Tuesday, October 8, 2013

RESPON KEDUA BUAT YB KHALID SAMAD

Terima kasih tidak terhingga pada YB KS atas respon terhadap pandangan saya. Ternyata YB amat terbuka dalam membincangkan perkara ni walaupun kita saling tidak mengenali.

Pada mulanya apabila saya dapat tahu respon saya tempohari dijawab oleh YB (sini), saya amat bersyukur kerana respon itu tidak dibakulsampahkan. Dan saya tidak berfikir untuk membalasnya sekali lagi. Cukuplah mesej pertama saya didengari oleh YB.

Setelah membaca tulisan tersebut, dirasakan ada maklumat yang perlu untuk dibahaskan. Oleh kerana tulisan ini turut dibaca oleh pelayar maya, ada baiknya untuk saya percambahkan lagi perbincangkan demi manfaat bersama.

1.QIYAS

Terima kasih atas penjelasan beserta contoh yang YB terangkan. Pada mula saya membaca artikel pertama YB, saya cuba untuk tidak memahami maksud qiyas YB dengan cara sedemikian kerana saya fikir tak mungkin ini yang YB maksudkan. Ianya tidak layak bagi seorang yang hebat seperti YB.

Alasan paling mudah, jika sekadar pilih dari sudut keahlian yang YB maksudkan, kenapa sampai perlu dikait dengan pemilihan Khalid al-Walid? Sedangkan ia turut boleh dikaitkan dengan jawatan Gabenor kepada Saidina Ali, jawatan Imam pada Abu Bakar, jawatan panglima perang orang lain. Kenapa Khalid al-Walid yang kontroversi itu menjadi pilihan?
Jika jawapannya kerana pemilihannya bukan ulama', nyata itu bukan satu qiyas yang baik. Seolah-olah mengqiyaskan haram makan gajah dengan pengharaman makan biawak hanya kerana keduanya binatang yang berkulit tebal padahal mereka dari spesis yang berbeza. Rujuk syarat illah untuk penditilan.
Sebelum YB berdalilkan qiyas, YB perlu lihat tiga sumber teratas dahulu iaitu Quran, Hadis dan Ijmak.

Tidak boleh langkah terus. Ini menurut ayat 59 Surah al-Nisa':

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَبِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan 
kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Jika keahlian itu yang menjadi maksud YB, tak perlu qiyaskan dengan Khalid al-Walid terus kerana YB perlu datangkan ayat Quran itu dahulu iaitu seperti yang YB baru tulis dalam artikel terkini.

Ini yang biasanya ditegur oleh Dr Yusof Qardawi. Beliau menyatakan fenomena ini banyak berlaku dalam masyarakat moden. Berdalilkan hadis ahad sedangkan ada hadis mutawatir, berdalilkan ijma pada masalah yang ada nas, berdalilkan nas yang nanyak ihtimal pada masalah yang sudah ada nas jelas dan sebagainya. Mereka tidak meletakkan aulawiyat dalam beristidlal menyebabkan sesuatu yang mudah dirumitkan, maksud asal syariat juga boleh terseleweng.

Tambahan pula, dalam menjaga keaslian qiyas sebagai salah satu sumber daripada sumber-sumber hukum, YB perlu jelaskan secara tafsili corak pengqiyasan itu. Tidak memadai dengan menyatakan ia sudah jelas sahaja. Ini penting agar orang terkemudian tidak senang-senang mengungkap ini qiyas itu qiyas hanya kerana melihat satu persamaan kecil tanpa memahami disiplin qiyas sebenar.

Soalan senang yang saya ingin ajukan, apakah sebab/illah YB samakan asas pemilihan Khalid al-Walid dengan Tim. Pres? YB jangan jawab ianya disebabkan 'keahlian'  kerana itu bukan illah. Itu hukum asal bagi pemilihan Khalid al-Walid yang  juga akan menjadi hukum bagi furu' yang YB bawakan.

Saya bawa contoh qiyas supaya pembaca lain boleh faham. Qiyas pengharaman arak kepada wiski. Arak mengikut bahasa arab bermaksud perahan anggur yang diperam, sedangkan wiski bermaksud perahan oren yang diperam.

Baik. Asal qiyas adalah arak. Furu,/cabangnya pula wiski. Hukum asal adalah haram dan illahnya pula adalah sifat memabukkan. Wiski dihukum haram sama seperti arak kerana wujud persamaan antara keduanya melalui illah, iaitu memabukkan.

Justeru itu, saya masih belum dapat mencari illah bagi qiyasan YB. Saya akan susun supaya pembaca lain boleh berfikir apa sudut persamaannya.

-Kes asal: asas pemilihan Khalid
-Kes furu': asas pemilihan Timb Presiden
-Hukum: pilih dari sudut keahlian.
-Illah: Kedua-duanya mempunyai sifat ??

Kalau illahnya keraja keduanya bukan ulama', ia akan berbalik kepada pertikaian awal YB dengan Imran al-Malizi, kerana ia memang melibatkan kedudukan 'jawatan'.

2.IJTIHAD

Pertama saya ingin memperbetulkan sedikit silap faham berhubung fiqh. Menurut jumhur sarjana islam, segala perbuatan zahir manusia samada hubungan antara dia dengan Allah atau hubungan sesama manusia adalah termasuk dalam perbahasan fiqh.

Fiqh pula banyak cabangnya. Yang membincangkan soal ibadah asas dalam rukun islam digelar fiqh ibadah. Yang membincangkan soal jual beli, pemilikan dan transaksi harta digelar fiqh muamalat. Yang berkait dengan kekeluargaan disebut fiqh munakahat atau fiqh ahwal syakhsiyyah. Manakala yang berkait soal pemerintahan dan politik disebut fiqh siasah.

Pemisahan ijtihad fiqhiyah dengan ijtihad siasah boleh menimbulkan kekeliruan, seolah-olah fiqh itu hanya berkait hukum hakam ibadat,munakahat dan muamalat semata-mata tanpa melibatkan siasah. Mungkin fiqh siasahlah yang YB maksudkan dalam hal-hal politik yang perlu ada pada seorang Timb Pres.

Kita punya persamaan dan perbezaan dalam hal ini. Saya dan YB bersetuju seorang Timb Pres bukan seorang yang buta politik. Beliau mestilah berpengalaman dan berkemahiran dalam dunia politik. Bezanya pula apabila saya juga mewajibkan keahlian berijtihad menurut fiqh islami sedangkan pada YB, ia hanya satu nilai tambah.

Saya masih berpegang kepada perlunya Timb Pres dikalangan agamawan, atas sebab beliau bakal mengganti presiden dalam keadaan-keadaan tertentu. Presiden mestilah bukan seorang yang hanya mahir segala-galanya bukan hanya bidang politik kerana PAS bukan memperjuangkan politik semata-mata. Core bussiness PAS adalah islam sedangkan politik hanya wasilah menegakkan islam.

Qiyas paling tepat untuk jawatan panglima perang bagi sebuah jemaah islam adalah di kerusi Pengarah Pilihanraya Pusat yang memfokuskan hanya gerakerja kemuncak pertembungan politik iaitu pilihanraya.
Seperkara lagi berkait dengan ijtihad, adalah menjadi suatu kesalahan apabila menyebut ijtihad dalam politik tidak memerlukan kepada kepakaran agama. Sedangkan orang yang mendalami ilmu agama sejak kecilpun belum tentu boleh berijtihad.

Ijtihad mengikut ulama kontemporari mempunyai tiga jenis iaitu ijtihad bayani, ijtihad qiyasi dan ijtihad istislahi. Dua jenis yang terakhir itulah yang menjadi keperluan utama dalam ijtihad fiqh siyasi.
Untuk berijtihad pula, alim ulama meletakka n syarat yang perlu ada 8 syarat sperti yang dinyatakan oleh penyarang usul fiqh islamiu, Dr Wahbah az-Zuhaily iaitu:

1.Memahami makna ayat-ayat hukum berkaitan dari segi bahasa dan syarak.
2.Memahami hadis-hadis hukum beritan dari segi bahasa dan syarak.
3.Mengetahui hal nasikh mansukh dalam ayat dan hadis berkaitan.
4.Mesti mengetahui ijmak dan perbincangan ulama terdahulu yang berkaitan.
5.Mahir dalam berqiyas.
6.Mengetahui ilmu-ilmu bahasa arab.
7.Pandai ilmu usul fiqh.
8.Memahami maqasid syariah

Ada ulama menambah syarat kesembilan iaitu mestilah memahami keadaan semasa.

Sebab itulah jika ijtihad itu dalam perkara melibatkan ilmu sains yang kebetulan tidak ada pakar agama yang turut pakar dalam sains, maka waktu ini boleh pakar agama itu berijtihad mengikut keterangan yang diberi oleh pakar sains yang jujur. Tetapi untuk pakar sains berijtihad sendiri tanpa melengkapi syarat mujtahid, perkara ini tidak dibolehkan.

Inilah pendekatan yang digunapakai oleh Mujamma Fiqhi yang berijtihad secara jamaie. Seringkali pakar perubatan dipanggil ke persidangan untuk menjelas proses-proses perubatan sebelum diputuskan hukum.

Saya merasakan lebih baik golongan pakar politik ini-walaupun tidak mahir dalam agama-menjadi panel penasihat dibelakang Presiden yang boleh dipanggil g mengenai hal politik tanpa perlu diberi kuasa pemutus.

3.RASULULLAH

Tepat sekali! Tiada orang mampu menggantikan peribadi Rasulullah, tetapi bukankah Rasulullah itu diutus supaya dicontohi? Mencontohi Rasulullah dengan persamaan yang paling dekat adalah paling dituntut.

Pemisahan kuasa antara MSU dan Presiden bukanlah kerana MSU tidak pandai berpolitik dan Pres tidak pakar hukum, tetapi kelemahan mereka berbanding Rasulullah adalah mereka tidak disokong dengan wahyu. Ini membuatkan manusia zaman ini perlu membahagikan tugas yang Rasulullah pikul secara kolektif. Bukanlah saya maksudkan jelmaan peranan Rasulullah itu MSU, atau Pres semata-mata, tetapi melibatkan gabungan keduanya sekali kerana selain, berfatwa, rasulullah juga turun ke peringkat eksekutif memimpin perang dan metadbir Madinah ( kadang-kadang Rasulullah mencampuri hal kehakiman).

Inilah yang disebut oleh nabi sebagai Ulama warasatul anbiya'. Jika mengehadkan golongan bertaraf ulama' hanya menjadi syarat untuk jawatan MSU bukan mengetuai eksekutif, maka kita telah mengecilkan peranan rasulullah yang diwariskan kepada golongan ulama'.
Jangan jawab menggunakan kenyataan TGNA yang menyatakan semua orang PAS itu ulama'. Itu ulama dari sudut bahasa. Kita bercakap tentang ulama' menurut istilah syarak.

4.KD

Saya juga telah didedahkan tentang apa yang berlaku dalam PAS, dan juga mesyuarat rundingan PR yang bukan hanya bersidang sekali, tetapi berkali-kali dalam menyelesaikan isu baki 7 kerusi yang terseret hingga ke hari penamaan calon.

Namun saya fikir lebih baik orang yang berautoriti menjawab hal ini bimbang timbul kekeliruan selain menjaga prinsip keilmuan kerana ia melibatkan nama-nama individu.
Cuma saya masih berpegang pada pendapat asal yang meletakkan kesalahan pada PKR.

رأيي صواب يحتمل الخطأ ورأيك الخطأ يحتمل الصواب.

5.PERJANJIAN

Isu wanita tidak termasuk dalam terma perjanjian? Mungki YB perlu membelek kembali tafsir dan asbab nuzul ayat 10 dalam surah Mumtahinah. Ini nasnya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا جَاءَكُمُ الْمُؤْمِنَاتُ مُهَاجِرَاتٍ فَامْتَحِنُوهُنَّ ۖ اللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَانِهِنَّ ۖ فَإِنْ عَلِمْتُمُوهُنَّ مُؤْمِنَاتٍ فَلَا تَرْجِعُوهُنَّ إِلَى الْكُفَّارِ ۖ لَا هُنَّ حِلٌّ لَهُمْ وَلَا هُمْ يَحِلُّونَ لَهُنَّ ۖ وَآتُوهُمْ مَا أَنْفَقُوا ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ أَنْ تَنْكِحُوهُنَّ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۚ وَلَا تُمْسِكُوا بِعِصَمِ الْكَوَافِرِ وَاسْأَلُوا مَا أَنْفَقْتُمْ وَلْيَسْأَلُوا مَا أَنْفَقُوا ۚ ذَٰلِكُمْ حُكْمُ اللَّهِ ۖ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ ۚ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka maskahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah; Ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Saya bawakan dibawah terma-terma Perjanjian Hudaibiyah.

1.Gencatan senjata selama sepuluh tahun.
2.Orang Islam dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya, tinggal di Makkah selama tiga hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung.
3.Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.
4.Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.
5.Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.
6.Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan.

Perbuatan tidak menyerahkan wanita itu melanggar perjanjian no. 4

Betulkah Nabi SAW memberitahu dahulu sebelum masuk? Riwayat manakah yang menceritakan nabi berbincang dahulu sebelum membatalkan perjanjian.

Semenjak kaum Quraisy melanggar perjanjian no.6 menolong Bani Bakar yang bersekutu dengan mereka untuk menyerang Bani Khuzaah yang bersekutu dengan islam, nabi telah tekad membalas perbuatan itu dengan ketegasan islam. Nabi hanya beri pilihan samada bayar denda, putuskan kerjasama dengan Bani Bakar atau perang. Abu Sufyan cuba memujuk nabi untuk memperbaharui perjanjian tetapi nabi enggan lagi bercakap soal itu dengan beliau. Abu Bakar dan Umar turut mengikut cara nabi iti.

Ya, nabi pernah memanggil Abu Sufyan sebelum membuka kota Mekah, tapi itu bukan satu rundingan untuk berdamai lagi. Itu sekadar satu taklimat supaya pihak Quraisy tidak melawan jika tidak mahu susah.

Dalam hal rundingan KD, saya yakin pihak PKR telahpun maklum dengan ketegasan Pres yang bukan tidak bersetuju dengan pertandingan PKR, tetapi soal calon. Tetapi mereka juga tidak mahu mengalah. Ia bukan silap perunding atau pemutus, tapi silap 'tangan-tangan ghaib' yang tidak ditugaskan untuk membicarakn hal ini.

Tidak perlu saya ulas lanjut dakwaan ini kerana saya tidak berautoriti untuk bercakap soal ini. Namun sebagai peringatan, saya mengikuti isu KD ini dari awal rundingan hingga pasca PRU.
Sebaliknya, jelas terserlah hikmah keputusan Presiden itu. Keadaan telah menyebabkan PAS mempunyai kelebihan 1 kerusi berbanding PKR. Ini bermakna PAS berautoriti untuk menentukan MB Selangor. Disaat kem PKR bertelagah antara memilih Dato Seri Khalid Ibrahim atau Azmin Ali, PAS lebih dahulu menghantar surat sokongan melantik MB lepas. Ini sedikit sebanyak menutup 'perang saudara' yang berlaku dalam kem PKR Selangor yang paling lewat membentuk kabinet berbanding negeri-negeri lain.

6.TARBIAH

Semua inginkan islam.

Tuan Guru sebut semua diterima ke dalan PAS, tetapi tidak boleh membawa agenda lain. Mereka mesti mendokong agenda PAS dan mengikut cara PAS. Anda semua boleh bayangkan bagaimana harunya sebuah pentadbiran yang mempunyai motif sama, iaitu untuk berkuasa, tetapi modus operandinya berbeza. Sebahagian bawa cita-cita sosialisme, sebahagian lagi dengan pemikiran kapitalisme.

Saya berikan contoh lain. Askar, polis dan bomba Malaysia semuanya menjunjung perlembagaan yang sama. Tetapi 'tarbiah' polis berbeza dengan cara bomba. Apabila ahli bomba menyertai polis, mereka tidak boleh sewenang wenangnya bawa cara bomba mereka dalan polis, atas alasan kebebasan berfikir. Orang pakai warna biru, dia selamba kenakan pakaian jingga.

Percambahan teori itu tidak salah. Bawalah fahaman kita dari apa jua mazhab pemikiran atau manhaj tarbiah yang kita lalui, tapi untuk bekerja, kita tidak boleh wala' selain dari kepimpinan tertinggi PAS. Wala' pula bukan sekadar taat, tapi setia dengan maksud sayang, kasih dan sanggup berkorban demi jemaah dan kepimpinannya. Ini yang disebut loyalty.

Sabda Rasulullah SAW:

تلزموا جماعة المسلمين وإمامهم
Setialah bersama jemaah islam dan kepimpinannya. [HR al-Hakim]

Ayat yang nabi gunakan adalah talzamu bermaksud setia melazimi, bukan tandhommu yang bermaksud menyertai. Ini yang harus difahami.

Saya tak kata jemaah lain salah, tetapi jika pilih PAS, jiwa dan raga mesti mengikut manhaj PAS dan tajarrud dengan landasan pemikiran PAS.

TGHH, al-Marhum Ust Dato' Hj Fadzil Mohd Noor juga dahulunya berkhidmat dalam jemaah ABIM. Tetapi apabila pimpinan ABIM memutuskan untuk mereka menyertai PAS, mereka membebaskan diri terus dari ABIM dan bersama PAS totally. Merekalah yang merangka manhaj tarbiah dalam PAS tanpa meniru terus pembawaan ABIM.

Memang kita rujuk pada Quran yang sama, hadis yang sama. Tetapi pemahaman dari nas itu yabg membezakan kita. Seperti juga perbezaan mazhab. Mereka tidak menggunakan Quran dan Hadis lain, cuma pemahamannya sahaja yang berlainan.

7.KETERBUKAAN MELAMPAU

Inilah akibat apabila politik menjadi kiblat. Keuntungan yang difikir hanya buat politik. Maslahah dan mafsadah juga hanya terhad kepada kepada bacaan politik.

Dalam islam, menegur itu ada seninya. Kita dilarang menegur sesorang secara terbuka samada pimpinan atau orang bawahan. Tetapi ia diharuskan sebagai ikhtiar alternatif setelah tiada ruang untuk menegur secara sembunyi, atau teguran secara sembunyi itu tidak dipedulikan seperti menegur kerajaan UMNO BN.

Tuan-tuan taip sahaja adab nasihat atau adab menegur pada google, pasti keluar bermacam-macam artikel yang menyokong kenyataan saya. Tak perlu ulas lebih lanjut.

Jangan kerana politik, adab agama kita belakangkan.

8.WACANA

Saya baru balik dari Pagoh Johor kerana mengikuti ijtima tarbawi. Difahamkan ada sebuah wacana lain yang dibuat di Penang anjuran LPPN. Siapa sebenarnya yang anjur pun saya tak tahu. Tetapi YB turut tersenarai sebagai panelis. Yang menjadi suatu kemusykilan, kenapakah pemilik-pemilik blog bermasalah seperti yang SU Agung kita dedahkan turut menjadi panel di pentas kita? Bukankah masalahnya akan merugikan politik dalaman kita? Atau ada politik lain disebaliknya?

YB boleh jawab itu bertujuan untuk memurnikan pemikiran bermasalah mereka. Tapi saya masih tidak bersetuju program terbuka itu hanya untuk memurnikan dua tiga pembawa masalah ini. Impaknya akan menyebabkan audiens lain turut terkena jangkitan masalah itu. Ibarat mengesat tahi ayam di kasut menggunakan lengan baju. Program tertutup lebih berkesan.

Apapun, sebuah wacana yang membariskan anggota Dewan Ulama Pusat bersama AJK BPPNS terutamanya YB sendiri adalah suatu impian yang senantiasa saya cita-citakan.

Terima kasih YB dan yang lain kerana membaca. Ada lagi tambahan point unutuk saya ajukan pada YB tapi 8 inipun sudah cukup panjang untuk sebuah artikel balas. InsyaAllah saya tuliskan di lain tajuk.

Jazakumllah Khairal Jaza'. Moga kita sentiasa berada dalam taufik hidayahNya.

9 comments:

  1. "Soalan senang yang saya ingin ajukan, apakah sebab/illah YB samakan asas pemilihan Khalid al-Walid dengan Tim. Pres? YB jangan jawab ianya disebabkan 'keahlian' kerana itu bukan illah. Itu hukum asal bagi pemilihan Khalid al-Walid yang juga akan menjadi hukum bagi furu' yang YB bawakan."

    Menjadi masalah kepada sedara sekarang kepada pengertian qias. Soal meletakkan sesuatu hukum...Apakah konteks yang KS nak sampaikan dalam soal pemilihan dari segi perbandingan? Jangan riak dengan ilmu tu, niat tu perlu jelas

    Belajar memahami maksud ditulis didalam konteks, Kemudian response mengikut konteks. Bagus ilmu untuk tunjuk pandai...

    ReplyDelete
  2. Orang macam nie dia bukan nak cari kebaikan, dia nak cari salah ejaan...
    Orang macam nie dia bukan mencari erti kata-kata, dia suka mencari perkataan yang boleh untuk pertikai

    Tak habis ceritalah mangkuk oi...oi..harap serban bertingkat berlapang dada tak ada...

    ReplyDelete
  3. Sdr Ilham terus melanjutkan perbahasan!

    Khalid Al-Walid (Panglima Perang) dan Timbalan Presiden.
    Berbeza pendapat Sdr dengan Saya, dan juga KS.
    Tak perlu diperpanjangkan.... terima dan berlapang dada.

    Bagi saya, tak ada masalah nak analogikan Panglima Perang dan Timbalan Presiden. Maksud saya jelas, seorang yang bijaksana, ahli, matang bacaan politik semasa,berkebolehan merencana strategi dan sudah pasti TAQWA.

    Kalau Sdr fikir Panglima Perang lebih tepat dan sesuai diqiyaskan dengan Pengarah Pilihanraya Pusat, maka teruskanlah.... pun tiada masalah.

    Maknanya Sdr sama kan "Musim Perang" dengan "Musim Pilihanraya". Panglima Perang dengan Pengarah Pilihanraya. Tiada masalah...teruskan dengan pendapat tersebut!

    TAPI kita bukan berperang bermusim dengan UMNO, tetapi setiap masa, yang kemuncaknya waktu PRU. Itu saja.

    Apapun, penjelasan KS tu sudah cukup jelas dan memadai. Tak perlu diperpanjangkan. Terima seadanya..... terserah kepada perwakilan lah nanti....

    Seperkara lagi, demokrasi kita demokrasi sekular.... maksudnya pengundi tu bukan dari golongan agamawan saja..... pengundi tu orang kafir, penyangak, penyamun dan segala manusia yang tidak layak jadi saksi dalam Islam adalah layak mengundi.....

    Tak sama dengan demokrasi Para Sahabat.... menentukan kuasa Khalifah adalah orang mukmin sahaja....

    Keduanya, majoriti para pengundi (orang islam) pula, bukannya faham pemikiran politik Islam. Majoriti lulusan sekolah kebangsaan, YANG ILMU AGAMA mereka (berdasarkan pendidikan agama Islam sekolah) "cukup-cukup makan" saja....

    Dengan demikian, apakah Sdr fikir seluruh pimpinan, dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, dan semua AJK Pusat, Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama, SEMUA dari kalangan Ulama, lebih baik dan aula?

    ReplyDelete
  4. Terima kasih untuk teguran. Saya sekadar membahas dalam kerangka ilmu, bukan mencari siapa salah. Minta maaf jika bahasa saya menunjukkan kesombongan berilmu.

    Bagi saya, lebih baik berbahas hal ini, untuk menajamkan pemikiran.

    ReplyDelete
  5. Apa pandangan yang lain? Adakah tulisan ini mendatangkan perpecahan? Adakah tulisan tidak menambahkan maklumat? Adakah tulisan ini dibaca dengan iringan rasa murka? Jika negatif lebuh banyak dari positif, saya sedia menarik balik artikel ini..

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah. Penjelasan yg amat baik dari Ust Marwan. Tahniah.

    ReplyDelete
  7. Terima kasih di atas tulisan tuan yang mana akan diteliti oleh YB Khalid dan dikemukakan respon selepas program Hari Raya Eidul Adha sekiranya perlu. Beliau juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada tuan dan keluarga.

    -Pejabat YB Khalid Samad-

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama, saya juga amat2 menghargai keprihatinan pihak anda..

      Delete
  8. penulis blog dan fb yang tak berselindung tabik kepada mereka. Mereka zahirkan diri , jika tindakan mereka salah PAS boleh ambil tindakan disiplin sebab mereka nertanggungjawab terhadap penulisan mereka.

    Penulis blog dan fb yang berselindung disebalik jubah ustaz haraki ini yang bermasalah. Kenapa mereka tidak berani zahirkan diri jika mereka bertanggungjawab. Tindakan mereka hanya mencemarkan nama Presiden, nama para ulama dalam PAS.

    ReplyDelete

Guane gamok? komen skit....