Sunday, December 11, 2011

ILHAM HUMAIRA; ikatan sebuah istikharah (bab I)

BAB 1: ((إن تنصروا الله ينصركم)) 

“Jangan ganggu Ning lagi! Ning tengah bahagia sekarang.” Remuk hati Ilham tatkala membaca tulisan buah hatinya,Nurainin pada paparan skrin computer. Sapaan Ilham dalam Yahoo Messenger dibalas dengan ucapan yang begitu sadis. Sudah lama Ilham menjangkaan ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan mereka. Setelah hampir tiga bulan tidak berhubung, rupa-rupanya dalam diam Ning sedang intim dengan insan ketiga.
Ilham tidak mampu menanggung rasa sedih setelah membaca perutusan terakhir Ning. Langkahnya longlai keluar dari kafe siber ElBaghdadi di kawasan Sinaah, Timur Damsyik. Kepalanya terawang-awang menyusun memori lama untuk diimbas kembali. Saat awal perkenalan yang penuh romantis kini hanya tinggal kenangan. Seorang wanita yang dahulu satu-satunya pilihan Ilham dikalangan lautan kenalan dia untuk dijadikan permaisuri hidup sepanjang hayat kini bertukar menjadi duri menusuk jantungnya sekelip mata.
Dia tercari-cari apakah penyebab semua itu. Kali terakhir mereka berhubung adalah pada Ramadhan kedua mereka di Syria. Memang Ning makan hati dengan kata-kata Ilham kala itu. “Kanda sanggup ke terima Ning seadanya?” Soalan manja penuh harapan itu dijawab dengan tulus jujur namun penuh kesangsian dimata Ning. “InsyaAllah Kanda akan cuba, semuanya ketentuan Allah. Cuma kalau Ning dapat kuruskan kembali badan itu macam dulu lagi Kanda suka.” Tatkala itu berderailah airmata Ning membaca jawapan tersebut. “Ning dah lama agak memang Kanda tak suka dengan keadaan Ning sekarang. Biarlah,Ning pasrah. Mulai hari ini biarlah tuhan saja yang tentukan nasib hubungan kita. Ada rezeki kahwinlah kita, kalau takde tak kahwinlah Ning sampai mati.”
Ilham tercengang. Padanya jawapan itu tidak salah. Sebagai seorang lelaki yang bakal menjadi suami kepada Ning, dia berhak meminta yang terbaik dari isterinya. Dan jawapan itu tidak menggambarkan paksaan, tapi cuma harapan. Walaubagaimanapun Ilham tetap rasa bersalah. Ternyata dia masih tidak mengenali sifat sensitif dan lembut seorang wanita. Setelah mesej meminta maaf dari Ilham tidak dibalas, akhirnya dia cuba menelefonnya berkali-kali namun tidak diangkat dan akhirnya telefon bimbit Ning ditutup.
Kepala Ilham tambah serabut. Hubungan yang dijalin dengan niat untuk membebaskan dirinya dari sifat gilakan wanita yang amat menganggu penumpuannya dalam pembelajaran kini sudah terbalik 360 darjah. Pelajarannya sudah entah kemana. Rasa bersalah itu terus menikam hati Ilham tanpa belas kasihan.
Akhirnya Ilham membuat keputusan untuk tidak menghubungi langsung Ning buat seketika waktu. Mungkin hubungan ini perlukan sedikit masa untuk kembali pulih. Lagipun Ilham sudah agak muak dengan sikap Ning yang selalu merajuk dan sentiasa inginkan perhatian. Bagi Ilham, peringkat Ijazah ini memerlukan penumpuan serius kepada pelajaran. Soal kehendak perasaan dan fitrah lelaki yang memerlukan wanita patut ditolak ketepi buat waktu ini. Dia tidak mahu mensia-siakan sekelumit waktu yang dikurnia Allah sementara berada di bumi Syam ini dengan soal hidup duniawi yang keterlaluan. Baginya biarlah itu menjadi sampingan. Biarlah mereka jarang berhubung, jarang bermanja-manjaan, jarang berkongsi cerita asalkan mereka punya ikatan janji untuk hidup bersama. Biarlah tuhan yang menjaga hubungan mereka sementara mereka sedang berhempas pulas menjaga agama Allah. Firman Allah "إن تنصروا الله ينصركم menjadi pegangan Ilham dalam soal ini.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....