Tuesday, June 18, 2013

AKHLAK YANG MANTAP (متين الخلق)

SYLLABUS USRAH IDADIE 3

SIRI III:                          

Akhlak berasal dari perkataan Khuluq (خُلقُ) iaitu pecahan dari Khalqu (خَلق) kejadian semulajadi dan tabiat perangai.

Imam al-Ghazali mentakrifkan akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa . Daripada jiwa itu ,timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa melakukan pertimbangan fikiran.

Allah berfirman dalam menggambarkan sifat orang hamba Allah:

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا [الفرقان:63]
Dan hamba-hamba Yang Maha Pemurah (ialah) mereka yang berjalan dengan penuh sopan, dan apabila orang jahil berbicara mereka hanya berserah (tanpa menjawab apa-apa).

Nabi SAW merupakan ikon akhlak terbaik sepanjang zaman sehingga Saidatina Aisyah RA ketika ditanya tentang akhlak nabi, beliau menjawab:
كَانَ خُلُقُهُ القُرآنَ
“Akhlaknya adalah al-Quran.”

Maksudnya segala perilaku nabi SAW adalah bertepatan dengan arahan, larangan dan pedoman yang terdapat dalam al-Quran. Allah sendiri menyifatkan

Semasa era Makki, nabi SAW selalu diganggu oleh seorang perempuan tua yang merupakan jirannya. Dia selalu meletakkan halangan-halangan dan sampah sarap yang menyakitkan di sepanjang laluan rasulullah. Dia juga selalu mencercanya. Satu hari wanita tersebut tidak mengacau rasulullah membuatkan baginda hairan lantas pergi ke rumah perempuan itu. Rupanya beliau sedang terlantar sakit. Rasulullah menghantar makanan dan sentiasa menziarahinya seolah-olah perempuan tersebut tidak pernah melukakan hatinya. Perkara ini menyebabkan kebencian wanita tersebut kepada islam bertukar suka lalu memeluk agama islam.


Raja Richard pula adalah seorang pemimpin tentera salib dizaman Sultan Solahuddin al-Ayyubi. Beliau sering melancarkan serangan dalam merampas dan mempertahankan penjajahan ke atas al-Quds, Palestin. Pernah satu ketika Raja Richard jatuh sakit dan apabila hal ini diketahui oleh  Sultan Solahudin, beliau dengan segera menangguhkan peperangan lalu menghantar tabib serta ubat-ubatan untuk merawat Raja Richard. Baginya, berperang dalam keadaan musuh sedang sakit adalah tidak adil dan berart sebelah. Akhlak inilah yang membuatkan Solahuddin berjaya menewaskan ramai musuh-musuh islam.

Sejarah islam masuk ke Malaysia juga bermula dengan kemuliaan akhlak yang ditunjuk oleh pedagang-pedagang islam dari timur tengah dalam urusan mereka. Mereka tidak menipu dalam jual beli, menawarkan harga yang berpatutan dan bersopan santun dengan orang melayu menyebabkan orang melayu terpukau dengan akhlak tersebut lalu menerima islam sebagai agama.

Akhlak adalah bukti keimanan seseorang. Tiada guna seseorang yang beriman itu tanpa akhlak terpuji. Orang yang buruk akhlaknya menggambarkan buruknya akidah dan imannya walaupun zahirnya dia seorang yang tinggi ilmu dan bijak dalam kehidupan.

Jika akar pohon itu adalah akidah, dahannya pula adalah ibadah, maka bunga dan buahnya itu adalah akhlak. Daripada akar terbentuknya dahan, dan dengan dahan yang baik itulah membuahkan buah yang baik. Tiada guna pohon tanpa buah

Ia juga boleh diibaratkan seperti sebiji telur. Kuningnya adalah akidah, putihnya ibadah dan kulit itulah akhlak. Walaupun kulit tidak boleh dimakan, tanpa kulit keseluruhan telur akan rosak.

Nabi SAW mengajar umatnya supaya membacakan doa berikut untuk memperelok akhlak:

اللّهُمَّ حَسِّنْ خَلقِي وخُلُقِي
“Ya Allah perelokkanlah rupa bentukku dan budi pekertiku.”

Sumber:
AKHLAK ISLAMIAH; Dr Khair Fatimah – Maktabah Darul Khair

Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH
MAAHAD DARUL QURAN
SESI 2013                                        

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....