Monday, February 10, 2014

DARI ULAMA KEPADA UMAT (BELASUNGKAWA TUAN GURU MURABBI DATO' HAJI HARUN TAIB)

Sambungan bahagian 2...

Sebelum kami beredar, arwah sempat berpesan supaya kami menanam sifat suka membaca. Jadikan kedai-kedai buku sebagai destinasi ziarah.

"Dulu saya suka pergi kedai buku. Dalam perjalanan pergi ke kuliah, saya singgah dahulu ke kedai buku. Hala balik saya singgah lagi. Kadang-kadang tak beli apapun, hanya baca judul-judul buku. Itupun sudah cukup menambah ilmu bagi saya. Kita boleh tahu ada perbahasan-perbahasan tertentu dalam sesuatu bidang dengan melihat tajuk buku, kadang-kadang belek senarai kandungannya." Kata Ustaz Harun.

Saya amat bersetuju. Dengan mengetahui tajuk-tajuk perbahasan, kita boleh membina suatu gambaran kerangka islam dalam kotak pemikiran. Itu amat penting bagi memahami apa itu islam. Tanpa memahami tasawwur/ kerangka islam, kita tidak akan tahu mana fungsi sesuatu ilmu kepada islam. Dimana letaknya solat dalam islam, di mana part jihad, part akidah, part maqasid, peranan akal dan sebagainya.

Seperti juga dunia permotoran, sebelum kita belajar tentang sistem enjin, ataupun sistem pendawaian,  atau juga berkenaan body, ekzos, aircond, aksesori dan sebagainya, perlu kita kenal dulu rupa sebuah kereta normal, barulah kita tahu kedudukan dan fungsi sistem yang kita dalami itu.

Dalam satu kaedah yang disebut oleh Imam Suyuti:

الحكم عن شيء فرع عن تصوره
Meletakkan sesuatu hukum kepada sesuatu kes hanya terhasil setelah mempunyai gambaran kepada kes tersebut.

Dengan mengetahui tajuk buku, kita tahu apa ilmu yang kita sudah terokai dan apa yang belum. Tidaklah kita syok sendiri dan mendabik dada seolah sudah menguasai semua ilmu islam, jika setakat memegang ijazah pengajian islam semata.

Mungkin inilah yang dimaksudkan kalam imam Syafie:

كلما ازددت علما زادنى علما بجهلى

"Setiap kali bertambah ilmuku, makin bertambahlah pengetahuan aku tentang kejahilanku."

Usai usrah, arwah menjamu kami dengan juadah petang. Saya sempat bertanya mengenai perjalanan Dewan Ulama' sesi baru ini. Katanya, Dewan Ulama' baru selesai membentuk organisasi baru.

"Dulu Dr Khairuddin jadi setiausaha, sekarang orang lain dah.Esok akan ada mesyuarat perancangan gerakerja." Terangnya. Saya tanya buat di sini ke? Jawabnya bukan, di Kuala Lumpur.

"Biar betul ustaz, boleh pergi lagi ke sekarang?" Beliau hanya tersenyum. Semua kenalan tedekat arif akan kedegilannya kalau bab berkhidmat dalam jemaah. Kerusi roda bukan penghalang untuknya bergerak bebas mengendalikan jemaah. Dah berapa kali dia muncul dalam siri-siri muktamar berkerusi roda. Jiwanya tetap kental walaupun jasad menghalang.

"Tiada bezanya dia dan as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin" getus hati kecilku.

Selesai minum, kami memohon izin untuk solat Asar di surau bawah rumahnya. Semasa berjabat tangan, saya sempat minta didoakan semoga Allah tamatkan pengajian saya ke peringkat tertinggi. Arwah hanya senyum dan menyatakan "InsyaAllah."

Alhamdulillah, hari itu kami balik dengan kenyang. Kenyang zahir dan kenyang batin. Namun siapa sangka itulah salam terakhir yang mampu kami ucapkan padanya. Kami takkan dapat lihat senyuman ikhlasnya lagi. Senyumnya penawar hidup. Allah takdirkan tak ramai yang rakam gambar arwah senyum.

Bercerita mengenai senyumannya, sebenarnya ada rahsia di sebalik senyum sang pendidik ummah itu. Perkongsian seorang pengundi di DUN Manir menceritakan segalanya.

Sejak Ust Harun bertanding di sana, seorang pengundi itu sentiasa memilihnya. Dia tidak pernah kenal pun Ust Harun, apatah lagi berjumpa dengannya. Tetapi tatkala melihat gambar beliau, semacam ada suatu tarikan dari dalam yang sangat kuat mendorongnya tidak memilih yang lain. Dalam PRU13, beliau berhasrat untuk mengundi lawannya kerana ingin melihat kemajuan di Manir, yang telah lama di anak tirikan kerajaan negeri. Semasa beratur untuk membuang undi, Ust Harun datang mendekati pengundi. Beliau tidak berkempen pun, tapi cukup dengan melemparkan sebuah senyuman, hati pengundi itu terus tertawan dan kembali memilihnya. Hebat karamahmu!

Hari kematiannya, dari awal pagi saya berkira-kira untuk pergi memberikan penghormatan terakhir. Serba salah. Kawan-kawan lain sejak subuh lagi telah memenuhi perkarangan Kubang Lembek. Gambar seorang kawan mengucup dahi arwah di whatsapp menambah sayu di hati.

Bukan tak nak pergi, tapi saya perlu siapkan syllabus usrah MDQ hari itu juga untuk dicetak. Lepas subuh saya terus mengadap laptop untuk selesaikan saki baki tugas itu. Saya fikir, arwah akan lebih tenang jika kerja-kerja usrah yang sekian lama diperjuangkannya itu saya siapkan dulu sebelum menziarahinya.

Buat apa menangisi pemergian seorang manusia, tetapi usaha semasa hidupnya tidak disambut dan diteruskan. Andai arwah masih ada, gembirakah dia kalau saya menangguhkan kerja mendidik lebih 1000 kader dakwah semata-mata untuk jasadnya? Sedang jasad Rasulullah tidak diurus sempurna melainkan setelah urusan kepimpinan umat islam yang selama ini diperjuangkan baginda selesai.

Pukul 9.30 saya mula bertolak ke Kubang Lembek. Solat jenazah dijadual jam 10 pagi. Kami sampai 5 minit sebelum jam 10. Kelihatan terlalu ramai manusia di sana, sampai ada yang parking sejauh 2km. Kenderaan memenuhi bahu jalan hingga ke kampung seberang.

Tuan Guru Ayah Chik sudah memulakan takbiratul ihram. Sebaik sahaja saya menghampiri suraunya, Ayah Chik sudahpun melafazkan takbiratul ihram. Makmum belakang melimpah hingga ke luar surau.

Selesai solat, Ayah Chik tak mampu berkata apa kerana terlalu sebak. Hanya dua lafaz yang jelas terlafaz dari bibirnya.

"Maafkan dia. Tuntut segala hutang dengan warisnya".

Jenazah hanya disolatkan sekali sebelum terus diusung keluar ke tempat persemadian. Walaupun beliau dikuburkan lebih 1km jauhnya dari surau, orang ramai masih berpusu mengiringi jenazahnya.

Ayah Chik menanti sehingga pengemubian selesai. Beliau sekali lagi berdoa di kubur. Hiruk pikuk orang ramai sekali lagi sunyi saat Tuan Guru berdoa, hanya suara mengaminkan doa yang bergema. Unggas belantara juga membisu seolah memahami.

Baru saya perasan di sisi saya adalah Ustaz Nik Abduh, disisinya pula Ustaz Ahmad Yaakob, MB Kelantan. Semua tunduk kepiluan. Tak kira apa pangkat yang manusia berikan pada kita, bila menghadap kematian, semua sama.

Selepas Ayah Chik beredar, baru saya mencelah ke pusaranya kerana sebelum itu keadaan terlalu sesak. Kebetulan Ustaz Nasruddin Tantawi tidak sempat solat di surau, jadi kami solat bersama. Anak Tuan Guru Ayah Chik juga di sebelah saya. Tak pernah saya lihat orang berhimpun dalam kesedihan seperti itu. Biasanya orang bersedih kerana berpisah.

Sebelum saya meninggalkan tapak persemadian itu, saya dakap erat anak  arwah, Ustaz Hilmi Harun. Salam takziah saya lafaz ke telinganya, mohon supaya Allah cekalkan hati YB Manir itu.

"Tak ada apalah. Dia hanya pergi berehat." Balas Ustaz Hilmi memujuk hati.

Yang saya tahu, saya tidak secekal anaknya. Mereka dididik sejak kecil dengan air tangan murabbi itu sendiri. Mungkin mereka boleh menerima kehilangan besar itu. Tapi saya? Mampukah hadapi cabaran yang masih banyak di hadapan, tanpa bimbingan seorang ulama' tegas sepertinya? Allah mustaan..

لو لا مربي ما عرفت ربي
والآن راح مربي إلى جوار ربي
قضى نحبه كما أمر ربي
فمن يعصم مقام ربي في قلبي...

Tanpa murabbi takkan ku kenal siapa Rabbi
Hari ini murabbi telah pergi menghadap Rabbi
melaksanakan janjinya seperti yang dituntut Rabbi
Siapa lagi yang akan memelihara kedudukan Rabbi di kalbu ini...

Dikau guru dikaulah murabbi,
Mendidik kami tak mengerti henti,
Cerca keji tak kau peduli,
Demi melihat generasi rabbani..

Dalam tundukmu terserlah tekadmu
Dalam senyummu terpancar tegasmu,
Kalah menang bukan noktahmu,
Kerana syahid itulah impanmu..

Hari ini dikau telahpun pergi,
Intan mutiara tak layak jadi pengganti,
Hanya doa kami iringi,
Buatmu insan perintis tarbawi..

Kepada yang menyayangi arwah, ayuh salurkan pahala kepada beliau. Amalkan segala tunjuk ajar peninggalan arwah. Sesungguhnya ulama' tidak mewariskan Dinar atau Dirham, tetapi mewariskan ilmu. Tiada lagi manfaat untuk seorang hamba selepas kematiannya melainkan sedekah jariahnya, doa anak solehnya, dan ilmu warisannya.

Semoga rohmu sentiasa dicucuri rahmat,
Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....