Tuesday, October 1, 2013

ALI AL-ASYMAWI; KISAH SEBUAH KESETIAAN (WALA).

Satu kisah yang diceritakan oleh YDP Kuala Nerus sewaktu belajar di USA dahulu amat menarik untuk dikongsi. Ia mengajar erti ukhuwwah/ persaudaraan, thiqah/ kepercayaan, dan wala`/ kesetiaan. Kisahnya berkenaan dengan salah seorang pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Beliau bernama Ali Asymawi, antara enam orang pengasas gerakan rahsia yang ditangkap pada awalnya atas tuduhan percubaan menghidupkan kembali gerakan Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir. Turut ditangkap bersama beliau adalah al-Shuhada' Syed Qutb, Maryam Jameelah dan Abdul Fattah Ismail.

Asymawi (berdiri) dan Syed Qutb
(depan sekali) sewaktu perbicaraan
Setelah perbicaraan, mereka berenam dihukum penjara selama enam belas tahun. Namun secara tiba-tiba kerajaan Mesir telah membebaskan Ali Asymawi berseorangan enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman.

Dari satu sudut berita itu diterima dengan penuh syukur. Ianya mungkin satu bukti kekuasaan Allah mengatasi keputusan makhlukNya. Tetapi dari sudut yang lain, pembebasan tersebut telah menimbulkan kecurigaan di kalangan kepimpinan IM. Kenapakah kerajaan Mesir boleh membebaskan beliau seorang sedangkan yang lain masih menjalani hukuman? Apakah jasa atau khidmat yang mungkin diberikannya kepada kerajaan Mesir sebagai bayaran pembebasannya?

Andaian demi andaian menjengah kepala ahli Ikhwan lain.
Curious...

Antara percaya atau tidak, akhirnya IM mengambil keputusan untuk meminggirkan beliau daripada jemaah. Satu keputusan yang cukup berat untuk diambil bagi sebuah gerakan Islam. Tetapi itulah hakikat apabila berpegang kepada prinsip agama. Menjaga maslahah jemaah lebih penting dari maslahah individu. Nabi juga pernah meminggir sahabatnya yang enggan keluar ke perang Tabuk.



Tidak beberapa lama setelah keputusan itu diambil, Ali Asymawi seakan dapat mengesan apa yang diputuskan itu melalui perubahan sikap ahli-ahli Ikhwan terhadap dirnya. Segalanya diterima dengan redha tanpa sebarang dendam dan prasangka. Mungkin itulah yang terbaik buat Ikhwanul Muslimin. Reaksi itu menggambar Thiqah yang berhias dijiwanya terhadap jemaah.

Takdir Allah terus berperanan. Keputusan pembebasan oleh kerajaan Mesir itu sebenarnya ditukar kepada hukuman buang negeri jauh daripada benua Afrika itu. Tempatnya adalah di negara utama musuh Islam, iaitu Amerika Syarikat.

Keputusan itu tidak sedikitpun merosakkan tekadnya dalam perjuangan. Semua itu beliau hadapi dengan positif. Beliau percaya setiap ketentuan Allah pasti berhikmah. Sedikit sebanyak Dia telah membuka lapangan baru untuknya meneruskan misi dakwah, setelah tidak mampu lagi berkhidmat dengan IM mesir.

Berkelanalah beliau ke negeri asing itu. Suatu tempat yang jauh dari kenalan dan saudara, ditadbir oleh ejen Zionis, dikelilingi ejen CIA, di tengah masyarakat setempat yang masih lagi menganggap kaum arab terutamanya muslim sebagai pengganas, dipandang masyarakat dunia dengan penuh kebencian.

Saat itu Allah hantar sekumpulan pelajar muslim daripada Malaysia untuk mengubat duka pilu beliau di dalam buangan. Mendengar sahaja berita seorang pimpinan IM berada di US, kumpulan pelajar ini yang amat dahagakan pengisian tarbiah sanggup meredah laluan beratus batu jauhnya, merentasi sempadan wilayah-wilayah Amerika demi untuk bersua muka dengan tokoh yang belum pernah mereka temui. Bagi mereka, asalkan orang yang dijejaki itu mampu menghembus semangat juang dihati gersang mereka, apapun halangan tidak menjadi alasan.

Masakan tidak, disaat Allah beri kesedaran pada mereka untuk menjadi pembela agama sewaktu di Malaysia, waktu itu mereka masih di bangku sekolah. Guru-guru agama terutama graduan Timur Tengah yang berfikrah haraki tidak seramai hari ini. Pengisian yang mereka perolehi dalam membentuk jiwa-jiwa sebagai daie amat sedikit.

Apabila berangkat ke US untuk menyambung pengajian, graduan anak melayu generasi awal dari Mesir pun mulai pulang. Cemburunya tidak dapat digambar kepada rakyat Malaysiabyang berada ditanah air. Rindu mereka untuk pulang bersama-sama pewaris Anbiya ` itu cuma Allah yang tahu. Pernah mereka mengusung talam makan, menjunjung bungkusan pakaian untuk mengikut program tabligh di US, semata-mata inginkan pengisian agama.



Dipendekkan cerita, bertemulah dua pihak tersebut yang telah bersaudara sekian lama atas dasar akidah. Satu takdir yang cukup manis buat mereka. Bertaut dua roh perjuangan yang selama ini hanya bersatu dalam doa-doa harian. Dan bertaaruflah mereka di bawah naungan sayap malaikat.

"Kami betul-betul 'meringkuk' dalam penjara." Terang Asymawi menceritakan pengalamannya sewaktu dalam tahanan. Mereka disumbat dalam sel yang hanya berketinggian paras pinggang. Sempit lagi sesak. Berdiripun tidak mampu. Bekalan minuman hanya diberi sekadar memastikan mereka tidak mati, tanpa sedikitpun dibenarkan memperolehi lebih daripada itu. Akibat tidak mampu lagi bertahan, mereka terpaksa minum air kencing sesama sendiri.

"Kalau bukan kerana ukhuwwah, masakan sanggup kami izinkan cecair itu membasahi tekak kami." Jelas Asymawi penuh hiba.

Tingginya nilai persaudaraan yang mereka tanam. Yang pahit boleh jadi manis. Yang perit indah terasa.

"Serendah-rendah nilai ukhuwwah adalah tiada curiga antara kita. Dan setinggi-tingginya pula adalah ithar..." Mutiara kalam dari Asymawi terus membalut dada para pelajar Malaysia.

Semasa berusrah di Mesir, Asymawi diajar bahawa poket aku adalah poket seluruh ikhwanku. Masing-masing bebas mencelup poket ikhwan yang lain. Duitku duitmu jua. Tiada langsung sangsi curiga apabila melihat wang didalam poket berkurangan dari jumlah asal.

Hebat kuasa tarbiah.

Kalau kita, kurang seringgitpun sudah terlintas dalam fikiran, siapa pula yang sentuh poket aku ni. Penuh sangsi.

Lalu dimana makam kita dalam tingkatan ukhuwwah. Muhasabah sahabat.

Berusrah bersama IM Mesir nyata tidak menghampakan. Dari situlah Asymawi menceritakan dari awal kisah penahanannya yang membuatkan beliau sampai di bumi US itu.

"Demi Allah, Demi Allah, Demi Allah! Saya tidak membocorkan sebarang rahsia kepada pihak kerajaan." Jelas beliau menafikan khabar angin dikalangan ahli IM.

"Tapi mereka ada asas untuk mencurigai saya. Siapapun akan merasa hairan dengan pembebasan ini. Biarlah.. Itu tidak menjadi masalah buat saya."

"Sehingga ke hari ini, hati saya masih bersama ikhwan. Meminggirkan saya bukan dibuat oleh inisiatif individu, tetapi ia keputusan peringkat tertinggi..."

Luluh hati mendengarkan nasib yang menimpa tokoh itu. Wujudkah insan sebegitu dari tanah air kita?

Hebat sungguh jiwa harakinya. Disaat negara kita masih berteori tentang wala, beliau terlebih dahulu mempraktikkannya. Kesetiaannya pada jemaah langsung tidak berbelah bahagi. Buang segala kepentingan diri, leburkan perasaan hati kecil, lupakan kisah semalam. Semua itu mungkin tak berlaku tanpa tarbiah.

Tarbiah itu tulang belakang sebuah gerakan Islam. Usrah itu nadinya.
Tanpa tarbiah, harakah lumpuh.. Tanpa usrah, MATI...

Bukan jiwa Asymawi sahaja yang hebat, tetapi jiwa seluruh ahli Ikhwan juga kental. Kental melawan perasaan kasihan dan sebak dengan keputusan 'pulau' terhadap seorang saudara mereka. Berlakon menjauhi saudara sendiri. Menipu diri melupakan teman seperjuangan.

Teringat rijal-rijal mutarabbi di zaman Rasulullah SAW. Walaupun Allah menurunkan arahan pemulauan tiga orang dari sahabat, mereka tidak sedikitpun mempertikaikannya. Bukan gembira, bukan rela, tapi demi sebuah 'kesetiaan', 'wala'', 'loyalty'.

Buktinya apabila tempoh pemulauan diumumkan berakhir, berlari sahabat-sahabat ke rumah tiga orang itu menyampaikan berita paling gembira ini. Ada sahabat yang berteriak dari jauh mengkhabarkan pengampunan ini. Tidak putus-putus sahabat yang lain menziarahi mereka bertiga, hanya untuk kembali menghadiahkan senyuman dan mengucapkan tahniah.

"Allah jelmakan juga keperibadian sahabat Nabi di zaman ini." Mungkin itulah yang pelajar Malaysia fikirkan setelah mendengar luahan Asymawi.

Alhamdulillah, mereka betul-betul kenyang dengan pengisian hari itu. Segala penat dan lelah perjalanan terbius dengan suntikan kalam Asymawi.

Sebelum pulang, semua seolah bersetuju untuk menjadikan kunjungan ke tanah buangan ahli Ikhwan itu sebagai rutin hidup. Bagi mereka, itulah hentian RnR wajib dalam perjalanan mencari kebenaran di bumi kuffar itu.

Sungguh tidak disangka, langit yang baru mulai terang itu kembali kelam. Dalam menyusun langkah kedua untuk berjumpa Ali Asymawi, rupa-rupanya sosok itu telahpun pergi. Beliau dipanggil pulang ke Mesir oleh kerajaannya. Sugul. Itulah reaksi mutarabbi bumi US.

Berita selanjutnya yang mereka terima tambah meluruhkan raga jantung. Ali Asymawi telah dihukum gantung sampai mati tidak lama dari tarikh kembalinya beliau ke Mesir. Begitu singkat pertemuan yang Allah aturkan antara mereka. Hanya berselangkan tiga noktah masa. Pertemuan, perpisahan dan SYAHID!

Kepada ahli Ikhwan, hanya tali gantung yang menjadi bukti kesetiaannya. Jika dahulu kamu mencurigainya, kini dialah orang pertama diterima sebagai Syuhada sedang yang lain masih menjalani hukuman.

Allah.....

Namanya mungkin tidak lagi kedengaran sebagai seorang tokoh Ikhwan di dunia, tapi di akhirat namanya pasti mengharum mekar sebagai kekasih ilahi.

Biarlah manusia mengeji, asal Allah tidak membenci. Bersemadilah kau wahai Asymawi. Doa kami sentiasa mengiringi. Tenanglah dikau dalam pelukan tanah. Sungguh ia lebih mulia dari hidup dengan bergelumang murka!

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (Syahid) pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka adalah hidup,di sisi Tuhan mereka mendapat rezeki.
[Ali Imran:170]


No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....