Monday, July 22, 2013

DIDIK ANAK BERPUASA


عن أبي جبيرة قال : قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم - : " الولد سيد سبع سنين ، وعبد سبع سنين ، ووزير سبع سنين ، فإن رضيت مكاتفته لإحدى وعشرين
[مجمع الزوائد - نورالدين الهيثمي]
Daripada Abi Jabirah berkata: Sabda Rasulullah SAW:
Anak itu adalah ketua selama tujuh tahun, hamba tujuh tahun dan menteri tujuh tahun. Jika kamu redha cukuplah (didikan) pada umur 21.

Bertitik tolak dari maksud hadis ini, bolehlah kita mempraktikkan kepada anak-anak mulai sekarang. Suka saya membawa contoh berkenaan puasa.

Diumur anak-anak fasa ‘ketua’ (0-7 tahun), kita hanya bertindak sebagai penasihatnya. Kehendak mereka perlu dituruti. Oleh itu janganlah
dipaksa mereka ini berpuasa sebaliknya ajarilah dengan membentuk minat supaya mereka sendiri yang ingin berpuasa. Sebagai contoh menggambarkan padanya nikmat syurga bagi orang puasa, memberitahu bahawa semua orang sekelilingnya puasa, tuhan tak suka orang tak puasa, cipta kemeriahan sahur dan bermacam lagi kreativiti untuk menarik minat.

Berkenaan solat terawih, sebelum mumayiz adalah terlebih baik untuk kita tidak membawanya ke masjid, bimbang akan mengganggu orang lain, kecuali kita yakini mereka tidak melakukan demikian.

Pada fasa kedua (8-14 tahun.), iaitu fasa mereka sebagai ‘hamba’, inilah waktu untuk mengajar mereka puasa secara praktikal. Beritahu mereka awal bahawa bulan puasa bakal tiba supaya mereka lebih bersedia, kejutkan sahur dan sentiasa memantau pada hari pertama. Tida mengapa jika mereka masih belum larat tetapi sentiasa arah mereka berpuasa sekdar termampu secara step by step.

Boleh juga diwaktu ini untuk mengupah mereka yang berpuasa dengan material, atau mendenda mereka yang tidak berpuasa kerana fasa ini adalah fasa ‘disiplin’. Fasa ini bubapa tidak boleh memanjakan mereka seperti fasa pertama, bimbang cakap kita nanti tidak dihormati/ pijak atas kepala. Apabila sampai umur pertengahan (10tahun), dan mereka masih liat berpuasa, boleh dipukul dengan niat mendidik, setelah amaran terakhir kita keluarkan.

Untuk solat terawih,Bawa mereka bersama kita dan arah mereka bersembahyang di sebelah kita, bersama saf utama solat. Ia tidak akan memudaratkan orang yang berada di saf itu walaupun belum berkhatan. Membuat saf khusus untuk mereka di belakang masjid hanya akan menambah peluang untuk berhiruk pikuk bersama rakan sebaya.

Fasa 3 (15-21), iaitu fasa mereka dilantik sebagai ‘menteri ’ dan kita sebagai raja/presiden. Sudah tiba masanya kita perlu bersahabat dengan mereka. Cuba berkongsi pendapat dan pengalaman dengan mereka.

Berkenaan puasa, kita cuba berikan mereka kepercayaan untuk ikhlas. Mereka telah baligh. Mereka sendiri yang akan pikul dosa pahala yang dilakukan sekarang. Terangkan semula bahawa mereka tidak akan dipukul atau diberi hadiah lagi, sebaliknya Allahlah yang akan memberikan ganjaran atau balasan dalam setiap perilaku mereka.

Jika mereka masih tidak menghayati hakikat puasa, tiada guna lagi bertegas waktu ini. Ia hanya akan menyebabkan mereka memberontak dari dalam. Timbulkan kesedaran bukan melalui penegasan tetapi dalam bentuk kaunseling, dekati hati ke hati dan bermain emosi dengan mereka.

Ingat! Beri ruang untuk mereka bercakap, berpendapat dalam setiap perbincangan yang dilakukan. Biar mereka sendiri yang menyatakan persetujuan untuk berubah.


Nah, cukuplah didikannya pada umur 21 tahun. Praktikkan metod ini bukan untuk bulan Ramadhan semata-mata. Inilah manhaj pendidikan rabbani yang diyakini keberkesanannya.

13 RAMADHAN/20 JULAI/ SURAU ALMUSTAQIM KG BANGGOL PAUH

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....