Wednesday, July 17, 2013

SABAR DAN SYUKUR

Tuhan Maha Bijaksana dalam aturan ibadat yang dianjur. Jika diamati, hari-hari dalam Ramadhan adalah ujian untuk menilai tentang dua perkara iaitu sabar dan syukur. Sabar bererti mengawal diri tika kesusahan dan Syukur pula membawa maksud mengawal diri tika dalam kesenangan.

Siangnya menguji sabar. Iaitu dengan mengekang hawa nafsu daripada perkara-perkara yang dilarang. Walaupun yang terlarang itu adalah suatu rukun kehidupan seperti makan, minum dan memuaskan nafsu syahwat. Berbahagialah mereka yang berjaya mempraktik sabar dalam kehidupan mereka.

Malamnya pula menguji syukur. Bermulanya malam, ujian pertama adalah dimeja hidangan. Orang yang bersyukur adalah yang berbuka secara sederhana. Antara tanda syukur adalah berkongsi nikmat yang Allah SWT berikan dengan orang lain secara bersedekah atau belanja orang lain. Malamnya pula disuruh bersyukur memperbanyak ibadat kepadaNya dengan terawih, tadarrus dan qiamulail. Itulah erti syukur yang sebenar.

Malang hari ini ramai tidak menyedari dua hikmah ini. Siangnya tidak sabar mengekang nafsu amarah, nafsu berbelanja di bazaar dan nafsu melihat aurat bukan muhrim. Malam pula tidak menunjukkan tanda syukur seperti Nabi SAW dalam hadis riwayat Aisyah RA. Apabila Aisyah melihat Baginda terlalu lama berdiri untuk solat sehingga pecah-pecah tapak kakinya, beliau bertanya? “Apakah yang engkau lakukan? Bukankah Allah telah mengampunkan dosa-dosamu yang telah lalu dan masa akan datang?”


Jawab Baginda SAW? “Tidak bolehkah aku ingin menjadi hambaNya yang bersyukur?”

5 RAMADHAN/ 13 JULAI /SURAU RHU RENGGEH

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....