Daripada Muaz bin Jabal Radhiallahu anhu (dalam sebuah hadith yang panjang) ...Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda:
''Sukakah engkau hai Muaz! aku khabarkan tentang asas perkara ini (asas agama Islam) dan tiang-tiangnya serta puncaknya? Lalu Muaz menjawab: ''Baiklah Ya Rasulallah''. Beliau SAW kemudian bersabda: ''Asas perkara ini adalah Islam, dan tiang-tiangnya adalah sembahyang dan puncaknya adalah jihad''.
Kemudian Baginda SAW bersabda pula:
''Sukakah aku khabarkan kepada engkau punca bagi yang demikian itu semuanya?''. Aku menjawab: ''Baiklah Ya Rasulallah''. Lalu Beliau SAW memegang lidahnya sambil bersabda: ''Peliharalah ini baik-baik''. Aku bertanya: ''Ya Rasulallah! Apakah kami akan diseksa dari sebab lidah kami?'' Lalu Nabi SAW menjawab: ''Ibu engkau kehilangan engkau, bukankah ramai nantinya orang yang akan disungkurkan (dicampakkan) ke dalam neraka adalah berpunca dari mulut mereka sendiri''.
[ HR Tirmizi]
Lidah merupakan anugerah Allah SWT yang besar kepada manusia. Ia walaupun kecil tetapi
peranannya sangat besar sekali. Lidahlah yang menentukan zahir keimanan seseorang ataupun kekufurannya dan lidah memiliki sasaran dan peranan yang tidak terbatas banyaknya. Dalam menjalankan tugasnya lidah tidak banyak berhajat kepada usaha dan keletihan. Yang diperlukan hanyalah pergerakan bibir dan tekanan suara sahaja, berlainan dengan anggota lain seperti kaki dan tangan yang banyak berhajat kepada tenaga untuk menggunakannya, dan berlainan pula dengan mata yang hanya terhad kegunaannya untuk melihat dan telinga hanya terhad untuk mendegar sahaja.

Oleh itu lidah terlalu susah untuk dikawal atau dihadkan penggunaannya kerana ia mempunyai ruang yang sangat luas sekali sama-ada untuk memperkatakan perkara yang sangat baik ataupun perkara yang buruk dan lidah tidak akan dapat dikawal kecuali hanya dengan kekuatan iman yang ada di dalam dada. Maka kalau seseorang membiarkan lidahnya bercakap bebas, syaitan pasti akan menggunakannya untuk bercakap dengan maksiat dan kekufuran.
Orang Islam masih belum menjadi kafir kalau hanya memakan harta riba, ia hanya telah melakukan dosa yang besar, tetapi ia telah menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam apabila ia mengatakan bahawasanya harta riba itu adalah halal, walaupun ia sendiri tidak terlibat dalam memakan harta riba tersebut. Itu semuanya adalah padah yang diakibatkan oleh lidah yang tidak bertulang.
Lidah juga cukup mudah untuk menaburkan fitnah, mengumpat, berbohong, mengejek orang, bertengkar dan sebagainya. Dan yang lebih mudah lagi adalah bercakap tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah. Oleh kerana itu lidah perlu dikekang dan jangan dibiarkan bercakap mengikut kemahuannya. Buatlah pertimbangan terlebih dahulu terhadap perkataan yang hendak diucapkan. Fikirlah terlebih dahulu apa-apa yang mahu dituturkan. Namun pada kenyataannya ramai orang yang tidak dapat mengawal lidahnya, maka oleh kerana itu akan ramai pula orang yang akan dimasukkan ke dalam neraka akibat perbuatan lidah yang tidak bertulang ini.
(Dari kitab 40 Hadis Penawar HAti; Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....