Merry krismas buat seluruh penganut kristian yang berada di dunia ini. Semoga anda bergembira di hari perayaan ini sepertimana kami umat islam amat gembira pada dua hari raya kami.
Untuk sahabat-sahabat islamku! Marilah sama-sama kita menghadiahkan ucapan-ucapan tahniah sempena perayaan mereka kerana ia lambang keluhuran islam dan keterbukaan dakwah islam.
Apa yang ingin saya bawakan kali ini adalah soal keharusan umat islam mengucap ucapan ‘tahniah’ atas perayaan penganut agama lain. Saya faham ini isu yang seringkali berulang setiap kali menjelang perayaan mana-mana kaum di Malaysia baik Deepavali, Krismas, Tahun baru Cina, Cap Goh Mei dan sebagainya.
Ramai juga yang telah berfatwa tentang isu ini. Tapi rasanya tidak salah untuk saya juga berpendapat mengikut ilmu yang saya ada. Ruang ijtihad itu luas, dan islam sememangnya hanya valid untuk arus dunia disebabkan keluasan ijtihad, islah dan tajdidnya, yang tidak ada pada agama lain.
Kata pepatah arab, Insan adalah tawanan Ihsan.
Islam sendiri mengajar umatnya untuk berbuat baik kepada non-muslim dengan berlaku adil sepertimana manusia biasa. Firman Allah SWT:
لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين [الممتحنة:8]
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (non-muslim) yang tidak memerangi kamu dan tidak mengusir kamu daripada tanahair kamu. Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang berlaku adil.
Sambungannya:
إمنا ينهاكم الله عن الذين قاتلوكم في الدين وأخرجوكم من دياركم وظاهروا على إخراجكم أن تولوهم ومن يتولهم فأولئك هم الظالمون[الممتحنة:9]
Sesungguhnya Allah melarang (melakukan kebaikan) kepada mereka yang memerangi agamamu dan mengusir kamu dari tanahairmu serta menzahirkan (permusuhan) tatkala mengusirmu. Maka barangsiapa yang setia kepada mereka, itulah orang-orang yang zalim.
Qisth dalam ayat itu bermaksud adil dan adil adalah memberikan hak kepada yang sepatutnya termasuk dirimu. Birr pula membuat baik iaitu melepaskan hak kamu demi orang lain. Maka birr adalah makam yang lebih tinggi daripada Qisth.
Dan birr pula adalah cara berurusan yang paling tinggi martabatnya kepada manusia sebagaimana banyak terdapat dalam al-Quran. Antaranya dalam surah ٍal-Baqarah menerangkan birr adalah maksud iman.
ليس البر أن تولوا وجوهكم قبل المشرق والمغرب ولكن البر من آمن بالله واليوم الأخر... الخ [البقرة:177]
Bukanlah kebaikan itu dengan memalingkan wajahmu ke timur dan barat tetapi kebaikan itu bagi mereka yang beriman pada Allah dan hari akhirat.
Juga surah al-Baqarah menerangkan maksud birr dengan begitu tinggi:
لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون [ال عمران:92]
Takkan dapat digapai kebaikan itu sehingga kamu mengorbankan apa yang kamu suka.
Juga hadis nabi yang menyatakan sebaik-baik amalan selepas beriman pada Allah adalah birr terhadap kedua ibubapa.
عن ابن مسعود رضي الله عنه قال:
سألت رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: أي العمل أفضل؟ قال: الصلاة على وقتها. قلت: ثم أي؟ قال: بر الوالدين. قلت: ثم أي؟ قال: الجهاد في سبيل الله
Daripada Ibnu Mas`ud RA katanya:
Aku bertanya Rasulullah: Apakah amalan yang paling afdhal? Jawabnya: "Sembahyang pada (awal) waktunya. Aku bertanya lagi "Kemudian apa?" Jawabnya "Berbuat baik kepada dua ibubapa". Aku bertanya lagi: "Kemudian apa?" Jawabnya: "Jihad di jalan Allah." (hr Bukhari dan Muslim)
Begitulah tinggi nilai birr yang disuruh kepada umat islam, termasuklah terhadap non-muslim seperti ayat di awal tadi.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Asma` binti Abi Bakar telah didatangai oleh ibunya yang musyrik dengat niat untuk bersilaturrahim/ berkasih sayang sesama keluarga lalu diadu kepada baginda SAW akan hal tersebut. Baginda terus bersabda: “jalinlah (silaturrahim itu) dengan ibumu.”
Bahkan terdapat ayat Quran yang menghalalkan sembelihan dan wanita ahli kitab untuk dijadikan isteri.
وطعام الذين أوتوا الكتاب حل لكم وطعامكم حل لهم والمحصنات من المؤمنات والمحصنات من الذين أوتوا الكتاب من قبلكم [المائدة:5]
Dan makanan ahli kitab itu halal bagi kamu dan makananmu halal bagi ahli kitab dan begitu juga wanita mu`min dan wanita ahli kitab.[al-Maidah:5]
Faedah dari perkahwinan adalah berkongsi kasih antara dua pasangan. Bagaimana mungkin kamu tidak boleh mengasihi seri rumahnya, teman hidupnya, dan ibu kepada anaknya? Allah menerangkan eratnya hubungan antara mereka adalah:
هن لباس لكم وأنتم لباس لهن [البقرة:187]
Mereka (wanita) adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka. [al-Baqarah:187]
Antara kesan perkahwinan juga adalah penyatuan antara dua keluarga (musoharah/ mertua, besan, biras, ipar duai)
وهو الذي خلق من الماء بشرا فجعله نسبا وصهرا [الفرقان:54]
Dialah yang mencipta manusia daripada air, lalu menjadikannya berketurunan dan bermusaharah.
Bagaimana mungkin dapat kita bayangkan sebuah keluarga harmoni yang berkongsi kebahagiaan sehingga kewajipan menantu menanggung kebajikan ibubapa walaupun kafir, tetapi tidak membenarkan penghormatan diberi di hari kegembiraan mereka?
Nabi mengarah supaya berlaku lembut serta melarang biadap terhadap mereka.
Ketikamana lalu beberapa orang yahudi melintasi Rasulullah SAW, mereka mengucapkan “Assaamualaika ya Muhammad” (السام عليك يا محمد) dengan maksud, “Mati ke atasmu wahai Muhammad.” Aisyah dengan berang membalas:
“Waalaikumu Sam wa Laknah ya `Ada`allah.’ (وعليكم السام ولعنة الله يا أعداء الله)
(Ke atas kalian juga mati dan dan laknat Allah, wahai musuh Allah!)
Lalu Rasulullah menegurnya supaya menjawab “Waalaikum” sahaja. “Sesungguhnya Allah menyukai sifat berlembut dalam segala sesuatu” terang nabi lagi.
Umat islam lebih wajar mengucap selamat terhadap perayaan mereka jika mereka juga mengucap selamat terhadap perayaan kita. Allah SWT meminta kita membalas kebaikan dengan kebaikan yang serupa, apatah lagi jika diucap sapaan hormat agar dibalas dengan ucapan lebih baik daripada itu.
Ibnu Qayyim juga berdalilkan kepada umum ayat berikut:
وإذا حييتم بتحية فحييوا بأحسن منها أو ردوها [النساء:86]
Dan apabila diucap sapaan hormat terhadapmu maka balaslah ucapan itu dengan yang lebih baik atau (sekurang-kurangnya) setimpal. [al-Nisa`:86]
Pendapat Ibn Qayyim mengenai hadis supaya meringkaskan jawab salam dengan “Waalaikum” sahaja adalah disebabkan mereka menyebut perkataan “AsSamm”. Maka apabila hilangnya sebab untuk diringkas jawapan ini, maka perlulah dijawab sejajar dengan ucapan.
Seorang majusi (penyembah api) mengucap salam pada Ibnu Abbas maka jawab Ibnu Abbas: “Waalaikumsalam warahmatullah”. Lalu datang beberapa sahabat menegurnya kerana mengucap warahmatullah. Jawab Ibnu Abbas “Bukankah dia hidup atas rahmat Allah?”.
Mendahului salam terhadap orang bukan islam memang ditegah menerusi suatu hadis nabi mengikut sahih muslim. Tetapi menjawab salam mereka adalah wajib bagi umat islam dalam hadis-hadis yang banyak, juga beramal dengan umum ayat surah al-Nisa` di atas.
Walaupun mazhab Ibnu Abbas dan Abi Umamah membenarkan memulakan ucapan salam terhadap non-muslim, yang paling selamat sebagai ihtiyat adalah memulakan ucapan dengan “hello”, “hai”, ”hola”, ”Yoo!”, “Good morning”, “Sawadikap” atau apa-apa ucapan sapaan yang sesuai dengan masyarakat setempat.
Amat tidak wajar bagi seorang bergelar muslim itu lebih rendah tahap moral pergaulan serta budi pekertinya jika dibanding dengan yang lain. Rasulullah menyebut:
أكمل المؤمنين إيمانا أحسنهم خلقا [رواه أحمد وأبو داود]
Orang yang paling sempurna imannya adalah yang paling indah pekertinya. [Hr Ahmad dan Abu Daud]
Rasulullah terkenal dengan baikhatinya terhadap kaum musyrik Quraisy. Walaupun mereka memusuhi baginda, Qudwah ummah itu tetap sanggup memegang amanah simpanan Quraisy bersamanya. Sehingga saat baginda diancam bunuh yang memaksanya berhijrah, masih sanggup meninggalkan Ali untuk memulangkan amanah-amanah tersebut tanpa menyentuh sesen pun.
Justeru itu, tiada tegahan untuk mengucap slogan perayaan mana-mana agama, apatah lagi kaum atau bangsa selagimana tidak bercanggah dengan syiar dan prinsip islam seperti salib, calit dahi dan kalungan bunga.
Antara salah faham dalam toleransi beragama |
Menziarahi perayaan bukan islam juga begitu. Jika ianya tidak melibatkan upacara keagamaan seperti nyanyian lagu memuji tuhan mereka, sembah hormat atau jampi mantera tiada masalah. Apatah lagi jika ia melibatkan perkara yang turut disaran islam seperti mengadiri jamuan, berbalas hadiah dan ziarah menziarahi, ia juga wajar dipraktikkan umat islam kini.
Tetapi harus juga diingat, ini bukan membenarkan pluralism agama yang mengiktiraf semua agama adalah benar sehingga boleh islam menyambut perayaan Krismas atau Deepavali sesama islam. Jangan sekali-kali mengucap Merry Krismas sesama islam kerana kita sudah punya cara tersendiri. Pengharusan ini hanya atas dasar dakwah dan mempamer keindahan islam dalam fleksibilitinya.
Jika perbuatan di atas dilakukan dengan niat mengagungkan agama lain, atau bimbang akan terkesan dengan agama tersebut, maka jatuhlah hukumnya sebagai haram.
Adapun perayaan kaum seperti Gong Xi Fa Cai atau perayaan bangsa seperti Hari Kemerdekaan India maka itu secara mafhum muafaqahnya terlebih harus disambut walau sesama muslim kerana berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan itu adalah ajaran islam. Nabi sayang kaum arabnya, nabi mengamal adat resam kaum arab dalam berpakaian, berhibur dan memilih hobi. Nabi juga pencinta kebebasan, penentang penjajahan dan penindasan. Wallahualam.
Sumber:
Fatwa Muasarah: Dr Qardawi
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....