Wednesday, February 5, 2014

PRK KAJANG: ANWAR SEDANG MENGGALI KUBUR KARIER PKR

Mengamati suasana politik hari ini melalui manhaj kepimpinan gaya
Rasulullah, membentuk satu pandangan bahawa tindakan PKR
dalam percaturan kerusi Kajang yang dianggap sebagai batu
loncatan ke kerusi MB sebenarnya bakal menguburkan parti itu
dari persada politik tanahair.

Saya juga yakin kepimpinan PAS menyedari hal ini dan saya
rasakan Tuan Guru Presiden bakal mengeluarkan kenyataan
untuk bekerjasama memenangkan Anwar dalam PRK nanti.

Kita tengok peristiwa Perjanjian Hudaibiah, di mana musyrikin
merangka suatu peraturan baru untuk menghalang islam masuk
ke Kota Mekah, dengan syarat-syarat yang jelas berat sebelah.
Semua sahabat akui ianya merugikan islam, tetapi Rasulullah
berpandangan jauh ke depan. Beliau terima juga syarat
perjanjian walaupun ramai sahabat tidak berpuas hati termasuk Saidina
Abu Bakar dan Saidina Ali.

Hasilnya, musyrikin terjerat dengan undang-undang sendiri.
Bertitik tolak dari peristiwa itu, Mekah berjaya ditawan tanpa
mengangkat senjatapun!

Anwar menganggap cara ini mampu melonjakkan dirinya terus
ke kerusi empuk MB. Tanpa dia sedar, tindakan itu bakal
mempalit reaksi negatif penyokong dan pendokong PKR sendiri.
Keadaan bakal bertambah parah. Bisul dalaman makin
membengkak. Anwar sedang meletakkan dirinya bersaing
dengan orang bawahan sendiri yang menjatuhkan kalibernya
sebagai orang paling berpengaruh dalam PKR.

TSKI bakal bertindak di luar jangka, perancangan bersifat rahsia
bakal terbongkar dari mereka yang tidak puas hati dengan
pengunduran TSKI walaupun secara terhormat. Akhirnya, Anwar
hilang bisa, hilang pengaruhnya.

DAP semakin memandang serong tindakan bersifat peribadi ini
yang membelakangi komponen PR lain. Walaupun pemimpin
DAP kelihatan akur, itu hanya mujamalah politik. Hakikatnya
akar umbi parti itu sangat tidak berpuashati dengan tindakan
bodoh meletak jawatan itu. Dalam keghairahan jentera
pembangkang memainkan isu kangkung, PKR pula beri modal
sate kepada musuh. Dalam semangat keharmonian menyambut
tahun baru cina, Anwar menyerabutkan kepala.

Akhirnya rakyat dari jauh memerhati gelagat badut-badut yang
membuat pentas politik seperti pentas sarkas itu. Sekali sekala
menghiburkan, lama kelamaan membosankan. Pentas itu bukan
untuk mereka lagi.

Waktu itu tiada lagi akan bersimpati. Kita hanya perlu
membiarkan mereka hanyut di bawa arus perubahan mood
rakyat. Adakalanya perpecahan mereka adalah yang terbaik
untuk rakyat. Kita hanya perlu thiqah dengan apapun pendirian
Presiden.

Percayalah jika benar Presiden meminta kita bantu PRK ini,
keputusan itu tidak dibuat atas dasar malu alah atau semata-
mata menjaga hubungan dalam PR. Lupakah kita Presiden
adalah seorang yang tegas? Dalam isu kerusi bertindih,
Presiden tekad untuk tidak mengundurkan 3 wakil PAS menjadi
calon termasuk isu Kota Damansara. Hasil ketegasan itu telah
menyebabkan PAS memperoleh kerusi terbanyak di Selangor,
yang memberi kuasa menentukan MB.

Jangan bimbang reaksi DAP. Mereka kenal siapa ikhlas siapa
berpura-pura. Pakatan Rakyat tidak akan tumbang dengan
hanya PKR yang berkubur.

RAHMAT UNTUK SEMUA

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....