MUKADDIMAH
Rasanya ada
baik untuk saya kongsikan tentang apa yang saya kaji sedikit sebanyak berkenaan
cara mendidik anak mengikut manhaj sunnah. Sebagai seorang bapa, saya sendiri
inginkan yang terbaik untuk si kecil lambang cinta kami ini. Lebih-lebih lagi
buat kami papa dan mama baru, sudah tentu first experience ini kami perlu
hadapai dengan penuh cermat agar tidak tersilap langkah.
Sabda
Rasulullah SAW:
ما من مولود إلا
يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه
[أخرجه الصحيحين]
Tiadalah sebarang kelahiran
melainkan dilahirkan atas fitrah. Maka ibubapalah yang mengyahudikannya, atau
mengkristiankannya, atau memajusikannya.
...محمد مياز أضحى |
Asal kejadian manusia adalah
mengikut fitrah iaitu suci, baik dan bebas daripada sebarang dosa. Sebab itulah
kita lihat semua kanak-kanak sewaktu kecil tidak terfikir untuk melakukan
jenayah. Mereka tiada minat untuk membunuh, tidak sukakan maksiat,
tempat-tempat bising dan gelap. Tidak kira kanak-kanak itu islam, budhha,
hindu, atau kristian yahudi sekalipun, mereka tetap di atas fitrah yang suci.
Namun suasana yang diperkenalkan
ibubapa itulah yang merubah segalanya.
Justeru itu untuk mengekalkan
kanak-kanak di atas fitrah asal mereka, perlukan kembali kepada cara fitrah
iaitu agama islam. Firman Allah SWT:
أَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ
عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ
النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
[(30) سورة الروم]
Teguhkan pandanganmu demi agama
(islam) yang suci, itulah fitrah yang diciptakan Allah, yang juga dengannya
diciptakan manusia. Tiada (dapat) diubah ciptaan Allah. Itulah agama yang teguh
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Bertitik tolak dari mukaddimah
ini saya nyatakan satu hadis nabi berkenaan method pendidikan anak.
عن أبي جبيرة قال : قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم - : " الولد
سيد سبع سنين ، وعبد سبع سنين ، ووزير سبع سنين ، فإن رضيت مكاتفته لإحدى وعشرين
[مجمع الزوائد - نورالدين الهيثمي]
Daripada Abi Jabirah berkata:
Sabda Rasulullah SAW:
Anak itu adalah ketua selama
tujuh tahun, hamba tujuh tahun dan menteri tujuh tahun. Jika kamu redha
cukuplah (didikan) pada umur 21.
Walaupun hadis ini agak kontroversi
dikalangan ulama` pengkaji riwayat, ianya datang dengan lafaz berbeza yang amat
banyak. Para sahabat dan tabiin serta ulama-ulama salaf mahupun khalaf
mengiktiraf makna hadis ini dan tiada siapa pun yang mempertikai kaedah yang
ditunjukkan hadis ini. Kata ulama-ulama hadis, tidak salah beramal dengan hadis
seperti ini jika tiada pertembungan dengan hadis yang lebih sahih atau nas
quran.
Banyak lagi hadis seumpama ini
dengan bahasa yang berbeza tapi bagi saya, makna hadis yang dilampirkan inilah
yang paling mendalam dan paling dijiwai oleh saya.
Ia terbahagi kepada tiga
peringkat iaitu peringkat ketua (0-7 tahun), hamba (7-14 tahun), dan menteri
(14-21 tahun.)
KETUA DI UMUR 0-7 TAHUN.
(MANJAKAN MEREKA)
Umur 0-7 adalah umur dari kelahiran
(ولادة)
hingga mumayyiz (تمييز). Semenjak lahir, perilaku kanak-kanak akan sama
seperti binatang peliharaan (maaf cakap). Otak mereka masih belum berfungsi
untuk berfikir dan mengingat sehinggalah sampai umur mumayyiz. Kita sendiri dah
lupa macam mana perangai kita sebelum mumayyiz dulu kerana akal belum lagi stabil.
Mumayyiz bermaksud tahu beza
antara elok dan buruk. Tahu pilih sakit dan nikmat atau bahasa mudahnya, otak
mereka sudah boleh berfungsi.
Ketua yang dimaksudkan hadis
adalah kita harus mengikut segala kemahuannya selagi tidak membawa kepada
keburukan yang nyata. Bermain dengannya, berikan apa yang dia minta, layan
karenah dengan baik jika dia merajuk, menangis, marah dan sebagainya. Jangan
marah jika dia rosakkan barang-barang kita. Nasihat dengan suara yang tidak
tinggi. Jangan sesekali meninggikan suara, selalu bermanis muka dengannya dan
buang jauh-jauh sifat tegas kita. Manjakan
Nabi SAW ketika Hasan dan Husain
berada di umur ini, tidak pernah direkod bahawa baginda pernah memarahi mereka
hatta ketika mereka berdua mengacau nabi dalam sembahyang pun, nabi tak marah
sebaliknya menunggu Hasan dan Husain puas mengacau. Setelah puas mereka berdua
naik atas badan baginda ketika sedang sujud, barulah dia bangun dari sujud
walaupun tika itu nabi adalah imam.
Bagi ibubapa yang menyambut
kelahiran anak sulung, tidak dinafikan inilah tempoh paling meletihkan. Kita
tak tahu apa mereka nak. Kita tahu adakah tangis raung mereka itu bermakna
sakit, sedih, atau saja-saja nak menangis? Yang penting berikan mereka yang
terbaik.
Harus diingat, menjadikan mereka
ketua bukan dalam setiap waktu. Adakala juga kita perlu sedikit bertegas,
sedikit berkawan dan boleh ajak berbincang perkara-perkara ringan, tetapi
mestilah ketua itu menjadi sifat dominan bagi mereka.
Untuk memberi ilmu pada mereka,
berikan dalam bentuk permainan dan hiburan seperti lagu, buku-buku bergambar
yang boleh digigit-gigit, mainan berbentuk huruf dan sebagainya.
Tidak salah untuk mengajar mereka
hafal al-Quran sedari kecil, tapi ajaklah dengan penuh santai dan menarik minat
mereka. Bantu dari sudut suasana, pemakanan dan mulakan dari diri kita. Jangan
hanya harapkan anak yang hafiz, ibubapa hancur. Jika mereka tidak minat atau
tidak mampu, jangan sesekali memaksa kerana itu normal. Masanya belum sampai!
Sebaiknya ajarlah mereka
perkara-perkara praktikal seperti berenang, memanah/menuju sasaran, menanam
atau bermain dengan binatang. Ini juga saranan sunnah nabi kita.
Orang jepun tampak memahami
hakikat ini. Tadika mereka hanya mengajarkan teori di kelas sekali dalam
seminggu. Bakinya di bahagikan mengikut elemen bumi seperti air, api, tanah dan
angin. (macam avatar la pulak.)
Kalau hari isnin hari air. Mereka
akan diajar mengenal air melalui permainan seperti waterboom, pistol air
dan sebagainya. Mereka dilatih memahirkan diri dengan air seperti berenang,
menyalurkan air atau mengail. Mereka juga diajar mengenal habibat di air
seperti ikan, kura-kura dan dan memerang.
Saya lebih cenderung untuk
mengisi marhalah ini dengan pendidikan akhlak sebagai salah satu dari
elemen agama. Didik mereka ucap salam, cium tangan, ucap terima kasih, minta
maaf, minta izin, senyum, dan jangan aniaya rakan dan haiwan.
Mengikut sudut pandang psikologi,
umur ini adalah umur pembentukan fizikal kanak-kanak dan Physical Quotientnya
(PQ). Peringkat inilah tulang mereka bertambah, gigi tumbuh, lidah
bertutur dan kerangka tubuh pesat membesar. Segala pertumbuhan ini akan
terbantut jika kanak-kanak mengalami gangguan emosi dan fizikal seperti sakit,
takut, sesak nafas, kurang makan dan sebagainya. Sebab itulah tidak boleh
dipukul, ditengking jerkah atau di denda di umur ini.
HAMBA DI UMUR 7-14 TAHUN.
(DISIPLINKAN MEREKA)
7 tahun adalah garis purata
kanak-kanak mencapai tahap mumayyiz. 14 tahun pula merupakan umur purata
kanak-kanak itu masuk ke alam remaja atau (بلوغ).
Setelah sampai umur ini, mereka
tidak boleh lagi dimanjakan. Sudah tiba masanya mereka diajar mematuhi
undang-undang. Dari umur inilah nabi menyarankan agar:
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا
بينهم في المضاجع
[رواه
أبو داود]
Perintahkan anak-anakmu solat
pada umur 7 tahun, dan pukullah di umur 10, serta pisahkan tempat tidur mereka
(lelaki dan perempuan.)
Peringkat inilah kanak-kanak mula
mempelajari penggunaan akal. Mereka akan tanya macam-macam. Ibu bapa dan
pendidik harus sabar dengan setiap soalan mereka. Jawab dengan penuh hikmah dan
tidak emosional.
Mulakan peringkat kedua ini step
by step. Sebaiknya mulakan sedari umur 6 tahun. Ajarkan mereka akidah
islamiah dahulu. Terangkan siapa itu tuhan, kenapa kita wujud di dunia.
Ceritakan perihal akhirat, syurga, neraka, balasan buat jahat dan baik dan
sebagainya.
Setelah itu baru selitkan sedikit
demi sedikit perintah dan arahan seperti solat, puasa dan bersedekah. Jika
mereka tak mampu seperti tertidur, demam atau lupa, biarkan dahulu di
permulaan. Lama-kelamaan tegur perbuatan mereka, berikan amaran, amaran keras,
tinggikan suara sedikit demi sedikit, denda, dan akhirnya sampai umur 10 (
pertengahan antara 7-14), baru boleh kita hukum mereka dengan pukulan. Jangan
sesekali bertindak melainkan setelah mereka diberitahu apa yang dilakukannya
itu betul atau salah.
Selain dari itu, didik juga
mereka dengan pujian dan hadiah. Hamburkan selalu kata-kata sayang dan bangga
terhadap mereka. Jangan terus harapkan perbuatan ikhlas dari mereka. Ajar dulu
dengan hadiah dan material.
Jangan lupa untuk sentiasa menerang
dan memberitahu mereka kenapa kita lakukan semua itu pada mereka. Jangan
biarkan mereka terbiar tanpa jawapan. Sebelum denda atau pukul, bagitahu dulu
sebab apa mereka perlu dipukul. Sebelum beri hadiah, beritahu dulu pahala itu
lebih bernilai dari hadiah. Ini yang memerlukan kepada ibubapa penuh ilmu
didada. Jangan jawab apabila ditanya. “Tanya la cikgu.”
Pastikan apabila mereka ingin
tiba di umur 14 tahun, mereka sudah kenal apa itu dosa pahala. Mereka sudah
boleh berbuat amalan tanpa upah dan denda.
Isi marhalah ini dengan pengisian
syariat dan ibadah. Kenalkan mereka dengan solat, puasa, sedekah,
al-Quran dan seumpama.
Secara biologinya saat ini
kanak-kanak dalam proses pembentukan minda atau disebut sebagai Intelectual
Quotient (IQ). Dedah mereka dengan teori-teori bermula dengan yang
mudah difahami sehinggalah kepada yang sukar. Jangan lupa banyakkan latih tubi
dan eksperimen praktikal untuk menjana kedua-dua belah otak kanan dan kirinya.
MENTERI DI UMUR 7 TAHUN.
(BERKAWAN DENGAN MEREKA)
Ini peringkat paling kritikal.
Persoalan-persoalan hidup sudah mula bermain di fikiran. Zaman inilah mereka
banyak mengenal persekitaran baru, kawan baru, sekolah baru, pandai
bermotosikal dan menaiki bas. Emosi mereka sudah juga terbentuk.
Zaman ini anak-anak perlu
mendapat perhatian serius daripada ibubapa. Ini zaman mereka mencari identity
diri. Jika mereka tidak mendapat jawapan dari ibubapa atau guru, mereka akan
minta jawapan dari kawan-kawan, dari masyarakat, dari tv, internet dan
sebagainya.
Ideologi mereka pun sudah mula
teguh. Mereka sudah boleh menimbang keuntungan dan kerugian, mereka sudah boleh
berpendapat.
Kali ini kita harus berada
betul-betul di tengah. Cara kita mesti wasatiyyah dan sederhana. Tidak
terlalu memanja dan tidak terlalu tegas. Mendidik generasi ini ibarat meniti di
atas titian yang amat sempit. Tersilap langkah, jatuhlah kita.
Ibubapa harus menjadi pembimbing
buat mereka. Tidak boleh lagi mengeluarkan arahan dan menganggap kita sahaja
yang betul. Mereka ini perlu di ajak berbincang. Itulah yang dimaksudkan dengan
menjadikan mereka ini ‘menteri’
Firman Allah SWT dalam
mengungkap doa nabiNya Musa:
واجعل لي وزيرا من أهلي ( 29 ) هارون أخي ( 30 ) اشدد به أزري ( 31 ) وأشركه
في أمري
[ص:29-32]
Jadikan untukku menteri dari
kerabatku. Iaitu Harun saudaraku. Bagi memperkasa kekuatanku dan menyertai
perjuanganku.
Menteri dalam ayat itu bermaksud
penasihat, pencadang dan pembantu. Sudah sampai masanya kita bersahabat dengan
anak sendiri. Ajak mereka menyertai aktiviti dan kerja buat kita. Jika kita
seorang guru, minta anak kita sama-sama semak latihan pelajar darjah satu atau
dua. Jika kita tukang kayu, ajar mereka pegang gergaji. Jika kita mekanik,
tunjuk mereka cara pulas skru, tukar fius, kemudian tukar minyak hingga mereka
boleh mahir.
Dari situ kita boleh bentuk minat
mengikut bakat yang mereka ada. Jika mereka seperti tidak berminat dengan
profesion kita, jangan paksa, tanya mereka apa minat dan kebolehan mereka.
Dampingilah mereka selalu dan sesekali beri tanggungjawab dan kepercayaan untuk
mereka lakukan sesuatu yang besar. Wakilkan anak kita sesekali melakukan
tugasan kita.
Jika lihat perangai mereka agak
lain dari biasa, hingga terkadang menyakitakan hati kita, sabar dulu. Cuba
bertanya apa masalah mereka. Di mana tak kena dan apa yang mereka tak puashati.
Sebaiknya kita cuba bentuk satu usrah keluarga seminggu sekali atau dua minggu
sekali. Isilah dengan tadarrus al-Quran, bacaan kitab terpilih dan kemuncaknya
adalah muhasabah. Di sinilah kita boleh didik anak kita bertanzim, bersoft-skill
dan mungkin ada perkara yang mereka hendak tegur kita.
Jika betul ada teguran dari anak,
jangan sesekali mempertahankan ego walau apa yang ditegur anak kita itu tidak
tepat. Cuba terima dulu apa kata mereka supaya mereka berasa pendapat mereka
dihargai dan bernilai.
Tanya pendapat anak-anak
berkenaan sebarang masalah dalam keluarga bermula dari perkara kecil seperti
masalah kedegilan adik-adik yang lain hinggalah kepada isu-isu sensitif dan
besar. Didik mereka menyimpan rahsia bermula dengan rahsia kecil. Tidak
dinafikan banyak budak-budak sekarang lebih tahu dari kita. Mereka hidup di
zaman IT, zaman maklumat. Mungkin mereka lebih tahu asal usul nama kampung kita
berbanding kita.
Sikap selalu membangkang, mengongkong,
mengguna ayat “kau jangan melawan cakap ayah”, “Budak-budak pi main jauh-jauh”
dan “Ayah makan garam dulu” hanya akan membuatkan anak-anak menyimpan dendam
dan akhirnya akan memberontak. Mereka akan rasa tidak dihargai, tiada tempat
dalam dunia dan terpenjara di rumah sendiri. Mulalah mereka cari kehidupan yang
lebih bebas dan dihargai bersama rakan-rakan sebaya.
Marhalah ini saya namakan sebagai
marhalah pengisian akidah. Kenalkan mereka apa itu kepercayaan. Siapa
yang harus mereka cintai dan jauhi. Siapa kawan dan siapa musuh. Kenapa mereka
dicipta, kemana destinasi mereka, dan seumpamanya. Sebaiknya terapkan dalam
diri mereka akidah perjuangan.
Jangan halang emosi perasaan
mereka dan jangan pula biarkan begitu saja. Pandu emosi itu ke jalan yang
terbaik.
Sains psiko menggambarkan alam
remaja adalah zaman pembentukan perasaan dan emosi. Tindak-tanduk dan keputusan
mereka betul-betul mudah terpengaruh dengan perasaan marah, sedih, teruja dan
cemburu. Jangan cabar emosi mereka
dengan ego kita, takut tindakan mereka itu diluar batasan kemanusiaan.
Pendidikan yang harus diisi adalah yang boleh mengasah Spiritual Quotient
(SQ) atau Emotional Quotientnya (EQ).
Sekolah-sekolah patut
memperbanyakkan modul-modul mencabar semangat dan emosi mereka. Program-program
kerohanian, ukhuwwah, jihad dan pengorbanan amat sesuai dalam mendorong emosi
mereka bertindak ke arah yang betul.
RUMUSAN
1.
Tujuh tahun yang disebut itu bukanlah perlu dikira
tepat sedari kelahirannya. Boleh jadi ia awal setahun atau lebih dari yang
dicadang mengikut persekitaran dan sifat semulajadi kanak-kanak itu.
2.
Jangan lakukan pertukaran method itu secara drastik.
Sebelum capai umur untuk marhalah seterusnya, kita sudah kenalkan mereka
didikan marhalah berikutnya. Contohnya jika anak mencapai umur 6 tahun, kita
sudah cuba bertegas dengannya berselang seli dengan bermanja. Masuk umur 7
tahun pula jangan terus hilangkan sikap memanjakannya tetapi beransur-ansur
kurang menjelang umur 8.
3.
Cara didik yang disebut hadis itu bukanlah menjadikan
mereka ketua, hamba dan menteri setiap masa dalam peringkat itu. Ia hanya sifat
dominan. Kadangkala kita boleh bertegas sebelum umur 7, kadang-kadang boleh
memanjai mereka yang hampir mencecah 20 tahun.
4.
Sebagai ringkasan, pengisian ilmu peringkat pertama,
kedua dan ketiga boleh dirumus seperti berikut:
1.Peringkat
ketua: Akhlak & PQ ( من الولادة إلى التمييز )
2.Peringkat
hamba: Syariat & IQ ( من التمييز إلى البلوغ )
3.Peringkat
menteri: Aqidah & SQ,EQ ( من البلوغ إلى الرشد )
PENUTUP
Jika kita berjaya habiskan semua
method ini, saya percaya anak anda sudah boleh dilepaskan dari tanggungan pada
umur 21. Lebih dari itu, mereka sudahpun bersedia untuk membina keluarga baru!
Sebenarnya pendidikan harus
bermula semenjak dari memilih pasangan hidup untuk menjadi bakal ibu kepada
anak kita. Itu yang ditegaskan sendiri oleh pengarang kitab Tarbiyatul Aulad,
Dr Abdullah Nasih Ulwan. InsyaAllah dalam tulisan berikutnya saya akan
kongsikan pula berkenaan perkahwinan.
Renung-renungkan dan selamat
beramal “,
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....