“Selamat berjuang ustaz.” Ucapan ringkas dari salah seorang
jemaah suaru AlHidayah, Alor Kuda itu sudah cukup untuk menguatkan hatiku
bahawa pemergianku sekejap lagi tidak berseorangan, malah ditemani rimbunan doa
dari orang ramai.
Jam menunjukkan sudah pukul 8.55
malam. Aku terus melangkah keluar dari
surau itu, bimbang rombongan bas yang menanti jam 9 malam akan meninggalkanku.
Tiba-tiba aku disapa seorang lelaki lingkungan akhir 50an. Tidak semena-mena
dihulurkan padaku segenggam wang buat bekalan jihadku. Lelaki yang masih tidak
kukenali itu lantas bertanyakan tentang jadualku untuk ke Kuala Lumpur malam
itu sambil tangannya ‘bersilat’ untuk terus memasukkan wang tersebut ke dalam
poket jubahku setelah aku enggan menyambut hulurannya.
“Mungkin dia juga inginkan pahala
jihad.” Getus hatiku.
Dalam kuliah maghrib yang aku sampaikan
sebentar tadi, sempat aku menyentuh berkenaan himpunan bersih ini dari aspek
agama. Bagiku, tiada alasan bagi seorang islam untuk tidak menghadiri himpunan
ini. Sabda Rasulullah SAW:
“أفضل الجهاد كلمة الحق عند سلطان جائر”
(Sebaik-baik jihad adalah berkata
benar dihadapan pemimpin yang zalim)
Ya, motif himpunan bersih
diadakan adalah untuk menyatakan kebenaran supaya SPR lebih telus dalam sistem
pilihanraya ini dan tidak berat sebelah. Suruhanjaya yang mendapat mandate
secara terus dari Yang Di Pertuan Agung itu mewakili pemimpin mereka untuk
menjalankan proses pilhanraya.
Kezaliman pemimpin Malaysia hari
yang telah menjemput berbagai bala bencana serta kehinaan daripada Allah SWT ini
tidak lagi boleh ditahan. Tanpa menegakkan proses demokrasi yang telus ini,
mungkin mereka akan terus bertindak seperti Firaun dan Namrud terhadap rakyat
mereka demi mempertahankan kerajannya.
Sabda Rasulullah lagi
“لا تجتمعوا أمتي على الضلالة”
(Tidak akan berhimpun umat aku
didalam kesesatan)
Selain dari mewajibkan setiap
ahli PAS untuk turun ke dataran merdeka 28 April nanti, Tuang Guru Nik Aziz
sendiri akan hadir. Antara ulama` lain yang akan berhimpun termasuklah Tuan
Guru Haji Abdul Hadi, Tuan Guru Haji Salleh serta ramai lagi cendikiawan agama,
para graduan aliran agama dan pelajar agama akan hadir tanpa mengira kontra
fikrah. Majoriti golongan agama bersetuju dengan himpunan ini walaupun ada
sebahagian yang tidak menghadirkan diri.
Lagi sabdanya:
“من جهز غازيا فقد غزى”
(Sesiapa yang membantu
melengkapkan orang yang berperang, mereka juga dikira berperang)
"من
خلف غازيا فقد غزى"
(Sesiapa yang memikul tugas
seseorang yang pergi berperang(disaat mereka meninggalkan harta dan anak
isteri), mereka juga dikira berperang)
Hadis ini aku lurutkan ketika
sesi pengajian kitab Fiqh Sirah Nabawiyyah karangan Dr Said Ramadhan al-Buthi,
seorang ulama bertaraf antarabangsa dari Syria. Sengaja aku pilih hadis ini
untuk mereka yang tidak berkesempatan ke himpunan bersih, bahawa mereka masih
boleh memperoleh ganjaran sama seperti mereka yang bakal menelan asap dan
bermandi air water-cannon di dataran merdeka kelak.
Akhirnya, aku menutup dengan
sepotong lagi hadis yang berbunyi:
“الدعاء
سلاح المؤمن”
(Doa adalah senjata orang mu`min)
Disebabkan himpunan ini adalah
himpunan aman, hanya duduk dan bantah, maka tidak wajar untuk dibawa bersama
pisau belati, parang panjang ataupun kayu besbol untuk dijadikan senjata. Namun
ia tidak menolak kemungkinan bahaya yang akan menimpa jika dinilai dari sudut
ketelusan kerajaan yang ada sekarang dengan akta-akta rekaan mereka itu. Yang
terbaik adalah menyediakan senjata paling ampuh yang hanya akan memudaratkan
mereka dengan izin Allah SWT.
Kata A.Samad Said juga dalam
facebooknya:
Di pihak belah sana,
Polis ada, askar ada,
Juga pancutan air bisa,
Selain bom gas bahaya,
Malah helikopter juga.
Di pihak sini pula
Yang sedia ada hanyalah
Jersi kuning serta doa.
…………………………….
Setelah memperkenalkan diri,
rupanya lelaki yang berhati murni itu adalah bekas pemain bolasepak Terengganu
dan juga Kebangsaan, Hanafiah Mohsin. Beliau lebih senior dari lagenda Abdullah
Ali yang kini dengan rasminya sudah mengisytiharkan diri sebagai ahli PAS.
Katanya jika tidak kecederaan lutut yang dihadapinya tahun 70an dahulu, sudah
tentu beliau akan mewakili Malaysia ke sukan Olimpik di Mexico.
Selesai sesi taaruf, aku terus
meluncur laju meninggalkan halaman surau yang semakin kusam dengan kunjungan.
Isteriku serta dua adikku sudah awal-awal lagi berada di dalam kereta untuk
beredar ke tempat rombongan berkumpul. Namun mereka tidak akan ikut sama.
Aku menyertai rombongan bas yang
didermakan khas oleh tauke bas ekspres Adik-beradik untuk peserta bersih. Kami
yang terdiri dari berbagai lapisan umur naik dari Kg Losong Atap Zink. Wanita
juga turut serta dalam rombongan ini. Ukiran semangat terbentuk begitu jelas
pada raut wajah setiap ahli rombongan. Semuanya ada 4 bas, dan bas ku yang
terakhir bertolak. Mataku sempat mencuri pandang gelagat seorang ibu yang mencium
dahi anak lelakinya yang bakal ikut menyertai kami. Titisan jernih yang
mengalir dipipi beliau jelas menandakan kecekalan jiwanya melawan gelora syahdu
hatinya. Ibu mana yang inginkan anak mereka diapa-apakan. Namun dek kerana
tuntutan agama, si ibu sanggup melepaskan anaknya itu, persis ibu palestin yang
bangga membesarkan anaknya hanya untuk melihat mereka keluar berperang dengan
Israel durjana.
Kami meneruskan perjalanan
membelah bumi Malaysia dari pantai timur ke barat daya dalam pekat langit
malam. Semuanya berjalan mengikut apa yang diatur. Kira-kira setengah jam
selepas bas bertolak, aku sudah berada di alam mimpi hinggalah sedar tak sedar,
berada di hentian Karak yang hanya berbaki setengah jam perjalanan sebelum
smapia ke destinasi.
Kami berhenti di situ kira-kira
jam 6.15 untuk menunaikan solat Subuh. Aku antara yang paling akhir keluar.
Kelihatan rombongan berduyun-duyun menuju masjid. Alangkah indahnya suasana
itu. Disaat selimut empuk begitu manja memanggil, surau itu memuntah limpahan
manusia sehingga solat berjemaah terpaksa di lakukan beberapa kali.
Teringat kisah yang aku baca berkenaan seorang
tentera Israel yang lalu di sebuah masjid. Sejurus menjenguk ke dalam masjid,
tentera tersebut tersenyum puas dengan katanya: “Islam akan menang jika
bilangan orang yang solat subuh di masjid bersamaan dengan bilangan sembahyang
Jumaat, nampaknya bilangan mereka amat sedikit. Mustahil kami akan akan kalah.”
…………………….
Kami tiba di Bandaraya Kuala
Lumpur lebih kurang jam 7.15 pagi. Bandaraya itu menjemput kami dengan dengan
hamparan kesunyian, mungkin kerana hari itu adalah hari cuti. Kami diturunkan
di hentian PWTC. Setelah sedikit taklimat dari pemandu bas, rombongan berpecah
membawa haluan masing-masing kerana masa himpunan yang dijadual bermula jam 2
petang.
Setelah menelefon Ust Khalil Abdul
Hadi tentang jadual program, Aku bersama dua orang lagi rakan mengatur langkah
ke Sogo melalui hentian LRT Bandaraya. Kami memilih untuk bersarapan dahulu di
kafe mamak CT Selera, tidak jauh dari kompleks Sogo. Rasa teruja bila melangkah
masuk ke kedai itu kerana rata-ratanya berpakaian kuning, bertubung labuh dan
berserban, dan lebih mengujakan riuh rendah suasana kafe itu dimonopoli oleh
dialek pantai timur, samada Kelantan atau Terengganu. Rupa-rupanya mereka
terlebih dulu sampai ke sini, mungkin sejak semalam.
Roti telur bersama The O panas
yang dipesan telah terhidang, tanpa menunggu lagi aku terus melahap juadah
tersebut sementara dua rakanku lagi menikmati nasi lemak KL. Ternyata lidah
mereka masih ‘ketimuran’ untuk menerima nasi lemak itu kerana asyik merungut
tentang kepedasan sambalnya. Ya lah, Bukan sahaja Kelantan, Terengganu sendiri pun
terkenal dengan makanan manisnya.
Selesai mengerjakan juadah itu,
kami membuat keputusan untuk menuju ke Sogo, namun terhalang apabila terdapat
sekawan polis sedang berkumpul berdekatan bangunan Sogo. Kelihatan juga ramai
kelibat manusia bukan warga KL yang menuju ke arah kami, mungkin kerana
dihambat polis. Aku tidak mahu mengalah. Sementara sahabat-sahabat yang lain
sedang sibuk berbual dengan kenalan yang terserempak dengan mereka,
perlahan-lahan aku mendekati bangunan Sogo itu sehinggalah berjaya menembusi
benteng polis yang waktu itu masih di tahap raptai.
Sejurus aku lepasi kawanan polis
itu, mereka terus berbaris membentuk benteng manusia melintangi Jalan Raja
Laut. Dengan mendabik dada dan memasang kekuda, raut bengis pasukan keselamatan
itu jelas terpampang menyebabkan orang ramai mula meluat dengan mereka. Jam
baru menunjukkan hampir 9 pagi. Peserta bersih yang tidak sempat melepasi polis
untuk ke bangunan Sogo mula mengerumuni benteng manusia itu sebagai tanda
protes terhadap apa yang dilakukan. Namun itu semua tidak meninggalkan apa-apa bekas
di hati polis yang telah di dog train sempurna.
Akhirnya ada kalangan mereka yang
memilih untuk melalui jalan lain walaupun sedikit jauh untuk ke Sogo, yang
menghubungkan mereka dengan Dataran Tahrir. Ada yang melalui Jalan Tunku
Abdurrahman di belakang Sogo, ada yang memilih untuk menggunakan LRT, tidak
kurang juga ada yang masih mengadap polis-polis itu dengan harapan benteng itu
akan terburai dek kebanjiran manusia yang semakin lama semakin memenuhi lokasi
itu.
Kini aku keseorangan kerana
terpisah dengan rakanku yang lain. Perasaan cemas mula singgah pabila mataku
melirik ke langit Kuala Lumpur, bimbang aku tersesat dalam kesibukan kota
durjana itu. Megah bangunan yang terpacak memaut kaki langit sehingga menghalang
cahaya mentari untuk menyentuh bumi. Kuala Lumpur menambah seriau hatiku. Aku
tidak biasa keseorangan dengan kota besar ini. Hanya kerana fikirkan kami
(peserta BERSIH) adalah datang membawa misi yang sama, aku sedikit lega.
Jam 10 Pagi, Sogo dibuka, aku
yang masih kehilangan punca ini terus meluru masuk ke Sogo, sementara
menanti
jam 2 dengan harapan dapat bergerak je Dataran yang tidakku ketahui mana
arahnya. Hampir sejam di Sogo, akhirnya ku terima mesej dari rakanku menyatakan
orang ramai telah berkumpul dihadapan menara DBKL. Tanpa berlengah lagi aku
terus menuju ke sana. Peserta bersih yang masih ramai di dalam Sogo langsung tidak
kupedulikan.
BERSAMBUNG KE BAHAGIAN II...
*IKUTI KISAH SELANJUTNYA DAN BANYAK LAGI PERKONGSIAN DARI RAMAI LAGI LAPISAN RAKYAT DAN PESRTA BERSIH DENGAN MENDAPATKAN BUKU TRAVELOG BERSIH 3,0; MELIRIK LANGIT KOTA HARI INI...HUBUNGI 0148413672...CEPAT SEBELUM TERLAMBAT!!!
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....