Friday, March 1, 2013

IBADAH YANG SAH (صحيح العبادة)


SYLLABUS USRAH IDADIE 3
SIRI II

Ibadah berasal perkataan (عبد) bermaksud tunduk dan patuh.Mengikut istilah, ibadah adalah tunduk patuh mengerjakan syariat Allah SWT dengan penuh kecintaan terhadapNya.

Ibadah merupakan tujuan asal diciptakan Manusia. Firman:
وَمَا خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدُونِ
 [الذاريات:56]
‘Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat (semata-mata)’

Imam Ibnu Taimiyah pernah ditanya apakah itu ibadah yang dituntut? Jawabnya dalm kitab al-Ubudiyyah :
“Ibadah merupakan semua perara yang disukai dan diredhai Allah dalam setiap perbuatan dan pertuturan, zahir mahupun batin.”


Imam Nawawi dalam syarah Hadis 40 menggambarkan bahawa setiap amalan yang diniatkan kerana Allah SWT, semua itu boleh menjadi ibadah termasuklah perbuatan semulajadi manusia seperti makan, tidur, gembira, qadha hajat dan sebagainya.

Ibadah adalah lambang keislaman seseorang. Ibadah yang paling tinggi adalah mengucapkan dua kalimah syahadah. Secara zahir seseorang boleh dihukum beriman jika dia mengucap, sembahyang, puasa, zakat dan haji.

Tujuan islam mensyariatkan ibadah adalah untuk menjaga iman dan akidah. Barangsiapa yang tidak mengerjakan ibadah, beliau digelar fasik (pelaku maksiat). Hatinya akan menjadi hitam dan semakin hitam, lama kelamaan akan tertutup hatinya dari kebenaran lalu akan terjatuh ke lembah kekufuran tanpa disedari. 

Jika iman adalah akar, maka batang dan dahan itu ibadat. Jika Kuning telur itu iman, putih itu ibadatnya.

Syarat untuk setiap perkara yang dilakukan itu sah sebagai ibadah ada dua. Pertamanya, mestilah amal itu ikhlas dilakukan kerana Allah.

Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّمَا الأَعمَالُ باِلنِّيَاتِ وَإِنّما لِكلٍّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَن كَانَت هِجرَتُه إِلى اللهِ وَرَسولِه فَهِجرَتُه إلَى اللهِ ورسولِه ومَن كانت هجرته لِدُنيا يُصِيبُها أو امرأةٍ يَنكِحُها فهجرتُه إلى ما هاجَرَ إليه
 [رواه البخاري ومسلم]
Setiap perbuatan itu mestilah disertai dengan niat. Dan bagi setiap seseorang itu (ganjaran) mengikut apa yang dikerjakan. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulnya maka hijrah akan beroleh (pahala kerana) Allah dan rasulnya. Barangsiapa berhijrah bagi kerana dunia yang dikejari atau wanita yang (ingin) dinikahinya maka hijrahnya (hanya) beroleh apa yang diingini (sahaja).

Kedua, mestilah menepati cara dan manhaj yang ditunjukkan oleh sunnah. Sebarang amalan yang bersalahan dengan usul syara` adalah tertolak walaupun ikhlas. 

Sabda Nabi SAW:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمرِنَا هذَا مَا لَيسَ مِنهُ فَهُوَ رَدّ
 [رواه البخاري ومسلم]
Barangsiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami ini apa-apa yang bukan daripadanya maka ianya ditolak.

Dalam islam, ibadah yang dituntut amatlah banyak, meliputi hak Allah, hak diri dan hak kepada manusia lain. Justeru itu dalam mengerjakan ibadah perlulah dipilih mana yang lebih afdal supaya mendapat ganjaran yang lebih.

Perlulah didahulukan yang wajib ke atas yang sunat. Dan jika bertembung perkara wajibdengan kewajipan lain, perlulah dahulukan Fardu kifayah yang tergalas di bahu kita daripada fardu `ain. Jika kita tidak melakukannya, orang lain turut berdosa tetapi jika fardu kifayah itu telah sempurna dilakukan oleh orang lain, maka fardu kifayah itu telah menjadi sunat ke atas kita dan perlulah mendahulukan perkara wajib yang lain.

Jika bertembung antara sunat dan sunat yang lain, dahulukan yang paling banyak pahalanya. Dan amalan sunat yang paling afdal adalah menuntut ilmu sepertimana yang disebut oleh Imam Ghazali dalam Ihya`nya.

Tidak perlu memaksa diri untuk beribadat dengan keras, bimbang mudah jemu selepasnya. Amalan yang sedikit tetapi diamalkan secara istiqamah adalah lebih baik dari melakukan banyak amalan yang tidak istiqamah. Sabda Rasulullah SAW:

أَحَبُّ الأَعمَالِ إِلى اللهِ: أَدْوَمُهَا وَإِن قَلَّ
 [رواه مسلم]
Amalan yang paling disukai oleh Allah adalah yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit.

Keterangan ini terlalu ringkas dan memerlukan pengajian yang lebih khusus terutama dalam ilmu Fiqh. Pelajar perlu sentiasa memantapkan diri dari sudut ilmu supaya tidak melakukan ibadah yang sia-sia atau terlebih mengutamakan ibadah yang tidak penting dari yang lebih penting.

Rujukan:
Al-Ibadah Fil Islam; Dr Yusof al-Qardawi – Muassasah Risalah


No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....