Sunday, November 27, 2011

HIJRAH; Antara sebelum dan selepas

Niat hati dah lama nak kembali menulis, namun kekangan yang pelbagai termasuk kekangan perasaan malas membantutkan hasrat. Harapnya artikel sulung fasa baru ini boleh menjadi booster untuk kembali ke bidang ini dan menyuburkan lapangan keramat ini..

Hijrah.. Tentunya ramai cendikiawan,agamawan mahupun para daie yang mengambil peluang sempena awal muharram ini untuk berbicara tentang hijrah Rasulullah SAW. Masjid-masjid digemai dengan kupasan-kupasan sirah hijrah, dewan-dewan masyarakat,balairaya mahupun pentas ceramah tidak akan melepaskan peluang untuk menghampar lembaran hijrah rasul buat tatapan ummat. Tidak dinafikan begitu banyak pengajaran yang ditinggalkan oleh baginda SAW dalam melakar peristiwa hijrah tersebut. Satu titik tolak kepada perubahan nasib islam dan tamadun masyarakat dunia yang baru bermula hasil dari sedutan episod tersebut.

Saya juga merasa terpanggil untuk menyemai ladangan umat ini dengan sedikit benih hijrah yang terbekal di benak mengikut perspektif yang tersendiri. Mungkin untuk mempersembahkan semua iktibar yang ada dalam peristiwa ini adalah amat panjang dan berjilid-jilid, dibimbangi awal tahun cina depan masih belum siap artikel ini ataupun pembaca akan menjadi bosan untuk menatapnya. Biarlah curahan ini diringkaskan sepadat mungkin agar semua dapat menadah intipatinya, barulah yang digendong tidak keciciran .

Umum mengetahui apakah tujuan penghijrahan nabi SAW selain dari menyelamat akidah islam dalam sanubari mu`minin di zaman itu. Mendirikan sebuah Daulah Islamiah yang terpamer padanya kesyumulan syariat Allah adalah satu aspirasi yang amat dituntut sehingga tuhan menetapkan untuk wajib mengorbankan tanahair,anak-pinak dan harta benda demi cita-cita Daulah Madinatul Rasul/Madinatul Munawwarah. Satu perkara yang menarik adalah penerimaan islam dalam masyarakat arab antara era makiyyah dan madaniyyah. Tempoh nabi berada di Mekah selama 13 tahun hanya berjaya mengislamkan manusia tidak sampai seratus orang, berbanding di Madinah yang berjaya mendapat pengislaman berpuluh ribu manusia sebagaimana yang terekod dalam hadis hujjatul wida`,dan ianya hanya mengambil masa cuma 10 tahun. Perbezaan jumlah tersebut amat ketara. Apakah rahsianya?

Tidak lain tidak bukan ianya adalah kerana peranan Daulah Islamiah. Awal-awal lagi hijrah disambut dengan tiga manifestasi penting;
1.Mempersaudarakan Aus dan Khazraj, 
2.Membina masjid,
3.Piagam madinah yang telah membenarkan kewujudkan daulah islamiyyah secara rasmi.
Gerakan dakwah yang didokong oleh kuasa politik negara madinah amat membantu menyuburkan kefahaman islam dengan jelas. Pengamalan cara hidup islamik yang menyeluruh di setiap pelusuk dan lapangan di Madinah merupakan penyebab pertambahan kesedaran islam. Masyarakat arab terpesona dengan keindahan islam kala itu. Tamadun yang dibawa sungguh membuat mereka taajub dan terkesima. Pencerahan tentang kesesatan ideologi karut marut ciptaan manusia secara lisan dan tindakan juga membantu masyarakat arab untuk sedar dan kembali kepada fitrah.

Percaya atau tidak, semua itu tidak akan berlaku jika nabi tidak berhijrah ke Madinah. Islam tidak akan mampu dipersembah sebaiknya. Ucapan lisan semata-mata tidak mampu memperkenalkan model islamik yang diharap. Ianya mesti ditonjolkan dengan perbuatan. Manusia perlu melihat keindahan dan keadilan sebenar islam, melalui sistem syura, sistem pentadbiran, ketenteraan, ekonomi, kebajikan, kemasyarakatan, pendidikan, pengadilan, hukumun (HUDUD, QISAS, TAAZIR) dan bukan hanya teori semata-mata. Bak kata pepatah arab; (لسان الحال أفصح من لسان الناطق).

Saya tidak menafikan usaha-usaha murni kumpulan dakwah fardi dalam menawan hati manusia kembali kepada agama fitrah ini. Cuma bagi yang menolak politik sebagai wasilah dakwah, bagi saya mereka akan sentiasa cuba menegakkan benang yang basah, dan ibarat menadah air menggunakan baldi yang berlubang(bak kata Dr Ramadhan Albouti dalam التعرف على الذات). Kita boleh membuat orang terpesona dengan pidato kita, kita boleh mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk ibadat,kita boleh memastikan mad`u mengikut acuan islam ketika bersama kita, namun itu hanyalah dalam lingkungan 10% dari putaran kehidupan mereka. Dakwah kita masih belum menyeluruh. Tatkala kita tiada,mereka terdedah dengan pelbagai serangan musuh. Rakyat Malaysia khususnya hari ini tidak dapat mengelak dari serangan pemikiran dan budaya melalui TV, Radio, Akhbar, Internet, pengaruh rakan, makanan, pakaian, pendidikan corak pentadbiran bahkan banyak lagi method dakwah serangan kuffar yang diterapkan kepada kita hari ini. Lebih malang lagi jika ada pemerintah beragama islam mempamerkan sahsiah dan cara hidup yang terbabas jauh dari landasan syara`, rakyat akan melihat,mengenali dan terus mencontohi rupa islam yang turut terbabas (sebagaimana isu bersalaman cikgu mala).

Bagaimana pula nasib mereka yang berada di pedalaman? Adakah seruan kita sampai kepada mereka? berapa peratuskah da`ie-da`ie yang kita ada dalam jumlah 28 juta rakyat Malaysia untuk diharap menyantuni satu persatu rakyat Malaysia?

Era makiyyah yang menggunakan pendekatan dakwah fardiyyah tidak mampu memelihara akidah umat islam sebaiknya. Rasulullah SAW juga tidak berharap kepada perlindungan negara Habsyah walaupun kebajikan mereka terjamin andai mereka berhijrah ke sana. Jauh sekali untuk menganjurkan perhimpunan umat demi menyelamat akidah. Satu-satunya cara yang dipilih adalah memiliki kuasa politik di bumi Madinah secara total.

Maka ayuhlah sahabat-sahabat berganding bahu mengembalkan politik islam kepada negara kita, demi ummah sejagat. bekerja dibawah payungan jemaah yang satu atau setidak-tidaknya tidak memusuhi mereka yan mengambil jalan politik sunnah Rasulullah demi perjuangan akidah. Kerana iktibar dari peristiwa hijrah disamping mendirikan Daulah Islamiyyah juga adalah persaudaraan; kerana persaudaraan (ukhuwwah) adalah syarat asas untuk merempuh keangkuhan kuffar. 
lupakan perbezaan, cari titik persamaan, masyarakatkanlah diri sendiri, ramaikanlah kawan,kurangkanlah musuh, binalah jaringan selebar mungkin.

Iktibar lain juga adalah pembinaan masjid. Ia adalah lambang pembinaan jatidiri dan kader dakwah kerana di waktu itu masjidlah yang menjadi markas sahabat-sahabat menjalin kefahaman islam dalam diri setiap mereka. disana mereka menerima tarbiyyah rabbani melalui utusanNya. Masjid begitu makmur dengan pelbagai peristiwa sepertimana yang direkod dalam hadis-hadis. Dalam konteks hari ini pula, tarbiyyah merupakan syarat utama untuk bergelar pejuang dan tanpa tarbiyyah,semua usaha akan sia-sia. Tidak hairanlah hari ini banyak projek-projek markas dan pusat-pusat tarbiyyah dibangunkan walaupun menelan kos jutaan ringgit memandangkan peranan masjid telah disalah ertikan oleh pemegang amanah yang tidak bertanggungjawab.

Dan isyarat terakhir adalah melalui piagam Madinah; satu 'bidaah' baru bagi pola politik dunia. Empayar-empayar besar waktu itu belum mengenali bahasa perlembagaan,diplomasi,cop mohor dan beberapa lagi bidaah yang lain. Islamlah yang memperkenalkan produk tersebut sehingga hari ini ia menjadi syarat utama pengiktirafan sesebuah negara (mengikut ketetapan PBB). Ianya mengajar pembela islam agar tidak teragak-agak untuk terus berevolusi dan membawa revolusi. Sedarlah islam itu perlu dipimpin oleh gerakan Islah dan Tajdid. Harus ada sentiasa mereka yang berijtihad melakar strategi baru menjerkah kebiadapan musuh. Bak Hadis Rasulullah SAW "akan ada disetiap 100 tahun mereka yang akan memperbaharui urusan agama mereka". Jangan takut untuk melanggar adat, jangan segan untuk merobek budaya songsang, jangan malu untuk menyatakan kebenaran, asalkan dasarnya adalah Quran dan Sunnah, kerana itulah yang ciri-ciri pembela islam.

Akhir kata, binalah diri menjadi seorang mujtahid yang mampu menompang zaman, seorang kawan yang mampu merapatkan kembali kesatuan umat islam, dan seorang murabbi yang sentiasa memikirkan untuk menyulam matarantai penerus baton perjuangan.

SALAM MAAL HIJRAH 1433

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....