Saturday, October 13, 2012

KEMENANGAN PAS BUKAN KEMENANGAN ISLAM




Maaf jika tajuk entri ini boleh menderaukan darah segelintir pembaca terutama pendokong tegar parti Pas. Saya bukanlah bermaksud Pas bukan sebuah parti islam tulen. Saya akui jua saya adalah ahli Pas, aktivis Pas, dan Pas telah banyak berjasa dalam membentuk acuan peribadi saya. Paslah yang menyedarkan saya bahawa saya ini manuisa.

Entri ini dinukil setelah terbaca suatu laporan muka depan akhbar sinar harian hari ini (10 Oktober 2012) mengenai kenyataan seorang pimpinan Pas. Tulisan ini bukan untuk menyerang mahupun mempertahan sesiapa. Saya cuma terpanggil untuk melontar buah perkongsian atas dasar nasihat menasihati dalam beragama.

Andai Ustaz Nasha membaca entri saya ini, ingin saya nyatakan bahawa sehinga hari ini, saya masih belum berganjak dari perasaan husnu zhon terhadap Ustaz. Malahan saya bangga punya saudara seperti Ustaz, sanggup mengenepikan cemuhan, kritikan liar, kebencian dan segala ancaman demi agama tercinta. Biar hina di dunia, asalkan masyhur di kalangan penduduk langit. Pengorbanan yang Ustaz curahkan tiada tolok bandingnya.


Mungkin juga ini adalah salah satu strategi murni untuk membersihkan Pas yang dilihat sedang dilanda krisis fikrah peringkat tertinggi. Saya sedar fahaman ala mu`tazilah yang sedang menular dalam Pas hari ini cukup bahaya untuk masa depan parti jua islam.

Berbalik pada tajuk di atas, ini bukan surat terbuka untuk Ustaz Nasha, bahkan suatu tulisan umum untuk semua ahli jemaah islam.


Pendokong-pendokong islam haruslah segera sedar bahawa menang dalam PRU 13 ini belum lagi bererti islam sudah menang. Cita-cita islam bukanlah kuasa, tapi tertegaknya syariat islam di dunia. Justeru itu masih jauh lagi kita dengan kemenangan tersebut. Kuasa politik Tunisia, Maghribi, Mesir juga telah memihak kepada parti islam. Namun itu bukanlah bermakna perjuangan mereka telahpun tamat.

Nabi SAW tidak terus diwafatkan Allah setelah negara islam Madinah tertegak. Tugas penegakan syariat islam Baginda masih berbaki 10 tahun lagi.

Fahamilah bahawa kemenangan dalam PRU 13 ini adalah hanya salah satu strategi dari strategi mendaulatkan islam. Menghapuskan UMNO sebagai pengamal kezaliman adalah ikhtiar yang kita rasakan paling relevan buat masa ini. Soal siapapun yang membantu untuk kemenangan PRU 13 ini bukan sesuatu yang besar asalkan kita tidak tergelincir dari landas syariat ataupun matlamat asal.

Dalam strategi mendaulatkan islam versi Rasulullah SAW sendiripun ramai non-muslim yang menghulur bantuan. Abdullah bin Uraiqit sebagai contohnya yang memimpin Rasulullah ke jalan rahsia menuju Kota Madinah, juga Yahudi yang bernama Safwan pernah meminjamkan Rasulullah baju besinya. Abu Sufyan juga diajak bersepakat sebelum pembukaan kota Makkah sehingga dia memilih untuk memeluk islam. Bahkan bapa saudaranya Abu Talib sendiri banyak membantu perjuangan nabi di Makkah.

Zaman khalifah terkemudian juga banyak menggunakan tenaga dan kepakaran non-muslim untuk merealisasikan strategi pemerintahan. Antara yang masyhurnya Sultan Muhammad Al-Fateh, yang menggunakan kepakaran pakar senjata Hungary dalam misi memecahkan tembok kota Costantinople.

Pendekatan melibatkan non-muslim dalam perjuangan islam juga menguntungkan dakwah islamiyyah. Non-muslim sekurangnya punya ruang berdiskusi mengenai kefahaman islam. Penolakan mereka terhadap sebarang sistem islam adalah satu kejayaan dakwah, kerana ia telah mempopularkan sistem tersebut lalu mengakibatkan kajian dan penelitan dibuat oleh mereka terhadap sistem itu secara tidak langsung. Hari ini UMNO sendiripun sudah takut untuk mempersenda hudud sebagaimana dahulu kerana rakyat samada muslim atau non-muslim kian memahami hukum ini.

Apa yang lebih membanggakan adalah penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas.  Ahlinya adalah Non muslim ingin bernaung dibawah sistem perundangan dan pentadbiran islam. Semua ini todak akan berlaku andai Pas tidak membuka ruang kerjasama bersam non-muslim.

Lihatlah Raja Najasyi yang asalnya Kristian, mampu memeluk islam dengan muzakarah yang berlaku diantara beliau dan sahabat. Kunjungan asal sahabat adalah untuk memohon bantuan dari raja tersebut. Pun begitu, mereka tidak sekali-kali melindungi kebenaran islam. Mereka lantang menyatakan pendirian tentang nabi Isa apabila disoal Najasyi walaupun menyalahi pegangan Kristian hari ini. Inilah pendekatan yang digunakan Pas hari ini. Memohon bantuan dengan tidak menggadai prinsip mahupun berhelah.

Tidak boleh kita menyalahkan orang kafir yang tidak tahu islam jika mereka menolak islam. Jangan sekali-kali berputus asa dari mendekati orang yang menentang kita. Firman Allah SWT:
وجادلهم بالتى هي أحسن
Ia bermaksud “Berdebatlah dengan adab yang paling baik” dan bukannya secara melulu melabel dan memalukan mereka dengan gelaran anti-islam.

Nabi Allah SWT pernah disakiti kaum Tho`if sehingga gugur darah mulia baginda ke bumi. Pun begitu Baginda tetap memaafkan dengan doa harapan moga generasi mereka bakal menghayati islam.

Apalah sangat ancaman Karpal terhadap islam jika dibandingkan dengan sahabat  seperti Umar al-Khattab yang begitu membenci agama islam ini, Khalid al-Walid sebagai general mengalahkan tentera islam, Suraqah bin Malik yang menjadi pembunuh upahan terhadap NAbi, Wahsyi bin Harb yang membunuh singa Allah Hamzah bin Mustafa, serta Abu Sufyan di awal kebangkitan dahulu.

Namun begitu mereka semua akhirnya memeluk islam kerana setiap mereka punya qalbu. Hati yang sentiasa diketuk pasti akan tersedar jua.

Orang islam mana yang tidak tercabar dengan kata-kata seperti Karpal Singh, namun sebagai seorang pimpinan bertaraf ulama`, anda adalah jelmaan nabiya` zaman ini. Perwatakan anda haruslah persis nabi dan bukan persis rakyat marhaneis biasa.

Akhir kata, sabda Rasulullah SAW:
لا تجتمعوا أمتي على الضلالة
(Tidak akan berhimpun umat aku dalam kesesatan)
Percayalah kepada keputusan jemaah. Walau teruk sekalipun kepimpinannya, jemaah ini bukan milik mereka. Ahli jemaah masih ramai yang jernih. Merekalah yang menyuluh jemaah untuk sentiasa benar dalam berpencak. Masih luas ruang perbincangan dalaman yang ada.

Jangan takut jika jemaah tersilap ijtihad kerana tidakkan mengundang kemurkaan Ilahi. Jangan terlalu lekas menghukum dan berfatwa kerana ulama` terdahulu lebih rela mengikut kata majoriti mujtahid dari ijtihad individu mereka, kerana mereka berhias dengan kalungan tawadhu`.

 Masalah rumahtangga biarlah diselesaikan didalam rumah, bukan diheboh sekampung.

Masing-masing punya pendapat. Kita juga yakin bahawa ramai ulama` dalam PAS juga punya buah fikir yang berlainan dari keputusan semasa jemaah. Namun atas prinsip berjemaah, semua itu dikorbankan. Semua itu diserah pada Allah kerana mereka percaya, rancang sehebat manapun ia tetap tertakluk pada ketentuanNya. Apa yang perlu hanya meniti pada denai ajaranNya sahaja.

Pas hanyalah sebuah wadah perjuangan. Mungkin ramai yang fikir bahawa masih boleh jadi pejuang islam tanpa Pas. Namun umat islam tetap perlu punya jemaah, perlu Taat pada satu kepimpinan, satu ulil amr. Tiada masalah untuk tidak menjadi ahli Pas sekalipun asalkan kita tetap taat pada pimpinan. Siapa Ulil Amr itu? Itulah orang yang dipilih oleh majoriti muslimin ‘untuk maslahah islam’.

Perjuangan ini adalah lautan dalam penuh gelora. Untuk meredahinya perlu pada sebuah bahtera, yang dikemudi seorang nakhoda. Mana mungkin kita mampu renagi lautan dalam itu sendirian! 
Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....