Thursday, May 15, 2014

SURAT TERBUKA BUAT YAB PERDANA MENTERI ANTARA GST DAN ZAKAT

Kehadapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, semoga berada dalam naungan dan redha Allah sentiasa di samping isteri tercinta.

Izinkan saya selaku rakyat jelata yang 100% menjalani kehidupan dibawah kerajaan pimpinan YAB hadir untuk menyampaikan pendapat demi  penambahbaikan taraf hidup di Malaysia kita. Tentu sekali tuan suka mendengar cetusan aspirasi anak muda Malaysia untuk bersama tuan mencorak masadepan tanahair, sepertimana yang tuan selalu nyatakan dalam himpunan 1M4U sebelum PRU13 lepas.

Tuan, saya sehingga kini tidak melihat dimana kewajaran GST dilaksanakan. Dengan kadar kemiskinan semakin pesat meningkat, kenapakah pihak tuan masih mahu menambah beban? Bagaimana kadar kemiskinan boleh dikurangkan dengan mengambil hak mereka pula? Sudahlah belanja mereka untuk makan tidak cukup, tuan rampas lagi kemampuan mereka untuk berbelanja. 6% itu amatlah besar nisbahnya dengan pendapatan rakyat.

Kemajuan ekonomi bukan sekadar bangunan tinggi semata-mata. Bila tuan sempitkan kuasa beli mereka, permintaan dagangan akan berkurang, mereka tidak akan mampu beli apa yang mereka mampu beli selama ini, lalu mengakibatkan aliran tunai lembab kerana barang yang tak terjual, pelaburan terbantut, premis perniagaan kerugian dan gulung tikar, pengangguran bertambah lalu menambah jumlah fakir miskin. Justeru untuk terus hidup, penganggur dan fakir miskin terpaksa jadi penjenayah. Inikah yang disebut sebagai kemajuan ekonomi?

Amat pelik. Jika dibandingkan dengan kebanyakan negara lain, Malaysia adalah antara negara paling kaya hasil buminya. Langit, bumi, dasar bumi dan dasar laut semuanya sarat dengan harta. Tapi kenapakah masih ramai yang tidak punyai tepmat tinggal? Isunya bukan seperti Amerika, Singapura, Canada, Switzerland, Jepun dan negara yang maju kerana cukai. Mereka terpaksa pungut cukai kerana tiada hasil bumi. Kita sudah kaya. Soalnya ialah pengurusan dan pengagihan kekayaan itu.

Sebelum tuan tambah bentuk-bentuk cukai yang baru (terbaru kenaikan cukai pintu sehingga 200%), apakata tuan perkasakan dahulu cukai-cukai yang telah ada. Saya maksudkan ialah cukai islam iaitu zakat. Uruskan dahulu zakat menjadi wajib seperti cukai. Tubuh penguatkuasa yang boleh mengambil tindakan terhadap orang kaya yang liat membayar zakat seperti kastam atau LHDN. Cipta satu sistem pintar untuk selenggara kerja-kerja sebegini.

Tuan, kemajuan ekonomi yang dianjurkan islam ialah melalui sistem zakat. Orang-orang kaya sahaja yang dipungut cukai, bertujuan untuk diagihkan pada mereka yang memerlukan, supaya tidaklah kekayaan itu berlegar dikalangan orang kaya sahaja. Itupun hanya 2.5%.

Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا ٌ

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);
[At-Taubah:103]

Melalui ayat di atas, Allah SWT mewajibkan pengambilan zakat oleh kerajaan terhadap orang kaya. Tetapi yang berlaku, zakat di Malaysia tidak diwajibkan bayar. Yang wajib ialah cukai sahaja. Kenapa berlaku sedemikian?

Adakah kerana hasil zakat tidak boleh disentuh melainkan oleh 8 asnaf yang sahaja manakala hasil cukai pula boleh dicurahkan kepada orang-orang kaya dan kroni berada? Adakah ini punca kekayaan negara tidak tersalur pada rakyat bawahan?

Sedarlah tuan, apabila duit orang kaya mengalir pada orang miskin, kuasa beli mereka bertambah dan akan meningkatkan permintaan terhadap barang dagangan. Lalu tumbuhlah premis-premis perniagaan untuk menawarkan permintaan masyarakat, peluang pekerjaan meningkat dan pelaburan mencurah-curah. Hasilnya, bukan sahaja orang miskin boleh keluar dari kepompong kemiskinan, syarikat kaya juga bakal menambah hasil.

Saya yakin, dengan pengurusan yang betul bukan sahaja golongan susah di Malaysia akan terbela, malahan hasil Malaysia juga cukup untuk disalurkan sebagai bantuan kemanusiaan ke negara-negara bencana yang lain seperti Syria, Myanmar, Mesir, Palestin, dan negara-negara Afrika.

Dan saya yakin, kita tidak memerlukan lagi TPPA waktu itu kerana kita sudah mampu mengurus ekonomi kita sendiri. Pedulikan saranan-saranan Obama tempohari kerana Malaysia sendiri sudah cukup kaya dengan intelektual yang sedia berkongsi idea membangunkan Malaysia.

Saya harap agar tuan segera fikirkan saranan ini. Jangan sekadar lena di singgahsana Putrajaya dengan kemewahan hasil cukai sedangkan rakyat terpaksa berhempas pulas siang malam untuk menyara tuan anak beranak.

Maaf, Sekian.

Yang Ikhlas,
Anak Muda,
Generasi baru Malaysia.
(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....