Friday, March 1, 2013

IKHLAS (إخلاص)


SYLLABUS USRAH IDADIE 2
SIRI II


PENGERTIAN IKHLAS

Ikhlas berasal daripada kata (خلص) yang bermaksud bersih,suci, murni iaitu tidak bercampur dengan unsur-unsur yang lain. Dari segi istilah, ikhlas bermaksud melakukan setiap hanya untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata.

Firman Allah S.W.T :
قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ [الزمر:11]
Katakanlah lagi (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku diperintahkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Segala Ibadat kepadanya;

Firman Allah S.W.T :
 وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء
[البينة:5]
Tidaklah kamu diperintah kecuali untuk beribadat kepada Allah semata-mata dengan agama yang suci

Sabda Rasulullah S.A.W :
إِنَّمَا الأَعمَالُ باِلنِّيَاتِ وَإِنّما لِكلٍّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَن كَانَت هِجرَتُه إِلى اللهِ وَرَسولِه فَهِجرَتُه إلَى اللهِ ورسولِه ومَن كانت هجرته لِدُنيا يُصِيبُها أو امرأةٍ يَنكِحُها فهجرتُه إلى ما هاجَرَ إليه
 [رواه البخاري ومسلم]
Setiap perbuatan itu mestilah disertai dengan niat. Dan bagi setiap seseorang itu (ganjaran) mengikut apa yang dikerjakan. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulnya maka hijrah akan beroleh (pahala kerana) Allah dan rasulnya. Barangsiapa berhijrah bagi kerana dunia yang dikejari atau wanita yang (ingin) dinikahinya maka hijrahnya (hanya) beroleh apa yang diingini (sahaja)

Abu Fudail bin ‘Iyyadh memberikan pandangannya  tentang makna ikhlas secara umum dengan berkata : “Meninggalkan amal karena manusia adalah riya’. Dan beramal karena manusia adalah syirik. Dan ikhlas ialah, apabila Allah menyelamatkan kamu dari keduanya”


Justeru itu tiada niat yang ikhlas selain dari mengharap keredhaan Allah SWT. Jika seseorang yang bukan muhrim itu ingin berkenalan dengan kita atas dasar ikhlas, dia telah berbohong kerana tuhan tidak meredhai perbuatan itu. Maka orang kafir tidak boleh menggunakan perkataan ikhlas kerana tidak mempercayai tuhan.

PRAKTIKAL IKHLAS

Ikhlas adalah syarat utama setiap amalan dan ibadah. Barangsiapa yang melakukan sesuatu kewajipan secara tidak ikhlas, maka dia akan beroleh pahala dari kewajipan tersebut.

Menghadirkan ikhlas bukanlah semudah mengucapkannya dibibir. Para ulama’ juga telah menegaskan bahawa rasa ikhlas amat payah untuk di praktikkan kecuali bagi mereka yang dipermudahkan Allah.

Imam Sufyan As-Thauri berkata, ”Tidaklah aku mengubati sesuatu yang lebih berat daripada mengubati niatku, kerana ia sentiasa berbolak-balik pada diriku.”

Kerana itulah Rasulullah S.A.W mengajarkan kita supaya berdoa:
يَا مُقَلِّبَ القُلُوْبِ ، ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِيْنِكَ
“Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku pada agamaMu.

Pada zaman Rasulullah, Bilal bin Rabbah dikenali sebagai muazzin bagi umat islam. Suaranya tidaklah semerdu mana tapi beliau tetap azan saban hari kerana patuh akan arahan Rasulullah. Suatu hari ada seorang lelaki datang berjumpa nabi, meminta izin untuk azan pada subuh keesokan hari. Beliau menyatakan suaranya lebih merdu dan digemari orang. Rasulullah membenarkan sahaja menggantikan bilal pada subuh tersebut.

Memang benar setelah beliau azan, suaranya amat merdu sehingga azan subuh itu mendapat pujian ramai. Tiba-tiba datang malaikat bertemu nabi SAW dan berkata: “Kenapa kaummu tidak solat di subuh tadi?” Jawab Rasulullah: “Bahkan kami bersolat seperti biasa.” Kata malaikat lagi: “Aku tidak mendengar suara azan sampai ke langit sepertimana biasa.”

Ternyata azan yang dilaungkan lelaki tadi walaupun merdu tetapi tidak diterima penduduk langit kerana hanya berniat ingin menunjuk dan dipuji, bukan kerana Allah. Azan Bilal dengan suara biasanya lebih baik dari lelaki itu.

Dikisahkan bahawa ada seorang alim yang selalu solat di saf yang paling depan. Suatu hari dia datang terlambat, maka dia hanya dapat solat di saf kedua. Tiba-tiba di dalam fikirannya terselit rasa malu kepada para jamaah lain yang melihatnya. Maka pada saat itulah, dia menyadari bahawa sebenarnya kesenangan dan ketenangan hatinya selama ini ketika solat di saf pertama pada hari-hari sebelumnya adalah hanya kerana ingin dilihat orang lain.

Saidina Ali ketika dalam satu peperangan berjaya menewaskan seorang kafir dalam pertempuran, di saat sahabat itu berada di atas badan kafir untuk menikamnya, tiba-tiba si kafir itu meludah. Lalu dia pun tidak jadi menikamnya. Si kafir yang kehairanan itu lantas bertanya kenapa Ali tidak membunuhnya. Jawab Saidina Ali: Aku membunuh musuh dalam peperangan kerana Allah. Apabila kau meludah ke arahku, aku berasa marah lalu aku tidak mahu membunuhnya kerana perasaan marahku. Si kafir itu merasa kagum membuatkan dirinya memilih untuk memeluk islam.

Kisah-kisah ini membuktikan bahawa rasa ikhlas mesti sentiasa diperbaharui kerana ia bukanlah suatu perbuatan yang mampu dilihat oleh pandangan mata kasar. Boleh jadi seseorang itu ikhlas ketika solatnya, tetapi apabila selesai solat ada oran memuji menyebabkannya riya`, maka pahalanya akan ditarik balik dan tiadalah baginya pahala solat itu.

PEROSAK IKHLAS

1.      Riya’: Melakukan atau meninggalkan sesuatu demi manusia.
Contoh: Memukul adik kerana perasaan marah dia mengejek kita, tidak sembahyang tahajud kerana malu dipuji.
2.      Sumu’ah: Melakukan atau meninggalakan sesuatu untuk kemasyhuran dunia.
Contoh: Baca al-Quran kerana ingin dipuji.
3.      ‘Ujub: melakukan atau meninggalkan sesuatu kerana menyedapkan diri sendiri.
Contoh: Merasakan dirinya alim kerana banyak mengetahui ilmu.
4.       Terpaksa: melakukan sesuatu kerana takutkan hukuman.
Contoh: Sembahyang jemaah kerana takut didenda, belajar kerana takut tidak lulus.


TANDA IKHLAS

Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyebut dalam kitabnya Fit-Thariq Ilallah: An-Niyyah wal-Ikhlas mengenai tanda-tanda ikhlas. Diantaranya :
1.       Takut masyhur dan tersebarnya kemasyhuran tentang dirinya, lebih-lebih lagi jika dia adalah orang yang mempunyai pangkat tertentu.
2.       Beramal secara senyap-senyap, jauh dari hebahan orang lain.
3.       Tidak memerlukan pujian dan tidak tenggelam oleh pujian.
4.       Berbuat selayaknya dalam memimpin : Amanah dan tidak mengharapkan kesenangan.
5.       Mencari keredhaan allah, bukan keredhaan manusia.
6.       Menjadikan keredhaan dan kemarahan yang dirasainya kerana allah, bukan kerana kepentingan peribadi
7.       Sabar dalam mengharungi dugaan sepanjang perjalanan hidup.
8.       Menghindari ujub.

Akhirnya, renungkan firman Allah taala ini :
قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي للَّهِ رَبِّ ٱلْعَالَمِينَ [الأنعام:162]
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.
                                                                                                                               
Rujukan :
-       Tazkiyatun Naf; Dr Khair Fatimah, m/s. 15-17 – Maktabah Darul Khair
-       Al Majmu’ Syarhul Muhadzab; Imam Nawawi
-       An-Niyyah wal-Ikhlas; Dr. Yusuf Al-Qardhawi – web version

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....