Thursday, May 15, 2014

ILMU VS PENGALAMAN

Sewaktu sesi kuliah di Masjid Lama Jambu Bongkok semalam, ada orang tanya berkenaan hukum aurat dan ketaatan isteri pada suami dalam iddah. Saya jawab sudah tiada ketaatan! Lalu seorang jemaah menegurnya. Dia mempersoal bukankah si isteri tetap kena jaga makan minum suami selama masih dalam iddah?

Saya tersedar ada yang tak kena dengan penjelasan saya tadi, namun belum mampu menjawabnya secara terperinci. Saya mohon maaf dan izin untuk menjawabnya pada sesi kuliah akan datang.

Selepas sahaja menamatkan kuliah, Allah bukakan hijab akal lalu mengingati kembali FirmanNya yang berbunyi:

وللمطلقات متاع بالمعروف
Dan untuk orang-orang yang dicerai itu diberi nafkah yang sepatutnya.

Allah. Barulah cerah kembali kekusutan tadi. Berdasarkan ayat di atas, apabila ayat si suami wajib menunaikan nafkah pada isteri, bermakna isteri masih berada bawah suami dan ketaatannya masih tidak berubah! Kehidupan mereka tetap sebagai suami isteri yang biasa selagi belum habis iddah. Jika bersetubuh, hukumnya jadi rujuk kembali.

Saya belum sempat nak jelaskan kembali pada jemaah. Tak mengapalah, kuliah seterusnya masih ada. Lagipun ada dua lagi soalan yang saya tangguhkan jawapannya ke kuliah akan datang.

Apa yang menariknya ialah kelebihan ilmu yang dicedok dari pengalaman. Dihadapan saya itu rasanya tiada yang belajar syariah bersistem seperti saya. Tetapi mereka mampu mengesan sesuatu yang tak kena pada penyampaian saya. Ini kerana kehidupan bermasyarakat mereka pernah menghadapi masalah seperti ini. Saya pula walaupun sudah belajar tentang perihal ahwal syakhsiah muslim secara ditil, saya boleh lupa kerana tidak pernah berada dalam masalah dan situasi seperti itu.

Kerana itu jugalah fatwa Imam Abu Hanifah lebih praktikal dalam bab Muamalah kerana dia sendiri seorang peniaga. Pengalamannya mengajar. Fatwa-fatwa Umar ibn Aziz dalam bab percukaian relevan dengan masakini kerana dia sendiri pernah menjadi seorang pemungut cukai (kerajaan).

Ilmu tanpa pengalaman boleh mengundang kesilapan. Imam Nawawi yang banyak mengajar hukum-hakam ibadat sendiri pernah tersilap masuk melalui pintu lain semasa pertama kali mengerjakan Haji, kerana belum berpengalaman.

Tidak hairanlah jika kita melihat ada kalangan ulama' muktabar yang kadang-kadang tidak tepat dalam mengeluarkan satu dua fatwa contohnya dalam isu pemerintahan. Puncanya kerana mereka tidak terlibat dalam selok belok pemerintahan.

Rasanya inilah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Nik Aziz apabila ditanya kenapakah beliau masih berkecimpung dalam politik walaupun usianya sudah lanjut. Katanya, penglibatan dalam politiklah yang mematangkan ilmunya.

Kalau baca al-Quran ada disebut orang beriman, orang munafik dan musuh islam ada di setiap zaman. Dengan menyertai politik, kita boleh melihat siapa itu orang beriman, orang munafik dan musuh islam zaman sekarang seperti yang diceritakan tuhan.

اللهم فقهنا في الدين..

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....