Thursday, January 12, 2012

DR HASAN ALI DAN KHALID AL-WALID



Sedikit sebanyak isu pemecatan Dr Hasan Ali menenggelamkan populariti isu kes fitnah ii Anwar Ibrahim. Ianya mendapat liputan luas oleh media tanahair, hingga akhbar bernuansa hiburan dan gosip pun tidak melepaskan peluang untuk memaparkan isu ini.

Saya bukanlah orang selayaknya untuk turut mengupas isu ini. Sudah ramai tokoh daripada PAS, komponen PR, parti-parti pemerintah mahupun orang persendirian menyatakan pandangan mereka. Namun sebagai seorang mahasiswa yang lahir dalam tarbiah PAS tulen bermula dari PASTI, Madrasah Darul Taqwa Batu Enam, Maahad Darul Quran Rusila hinggalah ke tanah anbiya` tak diiktiraf rejim sekular, tidak salah rasanya untuk menyatakan sedikit respon berhubung apa yang telah berlaku kepada salah seorang pemimpin saya.
Pertama kali mendengar berita ini dari salah seorang jemaah surau tempat saya mengajar, timbul rasa pandang serong terhadap Dr Hasan Ali. Keputusan besar yang diambil Majlis Syura itu mesti bersebab munasabah dan relevan. Institusi tersebut ditunjangi oleh kalangan ulama` muktabar bertaraf Tuan Guru/Kiai pasti tidak akan membuat keputusan berdasar kepentingan poLitik semata-mata. Pasti islam yang menjadi penyebab kes pemecatan itu. Pasti ada kepincangan yang pemimpin itu lakukan hingga membangkitkan kemarahan ramai rakan lain.

Namun begitu tidak adil rasanya untuk menjustifikasikan Dr Hasan Ali sebagai penghalang perjuangan islam. Beliau bukan orang biasa. Dari pegawai perancang Bandar, pensyarah, motivator, beliau turun mencemar seragamnya untuk berada dalam perjuangan islam. Beliau sudah menerima tarbiah perjuangan berpuluh tahun lamanya, bahkan lebih lama dari kebanyakan pimpinan yang ada hari ini. Beliau tidak menyertai PAS secara semberono sebaliknya berdasarkan kajian yang mendalam serta menghalusi setiap dasar dan prinsip PAS, bukan seperti kebanyakan kita yang menyertai PAS atas faktor keturunan atau malu alah. Sebelum ini beliau hanya bergerak secara persendirian melalui program-program ceramah dan motivasi.

Jika kita meneropong ke belakang melihat lipatan sejarah, isu sebegini sudah menjadi adat dalam gerakan islam. Seawal pemerintahan Khulafa` Arrasyidin lagi, Saidina Khalid AlWalid telah dipecat dari jawatan tertingginya. Alasannya adalah kerana tarbiah.

Sejarah juga menyaksikan PAS pernah kehilangan beberapa pimpinan tertingginya termasuk presiden sendiri. Gerakan islam di luar sana pun pasti tidak akan dapat lari dari menghadapi isu sebegini. Bak kata Tok Guru Nik Aziz, tiada gerakan islam yang tak pecat ahlinya.

Jika benar PAS berjuang atas kepentingan politik semata-mata seperti yang didakwa ramai, pasti bukan keputusan memecat yang dicapai pucuk pimpinan. Pengaruh Dr Hasan Ali secara khusus bakal merugikan PAS Selangor yang dari sudut politiknya, merupakan negeri tumpuan untuk direbut setiap parti. Saya yakin pasti ada yang akan mengikut jejak Dr Hasan meninggalkan PAS kerana bukan semua memahami pembawakan parti islam tunggal ini.

Tapi PAS itu adalah sebuah gerakan islam, yang juga membawa agenda tarbiah dan dakwah selain politik. Pemecatan tersebut hanyalah sebahagian dari manifestasi tarbiah, samada kepada semua ahli ,atau kepada Dr Hasan Ali, ataupun buat sekalian pimpinan sendiri. Sepatutnya kita menilai isu ini dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan beradab, bukan dijadikan modal untuk membuka aib mana-man individu.

Tarbiah untuk menguji ahli adakah mereka berjuang kerana Allah, atau kerana individu. Juga supaya ahli tidak sewenang-wenangnya berlaku songsang dari misi jemaah. Tarbiah juga untuk Dr Hasan adakah beliau akan kekal menegakkan agama Allah walau tanpa dukungan jemaah? Adakah beliau boleh bersangka baik dan patuh dengan individu pimpinan yang mungkin lebih rendah kelulusannya dari beliau? Juga tarbiah buat pimpinan untuk menerima dengan hati terbuka bahawa saudara mereka yang selama ini sama-sama bermandi keringat menjulang islam kini terpaksa ditinggalkan. Tarbiah dari Allah adakah pimpinan sanggup mengenepikan rasa kasihan dan tidak tergamak untuk memutuskan pemecatan itu demi Allah?

Pemecatan Khalid Al-Walid bukan untuk dirinya, tapi untuk mendidik sekalian perajurit lain supaya tidak mengharap kemenangan islam dibawah kepimpinan Pedang Allah itu semata-mata sahaja. Islam bukan memperjuangkan individu, gerakan islam juga bukan kenderaan tunggangan untuk menuju maksud tertentu. Sebaliknya individu pendokong islamlah yang tunduk menjadi tunggangan kepada islam dan jemaahnya.

Hidup adalah tarbiah. Dan tarbiah buat seorang hamba itu tidak akan terhenti kecuali setelah kedua kakinya memijak pintu syurga.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....