SIRI V
Islam adalah agama yang amat mementingkan ilmu sehingga mengsyaratkan keilmuan dan kefahaman sebagai asas untuk diterima segala amalan. Bahkan enam rukun iman yang menjadi tonggak kepercayaan umat islam itu juga merupakan ilmu yang wajib ada pada seseorang sebelum bergelar muslim.
Islam juga meletakkan golongan berilmu lebih tinggi dari manusia lain. Firman Allah SWT:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الأَلْبَابِ
[الزمر:9]Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
[المجادلة: 11]
Allah SWT mengangkat mereka yang beriman dan berilmu dikalangan kamu dengan beberapa darjat.
Justeru itu, perlulah bagi seorang muslim itu menyusun manhaj pembelajaran mereka sebaiknya supaya mereka mampu untuk menjadi pejuang agama Allah yang berperanan dan tidak ditipu oleh muslihat musuh.
CABANG ILMU PENGETAHUAN
1. Pengetahuan islam
2. Pengetahuan sejarah
3. Pengetahuan bahasa dan sastera
4. Pengetahuan sains sosial
5. Pengetahuan sains tulen.
6. Pengetahuan isu semasa.
Pengetahuan yang paling penting adalah pengetahuan islam yang merangkumi ilmu tauhid, al-quran, hadis, fiqh, akhlak, dan sebagainya. Itulah asas sandaran bagi segala ilmu pengetahuan yang lain. Namun sebelum memahami pengetahuan ini mereka perlu terlebih dahulu menguasai pengetahuan bahasa terutamanya bahasa arab seperti Nahu, Sorof, Balaghah dan Adab supaya dapat memahami al-Quran, Hadis dan kitab-kitab ulama dahulu dengan baik.
Disamping itu umat islam juga perlu mempelajari ilmu-ilmu moden seperti
1. Pengetahuan sejarah; bertujuan supaya mereka
memahami sebab-sebab kemajuan dan kejatuhan sesebuah bangsa
melihat kebenaran cerita-cerita al-Quran dan janji-janji Allah kepada sesebuah kaum.
Menjadi rujukan penting untuk memahami realiti semasa
Mengambil semangat & mencontohi perjuangan tokoh-tokoh dahulu dalam mempertahankan islam
2. Pengetahuan sains sosial; iaitu berkaitan undang-undang, ekonomi, psikologi, kebudayaan supaya:
Memahami cara berfikir golongan bukan agamawan
Mampu membandingkan sistem ciptaan manusia dengan sistem ciptaan Allah.
3. Pengetahuan sains tulen; melibatkan ilmu kajian tentang hukum alam semulajadi seperti matematik, fizik, kimia, biologi, geografi, ilmu falak dan teknologi supaya para agamawan:
Tidak ketinggalan dengan arus semasa yang boleh menjatuhkan keizzahan.
Menangkis dakwaan kajian-kajian songsang yang menyalahi fakta al-Quran seperti teori Darwin.
Membawa manusia memahami agama dengan fakta sains.
4. Pengetahuan isu semasa antaranya
perkembangan negara umat islam lain
perkembangan musuh islam dunia
perkembangan agama-agama semasa
perkembangan badan-badan politik semasa
perkembangan gerakan islam semasa
perkembangan ideologi moden
perkembangan ajaran-ajaran sesat
perkembangan masyarakat setempat
Sebenarnya mempelajari ilmu pengetahuan moden terutama bahasa inggeris dan ilmu-ilmu diatas adalah dituntut amat dalam islam, sebagaimana dalam satu athar:
الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
Ilmu kebijaksanaan itu adalah barangan tecicir milik orang islam, maka dimana sahaja mereka jumpainya, mereka lebih berhak mengambilnya. [Riwayat Tirmizi]
Kata Saidina Umar RA:
من تعلم لغة قوم أمن مكرهم
Barang siapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum itu, maka mereka telah selamat dari muslihatnya
USRAH SEBAGAI MEDAN PENGUMPULAN MAKLUMAT
Untuk memahami kesemua perkara ini adalah agak mustahil bagi seorang manusia biasa, jika sekiranya dia mencarinya sendirian. Oleh itu mereka perlu mengusahakannya secara berkumpulan. Disinilah perlunya kepada usrah di setiap peringkat.
Dengan berusrah, seseorang itu boleh membahagikan tugasan sesama mereka untuk mempelajari bidangan ilmu-ilmu yang pelbagai, lalu dibentangkan dalam usrah tersebut. Cara itu mampu menjimatkan masa seseorang daripada menghabiskan masa yang lama membaca dan mengkaji semua ilmu-ilmu diatas satu persatu sehingga membantutkan kerja-kerja lain.
Rasulullah S.A.W bersabda :
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةِ أَشْيَاءَ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.
[رواه مسلم]
“Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
Sumber:
Thaqafah ad-Daiyah – Dr Yusof al-Qardawi
Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH, MAAHAD DARUL QURAN, SESI 2013
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....