Sepuluh bintang! Itulah respon yang boleh saya berikan untuk program AMILIN PERINGKAT ZON TIMUR yang diadakan pada 3&4 Mei 2014 lepas. Program anjuran Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ini melibatkan peserta yang dipilih oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan dalam negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan dan bertempat di Perdana Resort, Pengkalan Chepa, Kelantan . Dewan Pemuda PAS Kelantan diketuai Ustaz Ahmad Fadli Shaari turut terlibat secara langsung sebagai tuan rumah.
AKP adalah sebuah portofolio dibawah DPPM yang bertanggungjawab melatih dan membina keperibadian pemuda-pemuda sebagai pemimpin negara masa depan. Pemuda-pemuda yang menjadi peserta AKP ini diterapkan dengan nilai-nilai islam sebenar bersumberkan al-Quran dan Sunnah.
Untuk menjayakan matlamat itu, AKP DPPM menyusun beberapa program AMILIN mengikut lima peringkat di Malaysia seperti Zon Timur, Zon Barat, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Utara dan Sabah Sarawak. Program ini adalah yang ketiga selepas Zon Utara dan Tengah.
Aturcara yang bermula sejak petang jumaat itu menyajikan pengisian yang cukup bermakna. Rakan-rakan yang datang sejauh Kuala Krau dan Temerloh nyata tidak kecewa dan sangat berpuashati menikmati perkongsian yang ditawarkan. Dua hari satu malam di serambi Mekah itu lebat dengan taburan mutiara untuk ditadah pulang ke medan masing-masing.
Orientasi asas program ini mengsasarkan tiga objektif utama iaitu ADVANCE MANAGEMENT, ILTIZAM dan INFLUENCE. Saya kira orientasi sebegini amat wajar diketengahkan melihat kepada galur kejayaan pimpinan PAS zaman berzaman.
Apa yang menarik, program AKP ini menampilkan kelainan yang belum pernah kami temui. Walaupun ianya anjuran sayap kanan induk bagi sebuah entiti berobjektif seperti PAS, ia langsung tidak membicarakn soal pendapat dan teori tertentu. Sebaliknya kami diberi kebebasan serta keyakinan untuk terus beridea dan berinsiatif sendiri demi memajukan islam. Sesuai dengan jiwa muda yang idealistik dan agresif, kami juga diajar untuk terus kritis dan berani kehadapan mencorak tanah air ke arah yang lebih baik.
Kami juga diberi peluang mendekati masyarakat berbagai golongan dan agama dalam misi dakwah menerangkan islam di sekitar Pantai Cahaya Bulan.
Paling berbekas di lubuk hati saya ialah slot Influence. Kami diperkenalkan dengan tokoh-tokoh berpengaruh dari seluruh dunia. Saya sangat tertarik mengenai AlMarhum Pak Hamid, aktivis PAS yang mungkin tidak dikenali ramai. Beliau meninggal ketika mengendalikan latihan kawad Jabatan Amal Malaysia. Sebelum meninggal, beliau sempat berucap dihadapan para pelatihnya dengan mengangkat sijil tauliah kawad yang diperolehi dari Kamunting.
"Ini sijil yang saya perolehi untuk ajar kamu. Saya dah ajar semuanya. Sekarang saya sudah tidak ada apa-apa hutang lagi dengan Allah." Selang beberapa detik, beliau terus rebah dan bertemu Ilahi dalam pakaian merahnya yang masih tersarung kemas.
Dengan tayangan gambar jasadnya yang bersih dalam kafan putih, wajahnya menguntum senyum. Dengan efek musik yang dimainkan, dalam tak sedar airmata saya mengalir deras.
Walaupun hayatnya tidak begitu dikenali, tetapi matinya menghidupkan semangat ahli untuk beramal kerana Allah. Matinya mempengaruhi sang hidup.
Saya kira seluruh peserta bersetuju Pak Hamid dinobat sebagai Tokoh Berpengaruh dalam program Amilin Zon Timur kali ini.
Berbalik pada perjalanan program, walaupun yang datang bukan dari latarbelakang yang sama; dari yang berjawatan penting di kawasan hingga yang tidak berjawatan, dari umur 20 an sehingga mencecah 40, dari puncak bandar hingga ceruk kampung, semuanya tidak kekok untuk duduk dan bermalam bersama. Tiada sesi suai kenal secara khusus diatur tetapi sepanjang program berlangsung, kami mampu untuk berkenalan sesama lebih 100 orang peserta!
Semua pengendali yang ditampilkan juga hebat belaka. Mereka terdiri dari pengusaha syarikat perunding berpengalaman yang telah banyak mengendalikan program-program bimbingan di syarikat swasta tempatan mahupun antarabangsa. Mereka terdiri dari Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia sendiri, Ir Hj Khairil Nizam, exco DPPM, Afnan Hamimi bin Dato' Taib Azamudden, Farid, Zaim, Nazir dan Kusyairi.
Saya cukup kagum dengan pengorbanan kesemua pengendali yang meninggalkan kerjaya mereka dan datang menjelajah setiap bucu Malaysia tanpa dijanjikan sebarang habuan material. Hanya Allah yang mampu menilai sebaiknya.
Sesi penutup diakhiri dengan ucapan inspiratif dari Ir Hj Kharil Nizam yang juga Pengarah AKP Pusat. Dengan penuh harapan beliau menyatakan, seorang ketua perlu sentiasa berkongsi wawasan dan matlamat bersama orang bawahan dalam setiap pertemuan agar mereka berasa dihargai dan diperlukan. Sebelum mengakhiri ucapan beliau sempat menyatakan untuk terus mengadakan siri-siri program AMILIN yang seterusnya.
MUHAMMAD MARWAN BIN M.SHUKRIMUN
EXCO DEWAN PEMUDA PAS
KAWASAN KUALA NERUS
TERENGGANU
5/5/14 | 14.44
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....