Saturday, July 27, 2013

MESIR DAN SEDEKAH

Bagi mereka yang celik isu semasa, pasti tahu apa yang berlaku hari ini di timur tengah. Dan bagi yang mengkaji hadis nabi, pasti mengimani kebenaran sabdanya bahawa umat nabi SAW akhir zaman ini akan dihurung musuh sebagaimana hurungan pemangsa terhadap makanannya dalam hadis yang berbunyi:

يوشك الأمم أن تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها
[HR Abu Daud dll.]

Hakikatnya mesir hari ini bukan hanya berhadapan dengan rakus junta tentera pimpinan al-Sisi, lebih dari itu mereka menghadapi gabungan kuasa besar kuffar dan munafiqin yang campur tangan dalam mempertahankan kerajaan haram itu. Saudi, UAE, Kuwait, Israel bahkan Amerika sendiri menjadi pemain utama di balik tabir kepada boneka tentera Mesir. Mereka menyuntik dana yang cukup besar sehingga 40 bilion bagi mendokongi agenda tentera Mesir meleraikan tumbukan ekspresi rakyat.

Benar jugalah apa yang Allah firmankan bahawa:

والذين كفروا بعضهم أولياء بعض
Dan orang-orang yang ingkar terhadap ajaran islam itu saling bertolong-menolong.
[al-Anfal:74]

Walaupun anutan mereka berbeza, tetapi bila menghadapi islam, mereka bersatu. Musuh islam keliling pinggang sebagaimana digambarkan nabi.

Lalu apa tindakan kita? Hanya termangu menghitung nasib? Peristiwa mesir bukan sebuah filem.Ia adalah satu episod daripada sequel panjang perjuangan islam dunia. Episod seterusnya bakal kita lihat di tempat-tempat lain, dan semestinya negara kita
bakal menerima gilirannya. Aspirasi rakyat yang kita perjuangkan semakin mendaki puncak, dan rejim yang ketakutan semakin dilihat bengis menanganinya.

Yang dikagumi adalah iman di dada rakyat mesir. 24 jam sehari, 7 hari seminggu mereka bertapak di dataran, tidak pernah pulang ke rumah walau sesaat!

Masa itu jugalah kita boleh melihat keamanan yang teramat dalam himpunan itu. Wanita tidak pernah diganggu demonstran, peniaga boleh meninggalkan gerai mereka begitu sahaja tanpa dijaga, tiada kecurian, tiada kemusnahan harta.
Mereka berkongsi setiap yang ada. Duit dikumpul pada suatu tempat untuk diagih kepada golongan memerlukan. Air mineral yang dibeli hanya diminum seteguk oleh si pembeli, selebihnya diberi kepada orang ramai. Mereka berbuka untuk diri mereka hanya sesuap, selebihnya merek suap orang di sekeliling, bimbang ada yang masih belum berbuka.

Ibadah mereka juga hebat. Solat jemaah mereka serupa Masjidil Haram, sehingga kata sebahagian orang, mereka cuma kekurangan 1 kaabah untuk melakukan tawaf!

Hebat mereka itu bukan spontan, tetapi hasil tarbiyah panjang caturan Allah melalui ikhtiar ikhwanul muslimin berdekad lamanya.

Iman seperti itulah yang kita perlukan di Malaysia. Proses pembentukannya memerlukan sistem perkaderan yang mapan, sedari kecil. Lalu mulakanlah dengan derma anda!

Salurkan jihad harta anda kepada institusi pendidikan, yang menyajikan sistem pentarbiyahan praktikal untuk melahirkan jundi-jundi dakwah islam, sekolah-sekolah agama yang mendidik pelajar bukan hanya untuk kenal tuhan, tapi sanggup berjuang mempertahankan agama tuhan.

Sungguh itulah ruangan paling utama masakini untuk dilaburkan sedekah kita, kerana berkat derma tersebut, bakal melahirkan lagi ratusan bahkan ribuan dermawan lain pada generasi seterusnya. Dermawan yang bukan hanya menderma harta, malahan tenaga, masa, dan nyawa mereka. Kita bukan menderma pada hakikatnya, tetapi melabur untuk menambah modal!

Ganjaran infaq fisabilillah tidak sama dengan sedekah biasa. Infaq fisabilillah itu adalah suatu bentuk kewajipan jihad. Apatah lagi jika musuh tidak lokek ber’infaq’ sesama mereka billion dolar.

Firman Allah SWT:

وما لكم ألا تنفقوا في سبيل الله ولله ميراث السماوات والأرض
Apakah lagi alasanmu untuk kamu tidak menginfakkan harta dijalan Allah ,sedangkan Dia telah mewariskan padamu segenap isi langit dan bumi.
[al-Hadid:10]

Cuma perlu ditekankan bahawa infaq itu perlu berbentuk jihad. Dalam bahasa lain, jihad adalah memerah kesungguhan dalam amalan. Jika kita menginfaq 1 juta sekalipun, belum tentu ia dikira jihad harta, jika harta karun kita berlipat kali dari jumlah itu. Ia tidak menggambar kesungguhan kita menginfaq. Ia hanya sumbangan biasa.

Jihad sebenar dengan harta benda adalah mengeluarkan harta sehingga terpaksa mengorbankan keperluan diri walaupun jumlahnya terlalu sedikit. Penoreh getah yang mengeluarkan RM10 untuk fisabilillah, boleh dianggap berjihad sekiranya pendapatannya hanya RM15 sehari. Dia rela mengenepikn kepentingan peribadi untuk hidup senang demi matlamat islam.

Contoh itulah yang sahabat tunjukkan pada perang Tabuk. Sejurus nabi mengumumkan kutipan dana membiayai perang itu, lantas Saidina Uthman menginfaq dengan nilai jutaan ringgit. Umar dan Abdurrahman bin Auf menginfak separuh harta yang ada, dan Abu Bakar tida meninggalkan sebarang harta langsung untuk keluarganya kecuali Allah dan Rasul!


Yang tiada harta, menginfak barang kemas mereka, ternakan mereka dan harta lain. Ada yang hanya menderma beberapa biji tamar tetapi itulah jihad kerana itu sahajalah yang mereka ada!

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....