas. Dia betul menyesali akan perbuatan gelojohnya itu.

Sementara itu di lembah Damsyik, Langitbiru telah satu lagi perbualan penting dua sahabat lama . Ianya antara Saiful dan Ilham. Saiful merupakan salah seorang rakan sekapal yang datang bersama-sama Ilham tahun 2007 yang lalu. Dia yang kebetulan terserempak dengan Ilham  dalam servis (pengangkutan awam seperti van) menuju rumah PPMS sempat bertanya khabar dan bercerita keadaan diri masing-masing.

Mereka tinggal berjauhan. Ilham di kawasan lembah sementara Saiful di lereng bukit Ruknuddin, serumah dengan Izzat. Dipendekkan cerita, Saiful telah berkongsi satu gosip yang didengarnya dari atas sana. Dia menceritakan bahawa Humaira kini sedang bahagia bersama Hisyam. Mereka akan mengikat hubungan sah tidak lama lagi. Berita bahawa Hisyam akan menghubungi keluarga Humaira esok juga sampai kepada Ilham membuatnya rasa tidak senang duduk.

Saiful kehairanan melihat Ilham yang tadinya rancak bersembang berselang bingitan hilai tawa secara tiba-tiba senyap sedu bagai murai bisu tatkala gosip itu berkumandang ke telinganya. Riak wajahnya juga jelas menggambarkan ada sesuatu sedang bermain di fikirannya. Dialihnya ke tajuk lain untuk meredakan keadaan namun wajah Ilham tetap pengat sebegitu.

Sebenarnya Ilham merasa tercabar. Dia yang dulunya tidak endah langsung tentang lamaran Hisyam lama kelamaan ingin menjadi pesaing utama lelaki itu. Penerimaan Humaira untuk diadd tempoh hari sudah cukup baginya untuk dijadikan modal bahawa beliau juga ada harapan untuk menawan hati perawan suci itu.
Ilham mula mengatur langkah seterusnya. Dia tidak boleh menunggu lagi. Kali ini apa nak jadi-jadilah. Dia tidak boleh berpuas hati sebelum mencuba. Dia mesti menyahut cabaran yang diwujudkannya sendiri. Malam ini bakal menjadi saksi kejantanannya. Satu lagi lekukan sejarah bakal terpahat dalam lembaran musafirnya.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....