Thursday, March 15, 2012

KENAPA AMERIKA INGINKAN SYRIA?

Sekali fikir, agak pelik apabila Amerika dan kuasa besar dunia bersusah payah mengheret isu Syria ke serata tempat sehingga membawa kepada penggunaan veto. Apa faedah yang mereka akan peroleh jika Syria jatuh ke tangan mereka? Sekadar sebagai penggerak PBB, Amerika dilihat begitu optimis menangani isu ini seolah-olah ingin memihak kepada pemberontak yang ingin menggulingkan kerajaan sedia ada. Resolusi PBB yang dibatalkan Rusia dan China tidak mematahkan usaha kuasa besar itu untuk mencapai hasrat jahatnya.

Umum mengetahui bahawa Gaddafi merupakan orang paling dibenci Amerika dan sekutunya disebabkan pendiriannya yang tidak tunduk pada kemahuan kuasa besar itu. Tidak hairanlah pakatan NATO begitu komited untuk menjatuhkan pemerintah. Adapun Syria, faktor-faktor zahirnya tidak memberikan sebarang keuntungan buat negara kapitalis materialistik  itu. Ini kerana:



1. keluasan tanahnya hanya 185,180 km2, (ranking ke-89 dunia), jauh lebih kecil dari Mesir (1,002,000), Saudi (2,149,690), Iraq (438,317) dan Malaysia (330,803). Majoriti tanahnya pula adalah padang pasir yang tidak sesuai untuk bercucuk tanam atau didiami.

2. Populasi rakyatnya jauh lebih sedikit kerana tidak semua tanah boleh didiami. Anggaran penduduknya adalah 22,717,417 dengan kepadatan 118.3/km2 (tangga ke-94 dunia). Berbanding Malaysia yang mempunyai penduduk seramai hampir 29 juta orang (tidak termasuk warga Nepal, Bangla yang sengaja diberi kerakyatan untuk mengundi), kepadatannya hanya 86/km2 (ranking ke-114). Analogi mudahnya, Syria sebuah banglo sembilan bilik yang didiami 9 orang. Namun kesembilan mereka hanya tinggal dalam sebuah bilik yang sama (sardin). Malaysia pula ibarat banglo 20 bilik dengan 20 orang yang mendiami. Kesemua bilik didiami tiap-tiap mereka.

3. jalur perdagangan yang tidak strategik. Walaupun dahulu Damsyik merupakan pusat perniagaan tumpuan Rom, Arab dan Parsi disebabkan kedudukannya ditengah-tengah empayar tersebut, hari ini corak perdagangan yang lebih menggunakan laluan laut amat tidak menyebelahi Syria. ini kerana perairannya hanya sedikit di wilayah Lattakia yang terletak di Timur Laut Mediterranean. Ianya tidak menghubungkan pedagang utama dunia iaitu China, Amerika, India, Eropah barat dan Jepun.

4. Hasil buminya juga tidak sekaya negara arab lain. Daripada pengeluaran petrol hampir 600,000 barel sehari sejak 1995, ia menyusut sehingga hanya 425,000 barel sehari pada 2005 dan mungkin akan terus menyusut menjelang 2015. (berbanding Malaysia, 693,000 barel dihasilkan setiap hari pada tahun 2009). Kandungan sulfurnya juga agak tinggi. Walaupun petrol dan gas masih menjadi sumber ekonomi utama Syria, masih tidak berbaloi untuk Amerika mendapatkannya atas tujuan tersebut semata-mata berbanding Mesir (680,500 bbl/d), Libya (1,790,000 bbl/d) dan Saudi (8,800,000 bbl/d). Dengan kepadatan yang dimilikinya pula, amat sedikitlah syer mereka kepada dunia (0.48%)

5. Sumber kedua bagi Syria adalah hasil pertanian. Syria menjuarai pengeluaran zaitun dunia. Namun zaitun bukanlah produk penting pemakanan manusia dan selain itu, produk pertanian hanya mencukupi untuk dieksport ke negara arab lain kebanyakannya.

6. Faktor geografi juga tidak menyebelahi Syria. Sistem empat musimnya yang tidak mesra pengunjung membataskan pergerakan dan pertumbuhan dari sudut pelancongan, tarikan pelaburan, kesihatan dan keselamatan. Musim sejuknya mampu menurun sehingga bawah paras negatif dengan tiupan angin kencang yang mampu menjejaskan kesihatan dalaman manusia. Walaupun suhu di Eropah lebih rendah, namun sejuk di Syria amat mengancam kerana angin tajam yang bertiup itu (penduduk UK sendiri mendakwa cuaca sejuk Syria terasa lebih menyucuk berbanding UK). Musim panasnya pula adalah tersangat panas sehingga mampu mencecah 50 darjah celcius di siang hari. Ditambah dengan kekeringan yang melampau, tubuh manusia memerlukan kandungan air yang banyak untuk terus survive di sana.

Namun begitu, dari sudut politik pula terdapat banyak faktor mengapa ianya menjadi target seterusnya Amerika. Antaranya ialah:

1.       Syria didakwa sebagai kilang mujahidin ataupun pusat pengganas dunia. Perkara ini sejak sekian lama dimomokkan termasuk dalam siri-siri filem Hollywood (senjata Amerika). Sejarah Syria sebenarnya menyimpan khazanah amat berharga dalam peradaban dunia. Selain daripada pernah menjadi pusat pemerintahan Empayar Rom Timur, Khilafah Islamiyyah juga pernah menjadikan Damsyik sebagai pusat pemerintahan mereka. Maka lahirlah cendikiawan dan pemikir islam yang tulen seperti Imam Nawawi, Ibnu Kathir, Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali. Di era moden pula, ramai pejuang islam  yang lahir dari sana seperti Mustafa Masyhur, Sayyid Hawa, Syeikh Izzuddin al-Qassam, Syeikh Ali Tantawi, Dr Wahbah Zuhaili, Ali AsSobuniy serta ramai lagi. Ianya menjadi pusat pengajian agama pilihan ramai negara-negara penentang Amerika seperti Pakistan, Rusia (Chechnya), Lubnan, Iran.

2.       Pendirian kerajaan Syria yang menyokong perjuangan HAMAS amat merisaukan Amerika. Ditambah dengan wujudnya pengkalan politik HAMAS di Syria, ia menandakan hubungan baik mereka mampu mengancam Israel. Pelarian Palestin juga diberi keistimewaan sehingga diberi sebuah kawasan khas yang diberi nama Palestin untuk rakyat Palestin di pinggir kota Damsyik.

3.       Selain HAMAS, Iran juga merupakan sahabat baik Syria. Rakyat Iran khususnya penganut Syiah boleh masuk begitu mudah ke Syria untuk menunaikan Ibadah mereka. Umum mengetahui ancaman Iran dan projek Nuklearnya yang dahsyat. Diberitakan Iran dan Hizubullah Lubnan tidak  putus-putus membantu kerajaan Syria menentang pemberontakan.

4.       Rakyat Iraq yang datang berlindung ke Syria juga menjadi masalah buat Amerika. Ada diantara mereka merupakan pesalah berbahaya yang diburu. Pada perang Amerika ke atas Iraq tahun 2002, Syria membuka seluas-luasnya sempadan untuk pelarian Iraq berlindung di sana.

5.       Kedudukan Syria yang berjiran dengan Israel juga mengancam keselamatan sekutu Amerika itu. Ianya dipisahkan oleh wilayah kontroversi Bukit Golan yang menjadi punca perbalahan Israel-Syria sejak sekian lama. Polisi Syria juga yang tidak mengiktiraf malahan memusuhi Israel cukup untuk membuatkan Israel tidak tidur lena berjiran dengan Syria.

6.       Syria kaya dengan air mineral bersih. Sumbernya adalah dari sungai Furat yang turut merintangi Iraq dan Turki. Cukup untuk mengairi keseluruhan tanah Palestin dan tanah haram Israel. Jordan juga menikmati air daripada ihsan Syria.

7.       Kedudukannya yang berada ditengah-tengah negara-negara arab dan negara yang tidak sehaluan dengan Barat. Utaranya dipagari Turki, timurnya Iraq, dan baratnya adalah Lubnan.

8.       Mengikut dokumen rancangan penubuhan Israel Raya, Syria merupakan sebahagian daripada tanah-tanah tersebut selain Iraq, Mesir Jordan dan Pelstin sendiri. Israel Raya adalah rancangan penubuhan sebuah entiti negara milik Zionis dimana tanahnya adalah diantara sungai Nil dan sungai Furat.


Dari sudut ekonomi pula, rakan dagangan Syria merupakan China. Dengan krisis ekonomi negara-negara kapitalis hari ini, China dilihat sebagai sebuah kuasa besar masa depan yang akan menggantikan Amerika. Lihatlah, dimana-mana pun pasti akan ada produk dari China. Jenama-jenama antarabangsa pun semakin banyak membuka kilang di China.

Syria juga mengamalkan dasar ekonomi komunis/sosialis. Oleh sebab itu China yang paling malas menggunakan kuasa veto di PBB pun melakukannya dalam isu Syria ini. Menjatuhkan Syria merupakan antara jalan terbaik untuk mengekang pengaruh China.

Umat islam perlu sedar, walaupun Syria tidak banyak membantu agama Islam, namun akibat jika negara tersebut jatuh ke tangan rejim Barat amat besar ke atas agama islam. Musuh akan bertambah kuat, pertahanan mereka juga akan semakin mantap. Sebab itulah isu Syria harus diendahkan oleh semua muslim. Perlu ada kumpulan yang memastikan politik Syria kelak tidak lagi dimonopoli anak didik fahaman barat.

Bagi penulis pula, masa depan Palestin amat berkait rapat dengan politik Syria. Tiada guna berdemo dan memperjuangkan hak rakyat Palestin habis-habisan andai isu Syria dipandang hanya sebelah mata. Dengan era kebangkitan islam di Mesir, Tunisia dan Libya ini, perlu ada kesinambungannya di Syria. Jangan pula kemenangan rakyat nanti dirampas anjing barat lalu menjadi pematah aspirasi kebangkitan arab. Wallahualam

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....